Monday, November 22, 2010

Angkasa nafi dakwaan penyelewengan RM6.4 juta





2010/11/22

PETALING JAYA: Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum, hari ini menafikan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan wang sebanyak RM6.4 juta oleh lapan anggota Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa. 

Beliau menyifatkan dakwaan oleh Pengerusi Rangkaian Sahabat Dungun (Kerabat), Datuk Seri Noor Zainan Zainul, itu sebagai tidak berasas dan dilakukan tanpa usul periksa serta bertujuan mencemar nama baik Angkasa.
"Kenyataan yang dibuat ini mempunyai motif jahat, tohmahan palsu tanpa usul periksa dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita di Wisma Ungku Aziz di sini.
Menurut laporan media, Noor Zainan dan Pengerusi Koperasi Ukhwah Mustapa Kamal Maulut telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan itu. 

Mohd Ali berkata, antara 27 pertuduhan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 17 November lalu ialah kononnya Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa menggunakan wang atau elaun tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung tahunan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

"Mustahil kita akan mendapat wang atau elaun tanpa kelulusan SKM dan mesyuarat, dan semua bukti yang melibatkan pengeluaran masuk wang disimpan sebaiknya sekiranya kes seumpama ini berlaku," katanya. 

Mohd Ali berkata, dakwaan lain yang telah dibuat adalah mengenai elaun tahunan tetap sebanyak RM300,000 pada setiap anggota jawatankuasa itu selain menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi persidangan kebangsaan tahunan yang sepatutnya hanya RM1.5 juta. 
Beliau menjelaskan bahawa setiap elaun yang diterima oleh anggota jawatankuasa itu adalah mengikut kerja dan peranan yang dimainkan dalam Angkasa. 

"Tidak ada elaun tetap seperti yang didakwa," katanya. 

Mohd Ali berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta yang digunakan pada persidangan itu telah mendapat kelulusan SKM dan tidak wajar perkara itu dipersoalkan. 

Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada Noor Zainan dan Mustapa, beliau berkata mereka telah dilucutkan hak untuk menyertai mana-mana persidangan kebangsaan, negeri atau mesyuarat Angkasa masing-masing selama tempoh tiga dan lima tahun bermula dari 25 Ogos. - BERNAMA

Polis ambil keterangan keluarga tiga lelaki ditembak selepas rompakan

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga dua daripada tiga lelaki yang mati ditembak selepas disyaki selesai merompak sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam, 13 Nov lalulepas.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegam berkata, proses mengambil keterangan termasuk merakam percakapan ini adalah prosedur biasa bagi mana-mana laporan polis yang dibuat termasuk oleh keluarga mangsa.

"Mereka berhak membuat laporan polis dan kita akan mengambil tindakan menggunakan prosedur.

"Kertas siasatan akan dibuka dan selepas itu kita akan merakam percakapan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan motosikal ''First Response By Motobike In Hot Spot" kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Dua hari lalu, ahli keluarga dua suspek membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya yang antara lain menuntut supaya kerajaan dan Polis Diraja Malaysia membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa.

Dalam laporan itu, mereka meragui tindakan polis menembak mati remaja terbabit kerana mahu mempertahankan diri dan meminta kes itu disiasat.

Dalam kejadian itu, tiga penjenayah dipercayai anggota "Geng Minyak" ditembak mati di Jalan Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam, selepas selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1.

Thaiveegam memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Terdahulu di majlis itu beliau mengagihkan 89 motosikal untuk kegunaan 10 balai polis di kawasan tumpuan utama di Selangor.-Bernama

ASP- Aku Seorang Perompak


ASP didakwa rompak juruteknologi perubatan
KUALA LUMPUR -- Seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hari ini atas tuduhan merompak seorang juruteknologi perubatan, tahun lepas.

ASP Che Anua Che Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit, kesemua bernilai RM10,000, milik Ahmad Shabri Mohd Halami, 29.

Che Anua, dari Seri Gombak di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Che Anua, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarganya. "Saya tidak mempunyai wang yang banyak kerana isteri tidak bekerja dan saya perlu menanggung empat anak di samping membiayai rawatan di Institut Jantung Negara bagi mengubati penyakit jantung yang saya hidapi," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes. -- BERNAMA

Tak selamat



Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Penduduk Taman Klebang Damai bimbang kawasan jadi tumpuan jenayah 

IPOH: Seramai 142 penduduk di Taman Klebang Damai, dekat sini, bimbang apabila kawasan perumahan mereka menjadi tumpuan kegiatan jenayah termasuk pecah rumah dan samun.
Masalah itu bukan perkara baru yang dihadapi oleh penduduk perumahan berkenaan, malah sebelum mereka berpindah, kecurian sudah berlaku membabitkan kira-kira 60 unit meter air yang ditempatkan di luar pagar kediaman.
Malah, hampir kesemua penutup besi saliran bawah tanah turut dicuri dan meninggalkan lubang yang membahayakan penunggang motosikal. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kediaman mendapati kerja pemasangan penutup saliran sedang giat dijalankan. 

