Thursday, April 23, 2015

Pas Pmtg Pauh Tidak Hirau Arahan Mat Sabu, Patuh Kepada Presiden


Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 11:24 AM

BUTTERWORTH: PAS Permatang Pauh hanya akan menunggu arahan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung gerak kerja bahagian itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Yang Dipertuanya Omar Hassan berkata, kawasan itu tidak akan mengambil kira pandangan atau arahan sama ada daripada Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu, ataupun pengarah pilihan raya PAS untuk PRK berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
"PAS Permatang Pauh hanya akan dengar arahan dan akur kepada tuan guru presiden.
"Kami tak mahu ambil kira pandangan dia (Mujahid) sebab mereka tak ketemu dengan kami. (Sebelum beri pandangan)...dia kena turun jumpa kami baru dapat maklumat (tentang sentimen akar umbi)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PAS Permatang Pauh di Dewan Masjid Seberang Jaya, di sini Rabu malam.
Omar juga berkata, PAS Permatang Pauh masih berpegang kepada keputusan mesyuarat agung bahagian itu 19 April lepas supaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik balik kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.
Omar berkata, sebagai seorang yang beragama Islam, Wan Azizah harus menyokong undang-undang itu, dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.
"Kami sekali lagi meminta Wan Azizah tarik balik kenyataan tak sokong hudud dan mohon maaf kepada umat Islam di seluruh negara...sebab kenyataan itu  mengguriskan (hati umat Islam)," katanya.
Pada mesyuarat agung kawasan yang lepas, PAS Permatang Pauh menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada PRK kali ini.
Mereka turut memberi tempoh sehingga hari penamaan calon, 25 April ini, atau berdepan dengan risiko tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada PAS Permatang Pauh.
Sementara itu, Ketua Penerangan kawasan Jamsari Samad berkata, sukar bagi mereka untuk bekerjasama dengan PKR sekiranya terus berlaku percanggahan pendapat tentang hudud, kerana ia akan menyukarkan pihaknya memberi penerangan kepada pengundi beragama Islam sewaktu tempoh berkempen.
"Bila kami turun berkempen untuk dia (PKR), sudah tentu kesukaran itu akan berbalik kepada PAS sendiri," katanya.
Ditanya mengenai keputusan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang semalam bahawa pergerakan itu sanggup mengetepikan persengketaan sementara bagi menumpukan kepada PRK kali ini, Omar berkata PAS Permatang Pauh hanya akan menerima permohonan maaf Dapsy Pulau Pinang kepada Abdul Hadi.
"Kalau dia hormati presiden, dan turut membuat permohonan maaf, maka kami juga tidak akan ada masalah," katanya.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei.

Taliban isytihar kempen serangan baru


Kabul: Taliban Afghanistan semalam mengumumkan permulaan serangan tahunan yang dibuat setiap musim bunga selain memberi amaran akan meningkatkan serangan terhadap kedutaan asing dan pegawai kerajaan serta pihak tentera.
“Jika penjajah asing benar-benar mahu mengasingkan diri daripada pertempuran di sini, mereka sewajarnya harus meninggalkan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan militan Islam itu menentang kerajaan Afghanistan serta negara luar yang menyokong usaha itu sejak digulingkan oleh tentera yang dibantu Amerika Syarikat (AS) pada 2001.
Taliban meningkatkan operasi ketenteraan sebaik cuaca panas bermula kerana memudahkan pemindahan pejuang dan senjata.
Serangan tahun ini digelar ‘Azm’ yang bermaksud ‘azam’ - tidak jauh berbeza dengan operasi dipilih NATO, ‘Resolute Support’ selama dua tahun yang bermula Januari lalu.
Taliban tidak merujuk kepada proses kedamaian yang sedang dibincangkan dan dijual bermula tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pegawai tempatan dan asing menganggap tiada lagi ruang untuk berbincang malah meramalkan ‘musim perang’ terbaru ini mungkin yang paling buruk.
Tahun lalu, 10,000 orang awam maut atau cedera dalam konflik dengan Taliban - dianggap paling teruk membabitkan orang awam sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula merekodkan mangsa konflik di negara itu. - Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45670#sthash.aG20eh9Q.dpuf

Dron atas bumbung pejabat PM Jepun

Dron atas bumbung pejabat PM Jepun
Polis dan pegawai keselamatan menyiasat dron tidak dikenali yang membawa kamera kecil serta ditanda dengan tanda radioaktif. - Foto Reuters

TOKYO - JEPUN. Sebuah dron membawa kamera kecil dan botol air serta ditandakan dengan isyarat radioaktif ditemui di atas bumbung pejabat Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, semalam.

Menerusi rakaman udara stesen televisyen NHK di tempat kejadian menunjukkan, dron ditutupi dengan plastik biru dan puluhan anggota polis juga dapat dilihat mengelilingi objek berkenaan.

"Polis mendapati tahap radiasi adalah rendah dan tidak berbahaya kepada manusia. Skuad bom juga telah dipanggil untuk menguruskan dron itu," menurut stesen TV sambil memberitahu objek berdiameter kira-kira 50 sentimeter ditemui seorang pegawai di pejabat terbabit.

Ketika ini, Abe berada di Indonesia untuk menghadiri sidang kemuncak Asia-Afrika, dan pegawainya bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu.

Dalam perkembangan lain, mahkamah Jepun menolak permintaan penduduk bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang reaktor nuklear berhampiran gunung berapi di selatan negara yang masih aktif daripada dihidupkan semula.

Keputusan Mahkamah Daerah Kagoshima dibuat selepas Kyushu Electric Power Co bercadang untuk mengaktifkan kembali Stesen Kuasa Nuklear Sendai terletak 1,000 kilometer di barat daya Tokyo, Julai depan.

Kedua-dua unit itu akan menjadi yang pertama di kalangan 48 reaktor Jepun yang akan dihidupkan kembali selepas kemalangan nuklear terburuk negara empat tahun lalu.  - Reuters

Negara ini sudah buat silap, kata Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia sudah melakukan kesilapan apabila memulakan pembangunan negara dengan ekonomi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, ini kerana negara ini sepatutnya memulakan pembangunan  dengan pembangunan modal insan terlebih dahulu.

"Saya melihat kesilapan negara dalam dunia hari ini. Mereka jelas mengamalkan prinsip yang bertentangan dengan Islam. Mereka memulakan pembangunan negara dengan wang dan ekonomi terlebih dahulu.

“… Islam pula memulakan pembangunan menerusi pembangunan modal insan dan akhlak. Menerusi pembangunan insan itu, ilmu, akhlak serta moralnya dibentuk. Jika ada ilmu sahaja tetapi tidak ada akhlak, maka ia tidak akan berjaya,” katanya dalam Bicara Minda dan Sesi Dialog Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di sini, hari ini.

Menyentuh soal hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar pula, beliau berkata, Malaysia sepatutnya lebih banyak memainkan peranan dalam mengenalkan dan menyebarkan agama Islam kepada pihak asing.

“Dalam undang-undang antarabangsa Islam, Islam membenarkan kita mengadakan hubungan diplomatik dengan syarikat asing.

“… Untuk apa tujuannya? Untuk menyampaikan mesej bahawa Islam boleh diterima dalam masyarakat. Sebab itulah kita tidak pernah dengar negara China memerangi Islam.

"...kerana hubungan diplomatiknya dijaga dengan baik dan Islam didedahkan kepada masyarakat China dengan baik sekali,” katanya lagi.