Tuesday, January 18, 2011

Ramai rakyat Thai sedia terima rasuah


BANGKOK 17 Jan. - Kebanyakan rakyat Thai didapati sedia menerima rasuah daripada calon pilihan raya dalam usaha membeli undi, menurut satu tinjauan pendapat yang dikeluarkan, semalam.
Tinjauan Abac yang dijalankan oleh Universiti Assumption mendapati, hampir 80 peratus responden mengakui 'politik wang' memang berlaku dalam masyarakat Thailand.
Keputusan tinjauan yang disiarkan di laman web berbahasa Inggeris Bangkok Post itu menunjukkan kira-kira 53.2 peratus responden sanggup menerima rasuah.
Tinjauan melibatkan 2,604 pengundi layak dari 18 wilayah Thai itu mendapati, sebanyak 40.2 peratus lagi tidak akan menerima rasuah, sementara hanya 6.6 peratus lagi tidak pasti.
Hampir 70 peratus daripada responden yang menyatakan mereka sedia menerima rasuah datang dari timur laut negara ini yang merupakan kawasan 'kubu' penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah, diikuti penduduk Bangkok. - AFP

Bencana menunggu


Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2011/01/18

PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
Pangsapuri Seri Trompet retak, tak selamat didiami 

BUKIT BERUNTUNG: Penduduk di blok E dan K, Pangsapuri Seri Trompet, dekat sini merayu pihak bertanggungjawab menangani segera masalah keretakan rumah mereka sejak lima tahun lalu.Kebimbangan itu disuarakan 23 keluarga yang menetap di situ yang memerlukan perhatian pelbagai pihak khususnya pemaju perumahan.Penyelia pangsapuri, Azizan Abdullah berkata, bangunan pangsapuri itu sudah tidak selamat didiami dan penghuninya perlu dipindahkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. 

Katanya, jika dilihat pada keadaannya sekarang, bangunan itu sudah tidak kukuh dan mungkin akan runtuh pada bila-bila masa bergantung kepada struktur sokongan yang tinggal. 

"Keretakan di bangunan Blok K kelihatan lebih serius dan lapan keluarga yang mendiaminya akan berdepan bencana jika pihak bertanggungjawab gagal mengambil langkah awal memindahkan mereka. 

"Selain itu, 15 lagi keluarga di Blok E juga wajar mendapat perhatian sama berikutan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut yang melanda kawasan sekitar, boleh memudaratkan mereka" katanya kepada Sentral di sini semalam. 
Azizan berkata, keretakan bangunan terbabit bukan saja berlaku di bahagian koridor dan lantai setiap tingkat bangunan itu, malah dinding ruang tamu rumah dan membentuk ruang sebesar dua sentimeter. 

Katanya, berlaku mendapan tanah pada lantai bahagian bawah bangunan lima tingkat itu sehingga membentuk lubang. 

Beliau berkata, 11 blok pangsapuri itu kebanyakannya menampakkan kesan keretakan yang ketara. 

“Saya musykil apabila melihat pelan pembinaan pangsapuri yang tidak mengandungi pelan binaan bagi Blok K,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit, Mohd Rodi Md Nor, 38, mendesak pihak berwajib memindahkan penduduk ke kediaman lebih selamat bagi mengelak kejadian buruk. 

"Bukan saja kami mahu dipindahkan ke tempat selamat, tetapi penempatan kami perlu digantikan memandangkan bangunan ini sudah tidak selamat didiami,” katanya. 

Mohd Rodi berkata, daripada 11 blok Pangsapuri Seri Terompet, ada 150 unit yang tidak terjual dan selamat untuk didiami, sekali gus sesuai untuk memindahkan keluarga yang berdepan masalah itu. 

Bagaimanapun, katanya, rumah berkenaan tidak dilengkapi sistem pendawaian elektrik dan tidak diketahui kesempurnaan sistem salirannya. 

"Semua unit kosong itu, tidak ada bekalan elektrik dan air. Kami memohon pihak bertanggungjawab dapat memastikan semuanya dapat dibaiki dan dipasang sepenuhnya sebelum penduduk dipindahkan," katanya. 

Keluhan penduduk pangsapuri terbabit turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yang melawat mereka di sini. 

Kamalanathan berkata, beliau akan mengambil langkah awal untuk memindahkan segera semua penduduk yang terbabit. 

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak berkaitan juga akan diadakan segera bagi memastikan segala aspek dan keperluan dipenuhi serta diselesaikan sebaiknya. 

Koma sejak 2009 lepas demam panas

MEMILUKAN: Amirul Najwan terbaring kaku di katil di rumahnya dan bergantung pada alat bantuan pernafasan sejak dua tahun lalu akibat sel otaknya mati dijangkiti kuman. -- Foto HARIAN METRO
KUALA LUMPUR: Sedang kanak-kanak seusianya bergembira memulakan sesi persekolahan baru tahun ini, Amirul Najwan Mohd Najmin, lapan tahun, terbaring koma dan bergantung pada tiub yang ditebuk di lehernya untuk bernafas.
Ibunya, Cik Wan Suriani Wan Yusoff, 35 tahun, meratap hiba melihat nasib anak sulungnya itu.Amirul Najwan yang sihat tiba-tiba menderita penyakit misteri sejurus setelah mengalami demam panas pada 2 April 2009.Cik Wan Suriani berkata hatinya cukup tersentuh oleh keadaan anak kesayangannya itu, yang masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif selain terbaring kaku di katil.Menurut Cik Wan Suriani, semuanya bermula selepas Amirul Najwan menghidap demam panas dan doktor mengesahkan sel otaknya rosak akibat dijangkiti kuman.'Doktor berkata penyakit anak saya dikenali sebagai Acute Necrotising Encephalitis (ANEC) dan penyakit itu agak jarang ditemui di negara ini.'Apa yang diberitahu kami ialah jangkitan kuman itu menyebabkan sel otaknya mati.'Sejak itu, anak saya terbaring di atas katil dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa kerana hidupnya bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan,' kata beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, Hulu Klang, kelmarin.Menurutnya lagi, doktor menebuk lubang pada leher anaknya itu untuk membolehkan tiub pernafasan dipasang.Tiub itu perlu ditukar setiap dua minggu di hospital.'Dalam tempoh sebulan kami terpaksa menghabiskan RM2,000 ($843) bagi membiayai kos rawatan Amirul Najwan, termasuk membeli susu khas berharga RM60 setin yang biasanya akan habis dalam tempoh tiga hari.'Tahun lalu sahaja lebih 20 kali Amirul Najwan dimasukkan ke hospital. Setiap hari saya menjaganya pada sebelah malam, manakala bapanya menjaga pada waktu siang,' kata Cik Wan Surianinya, yang mempunyai seorang lagi anak berusia enam tahun.Beliau dan suaminya, Encik Mohd Najmin Nazar, 36 tahun, bukan sahaja buntu memikirkan tentang kesihatan anaknya itu yang sehingga kini gagal dipulihkan, bahkan sedih mengenangkan masa depannya.