Friday, October 8, 2010

Pengikut Qadiani jangan lagi dakwa diri Islam



JAKARTA 7 Okt. - Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) menggesa pengikut ajaran Ahmadiyah (Qadiani) supaya jangan lagi mendakwa diri mereka sebagai penganut Islam.
Gesaan itu disuarakan semalam oleh Timbalan Setiausaha Agung NU, Enceng Shobirin dalam perbincangan mengenai penyelesaian isu Ahmadiyah.
Kata Enceng, pengikut ajaran sesat itu akan terus disisih dan dipulaukan jika mereka terus berkeras untuk mengaitkan diri mereka dengan Islam sedangkan mereka melanggar ajaran-ajaran Islam yang paling asas.
Beliau memberi amaran keganasan terhadap pengikut Ahmadiyah akan berulang kerana umat Islam menganggap ajaran itu sebagai ancaman terhadap kesucian Islam.
Seorang lagi anggota panel perbincangan, Timbalan Pengerusi NU, Slamet Effendi Yusuf berkata, umat Islam di serata dunia tidak mengiktiraf ajaran Ahmadiyah yang tidak mengaku Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir, sebagai sebahagian Islam.
"Malah di Pakistan di mana Ahmadiyah bermula, ajaran itu tidak diiktiraf sebagai sebahagian Islam tetapi pengikutnya bebas untuk mengamalkan ajaran mereka.
"Mungkin inilah penyelesaian terbaik kepada masalah Ahmadiyah," kata Slamet. - Agensi

Malaysiakini, Zunar dibenar cabar pengharaman buku



08/10/2010 3:42pm

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Portal web berita Malaysiakini.com dan seorang penerbit buku kartun politik hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penjualan dua buku.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh memberi kebenaran untuk semakan kehakiman yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon agar perintah pengharaman penjualan kedua-dua buku itu dibatalkan selepas mendengar hujah daripada peguam pemohon, K. Shanmuga, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham Ismail yang mewakili responden.
Shanmuga memberitahu pemberita bahawa Noorhisham tidak membantah terhadap permohonan itu dan mahkamah menetapkan 8 November ini untuk pengurusan kes.
Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn. Bhd. dan syarikat penerbitan, Sepakat Efektif Sdn. Bhd., manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan timbalannya.
Pada 26 Julai lepas, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik dengan nama pena ”Zunar”, memfailkan dua permohonan berasingan bagi mencabar keputusan mengharamkan buku bertajuk 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun. - Bernama

Ahli keluarga Arsshwanya dicari






SEREMBAN 7 Okt. - Orang ramai yang mengenali waris atau ahli keluarga kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun diminta tampil membantu menyelesaikan proses pengambilan anak angkat.
Bapa angkatnya, A.Kesavan, 42, berkata, Arsshwanya (gambar)telah diserahkan kepadanya sejak kanak-kanak itu berusia seminggu iaitu pada 2006.
''Ibunya yang dikenali sebagai Serliana Antonus telah menyerahkan anaknya kepada saya selepas seminggu melahirkannya.
''Saya ingin meminta bantuan orang ramai yang mengenali ahli keluarga atau ibunya menghubungi saya bagi membantu mempercepatkan proses pengambilan anak angkat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Kesavan, Serliana yang juga kenalan kepada keluarganya itu telah menyerahkan kanak-kanak tersebut ketika dia berusia 23 tahun.
''Sebelum ini, saya telah menjalankan usaha menjejaki waris Arsshwanya, namun sehingga kini masih belum berjaya.
''Orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi saya di talian 018-2066257 atau datang ke rumah saya di alamat No. 82, Lorong 11, Taman Sri Mawar, Senawang," jelasnya.
Tambahnya, bantuan orang ramai amat dihargai bagi melancarkan proses pengambilan anak angkat yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malabar mohon surau bagi aktiviti keagamaan




MALABAR cawangan Kuantan yang dianggotai sebahagian besar masyarakat berketurunan India Muslim mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PMMK di Dewan Perpustakaan negeri, Kuantan, semalam.


