Friday, June 29, 2012

Tawaran lompat parti tindakan terdesak Umno

Tawaran lompat parti tindakan terdesak Umno
Azmin menunjukkan sistem SISPMEP 3.0 yang bakal digunakan jentera parti itu dalam PRU-13.
KUANTAN - Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ada pihak tertentu cuba menawarkan habuan lumayan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya mereka melompat parti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, ia adalah tindakan terdesak khususnya pihak kerajaan (Umno) yang dilihat terus menyuburkan politik wang dengan cubaan membeli pemimpin lain.

Menurutnya, beliau mengucapkan tahniah kepada pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR) tidak terpedaya dengan janji dan tawaran yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dalam laporan muka depan Sinar Harian semalam bahawa beliau pernah ditawar jutaan ringgit untuk melompat parti.

“Ini bukan cara PR, sebaliknya kita mengalu-alukan pemimpin daripada mereka (kerajaan) yang ingin menyertai kita, bukan sogokkan dengan wang sebaliknya meminta mereka memahami dasar perjuangan PR,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sistem SISPMEP 3.0 dan penyerahan bahan kempen pilihan raya peringkat negeri di sini, semalam.

Pahang adalah negeri terakhir untuk pelancaran dan penyerahan bahan kempen yang menyaksikan sebanyak 13 juta risalah memaparkan pelbagai isu seperti ekonomi, keselamatan dan Lynas bakal diedarkan.

Ditanya persediaan jentera parti itu, beliau memberitahu ia dalam peringkat akhir  bagi semua peringkat dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain menyatakan kemungkinan ia akan dijalankan sebelum Ramadan.

“Malah perbincangan bersama komponen PR lain juga dalam peringkat akhir dan semua rundingan dan rumusan boleh dibuat pada minggu depan.

“Kita optimistik dengan kewibawaan semua komponen parti dalam pakatan. Dan jika kerajaan membubarkan parlimen dalam minggu ini, kita sudah bersiap sedia,” katanya.

Mengulas sistem SISPMEP 3.0, Azmin memberitahu, sistem tersebut adalah Sistem Pengkomputeran Membaca Data Pilihan raya dan mampu membuat analisa secara sistematik serta saintifik.

“Ia boleh menjadikan gerak kerja jentera parti tersusun dan teratur sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan parlimen.

“Sebenarnya sistem ini sudah dilaksanakan pada 2008 dan menerusinya kita boleh mengesan pergerakan pengundi seperti pengundi hantu ataupun mereka yang sudah berusia 100 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, ia membantu petugas mengesan dan melaksanakan tugas mereka dengan menemui mereka dan mengedarkan risalah.

Hero filem Leftenan Adnan sertai Pas

Hairie Othman
Hairie Othman
SHAH ALAM – Program Himpunan Hijau Pas Johor yang akan diadakan di Kempas, Johor Bahru esok bakal menerima seorang lagi artis - Hairie Othman, yang akan menyerahkan borang keahlian menyertai Pas.

Dia akan menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, antara pemimpin parti yang akan hadir adalah Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa; Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfoz Muhammad.

“Pihak jawatankuasa program menjangkakan kehadiran lebih daripada  10,000 peserta himpunan dari seluruh negeri Johor bagi menjayakan himpunan ini.

“Kehadiran Hairie Othman bakal menarik lebih ramai anak muda hadir dalam himpunan ini. Ahli-ahli dan penyokong Pas di luar Johor juga dijemput sama untuk menjayakan himpunan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hairie yang juga pelakon utama filem Leftenan Adnan sebelum ini dilaporkan akan menyertai Pas bersama-sama beberapa lagi artis dan juga beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan.

Jalan 20km demi 12 anak

JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada 12 anak di Kampung Sungai Rinting C di sini, sanggup berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) dua kali sehari, untuk mencari barangan kitar semula bagi membeli makanan harian keluarganya sejak bertahun lalu.
Zulkefli Jusoh, 47, berkata dia perlu melakukan kerja itu bagi membeli lima kilogram beras setiap hari selain lauk untuk dimasak.

