Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat SHAH ALAM – Tindakan berani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno, menyuarakan cadangan supaya Johor melaksanakan hukum hudud sepenuhnya bakal memberi implikasi dalam Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat, implikasi itu akan berlaku setelah pimpinan tertinggi pusat menerima cadangan itu.
“Implikasi pasti ada, tetapi tidak sehebat dalam Pakatan Rakyat (PR). Seperti mana DAP menentang keras usaha Pas melaksanakan hukum hudud sebelum ini.
“Keadaan ini berbeza kerana, Umno adalah parti teras dalam BN, selalunya apa yang dibawakan Umno itu diterima oleh parti komponennya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, keadaan itu disebabkan oleh rakan dalam BN mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Umno.
“Umno parti yang kuat di dalam BN, berbanding Pas di dalam PR.
“Sejarah membuktikan perkara itu, sebagai contoh, ketika Islam Hadhari mahu dilaksanakan. Banyak kemusykilan yang timbul, bagaimanapun dengan kesungguhan Umno melakukan penerangan akhirnya mendapat respons yang baik,” katanya.
Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, melihat cadangan yang dibawa oleh Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat adalah satu perkembangan positif bagi Umno.
“Saya berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan oleh Umno sejajar dengan transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sememangnya sentimen keislaman sudah tertanam di dalam Umno.
“Pada peringkat awal sudah pasti ada banyak implikasi dan persoalan yang timbul daripada MCA, MIC dan parti-parti bukan Islam yang lain.
Namun saya percaya perkara itu mampu ditangani,” katanya. Walaupun maklum balas daripada pimpinan tertinggi Umno berhubung isu ini masih samar, tetapi Samsul Adabi percaya perkara itu akan mendapat respons dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, kajian yang serius perlu dilakukan bagi melaksanakan perundangan Islam ini sepenuhnya.
“Apabila ada cadangan seumpama ini, sudah pasti kerajaan akan memikirkan langkah seterusnya seperti mencari pakar-pakar berhubung hal ini dan mendapat sentuhan mereka.
“Pendapat orang yang berpengetahuan dalam perkara ini akan lebih didengar oleh rakyat,” katanya.