KUANTAN 7 Okt. - Persatuan Malabar Muslim cawangan Kuantan (PMMK) memohon kepada pihak Majlis Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) untuk membina sebuah surau bagi membolehkan ahli-ahli persatuan itu menjalankan aktiviti dengan lancar.
Setiausaha PMMK, Mustaffar Kamal Moidin berkata, pihaknya akan menghantar permohonan kepada Muip untuk memohon sebidang tanah bagi mendirikan surau tersebut.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti tapak yang akan dijadikan surau yang terletak di kawasan Jalan Haji Ahmad, Bukit Sekilau dan akan mengajukan permohonan tersebut untuk tindakan selanjutnya.
"Kami berharap akan mendapat maklum balas yang positif dan impian untuk memiliki sebuah surau sendiri untuk dijadikan sebuah tempat membuat pelbagai perkara kebajikan akan tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri PMMK di Dewan Perpustakaan Awam negeri, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ghazali Abdul Aziz; Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Sarifuddin Osman dan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang tidak bernasib baik yang merupakan ahli persatuan tersebut.
Dalam pada itu, Mustaffar Kamal berkata, program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan merapatkan silaturahim di antara ahli selain berkongsi pelbagai maklumat serta pengalaman masing-masing yang kesemua ahli berjumlah lebih 3,000 orang.
Katanya, PMMK juga turut aktif menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bacaan yasin setiap Khamis, mengadakan majlis kesyukuran dan perjumpaan ahli di Madrasah Tarbiatul Islam yang telah beroperasi lebih dua tahun itu.
Katanya, PMMK sentiasa menjaga kebajikan setiap ahlinya dan berusaha untuk membantu setiap golongan yang memerlukan walaupun bukan di kalangan ahli PMMK.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Muip, JAIP dan agensi-agensi berkaitan yang banyak menyokong dan membantu melancarkan perjalanan persatuan ini demi kesejahteraan semua," katanya.

SPR didakwa pilih kasih



KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas diadakan ketika sidang DUN negeri ini yang bermula 1 November depan. 

Menurutnya, tindakan SPR menetapkan 4 Oktober sebagai tarikh pengundian dianggap tidak menghormati sidang DUN dan seolah-olah dirancang untuk memberi kelebihan kepada UMNO. 

”SPR ini memang tak fikir langsung cerita orang lain, cerita UMNO dia saja. Terus terang saya sebut bahawa kita sudah tetapkan (sidang) Dewan Negeri yang perlu dihormati. 

”Mereka tidak fikir langsung bertembung dengan pilihan raya dengan sidang Dewan Negeri. Ini perkara yang menimbulkan kebencian masyarakat Kelantan kepada pihak sebelah sana (SPR),” katanya selepas Ekspo Pelancongan 2010 Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini, semalam. 

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan tidak adil itu hanya menambah lagi kebencian masyarakat negeri ini kepada SPR yang dikatakan gagal bertindak sebagai sebuah badan yang bebas. 

Menurutnya, SPR tidak langsung bertanya kepada pihak Kerajaan Negeri berkenaan dengan apa- apa acara rasmi yang diadakan seperti mana yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah badan bebas sebelum menetapkan sebarang keputusan. 

Dalam pada itu, ketika ditanya penetapan tarikh mengundi yang jatuh pada hari bekerja, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, perkara itu akan menyusahkan rakyat yang mahu membuang undi pada hari berkenaan. 

Bagi tujuan itu, beliau berkata, walaupun berat, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cuti umum pada hari berkenaan seperti mana yang dibuat di Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai. 

”Boleh jadi kita fikirlah pula, kerajaan tanggung bebanan (jika ia membabitkan keputusan memberi cuti)... soal cuti ini bukan kerja senang, henti kerja pejabat, satu perkara yang tidak menyenangkan hati,” katanya.

Pas optimis menang, namun mahu jadi ‘underdog’



KUALA LUMPUR – Pas meletakkan parti itu sebagai ‘underdog’ biarpun optimis akan menang dan berupaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini. 

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, keyakinan itu berdasarkan analisis aliran undi pada pilihan raya umum lalu. 

Menurutnya, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di DUN Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 undian, manakala calon Pas mendapat sebanyak 4,143. 

“Dari segi (perangkaan) ini sahaja, kalau Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) menjadi calon, dia (BN) akan kalah. Berdasarkan perangkaan ini, tidak sukar Pas pertahankan kerusi itu. 

“Jadi fenomena ini, kita tengok tidaklah sukar sangat untuk kita tidak pertahankan kerusi ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas di sini semalam. 

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun mengakui kedudukan Tengku Razaleigh akan mempenga�ruhi persekitaran pilihan raya kecil kali ini. 

Pas katanya, turut meletakkan sasaran 30 peratus sokongan terhadap pengundi Orang Asli. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Galas, yang dianggap sebagai ‘senjata rahsia’ UMNO itu mungkin membawa padah. 

“Pas menganggap Ku Li pemimpin paling berpengaruh di Gua Musang. Kita hormatinya dan kita tidak boleh pandang mudah. Saya yakin Datuk Abdul Halim dan jentera operasi akan memainkan peranan,” katanya. 