“Saya akan keluar rumah pada awal pagi dan pulang pada tengah hari. Saya keluar semula pada petang sebelum menjual barangan kitar semula seperti botol, tin minuman dan besi buruk di Kampung Teluk Jawa, Masai.
“Saya mampu memperoleh sehingga RM20 sehari selepas menjual semua barangan berkenaan. Walaupun jumlah itu kecil, ia membantu saya menampung kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Zulkefli dan isterinya, Zabidah Ghani, 40, berasal dari Besut, Terengganu tinggal di perkampungan itu sejak 20 tahun lalu serta dikurniakan 12 anak berusia antara sembilan bulan hingga 23 tahun.

Anak pasangan itu ialah Puteri Nur Aliya Maysara, sembilan bulan; Muhammad Sharulnizam Shah, 3; Rabiatul Adawiah, 5; Muhd Shahmi, 7 (diserahkan kepada keluarga angkat); Muhammad Izuwan, 9; Nurul Ain, 11; Muhammad Osman, 12; Muhammad Mustakin, 15; Muhammad Hafuzuddin, 18; Muhammad Al Amin, 20; Muhammad Ab Hadi, 22, dan Muhammad Marzuki, 23.
Menurut Zulkefli yang tinggal di rumah papan, akibat kesempitan hidup, empat anak lelakinya yang berusia 15 hingga 23 tahun sudah lama keciciran sekolah.

“Semua anak memahami keadaan kami yang serba kekurangan dan tidak pernah mendesak saya untuk menyediakan kemudahan selesa.
“Bagi menambah pendapatan, saya juga melakukan kerja sambilan seperti buruh di pelabuhan Pasir Gudang,” katanya.

Menurut Zulkefli, bayaran diterima sebagai buruh membolehkannya membayar bil utiliti selain sebagai wang saku anak untuk ke sekolah.

Katanya, Marzuki yang bekerja di pelabuhan berkenaan turut membantu keluarga setakat yang terdaya kerana pendapatan anaknya itu juga tidak menentu.

“Pada masa sama, hampir semua barangan termasuk perabot di rumah ini disumbangkan oleh kenalan yang prihatin dengan nasib kami.

“Berikutan pendapatan saya hanya cukup untuk menampung belanja dapur, saya juga tidak mampu membaiki dapur yang bocor menyebabkan bahagian berkenaan sering dimasuki air hujan.

“Saya bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, ia boleh mengakibatkan litar pintas dan membahayakan anak,” katanya.

‘Kami ingin bersekolah’

DUNGUN: “Kami hendak bersekolah kerana mahu pandai seperti rakan lain,” kata Norsyafikah Zuki, 11, seorang daripada empat beradik yang tidak boleh bersekolah berikutan ketiadaan surat beranak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nyior, Paka, dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia bersama abangnya Zulfitri, 13, dan adiknya, Nasarudin, 9, serta Nazihan, 7, hanya mampu memerhatikan dari tangga rumah mereka rakan sebaya lain berjalan ke sekolah.

“Kami mahu menjadi seperti pelajar lain bangun awal pagi dan pergi ke sekolah menuntut ilmu kerana kami malu dengan anak jiran yang pandai menulis dan membaca berbanding kami,” katanya.
Katanya, dia difahamkan yang mereka adik-beradik tiada surat beranak berikutan kegagalan ibu bapa menjelaskan bil hospital ketika bersalin menyebabkan surat pengesahan kelahiran tidak dapat dikeluarkan.

Bapanya, Zuki Hashim, 45, berkata pendapatannya yang tidak menentu dan kecil sebagai pembantu tukang rumah menyebabkannya tidak mampu menjelaskan bil hospital.

