Showing posts with label saudi. Show all posts
Showing posts with label saudi. Show all posts

Thursday, October 4, 2012

Kuasa polis agama Saudi dihadkan




         
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi akan mengehadkan kuasa pasukan polis agama.

Pasukan itu selama ini bertanggungjawab memastikan peraturan berkait dengan moral ajaran Islam dipatuhi di negara itu tetapi sering dituduh melanggar kuasa yang ada pada mereka. “Sistem baru itu akan mewujudkan mekanisme untuk tugas anggota pasukan. Beberapa tugas khusus mereka seperti penangkapan dan soal siasat akan diserahkan kepada badan lain,” lapor akhbar al-Hayat yang memetik kenyataan ketua pasukan itu, Sheikh Abdullatiff Abdel Aziz Al Sheikh.


Anggota pasukan itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Amal Makruf Nahi Mungkar juga akan dilarang melakukan operasi tanpa mendapat kebenaran gabenor, kata Abdullatiff.

Sementara itu, akhbar Okaz melaporkan, anggota pasukan berkenaan akan dilarang berdiri di pintu masuk pusat beli-belah untuk menyekat kemasukan orang tertentu.


Ia merujuk kepada cubaan anggota terbabit untuk menghalang wanita berpakaian yang bertentangan dengan kod pakaian Islam atau pasangan yang tidak berkahwin daripada memasuki pusat beli belah itu.


Abdullatiff yang berfahaman sederhana dilantik mengetuai pasukan itu pada Januari lalu. - AFP

Tuesday, April 12, 2011

Wanita Saudi tuntut hak mengundi


JEDDAH: Sekumpulan wanita Arab Saudi semalam melancarkan laman web untuk berkempen supaya golongan itu diberi hak mengundi dalam pilihan raya majlis perbandaran.
Usaha yang dipanggil ‘Baladi’ itu menarik lebih 2,000 wanita.

Penganjur berkata kempen itu dijalankan oleh golongan wanita dan mempunyai penyokong dari pelbagai tempat berbeza di negara itu.

Mereka mahu supaya wanita dibenarkan mengambil bahagian dalam perkhidmatan majlis perbandaran memandangkan mereka juga memainkan peranan dalam masyarakat.

Kempen menekankan peranan penting dalam pentadbiran yang diberikan kepada wanita dan pencapaian wanita Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

Menurut penganjur, wanita sudah menjawat jawatan penting dan patut dibenarkan mengundi. “Wanita kini sudah melangkaui peranan tradisionalnya dan mampu memimpin masyarakat. Pencapaian mereka perlu dipertahankan,” menurut kenyataan kempen itu. - AP