Ditanya mengenai calon Pas yang akan bertanding, beliau berkata Pas dijangka akan bermesyuarat membincangkan perkara tersebut minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada Pas Kelantan.

Zaid sedia undur diri jika Nurul Izzah bertanding




PETALING JAYA – Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim sedia mengundur diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden sekiranya Nurul Izzah Anwar turut bertanding jawatan yang sama. 

Zaid berkata, beliau akan memberi laluan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dan bersedia ‘melakukan apa yang terdaya’ bagi membantu usaha Nurul Izzah menyertai pucuk pimpinan parti. 

“Saya difahamkan Nurul Izzah berminat bertanding jawatan timbalan presiden memandangkan beliau mendapat pencalonan yang cukup. Saya sedia mengundur diri dan membantu beliau dalam pertandingan ini. 

“Saya percaya, beliau boleh membawa nafas baru ke dalam parti dan boleh menarik lebih ramai ahli yang profesional dan dinamik,” katanya pada sidang media di kediamannya, semalam. 

Menurut Zaid, Nurul Izzah layak bertanding jawatan timbalan presiden dengan tiga pencalonan manakala dirinya mempunyai ‘empat atau lima’ pencalonan untuk jawatan presiden. 

Sebelum ini, Nurul Izzah mengumumkan hasrat bertanding naib presiden pada pemilihan parti November ini selepas mendapat pencalonan yang menggalakkan. 

“Sekiranya Nurul Izzah bersetuju bertanding jawatan timbalan presiden, saya bersedia untuk tidak bertanding mana-mana jawatan jika boleh membantu menguatkan kedudukannya. 

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan lain sekiranya diperlukan untuk memastikan kemenangan beliau,” katanya. 

Selain mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, Zaid turut mendapat tiga pencalonan untuk jawatan presiden di belakang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam pada itu, Zaid terus membiarkan spekulasi sama ada beliau akan bertanding jawatan presiden atau tidak pada pemilihan parti. 

“Mungkin ya, mungkin tidak,” katanya sambik tertawa besar.

Pas minta BN tidak guna jentera kerajaan



KUALA TERENGGANU - Pas sekali lagi mengingatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar berkempen secara ‘gentleman’ pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. 

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, BN dikatakan tidak berkempen dengan cara adil apabila sentiasa menggunakan jentera kerajaan, media di samping mendakwa turut menggunakan politik wang setiap kali pilihan raya berlangsung. 

“Kita minta UMNO bersikap ‘gentleman’ dengan tidak menggunakan peralatan kerajaan ke kawasan tersebut atau politik wang dan media dalam pilihan raya kecil,” katanya, semalam. 

Berdasar pengalaman lalu katanya, walaupun BN sentiasa diingatkan adil dalam pilihan raya, namun mereka sentiasa menggunakan jentera kerajaan dan media untuk menghentam pembangkang selain menabur janji dan wang kepada rakyat melalui projek dan sebagainya. 

“Mereka takut pada kekalahan dan perkara sedemikian biasa berlaku setiap kali pilihan raya dengan menggunakan sepenuh tenaga untuk ‘survival’ politik mereka,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan akan berpihak kepada BN sekiranya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi calon di DUN Galas, beliau menganggap sesiapa sahaja berhak membuat ramalan. 

Bagi Pas katanya, mereka bersedia ‘bertempur’ di Galas bagi mengekalkan kerusi DUN tersebut dan tidak peduli siapa dicalonkan BN.

Rosmah cadang lawat Sekolah Harapan



MELAKA - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan hasrat untuk membuat lawatan rasmi ke Sekolah Harapan di Jasin, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

“Pada pertemuan di Kuala Lumpur kelmarin, beliau tidak menyatakan bila untuk datang melawat tetapi memang berhasrat melawat Sekolah Harapan, sekali gus memberitahu perbezaan Sekolah Harapan di Jasin dengan sekolah yang sama fungsinya di Brussels, Jerman,” katanya. 

Menurutnya, Rosmah dijadual akan merasmikan Busana Muslim anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada Sabtu ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Terpaksa hidup bergelap




SEGAMAT - Dalam pembangunan yang semakin pesat, masih ada lagi segelintir rakyat yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, disamping tidak mempunyai bekalan air dan elektrik sepenuhnya. 

Seorang penduduk, Md Yusin Uteh berkata, sepanjang tinggal di rumahnya itu, dia dan isteri terpaksa hidup dalam keadaan yang merumitkan kerana terpaksa pergi ke perigi yang terletak di hadapan rumah untuk mendapat bekalan air harian. 