“Saya berasal dari Pasir Putih, Kelantan manakala isteri, Suharni Basir, 43, dari Palembang, Indonesia dan sudah hampir 12 tahun tinggal di sini, dengan bekerja kampung dan pendapatan diterima tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan semua anak.
“Saya dan isteri sering termenung mengenang nasib diri terutama anak yang tidak dapat ke sekolah terutama masa depan mereka.

“Kami bernasib baik kerana tuan rumah memberi kebenaran untuk melewatkan bayaran sewa sebanyak RM200 sebulan jika kesempitan wang,” katanya yang memperoleh upah antara RM20 hingga RM30 sehari jika ada tugasan membuat rumah.
Menurutnya, dia sudah merujuk masalah mendapatkan sijil kelahiran anaknya di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Dungun, namun dimaklumkan perlu pergi ke ibu pejabat JPN di Kuala Lumpur dengan membawa surat pengesahan kelahiran dari hospital untuk mendapatkan sijil itu.

“Saya sekarang memikirkan bagaimana hendak mencari wang untuk menjelaskan bil rawatan selain bayaran jika didenda berikutan kelewatan mendaftar anak serta kos tambang untuk ke Kuala Lumpur,” katanya yang berharap mendapat bantuan pihak berkaitan untuk mendapatkan surat beranak anak-anaknya.

Letupan bom di luar mahkamah Damsyik



BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi letupan bom di luar bangunan Istana Kehakiman di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Dua letupan bom menggegarkan kawasan di tempat letak kereta di luar bangunan Istana Kehakiman yang menempatkan mahkamah tertinggi Syria di sini semalam.
Seramai tiga orang cedera manakala sekurang-kurangnya 20 buah kereta rosak teruk akibat letupan tersebut.
Sejumlah anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran manakala beberapa buah ambulans tiba di tempat kejadian.
Sebuah stesen televisyen Syria menganggap kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.
Kawasan tempat letak kereta itu digunakan oleh para peguam dan hakim.
Satu sumber polis memberitahu agensi berita AFP, dua bom meletup dalam dua buah kereta milik hakim.
Menurutnya, bom ketiga berjaya dimatikan.
Sementara itu, seramai 69 orang terbunuh termasuk 38 orang awam semalam di Syria ekoran pertempuran antara tentera dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan Pemantauan Untuk Hak Asasi Syria, seramai 16 orang terbunuh di Douma, utara Damsyik apabila askar-askar mengepung dan bertempur dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan itu, askar-askar yang dibantu helikopter menyerang beberapa buah kawasan di Deir Ezzor, timur Damsyik.
Lebih 15,804 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula sejak 16 bulan lalu.
Kelmarin, sekumpulan pemberontak menyerang sebuah stesen televisyen di sini.
- Agensi

Turki hantar askar di sempadan Syria

SEBUAH trak tentera Turki mengangkut pelancar peluru berpandu di wilayah Hatay dekat sempadan Syria semalam.