Penduduk mendakwa ada laluan khas atau jalan tikus, iaitu jalan tanah merah melalu ladang kelapa sawit berhampiran kawasan perumahan itu bagi penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka. 

Presiden Persatuan Penduduk Taman Klebang Damai, Burhannuddin Zainal, 40, berkata masalah itu berpunca daripada ketiadaan pagar bagi menghalang jalan tikus. 
“Sebelum kami berpindah ke sini, pemaju menjanjikan untuk membina pagar di sekeliling kawasan perumahan ini untuk keselamatan selain menyediakan pengawal keselamatan untuk keselesaan penduduk. 

“Namun, selepas lebih setahun janji itu ternyata palsu dan sistem keselamatan yang disediakan oleh pemaju seperti melepaskan batuk di tangga saja,” katanya kepada Berita Harian, di sini, baru-baru ini. 

Burhannuddin berkata, kerjasama daripada pasukan polis amat baik kerana sejak dilaporkan berhubung kejadian kecurian, mereka sering melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan. 

Beliau berkata, masalah itu masih tidak akan selesai jika hanya bergantung kepada rondaan polis saja sedangkan sistem keselamatan termasuk pagar yang sepatutnya disediakan oleh pemaju tidak dipenuhi. 

Seorang mangsa kecurian di kawasan perumahan itu, Lokman Idris, 36, berkata rumahnya dipecah masuk beberapa bulan yang lalu menyebabkan kerugian lebih RM6,000. 

Kejadian itu berlaku sewaktu beliau dan keluarga pulang bercuti di kampung. 

“Pencuri itu masuk ke rumah saya melalui tingkap di sebelah depan rumah dan turut mengumpil gril tingkap. 

“Barang yang dicuri termasuk barang kemas, tabung wang anak dan beberapa lagi barang lain,” katanya. 

Beliau yang juga kakitangan swasta berharap agar pemaju segera membina pagar di sekeliling kawasan perumahan itu untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Jalan berlubang



Oleh Togi Marzuki 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Laluan 4km rosak teruk sukarkan penduduk pasar hasil tani 

PONTIAN: Kira-kira 100 pekebun di Jalan G.S.A. 3 Parit Mohayat Mukim Ayer Baloi, dekat sini, dihimpit keresahan kerana jalan sejauh empat kilometer yang menjadi laluan penting mengangkut hasil pertanian rosak teruk menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat kelewatan memasarkan produk masing-masing.
Jalan yang difahamkan dibina lima tahun lalu kini berlubang dan tidak rata. Lebih memeritkan mereka terpaksa membiayai sendiri kos membaiki jalan bagi memudahkan aktiviti harian mengeluarkan hasil pertanian dan kerja lain yang berkaitan.
Mereka mendakwa, jika jalan berkenaan tidak diperbaiki segera, ia akan menjejaskan pendapatan petani untuk menyara keluarga kerana kawasan berkenaan dipenuhi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, nanas, jagung dan sayur-sayuran. 

Pekebun, Arifin Othman,70, berkata, beliau mengalami kerugian kerana hasil tanamannya khususnya kelapa sawit tidak dapat dijual sepenuhnya akibat kegagalan kenderaan pengangkut sawit untuk memasuki jalan berkenaan. 

Katanya, keadaan jalan yang rosak itu menyebabkan kenderaan sama ada pengangkut kelapa sawit atau pelbagai hasil pertanian terbenam dan terkandas khususnya apabila musim hujan sekali gus menggagalkan pelbagai hasil pertanian untuk dipasarkan. 

“Akibat kejadian itu, semua petani mengeluh dan resah kerana hasil tani yang diharapkan sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga terjejas dan tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian seperti yang diharapkan,” katanya. 
Sehubungan itu, Ketua UMNO Cawangan Parit Mohayat, Samid Sipin, 56, berkata, beliau berharap keluhan pekebun di kawasan berkenaan didengar. 
Beliau berkata, pelbagai usaha dibuat, khususnya memperbaiki dan menampal lopak jalan dengan batu kasar yang dibiayai secara berkongsi dengan pekebun lain. 

“Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil apabila hujan, air akan bertakung di sana-sini manakala tambakan batu kasar yang diharapkan memberi keselesaan akan rosak dan tidak dapat menampung berat lori yang melaluinya. 

“Kita tidak boleh menyalahkan apa jua jenis kenderaan besar atau kecil yang mengangkut hasil tani, hanya cara itu saja hasil dapat dikeluarkan melalui jalan berkenaan untuk dipasarkan. 

“Kami minta jasa baik pihak yang berkenaan agar jalan yang menjadi laluan utama khususnya untuk mengeluarkan hasil pertanian diperbaiki dan dibaik pulih supaya para pekebun dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selesa dan mengeluarkan hasil melalui jalan berkenaan,” katanya. 

Ketua Kampung Parit Baru Kawasan 6, Mukim Ayer Baloi, Mohamad Samingon, 58, pula berkata, akibat masalah berkenaan pelbagai hasil tani tidak dapat dipasarkan kerana ada kalanya kenderaan pengangkut hasil tani enggan memasuki jalan berkenaan dibimbangi kenderaan terbenam dan terkandas. 

“Saya sangat simpati kepada pekebun dan petani yang terbabit, khususnya yang semata-semata bergantung hidup melalui hasil pertanian menyara keluarga. 

“Walaupun pekebun yang terbabit pernah berusaha dengan pembiayaan secara berkongsi untuk membaiki sendiri jalan yang rosak itu, namun jalan itu tidak bertahan lama dan memerlukan modal yang begitu besar,” katanya.

Macam rumah setinggan



Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my
2010/11/22

80 keluarga tentera Pangsapuri Taman Taming Sari 2 hadapi krisis air serius 

SUNGAI UDANG: Kehidupan 80 keluarga tentera yang mendiami Pangsapuri Taman Taming Sari 2 di Blok 2, sudah tidak sama seperti dulu kerana mereka kini hidup dalam kesukaran, gara-gara berdepan krisis air serius yang sudah berlarutan kira-kira dua bulan.
Masalahnya berpunca daripada pam air utama yang sudah rosak tetapi sehingga kini tidak diperbaiki pihak terbabit. Bagi mendapatkan kemudahan asas dan penting itu, mereka kini terpaksa mengangkut sendiri air dari tingkat bawah, selain berkongsi membeli pam kecil.
Sudah banyak kali aduan dibuat, tetapi sehingga ini ia amat mendukacitakan kerana seolah-olah tidak dipedulikan apabila tiada sebarang maklum balas diterima. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kediaman ini, susulan menerima aduan mendapati masalah ketiadaan air di semua unit pangsapuri skim Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) itu adalah serius dan perlu diatasi segera. 

Kerosakan pam utama itu menyebabkan bekalan air tidak dapat dipam terus ke rumah penghuni, sekali gus memaksa mereka mencari jalan dengan menggunakan berpuluh pam kecil dibeli secara berkongsi untuk menyedut air ke tangki plastik yang diletak sementara di setiap aras sebelum dialirkan ke kediaman masing-masing. 

Semua unit kediaman bermula di aras satu hingga empat dikesan memasang salur getah dari beberapa tangki plastik yang ditempatkan sementara, sebelum airnya disalurkan ke setiap rumah. 
Pemasangan salur paip itu menyebabkan kawasan lantai koridor dan tangga pangsapuri berkenaan sentiasa basah dan dipenuhi air yang melimpah, sekali gus mendatangkan bahaya kepada penghuninya. 

Penduduk, Mohd Sofi Hasim, 26, mengakui masalah kerosakan pam utama itu menjejaskan rutin harian keluarga di pangsapuri berkenaan membabitkan anggota tentera di Kem Terendak, di sini. 

"Dulu, sebelum berkongsi membeli pam kecil ini, kami terpaksa pulang ketika rehat tengahari untuk membantu isteri mengangkut air menggunakan baldi. Perkara sama terpaksa dilakukan selepas pam kecil itu dipasang. 

"Saluran getah yang berselirat di semua aras menyebabkan air membasahi lantai dan dinding. Keadaan ini perlu diawasi supaya kemungkinan penghuni terkena renjatan elektrik dapat dielak ketika mengangkut air," katanya. 

Mohd Sofi berkata, aduan kerosakan pam itu sudah dimaklumkan kepada bahagian logistik di Kem Terendak, tetapi kerja pembaikan yang dilakukan bersifat sementara dan gagal menyelesaikan masalah. 

Mohd Khairul Mustafa, 29, pula berkata, beliau bersama isteri dan anaknya sudah tiga tahun mengalami kesulitan bekalan air berpunca daripada kegagalan pihak penyelenggaraan melakukan pembaikan pam utama itu. 