“Semenjak bulan lalu, kami sudah tidak menggunakan air perigi lagi kerana menggunakan bekalan air yang diberikan jiran sebelah rumah. Kami menumpang menggunakan air yang ada dan mereka memberi izin untuk menggunakannya. 

“Namun begitu, terdapat masalah lain yang menghantui hidup kami seperti apabila hujan lebat, air akan masuk ke dalam rumah. 

“Rumah yang kami diami sekarang merupakan rumah peninggalan arwah datuk dan saya telah perbaiki mengikut kemampuan bagi mengelakkan air terus masuk ke dalam rumah,” katanya. 

Pada ketika ini, Yusin tidak bekerja disebabkan penyakit yang hidapi dan di samping itu juga, dia amat merisaui keadaan isterinya yang menghidap penyakit jantung serta kencing manis. 

“Isteri saya sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja berat dan jarang keluar rumah. 

“Adalah menjadi tanggungjawab saya mencari rezeki dengan menjual ubi kayu, membersihkan rumah orang, menjual barang barang terpakai dan sebagainya. 

“Apabila waktu malam, kami menggunakan pelita untuk menerangi rumah kerana tidak mendapat bekalan elektrik dan adakalanya kami dalam keadaan bergelap sahaja. 

“Selain itu, apabila hujan, kami akan dapat mendengar titisan air yang jatuh dan bertambah risau apabila hujan bertambah lebat dikhua�tiri bumbung rumah kami akan jatuh atau terbang ditiupkan angin,” katanya.

Kampung Ayah Pin jadi tumpuan



Oleh Mohammad Ishak dan Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2010/10/08

 PERKAMPUNGAN Ayah Pin di  Batu 13 Hulu Besut,  dibanjiri pengikutnya dari luar Terengganu  setiap hujung minggu.
PERKAMPUNGAN Ayah Pin di Batu 13 Hulu Besut, dibanjiri pengikutnya dari luar Terengganu setiap hujung minggu.
Pengikut kembali ke markas ajaran sesat sejak Ogos lalu 

JERTIH: Penduduk di Kampung Batu 13, Pasir Akar, Hulu Besut, mendakwa perkampungan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin atau Arifin Mohamad kembali menjadi tumpuan pengikutnya sejak Ogos lalu terutama pada hujung minggu.
Penduduk mendakwa walaupun perkampungan itu sudah dirobohkan, mereka melihat banyak kenderaan menggunakan nombor pendaftaran dari luar Terengganu kelihatan ke luar masuk ke perkampungan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, berkata penduduk memberitahunya mereka melihat Ayah Pin di perkampungan itu. 

Justeru, beliau berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bertindak segera bagi mengelak ajaran sesat terbabit bertapak semula. 

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau nampak beberapa kumpulan masuk ke situ sejak kebelakangan ini. 

“Bagaimanapun, saya tidak pernah nampak kelibat Ayah Pin,” katanya ketika ditemui, semalam. 
Berita Harian semalam melaporkan Ayah Pin, pemimpin ajaran sesat Kerajaan Langit yang diharamkan pada 2005, kembali me-neruskan ajarannya di perkampungan kumpulan itu di Kampung Batu 13. 

Di KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengarahkan JHEAT menyiasat segera dan mengemukakan ha-sil siasatan kegiatan Ayah Pin yang kembali aktif menyebarkan ajaran sesat. 

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kerajaan negeri sehingga kini tidak menerima laporan pemimpin ajaran Kerajaan Langit itu. 

“Sebelum ini kita dimaklumkan Ayah Pin berada di negara jiran dan pulang ke perkampungan sehari dua menziarahi saudara mara dan akan pulang semula ke tempat persembunyiannya bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Proses akhir bawa pulang enjin F-5E





2010/10/08

KUALA LUMPUR: Pegawai Jabatan Peguam Negara dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ke Uruguay sekali lagi dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan proses akhir sebelum dua enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM yang hilang dua tahun lalu di bawa pulang. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Ismail Ahmad, berkata proses perbincangan dengan pihak Uruguay untuk membawa pulang dua enjin pesawat itu kini pada peringkat akhir.

Pantai berahi

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/10/08


Teluk Bidara lokasi seks, hidu gam
Foto

Amir (tiga dari kiri) menyoal sepasang kekasih di kawasan bukit di tepi Pantai Teluk Bidara.

  • Foto
    PASANGAN mengambil kesempatan keadaan kawasan tepi pantai yang berbukit dan belukar untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.


