Showing posts with label 9/11. Show all posts
Showing posts with label 9/11. Show all posts

Wednesday, November 21, 2012

'Serangan 9/11 misi terancang AS'

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan teori konspirasi bahawa serangan 11 September 2001 ke atas bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) adalah satu misi terancang Amerika Syarikat (AS).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, serangan berkenaan bertujuan dijadikan alasan oleh AS untuk menceroboh negara Islam yang kaya dengan hasil minyak dan gas.
Katanya, sebagai buktinya selepas peristiwa yang mengorbankan ribuan rakyat negaranya, negara kuasa besar itu kemudian melancarkan serangan dan menceroboh Iraq serta Afghanistan.

Beliau berkata, pencerobohan itu adalah permulaan kepada peperangan ngeri yang membunuh ratusan ribu orang Islam kedua-dua negara berkenaan, malah mereka turut dianggap sebagai musuh sejagat.

Saya percaya jika kita terus berusaha mendapatkan waris atau pihak tertentu (rakyat AS) bagi membongkar peristiwa ini (serangan 9/11), maka kita akan mendapat pengganas sebenar, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa '9/11 Revisited-Seeking The Truth' anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Persidangan sehari itu menampilkan sembilan panel penceramah dari seluruh dunia termasuk bekas Ahli Kongres AS, Cynthia McKinney, Wartawan dan Pengarah Filem, James Corbet serta Pengasas Kejuruteraan dan Arkitek 9/11 Truth, Dr Richard Gage.

Monday, September 12, 2011

Dunia peringati tragedi 9/11





2011/09/12

PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis  memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
Keluarga mangsa ratapi pemergian

WELLINGTON: Satu dekad selepas tragedi 11 September 2001 mengubah banyak perkara kepada ramai orang, pemimpin dunia dan berjuta-juta penduduk yang masih lagi mengingati tragedi serangan ke atas Amerika Syarikat itu. 

Dari Sydney ke Atlanta, upacara rasmi diadakan untuk mengingati hampir 3,000 orang daripada lebih 90 negara yang maut dalam serangan itu. Sementara itu, pihak berkuasa di Washington dan New York mengetatkan kawalan keselamatan sebagai reaksi kepada perisikan mengenai kemungkinan berlakunya serangan bom kereta.
Bagi sebahagian orang, kesakitan itu tidak akan berhenti.
Di KUALA LUMPUR, Pathmawathy Navaratnam, bangun setiap pagi Ahad di kediamannya di Kuala Lumpur dan melakukan perkara sama setiap hari sejak 10 tahun lalu, iaitu mengucapkan selamat pagi kepada anaknya, seorang penganalisis kewangan, Vijayashanker Paramsothy, 23, yang terbunuh dalam serangan di New York. 

Dia sinar hidup saya. Dia menikmati kehidupannya, tetapi saya tidak dapat menerima dia sudah tiada. Saya masih hidup, tetapi hakikatnya hati saya sudah mati, katanya. 

Di MANILA, berpuluh-puluh bekas penghuni rumah setinggan membawakan bunga mawar, belon dan berdoa untuk seorang lagi mangsa, Marie Rose Abad, warga Amerika. Kawasan kejiranan itu adalah kawasan setinggan yang dipenuhi sampah, tetapi pada 2004, suami Abad membina 50 rumah sebagai memenuhi permintaan terakhir isterinya yang mahu membantu golongan miskin negara itu. 

Di NEW PLYMOUTH, pemain pasukan ragbi American Eagles adalah antara yang pernah mengingati ulang tahun itu. Pemain yang mengambil bahagian dalam kejohanan Ragbi Piala Dunia mendengar ucapan Duta Amerika, David Huebner, yang saudara lelakinya, Rick, selamat dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). 
Di SYDNEY, penduduk, Rae Tompsett, dia tidak pernah berasa marah berhubung pembunuhan anak lelakinya, Stephen Tompsett, 39, seorang jurutera komputer yang berada di tingkat 106 menara utara WTC ketika ia dirempuh pesawat yang dirampas. 

