Showing posts with label gay. Show all posts
Showing posts with label gay. Show all posts

Sunday, December 25, 2011

Isu pemuda Melayu kahwin lelaki masih disiasat

KUALA TERENGGANU 24 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas seorang pemuda Melayu yang dikatakan berkahwin dengan lelaki Ireland di luar negara seperti yang tersiar dalam Internet baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, siasatan tersebut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Luar selain beberapa agensi lain yang berkaitan dan juga pihak berkuasa negara terlibat sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
Beliau memberitahu, siasatan tersebut penting bagi memastikan kesahihan laporan mengenai perkahwinan pelajar berkenaan yang mengejutkan banyak pihak selain menggemparkan negara.
"Kita sedang siasat perkara ini dan nak tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi lelaki berkenaan.
"Malah, siasatan juga akan menyentuh mengenai sama ada benar atau tidak pelajar terlibat berkahwin dengan lelaki Eropah di dalam gereja seperti yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Resort di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas tentang perkahwinan lelaki tersebut, Othman berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima maklumat terbaru mengenai lelaki berkenaan, namun beliau yakin ia akan dapat diperoleh dalam waktu terdekat.
Beliau turut mengakui menghadapi kesukaran untuk menangani masalah itu termasuk membawa balik lelaki terbabit ke Malaysia kerana ia terletak di bawah bidang kuasa dan perundangan negara lain.
"Kita perlu hormati undang-undang negara lain, sebab itulah kita kena bekerjasama dengan banyak pihak termasuk pihak berkuasa negara yang berkenaan berhubung isu ini," ujarnya
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Tuesday, August 23, 2011

Paderi gay teruskan rancangan kahwin 31 Ogos

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Paderi gay warga Malaysia yang kini berada di Amerika Syarikat tetap akan meneruskan rancangan berkahwin dengan seorang lelaki Afrika-Amerika bahkan memilih tarikh 31 Ogos ini untuk berbuat demikian.
Ou Yang Wen Feng, 41, berkata, kerajaan Malaysia tidak boleh mengganggu rancangannya untuk berkahwin di New York, Amerika Syarikat yang meluluskan undang-undang bagi membenarkan perkahwinan sejenis atau majlis resepsi mengikut budaya Cina di negara ini, tahun depan.
"Adakah saya tidak mempunyai hak untuk menjemput rakan saya makan ke sebuah restoran di Malaysia?
"Dunia sedang melihat. Malaysia tidak boleh menjejaskan imejnya sebagai sebuah negara berfahaman sederhana," katanya dalam e-mel yang dihantar kepada AFP hujung minggu lalu.
Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia kini sudah menerima homoseksual dan merupakan satu perubahan pandangan umum.
"Walaupun saya tahu kebanyakan orang di Malaysia tidak menerima perkahwinan gay tetapi lebih menakjubkan lebih ramai orang sedia maklum apakah itu homoseksual.
"Sokongan terhadap golongan gay juga semakin meningkat," dakwanya.
Homoseksual dilarang di Malaysia dan perlakuan sodomi boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada awal bulan ini berkata, perkahwinan sejenis seperti Wen Feng tidak dibenarkan di bawah undang-undang sivil negara.
"Kami bersetuju dengan hak asasi manusia tetapi perlakuan melampau yang membenarkan lelaki berkahwin dengan lelaki akan menimbulkan masalah sosial," katanya yang dipetik oleh media tempatan.
Selain itu, beberapa pemimpin Kristian juga mengutuk rancangan Wen Feng itu, menurut laporan media negara ini.utusan

Sunday, January 2, 2011

Kegiatan gay dilindungi VIP?


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Pusat aktiviti kumpulan pengamal seks songsang atau kelab gay di negara ini dikesan bergerak secara tersembunyi dan sukar dikesan malah dipercayai 'dilindungi' golongan orang kenamaan (VIP).
Seperti 'tidak boleh disentuh', agensi penguat kuasa turut berhadapan cabaran menjalankan operasi di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti menjalankan aktiviti seks songsang.
Selain berselindung di sebalik premis urut, pusat hiburan, kelab gay telah lama wujud tetapi menggunakan nama persatuan atau pertubuhan yang sah.
Difahamkan, kebanyakan golongan gay terbabit terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi, profesional, tokoh korporat dan selebriti.
Jika dilihat blog-blog dan laman sosial popular Facebook turut mendedahkan 'keberanian' golongan gay itu berkongsi pengalaman peribadi dan kehidupan mereka sebagai pengamal seks songsang.
Menurut sumber, VIP terbabit dikatakan pernah menghubungi dan memberi amaran keras kepada pihak penguat kuasa sekiranya premis-premis kelab gay terbabit diserbu.
"Maklumat peribadi seperti nombor telefon penguat kuasa dengan mudah dia perolehi, sedangkan kita pula gagal menghubungi kembali talian digunakannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, polis mengenal pasti empat kelab gay yang berselindung di sebalik pusat urut di sekitar ibu negara.
Katanya, ia berdasarkan penemuan gambar-gambar lelaki berbadan sasa yang tidak berbaju diletakkan dalam premis selain penemuan kondom-kondom telah digunakan.
Tambahnya, selain itu, terdapat juga iklan urutan batin B2B (badan ke badan) yang menawarkan khidmat seks songsang.
"Siasatan mendapati terdapat lelaki warga asing juga bekerja sebagai 'tukang urut' di premis berkenaan.
"Polis berjaya menahan 28 lelaki warga asing dari Pakistan, Iran dan Myanmar daripada 100 lelaki yang diperiksa di premis-premis tersebut tahun ini," katanya.
Menurut Razali, selain rumah urut, pihaknya turut mendapat maklumat pusat kecergasan diri sering dikunjungi golongan gay kerana mereka menjaga penampilan diri selain teliti dalam aspek kebersihan.
"Golongan gay tidak segan silu mempamerkan kemesraan mereka di khalayak ramai malah pernah menggoda pegawai-pegawai polis ketika serbuan dibuat.
"Sifat tidak malu itu juga jelas dilihat ketika mereka menari bersama-sama dalam keadaan separuh bogel ketika serbuan dibuat di premis urut berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat dan bersama membendung budaya gay daripada terus menular dalam masyarakat.

Wednesday, December 8, 2010

Jangan pandang remeh budaya kelab ‘gay’




SHAH ALAM - Jangan pandang budaya kelab ‘gay’ atau seks songsang remeh kerana ia boleh mencalarkan imej Malaysia sebagai negara Islam. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berkata, ancaman itu sangat berbahaya lebih daripada gejala najis dadah. 

“Budaya seks songsang itu bagaikan virus yang cepat merebak disebabkan didominasi golongan profesional yang kehilangan hala tuju dan jati diri. 

“Mereka sebenarnya menjadi mangsa yang terperangkap dengan pemikiran songsang yang diimport daripada luar negara,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam. 

Wan Mohamad berkata, rakyat perlu bersatu dalam menyekat budaya itu daripada terus menular merosakkan akhlak dan jiwa rakyat negara ini.