Katanya, masalah penduduk itu sudah diketahui pegawai pemerintah Tentera Darat di Kem Terendak yang membenarkan mereka meminjam sementara hos bomba dari kem untuk mengepam air daripada tangki besar di bawah pangsapuri berkenaan. 

"Kami terpaksa meminta bantuan beberapa rakan daripada kor jurutera untuk memasang sistem paip yang mirip rumah setinggan selepas tidak tahan mengangkut air menggunakan baldi," katanya. 

Seorang lagi penduduk, Izzat Abdullah, 29, berkata, hos bomba yang dipinjam dari kem itu terpaksa dipulangkan semula Isnin ini selepas terlalu lama digunakan di situ. 

"Selepas hos bomba itu dipulangkan semula, kami tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bekalan air, malah pemeriksaan juga mendapati struktur tangki di atas bumbung pangsapuri ini sudah disahkan retak dan tidak selamat digunakan untuk menakung air," katanya.

Ikan sungai kian pupus



Oleh Kandau Sidi
kandau@bharian.com.my
2010/11/22

Perbuatan menuba guna renjatan elektrik di perairan Ulu Baram perlu dibanteras 

MIRI: Renjatan elektrik yang dihasilkan bateri 12 voltan dikenal pasti punca kemusnahan hidupan akuatik di kebanyakan sungai di Ulu Baram, utara Sarawak.
Peralatan yang diharamkan itu mula diperkenalkan oleh warga negara asing yang bekerja di kem pembalakan, kuari dan ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.
Selepas itu kaedah sama menjadi ikutan penduduk tempatan, sekali gus menyebabkan kemusnahan serius terhadap hidupan sungai di kawasan Ulu Baram. 

Ikan semah, sebarau, tengas, kelah, labi-labi, haruan, tegalan dan pelbagai jenis spesies hidupan akuatik lain antara yang sering jadi sasaran. 

Seorang penduduk di Baram yang hanya mahu dikenali sebagai Balan berkata, sebelum ini penggunaan bom ‘kuari’ agak popular bagi menangkap ikan di Baram, tetapi sekarang mereka bertukar kepada penggunaan renjatan elektrik menggunakan bateri berkuasa 12 voltan. 

Katanya, ia disebabkan bom yang dipercayai dibekalkan pekerja batu kuari sukar diperoleh dan penggunaannya amat berbahaya, berbanding renjatan elektrik. 
“Sekarang kaedah menangkap ikan menggunakan bateri 12 voltan amat popular di ulu Baram dan menjadi antara pemusnah utama ekosistem sungai di situ. 

“Ikan boleh ditangkap dengan mudah dalam tempoh masa singkat menggunakan renjatan elektrik,” katanya kepada Berita Harian. 

Semua hidupan sungai sama ada besar atau kecil yang terkena renjatan elektrik akan mati, sekali gus memudahkan ia dikutip menggunakan jaring,” katanya kepada Berita Harian. 

Ciptaan peralatan renjatan elektrik menggunakan bateri 12 voltan yang diperkenalkan warga asing itu amat ringkas. 

Mereka cuma memerlukan bateri kenderaan atau motosikal 12 voltan, gelungan wayar elektrik, kayu, jaring dan komponen elektrik. 

Komponen elektrik utama itu berfungsi menjanakan kuasa elektrik daripada bateri 12 voltan sehingga mencapai kekuatan 200 voltan. 

Difahamkan ada warga asing begitu berani menawarkan khidmat mencipta dan menjual peralatan itu dengan harga sekitar RM300 hingga RM500 seunit kepada penduduk tempatan yang berminat membelinya. 

Balan yang bimbang dengan kemusnahan ekosistem sungai di Baram berikutan penggunaan alat itu mahu tindakan tegas diambil bagi menangani masalah berkenaan.

Rumah arak diroboh



Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/11/22

 Kawasan  tiga ekar yang dipenuhi semak dan  bangunan usang  menjadi tempat maksiat.
Kawasan tiga ekar yang dipenuhi semak dan bangunan usang menjadi tempat maksiat.
Penduduk lega bangunan lama Pantai Teluk Lipat dimusnah 

DUNGUN: Warga bandar ini berasa lega apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak merobohkan dua bangunan usang berhampiran Pantai Teluk Lipat yang dijadikan tempat aktiviti tidak bermoral selain mencemar pandangan kawasan pelancongan di pantai itu.
Bangunan terbiar lebih 20 tahun itu dikenali penduduk dengan panggilan 'bangunan kebal' kerana tiada sebarang tindakan diambil walaupun diketahui umum ia tempat kegiatan tidak bermoral sejak sekian lama sehingga menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Dibangunkan sekitar tahun 60-an atas tanah seluas 1.2 hektar, bangunan itu pernah dijadikan kuarters jabatan kerajaan sebelum dibiarkan kosong sejak 20 tahun lalu sehingga Majlis Perbandaran Dungun (MPD) merobohkannya baru-baru ini. 