DUNGUN: Pantai Teluk Bidara di sini, sememangnya tersohor dengan kedamaian, dihias pasir putih dan rimbunan pokok berlatarbelakangkan perkampungan nelayan, tetapi reputasinya tercalar dengan tindakan pasangan melakukan perbuatan tidak bermoral tidak kira siang mahupun malam.
Sejak terbinanya jambatan Kuala Dungun-Seberang Pintasan tiga tahun lalu, kampung Seberang Pintasan yang dahulunya seakan terpisah dari dunia luar mengalami perubahan drastik, termasuk pesisir pantai Teluk Bidara, berubah menjadi pantai dikunjungi ramai terutama pada setiap petang.
Arus kemodenan yang melanda turut membawa unsur kurang sihat ke kampung ini yang sebelum ini bergantung kepada bot penambang sebagai pengangkutan utama untuk ke Kuala Dungun bagi mengelak menempuh perjalanan sejauh 20 kilometer.

Penduduk, Bakar Samad, 44, berkata sebelum ini sukar melihat anak gadis ke pantai bersama teman lelaki tetapi kini keadaan jauh berubah kerana kawasan pesisir pantai menjadi medan pasangan muda mudi bercumbu-cumbuan dan melakukan perbuatan maksiat terutama ketika waktu solat Jumaat.

“Gelagat pasangan muda-mudi yang berlagak seolah pasangan sudah berkahwin menggusarkan penduduk kampung sekali gus mencemarkan nama Pantai Teluk Lipat dan Kampung Seberang Pintasan," katanya.

Anggota RELA, Amir Rosli, 39, berkata boleh dikatakan setiap kali pasukannya membuat rondaan, ada pasangan yang dicekup kerana berkelakuan tidak senonoh.
Amir berkata apa yang lebih menyedihkan kawasan pantai yang sepatutnya lengang pada waktu solat Jumaat menjadi peluang mereka melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Sementara kawasan bukit berhampiran pantai pula menjadi markas kepada kegiatan menagih gam.

“Penagih gam yang berada di puncak bukit akan dapat melihat kedatangan pengunjung ke pantai sekali gus menjadikan lokasi puncak bukit itu sebagai tempat selamat untuk mereka melepaskan gian," katanya.

Tinjauan Edisi Timur di kawasan puncak bukit berhampiran pantai pantai itu mendapati tin dan plastik gam bersepah ditinggalkan penagih.

Amir berkata, pondok pengawal wajar dibina di puncak bukit berhampiran pantai bagi memudahkan penduduk khususnya anggota RELA membuat tinjauan bagi mengelak kawasan pantai dijadikan tempat melakukan aktiviti tidak bermoral.

Warga Lubnan mahu Ahmadinejad cekik Israel





2010/10/08

KFAR KILA: Penduduk di selatan Lubnan gembira dengan kunjungan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, minggu depan bagi melawat kawasan sempadannya dengan Israel. 

“Saya tidak sabar melihat Ahmadinejad hampir dengan kawat berduri dan tunjuk kepada Israel beliau dapat cekik mereka,” kata Abdullah, dari kampung sempadan di sini, yang enggan memberi nama sebenar.
“Boleh anda bayangkan? Beliau akan berdiri kurang beberapa meter dari Israel dan itu amat simbolik,” tambah Abdullah yang mengendalikan restoran di Pagar Fatima, hanya di belakang pagar sempadan antara kedua-dua negara.
Lawatan pemimpin Iran itu ke Lubnan pada 13 dan 14 Oktober ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya, Michel Sleiman. 

Hari pertama lawatan rasmi kunjungan itu, lawatan pertamanya ke Lubnan sejak menjadi presiden, dijangka berjalan lancar. 

Pada hari berikutnya, Ahmadinejad dijangka melakukan kunjungan ke selatan ke kawasan kumpulan militan Syiah, Hizbullah, dianggap proksi Iran, yang mencetuskan perasaan tidak senang hati di negara itu. 

Anggota majoriti parlimen pro-Barat Lubnan melabel kunjungan itu sebagai provokasi terutama ketika ketegangan memuncak berhubung laporan belum sah bahawa tribunal disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijangka mendakwa anggota Hizbullah mengenai pembunuhan Rafiq Hariri pada 2005, bapa perdana menteri sekarang. 
Washington, bersama sekutunya terbabit dalam pertelingkahan panjang dengan Iran berhubung program kontroversi nuklearnya, minggu ini turut melahirkan kebimbangan dengan kunjungan Ahmadinejad, dan Israel menyamakannya dengan ‘tuan tanah besar datang untuk memeriksa hartanahnya.’ 

Hizbullah yang disenarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh Amerika, tidak menyediakan perincian lawatan, namun persediaan kedatangan wira itu dilakukan besar-besaran di kawasan dikawal parti militan. 