Tidak, bukan marah tetapi sedih. Sedih kerana orang melakukan perkara itu percaya mereka membuat perkara baik, katanya. 

Pesara guru dan suaminya, Jack, 92, bercadang menghadiri perhimpunan semalam seperti biasa di gereja sebelum menghadiri majlis peringatan pada tengah harinya. 

Menakjubkan kerana ia sudah 10 tahun, rasa seperti baru kelmarin, kata Tompsett. 

Di SEOUL, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak, menghantar surat kepada Presiden Barack Obama, menyatakan takziah kepada mangsa serangan itu dan keluarga serta penduduk Amerika. 

Lee, menyifatkan serangan itu tidak boleh dimaafkan dan memuji usaha berterusan Amerika untuk memerangi keganasan. 

Sementara pemimpin di Pakistan, yang menjadi mangsa keganasan al-Qaeda, tetapi turut dituduh tidak berusaha bersungguh-sungguh memerangi militan, berkata, mereka menyertai rakyat Amerika menghormati mangsa yang maut 10 tahun lalu. 

Sebagai negara yang terjejas teruk akibat keganasan, kami menegaskan kesediaan mengukuhkan kerjasama untuk membasmi keganasan, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan. AP 

Sunday, September 11, 2011

Rakyat AS memperingati serangan 11 September

NEW YORK: Rasa gementar dan kemurungan menyelubungi rakyat Amerika Syarikat pada sambutan ulang tahun ke-10 serangan 11 September yang mengakibatkan kematian kira-kira 3,000 orang dan mendorong kepada era peperangan.

Presiden Barack Obama dan bekas Presiden, George W Bush akan menghadiri upacara di tapak Menara Berkembar di New York dan selepas itu Obama akan terbang ke lokasi lain ketika serangan 11 September iaitu Pennsylvania dan Pentagon.
Ketika Pegawai Persekutuan memberi amaran berkaitan ancaman keganasan baru, keselamatan di bandar utama dikawal rapi dan Obama menggesa “supaya tahap berjaga-jaga ditingkatkan serta tahap persediaan”.
Pasukan polis yang lengkap bersenjata dan anjing pengesan bom dikerahkan di seluruh New York manakala pemilik kenderaan yang melalui beberapa kawasan perumahan terpaksa menjalani pemeriksaan. - AFP 

Saturday, September 10, 2011

New York tingkat kawalan




Gambar bertarikh 7 September lalu merakamkan pegawai polis Chicago, Nick Spencer dan anjing polis yang diberi nama Ggillis meronda di sistem stesen bawah tanah di tengah Chicago. Ggillis, seekor anjing Labrador berusia tiga tahun diberi nama sempena nama Sarjan Rodney Gillis yang terbunuh dalam tragedi 11 September 2001 ketika cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di Pusat Dagangan Dunia di New York. - Agensi


NEW YORK 9 Sept. - Jumlah anggota polis ditingkatkan di beberapa lokasi utama, termasuk di terowong dan jambatan berhubung laporan perisikan mengenai risiko serangan menjelang ulang tahun ke-10 tragedi serangan 11 September di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad ini.
"Pihak berkuasa menempatkan lebih ramai anggota polis di beberapa lokasi yang dilihat berisiko untuk berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar Michael Bloomberg.
Pesuruhjaya Polis New York, Raymond Kelly berkata, langkah tersebut termasuk menempatkan pasukan yang mendapat latihan menggunakan senjata berat di luar Manhattan.
"Waktu bertugas anggota polis dilanjutkan bagi mengawal New York meliputi perkhidmatan feri, terowong, jambatan dan kawasan mercu tanda utama.
"Perkhidmatan tunda kereta dan pemeriksaan beg di laluan bawah tanah turut diperluaskan bagi mengesan bom atau yang berkaitan dengan keganasan," katanya.
Dalam pada itu, Bloomberg menegaskan walaupun risiko serangan itu dilihat tidak kukuh, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil kira.
"Ancaman serangan kini belum dapat dikenal pasti, namun kita tidak boleh mengabaikannya.
"Ia (serangan) boleh berlaku dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya. - AFP