Tinjauan Edisi Timur sebelum ini mendapati sekitar kawasan bangunan itu semak dan gelap menjadikannya sebagai lokasi selamat kepada kaki botol melepaskan ketagihan alkohol selain tempat aktiviti maksiat pasangan kekasih gelap. 

Seorang peniaga kedai makan berhampiran bangunan itu, Shazali Mat Noor, 40, berkata kawasan bangunan itu yang penuh semak samun mencacatkan keindahan persekitaran pantai Teluk Lipat yang tersohor di kalangan pelancong tempatan dan luar. 

“Saya pernah beberapa kali terserempak dengan kumpulan anak muda sedang dalam keadaan mabuk dan berasmara dengan pasangan masing-masing di kawasan berkenaan," katanya. 
Seorang pengunjung, Borhan Harun, 54, berkata beliau difahamkan MPD bercadang membangun sebuah dataran pelancongan bagi mengubah persekitaran bangunan usang itu sekali gus menaikkan lagi imej Pantai Teluk Lipat yang sudah terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negeri. 

"Langkah itu tepat pada masanya kerana boleh menarik lebih ramai pengunjung ke pantai ini kerana kedudukannya hanya lima minit perjalanan dari bandar Dungun," katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua MPD, Zainal Abidin Hussin, berkata dua bangunan terbiar itu adalah milik Kerajaan Pusat, manakala tapak bangunan seluas 1.2 hektar miliki kerajaan negeri. 

Katanya, pihaknya merobohkan bangunan usang itu bagi membolehkan kawasan tanah tapak bangunan itu seluas 1.2 hektar dimajukan dengan projek pembinaan dataran pelancongan yang dikenali Dataran Teluk Lipat mengikut Pelan Induk Landskap MPD. 

“Dataran itu akan dilengkapi dengan kiosk untuk disewa kepada peniaga, kemudahan pelancongan termasuk ruang tempat letak bas yang dapat memuatkan 10 bas pelancongan di samping kemudahan asas lain untuk pelancong," katanya.

Siasat pondok kuning




KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) sedang melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan penduduk sekitar mengenai kewujudan sebuah pondok berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.

Berdasarkan dakwaan ia dijadikan tempat pemujaan, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd Ab Aziz Mohd Nor, berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan sebelum sebarang tindakan dapat diambil. 

“Walaupun masih tiada arahan daripada pihak pendakwaan, secara tidak langsung kita telah mengarahkan Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat untuk melakukan siasatan mengenai perkara tersebut. 

“Kita sedang membuat pemantauan serius mengenai perkara itu dan sedang mengumpulkan maklumat yang lengkap sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” katanya. 

Menurutnya, jika terdapat bukti mengenai wujudnya aktiviti tidak sihat seperti yang didakwa, pihaknya tidak akan teragak-agak merobohkan binaan pada kubur tersebut serta mengenakan tindakan kepada sesiapa yang terlibat. 

“Sekiranya pihak kami mendapat bukti mengenai wujudnya aktiviti pemujaan, bukan sahaja bomoh atau pawang tetapi pengunjung yang datang untuk melakukan aktiviti tersebut turut akan ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang. 

“Mereka akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Majlis Agama Islam Bilangan 4 1994, Seksyen 127 kerana melakukan aktiviti pemujaan dan boleh didenda RM4,000 atau dipenjara selama dua tahun,” katanya. 

Semalam, tanah perkuburan tersebut bagaimanapun didapati tiada sebarang pengunjung dan binaan seperti pondok beratap nipah, pagar, lantai jubin dan payung masih terdapat pada kubur tersebut.

Bicara kes kematian Aminulrasyid ditangguh esok



22/11/2010 10:53am

SHAH ALAM 22 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes seorang koperal polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan ketika remaja itu sedang memandu kereta di Seksyen 11 di sini, April lepas.
Hakim Latifah Mohd Tahar membuat penangguhan itu selepas peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain Subi memaklumkan bahawa seorang lagi peguam bela tertuduh, M. Athimulan perlu menghadiri perbicaraan kes lain di Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi hadir menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani.