Poster besar Ahmadinejad bersama mesej alu-aluan ditampal di atas jambatan sepanjang lebuh raya menghala ke lapangan terbang antarabangsa Beirut dan potretnya boleh dilihat di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut. – AFP

Lagi 60 warga emas pulangkan semula wang ehsan





2010/10/08

BALIK PULAU: Seramai 60 lagi warga emas yang menerima wang ehsan sebanyak RM100 daripada kerajaan negeri, hari ini bertindak memulangkan semula wang itu kerana sumbernya diragui mereka. 

Antara mereka ialah Abdullah Aziz, 61, seorang pesara polis yang berkata tindakan kerajaan negeri memberi wang hasil perjudian iaitu daripada kegiatan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada warga emas adalah sesuatu yang memalukan.
"Tindakan kerajaan negeri itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia adalah wang haram dan sebagai seorang yang beragama Islam adalah wajar saya memulangkan semula duit itu.
"Kami (warga emas) rasa tertipu dan memulangkan wang ini kerana tidak mahu bersubahat dan merasakan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tidak menghormati prinsip Islam dan maruah diri kami," katanya yang sangat kecewa dengan perkara berkenaan. 

Beliau yang bertugas sebagai bilal di sebuah masjid di sini berkata demikian pada satu sidang akhbar yang diadakan Paduka Ayahanda Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) cawangan Pulau Pinang, Sabaruddin Ahmad di sini hari ini. 

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang yang juga Ketua Umno bahagian Balik Pulau Datuk Dr Hilmi Yahya. 
Seorang lagi penerima, Lebar Ahmad, 69, berkata tindakan beliau dan rakan- rakannya memulangkan wang berkenaan adalah atas kerelaan hati dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak. 
"Makcik tak mau dah ambik duit macam ni (wang haram) kerana ia akan jadi darah daging dan biarlah susah daripada terima duit haram," katanya. 

Sementara itu, Sabaruddin berkata pihaknya menganjurkan majlis berkenaan bagi memudahkan warga emas di sekitar Balik Pulau menyerahkan semula wang ehsan berkenaan. 

"Majlis ini dibuat bukan atas dasar politik sebaliknya atas permintaan warga emas yang mahu memulangkan semula wang haram itu dan Pewaris juga ingin mengingatkan Ketua Menteri agar lebih peka, prihatin dan menghormati prinsip-prinsip Islam memandangkan beliau kini menjadi pemerintah dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam," katanya. 

Pada 25 Oktober lalu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dipetik sebagai berkata, beliau menerima menerima sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri dan dialamatkan kepada seorang pegawai kelab itu yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima RM500,000 baki daripada sumbangan daripada kelab itu. 

Dalam program membasmi kemiskinan yang diadakan kerajaan negeri, pengundi di negeri itu yang berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar layak menerima bantuan RM100 setahun manakala waris mereka akan menerima RM1,000 selepas kematian mereka. - BERNAMA

'Cari pakar bantu Siti Balqis'



Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2010/10/08

Terengganu prihatin gangguan misteri gadis

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia memberi bantuan termasuk menyediakan beberapa pakar perubatan Islam untuk merawat gangguan misteri dialami, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata keluarga gadis yang mengalami gangguan sejak dua bulan lalu perlu membuat permohonan secara rasmi.
"Kita bersimpati dengan masalah dihadapi Siti Balqis dan kita mempunyai beberapa orang pengamal perubatan Islam, termasuk pegawai Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang dapat membantu.

"Kita hanya mengetahui gangguan misteri dihadapi Siti Balqis menerusi pendedahan yang dibuat akhbar kumpulan The New Straits Times Press Berhad (NSTP) dan kita akan meminta kerjasama Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, mengemukakan laporan lengkap," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pejabat NSTP Terengganu di Jalan Pejabat di sini, kelmarin.

Khazan yang juga ADUN Batu Rakit meluangkan masa kira-kira satu jam melawat pejabat NSTP dan mendengar penerangan mengenai pejabat baru NSTP.

Hadir sama ialah Pengurus NSTP Cawangan, Mohd Karimi Ariffin; Ketua Biro Berita Harian Terengganu, Abdul Halim Yusof; Ketua Biro Harian Metro Wilayah Timur, Suffian Thauri Muhammed; Ketua Biro NST, Ridzwan Abdullah. 
Khazan berkata, orang ramai di eru jangan mudah percaya dengan perkara keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosak dan menyesatkan akidah.

"Seperti yang terkandung dalam al-Quran, setiap penyakit ada penawar untuk sembuh dan kita minta ahli keluarga Siti Balqis menunaikan solat hajat, berdoa serta membaca surat Yassin," katanya.