Mahkamah sepatutnya menetapkan hari ini untuk pihak pembelaan menyoal balas saksi ke-25 pendakwaan, Cif Ins Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan penyiasat tempat kejadian.

Jenain, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Pondok kuning akan diroboh




KERATAN Kosmo! Ahad semalam.


KOTA BHARU – Binaan pondok berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, dekat sini akan dirobohkan jika siasatan membuktikan ia disalahgunakan untuk tujuan pemujaan.
Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Ab. Aziz Mohd. Nor berkata, setakat ini pihaknya telah mengarahkan Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat supaya melakukan siasatan tersebut secara terperinci.
Beliau berkata, sekiranya siasatan membuktikan bahawa dakwaan tersebut benar, pihak pendakwaan JHEAIK akan mengeluarkan arahan rasmi supaya pondok tersebut dirobohkan.
Menurutnya, mereka boleh didakwa di bawah Enakmen Majlis Agama Islam Bilangan 4 1994, Seksyen 127 iaitu melakukan aktiviti pemujaan.
Jika didapati bersalah, pihak terbabit boleh didenda RM4,000 atau dipenjara selama dua tahun.
“Jika terbukti wujud aktiviti tidak sihat seperti yang didakwa, kami akan merobohkan binaan tersebut serta-merta selain mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat,’’ katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Raja Abdullah berangkat ke AS dapatkan rawatan




RAJA ABDULLAH (berkerusi roda) tiba di istananya di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat lalu.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah akan berangkat ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan bagi merawat penyakit sakit belakangnya.
Raja Abdullah yang berusia 86 tahun berlepas hari ini, selepas Putera Mahkota, Sultan bin Abdul Aziz kembali ke Riyadh dari istananya di Agadir, Maghribi, semalam. Putera Mahkota itu dikatakan menghabiskan masa untuk berehat selama 12 minggu di Agadir.
Pada 12 November lalu, Dewan Diraja memberitahu bahawa Raja Abdullah mengalami masalah sakit belakang yang serius tetapi ia boleh dirawat.
Pada Jumaat lalu, baginda menjalani ujian di hospital King Faisal di Riyadh selepas mengadu sakit belakang.
Laporan rasmi menyatakan baginda berasa sakit berikutan masalah pengumpulan darah di sekeliling saraf tunjangnya.
Raja Abdullah yang memerintah Arab Saudi sejak tahun 2005 mula memperlahakan aktivitinya mulai Jun tahun ini berikutan masalah-masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.
Lawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang tidak pernah diumumkan secara rasmi berakhir dengan satu panggilan telefon melibatkan kedua-dua pemimpin terbabit. Sementara itu, pertemuan antara Raja Abdullah dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy telah dibatalkan sebanyak dua kali pada tahun ini. - AFP

Roboh gerai tidak patut berlaku





KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan sebuah gerai di Desa Pandan di sini yang didakwa tanpa sebarang notis sangat dikesali.
Malah, Pengerusi Sekretariat Peniaga dan Penjaja Kecil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusof (gambar) menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, perkara itu seharusnya dibawa ke pengetahuan semua pihak yang berkaitan terlebih untuk dibincangkan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Ini tidak... saya diberitahu, tanpa sebarang perundingan, tiba-tiba dirobohkan, sudah tentu ia akan menyusahkan peniaga itu yang hanya bergantung hidup dengan perniagaannya.
“Kita sudah banyak kali berpesan supaya jangan merobohkan mana-mana gerai sesuka hati sebelum diadakan sebarang perbincangan.
“Saya sangat kecewa apabila mengetahuinya, kerana sepatutnya perkara seperti ini boleh dibawa berunding,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas tindakan pihak berkuasa tempatan itu merobohkan sebuah gerai milik Md. Isa Kasmuri tanpa notis dan tanpa kehadiran pemiliknya baru-baru ini.
Dia yang sudah lebih 15 tahun berniaga di situ dikatakan melanggar had ukuran yang ditetapkan oleh DBKL sebanyak 12 kaki sahaja tetapi seluruh gerainya dirobohkan.
Mustapa Kamal yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandar Raya Kuala Lumpur berkata, dalam kes seperti itu, penyerahan notis sangat penting supaya peniaga tahu tindakan akan diambil dan boleh membuat persiapan sewajarnya.
Katanya, apabila tindakan roboh sudah dilakukan, peniaga tersebut sudah tentu mengalami kepayahan dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
“Kita akan meneliti mengapa perkara ini terjadi kerana sudah banyak kali diingatkan supaya jangan robohkan gerai tanpa melalui berbincang terlebih dahulu,” katanya.