Bayi mati tragis digigit kera liar




SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berumur empat hari mati dipercayai diserang kera liar di rumahnya di Taman Happy, dekat sini, semalam. 

Bayi malang yang belum diberi nama itu ditemui keluarganya di tepi rumah dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan gigitan di badan, leher dan kepala. 

Datuk bayi berkenaan, A Valayuthum, 70, berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri dan ibu bayi terbabit berada di dalam rumah. 

“Kira-kira jam 1.15 tengah hari, saya menjaga cucu yang sedang tidur di ruang tamu, sementara isteri dan ibunya berada di dapur serta bilik air. 

“Ketika cucu tidur, saya ke dapur untuk minum air. Kemudian, anak saya, V Revathi menjerit menanyakan di mana anaknya selepas melihat bayinya tiada di ruang tamu," katanya ketika ditemui di luar bilik mayat, Hospital Tunku Jaafar (HTJ), dekat sini, semalam. 

Menurutnya, mereka sekeluarga terus mencari dan menemui bayi terbabit berhampiran pokok bunga di tepi rumah dalam keadaan berlumuran darah. 

"Kami segera membawanya ke HTJ tetapi bayi berkenaan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.

Sementara itu, bapa bayi terbabit, V Naru, 29, yang bekerja pemandu lori berkata, dia tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku. 

“Saya mengetahuinya selepas mendapat panggilan daripada isteri beberapa minit selepas kejadian. 

“Saya bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak namun dimaklumkan pihak hospital bahawa anak saya sudah meninggal dunia,” katanya. 

V Naru berkata, dia sedih kerana bayi itu adalah anak sulungnya selepas setahun mendirikan rumah tangga. 

“Anak saya baru saja dilahirkan Ahad lalu tetapi dia ‘pergi’ hari ini (semalam) sebelum sempat mendaftarkan namanya. 

“Lebih menyedihkan melihat dia ‘pergi’ dalam keadaan menyayat hati,” katanya. 

Menurutnya, terdapat sekumpulan kera liar di kawasan rumahnya di Taman Happy, dekat sini, yang sering mengganggu penduduk. 

“Sebelum ini, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) menembak mati beberapa kera tetapi sejak dua bulan ini, binatang itu masih kelihatan di kawasan ini," katanya.

Korek pasir haram

Rakus 

KUNDANG – Aktiviti mengorek pasir secara haram di Sungai Kundang dikesan di kawasan Kampung Melayu Seri Kundang dekat sini. 

Amat memeranjatkan apabila aktiviti tersebut dipercayai dilakukan sejak lapan bulan lalu seperti mendapat restu pihak berkenaan. 

Bagaimanapun tinjauan ke lokasi itu petang kelmarin mendapati, tiada sebarang aktiviti me-ngorek pasir dijalankan. 

Apa yang tinggal hanya sebuah jentera pengorek, selain long-gokan pasir yang belum diangkut. 

Keadaan sungai pula tidak terurus apabila 100 meter tebingnya runtuh. 

Penduduk, Saiful Ibrahim, 26, percaya aktiviti mengorek dihentikan seketika setelah laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat Selasa lalu. 

"Saya sudah laporkan perkara ini kepada SPRM selepas mendapati aduan kepada pihak berkenaan tidak berhasil meng-hentikannya,” dakwanya. 

Menurutnya, masalah itu sebelum ini sudah dilaporkan kepada pihak Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, tetapi keadaannya tidak berubah, sebaliknya aktiviti mengorek pasir semakin giat dijalankan. 

”Mereka berhenti mengorek selepas aduan ke pejabat tanah dibuat, tetapi dua hari kemudian, kerja mengorek dan membawa keluar pasir dijalankan semula,” dakwanya. 

Menurut Saiful dia kerugian RM15,000 apabila sayur-sayuran ditanam musnah dilenyek jentera berat termasuk lori yang keluar masuk kawasan itu. 

Katanya, sebanyak 20 lori akan keluar masuk mengangkut keluar pasir setiap hari. 

"Memang rugi besar sekarang apabila kawasan kebun saya dijadikan sebagai parkir jentera berat,” katanya. 

Sungai Kundang didakwa turut dikambus bagi memudahkan jentera berat melaluinya hingga menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Tinggal dikandang kambing


Kami tiada pilihan 
ULU LUIT - Jika diberi pilihan, tiada siapa yang akan memilih untuk hidup serba kekurangan namun apa daya buat sembilan beranak yang terpaksa menjalani kehidupan seharian dalam bekas kandang kambing sebagai tempat berteduh dan berlindung dari hujan serta panas sejak empat tahun lalu. 