Hanya 1.16% tanah milik Melayu



Bangunan Perodua yang turut berpindah milik ini terletak di Jalan Dato' Keramat, Georgetown.


DAERAH Timur Laut merupakan kawasan yang paling pesat membangun di negeri Pulau Pinang. Ia kini muncul sebagai pusat komersial terbesar di negeri itu sekali gus menyaksikan kaum Cina menumpu di daerah tersebut.
Penumpuan kaum Cina di kawasan bandar yang kini meliputi hampir seluruh daerah itu bermula sejak kedatangan Francis Light pada 1786 yang mana beliau bertanggungjawab membawa masuk banyak imigran dari China.
Kesannya adalah apa yang kita lihat sekarang iaitu daerah Timur Laut kini mempunyai penduduk majoriti Cina.
Perkembangan itu memperlihatkan kaum Melayu yang telah ada di pulau tersebut 'ditolak' ke kawasan yang lebih jauh dari pesisir pantai Timur Laut. Ini menyebabkan banyak kaum Melayu menumpu ke kawasan Barat Daya yang mana Balik Pulau merupakan salah satu kawasan majoriti berpenduduk Melayu.
Situasi tersebut sekali gus menjawab kenapa kaum Melayu hampir tidak memiliki tanah di daerah Timur Laut.
Ini dibuktikan dengan statistik terkini yang menunjukkan hanya 1.16 peratus kaum Melayu memiliki tanah di daerah tersebut, berbanding kaum bukan Melayu sebanyak 19.84 peratus. Peratusan lain tanah dimiliki oleh syarikat, agensi dan kerajaan negeri.
Faktor yang menyebabkan kaum Melayu kurang mampu memiliki tanah di daerah tersebut adalah kerana harga tanah yang terlalu tinggi. Jika ada pun kaum Melayu memiliki tanah yang 'sekangkang kera' itu, ia adalah tanah yang diwarisi daripada datuk dan nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu.
Untuk memiliki tanah baru adalah mustahil bagi kaum Melayu Pulau Pinang memandangkan ada tanah terutama di Georgetown berharga RM400 sekaki persegi.
Ini menyebabkan kaum Melayu tidak ramai yang tinggal di daerah tersebut yang juga merupakan pusat komersial utama di Pulau Pinang.
Jika diteliti dari aspek ekonomi, memang satu kerugian besar kepada kaum Melayu yang tidak mampu membeli rumah dan tanah di daerah tersebut. Ketidakmampuan itu juga adalah kerana harga rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kaum Melayu.
Rata-rata seunit rumah bertingkat iaitu pangsapuri kos sederhana dan pangsapuri mewah ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit. Malah, ada yang menjangkau harga melebihi RM1 juta seunit. Rumah atas tanah pula seperti rumah berangkai, rumah teres dan banglo pula ditawarkan pada harga yang lebih mahal, iaitu melepasi tujuh angka.
Harga yang terlalu tinggi itu bukan sahaja menyebabkan kaum Melayu tidak mampu memilikinya, malah kaum Cina juga begitu. Ini kerana kebanyakan penduduk Cina yang kaya dan profesional kini lebih suka berhijrah ke luar negara.
"Saya ada banyak kawan berketutunan Cina yang bekerja sebagai jurutera di kilang-kilang di sekitar Bayan Lepas berhijrah ke luar negara, khususnya Australia," kata seorang penduduk, Fatimah Ariffin yang telah bermastautin di Pulau Pinang sejak 21 tahun lalu.
Faktor semakin ramai golongan profesional Cina dan kaya raya berhijrah ke luar negara diakui oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk.
Faktor berhijrah ke luar negara dan mempunyai anak yang sedikit dalam kalangan penduduk Cina menyebabkan jumlah penduduk majoriti Pulau Pinang hari ini adalah kaum Melayu.
Sumber daripada Jabatan Perangkaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan Statistik Penduduk Pulau Pinang Bagi Tahun 2009 adalah 44.89 peratus penduduk bumiputera, manakala penduduk Cina sebanyak 44.27 peratus.
"Sungguhpun majoriti penduduk Pulau Pinang sekarang adalah kaum Melayu, tetapi jumlah mereka di bahagian pulau masih tidak dapat mengatasi jumlah penduduk Cina.
"Ini kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang terlalu mahal di pulau terutama di daerah Timur Laut. Ia sekali gus memaksa mereka memiliki hartanah di Seberang Prai.
"Mereka (orang Melayu) hanya berulang-alik dari seberang ke pulau untuk bekerja. Selain itu, kebanyakan kaum Melayu di daerah ini adalah kakitangan kerajaan. Dengan gaji kakitangan kerajaan, mana mereka mampu membeli rumah di sini," katanya.
Menurutnya, kaum Melayu juga didapati lebih selesa tinggal di tanah besar kerana selain faktor harga rumah yang jauh lebih murah, mereka juga boleh memiliki rumah atas tanah seperti rumah teres, rumah berangkai atau banglo.
Katanya, faktor keselesaan hidup di rumah atas tanah turut mempengaruhi kaum Melayu berpindah ke tanah besar.
Keadaan itu juga katanya membuatkan kehadiran orang Melayu di daerah Timur Laut tidak ada kesan untuk mewujudkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melayu di situ.
"Dari aspek politik, apa yang patut wakil rakyat Barisan Nasional buat adalah mempertahankan kerusi yang sedia ada. Ini kerana kajian mendapati agensi amanah yang dianugerahkan tanah untuk bumiputera di daerah itu tidak mempunyai tanah yang cukup untuk bawa masuk orang Melayu (pengundi) ke Timur Laut," katanya.
Beliau juga berkata, kebanyakan tanah milik agensi amanah bumiputera pula terletak di kawasan yang tidak strategik sekali gus gagal menarik minat kaum Melayu untuk menetap di situ.
"Orang lebih suka tinggal di kawasan yang ada aktiviti ekonomi yang aktif. Kawasan seperti itu pula banyak terletak di pusat-pusat komersial di tengah bandar, sedangkan tidak ramai Melayu mampu tinggal di bandar.
"Keadaan ini menyebabkan lama kelamaan kehadiran orang Melayu di bandar dengan sendirinya akan terhakis," katanya.
Agak menakutkan melihat nasib orang Melayu di Pulau Pinang hari ini kerana di bawah kepimpinan kerajaan DAP sekarang, agensi amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu di negeri itu menghadapi kesukaran untuk menjalankan projek.
"Projek-projek yang dijalankan oleh pihak swasta pula semuanya lebih menjurus kepada meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan mereka hanya mendirikan projek pangsapuri mewah yang berharga lebih daripada RM300,000 seunit.
"Pada harga itu, tentulah orang Melayu tidak mampu membelinya. Lama kelamaan juga, orang Melayu dengan sendirinya akan berpindah ke seberang, sekali gus menghakis pemilikan hartanah di bahagian pulau,"tambahnya.
Azeem menegaskan, oleh kerana faktor yang menolak orang Melayu keluar ke seberang adalah ekonomi maka meningkatkan pencapaian ekonomi kaum Melayu perlu menjadi agenda utama pemimpin Melayu hari ini.
"Selagi orang Melayu tidak ada kuasa ekonomi dan kuasa beli sebagaimana kaum Cina, maka selagi itulah orang Melayu Pulau Pinang akan ketinggalan dan terus terpinggir," katanya.

Hishammuddin hampir jatuh, titi roboh



Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kanan) bersama anggota Rela membantu Pirdaus Ismail yang hampir terjatuh ketika melalui sebatang titi usang selepas memberikan bantuan kepada keluarga miskin di Kampung Gersik, kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 21 Nov. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rombongannya yang dalam perjalanan menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga miskin di Kampung Gersik di sini petang ini dikejutkan dengan kejadian titi runtuh.
Namun dalam kejadian itu, Hishammuddin berjaya diselamatkan oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang mengiringi beliau.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Hishammuddin, Datuk Pirdaus Ismail terjatuh ke dalam paya sebelum diselamatkan oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang mengiringi rombongan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Hishammuddin baru selesai menghadiri majlis penutupan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Dalam Negeri di Kampung Boyan sebelum melawat serta menyampaikan bantuan keperluan harian kepada warga miskin, Maimunah Akib, 68 di Kampung Gersik.
Bagaimanapun, ketika sedang dalam perjalanan pulang, titi kayu yang dilalui rombongan itu yang turut disertai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar runtuh.
Namun, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian yang hanya membabitkan Hishammuddin dan Pirdaus itu.
Pirdaus yang ditemui selepas itu berkata, anggota Rela akan membantu membaik pulih empat buah rumah daif termasuk titi kayu yang telah uzur di Kampung Gersik dalam tempoh terdekat.
Katanya, peruntukan RM10,000 bagi setiap rumah akan dikeluarkan oleh Giatmara dan kerja-kerja membaik pulih akan dilakukan oleh secara bergotong royong oleh anggota Rela.
''Kita membantu membaik pulih rumah daif ini untuk menunjukkan peranan Rela juga boleh diperluaskan untuk melaksanakan tugas-tugas lain," katanya.