Bagi Rohimi Mohamad, 32, tiada pilihan lain yang mampu beliau pilih selain bekas kandang kambing yang berusia lebih 40 tahun itu sebagai kediaman rasmi agar keluarganya dapat menjalani kehidupan seperti insan lain. 

Menurut anak kelahiran Kampung Ulu Luit itu, bekas kandang kambing berkenaan adalah di atas tanah pusaka keluarga dan diwasiatkan kepada adik bongsunya. 

“Sebelum ini saya berniaga sebagai penjaja ketika kerja membina Lebuh Raya Pantai Timur dan kemudian baru kembali ke kampung serta kini memperoleh pendapatan hasil kerja kampung seperti menebas. 

“Bukan tidak mahu tinggal bersama di rumah ibu tetapi apabila sudah berkeluarga, saya rasa lebih baik memiliki kediaman sendiri walaupun di tempat sebegini,”katanya kepada Sinar Harian. 



Tiada keperluan Aidilfitri, persekolahan 

Rohimi berkata, sebagai seorang bapa, dia sedih dan hiba apabila gagal menyediakan kelengkapan Aidilfitri termasuk pakaian raya kepada anak-anak yang pasti cemburu melihat rakan mereka bercerita mengenai kemeriahan hari lebaran. 

Menurutnya, pendapatan tidak menentu mengekang segala impian mereka sekeluarga untuk tujuan itu malah keperluan persekolahan juga tidak seperti orang lain. 

“Anak sulung berada di sebuah sekolah tahfiz di Kuantan dan kedua bersekolah di Maran manakala tiga lagi di peringkat rendah. 

“Kelengkapan sekolah anak terhad termasuk sehelai pakaian sahaja. Bukan tidak mahu membeli tetapi saya memang tidak mampu,” katanya. 



Mohon rumah dinaik taraf 

Rohimi berkata, dia mengakui tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapat bantuan rumah namun seorang rakan memaklumkan bahawa namanya disenaraikan sebagai penerima. 

Menurutnya, semakan yang dibuat di Pejabat Tanah dan Daerah Maran menunjukkan namanya tersenarai sebagai penerima bantuan berjumlah RM11,000 dari Risda bagi naik taraf rumah. 

“Bantuan ini diluluskan pada Jun lalu tetapi sehingga kini saya masih belum menerima sebarang khabar berita mengenainya. 

“Ada beberapa wakil agensi termasuk Jabatan Perangkaan dan Kemas datang meninjau rumah ini. Saya harap, ada bantuan menaik taraf agar anak-anak dapat tinggal di rumah lebih baik,” katanya. 



Peruntukan belum diserah 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Luit, Othman Abdul Rahman berkata, tiga bantuan buat Rohimi sudah diluluskan namun ia masih belum diserahkan oleh agensi berkenaan. 

Bantuan itu adalah RM11,000 dari Risda untuk naik taraf rumah, Barangan Projek Program Peningkatan Pendapatan (PPP) berjumlah RM8,000 dan top-up setiap bulan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Miskin Tegar

PM Rusia terima hadiah kalendar istimewa




SEORANG pelajar, Lena Gornostayeva menjadi model kalendar untuk bulan Mac 2011 yang dibuat istimewa untuk Vladimir Putin.


MOSCOW - Perdana Menteri Rusia, Vladmimir Putin (gambar kecil) mendapat hadiah unik hari lahir yang ke-58 daripada pelajar-pelajar Universiti State Moscow semalam.
Hadiah unik itu merupakan kalendar yang menampilkan 12 orang pelajar wanita jurusan kewartawanan universiti berkenaan bergaya dengan pakaian seksi dan tanpa memakai coli.
Kalendar 2011 itu mencetuskan bantahan di Rusia kerana ia dianggap sebagai usaha pihak pemerintah untuk meningkatkan populariti Putin.
Pelajar-pelajar itu turut menyampaikan ucapan selamat hari lahir buat Putin.
Salah seorang pelajar itu menyampaikan ucapan: "Vladimir Vladimirovich, Kami sayang anda. Selamat Hari Lahir Encik Putin."
Seorang lagi pelajar yang bergambar tanpa memakai coli menyampaikan mesej ucapan tahniah kepada Putin dan meminta beliau menghubunginya.
Bagaimanapun, terdapat pelajar-pelajar wanita itu mengkritik dasar Putin seperti pembunuhan seorang wartawan penyiasat, Anna Politkovskaya yang mati ditembak empat tahun lalu. - Agensi