ANKARA - Pemerintah Turki menghantar sejumlah askar dan pelancar roket antipesawat di sempadan negara itu dengan Syria, menurut beberapa laporan semalam.
Penghantaran itu dibuat seminggu selepas tentera Syria menembak jatuh sebuah pesawat tentera Turki pada Jumaat lalu.
Menurut akhbar Milliyet, kira-kira 30 buah kenderaan tentera mengangkut pelancar roket antipesawat meninggalkan sebuah pangkalan di wilayah Hatay, tenggara Turki.
Imej yang disiarkan stesen televisyen TRT menunjukkan puluhan kenderaan tentera membawa sejumlah askar ke sempadan negara tersebut.
Stesen televisyen tersebut turut menyiarkan imej beberapa buah kereta kebal yang dihantar ke sempadan Syria.
Ia turut melaporkan bahawa konvoi tentera yang membawa senjata berat dan peluru berpandu bergerak ke daerah Yayladag di wilayah Hatay awal semalam.
Kelmarin, satu konvoi tentera yang membawa beberapa pelancar peluru berpandu bergerak ke daerah Kilis di wilayah Gaziantep.
Agensi berita Anatolia melaporkan lewat kelmarin, pergerakan kenderaan tentera turut berlaku di wilayah Sanliurfa.
Tindakan Syria menembak jatuh pasawat tersebut telah mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Seorang menteri Syria, Omran al-Zoebi kelmarin menyatakan tenteranya mungkin tersilap menyangka pesawat Turki itu ialah jet milik Israel.
Menteri Penerangan Syria itu memberitahu rangkaian berita A Haber menerusi telefon bahawa negaranya tidak mahu berkrisis dengan Turki.
Turki sebelum ini berulang kali mendesak Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan jawatan ekoran penentangan rakyat terhadap pemerintahannya sejak Mac tahun lalu.
Ekoran pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak, seramai 33,000 penduduk negara itu melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan perlindungan. - Agensi

Hijrah Artis Ke kancah Politik Mantapkah Sokongan Parti Atau Sekadar Mengejar Populariti!

Hijrah Artis Ke kancah Politik Mantapkah Sokongan 
Parti Atau Sekadar Mengejar Populariti!
Nampaknya trend artis sertai politik semakin menjadi-jadi sekarang ini. Masing-masing seolah-olah menjadikan artis sebagai senjata baru untuk menarik generasi muda menyokong parti masing-masing. Kemasukkan artis ke dalam politik dikatakan satu penghijrahan, iaitu dari dunia glamour yang penuh maksiat kepada satu dunia baru yang cukup berbeza. Persoalannya, mana satukah yang dikatakan penghijrahan apabila seseorang artis itu terlibat dengan dunia politik?. Apakah penghijrahan golongan artis ke dalam politik mutakhir ini dapat memantapkan sokongan parti atau sekadar hanya mengejar populariti semata-mata. Bagi kerajaan UMNO BN, sudah pastilah menyertai UMNO dianggap penghijrahan kepada artis. Malah, memang sudah lama mereka menggunakan artis untuk berkempen setiap kali musim pilihanraya. Paling mengejutkan, artis juga diangkat sebagai Senator untuk mewakili golongan terbabit di Dewan Negara. Lantaran itu Datuk Jins Shamsuddin, seorang artis veteran kini menjadi harapan mereka untuk mengajak rakyat menyokong UMNO. Namun, artis terbabit dilihat lebih banyak bercakap di dewan dan tidak di pentas terbuka bersama rakyat. Sebab itulah UMNO gunakan juga Datuk Siti Nurhaliza, AC Mizal serta ramai lagi artis untuk turun berkempen bagi pihak mereka. Terbaru, Amy Search, Jamal Abdillah, Mus May dan Ibnor Reeza pula bertindak menyertai UMNO. Sebelum itu, Pengarah Filem terkenal Mamat Khalid bertindak demikian.
 

Himpunan Hijau "Occupy Balok-Gebeng" Berjaya Biar Pun Di Halang Masuk Kawasan Kilang Lynas

Himpunan Hijau "Occupy Balok-Gebeng" Berjaya Biar Pun Di Halang Masuk Kawasan Kilang Lynas

Program Occupy Balok-Gebeng anjuran NGO anti Lynas dekat sini berjaya diadakan walau pun terhalang untuk mengadakan perhimpunan aman dihadapan pintu masuk ke kilang Lynas Corporation dekat sini. Acara bermula di Pelangi Beach Resort Balok sekitar jam 10.00 pagi itu diketuai oleh Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack. Turut bersama ialah Timbalan Presiden PAS, Tn.Hj Muhammad Sabu (Mat Sabu) dan Zulkefly Mohamad Omar, AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat. Para peserta bertolak dari Balok secara konvoi dan mereka telah memasuki kawasan perindustrian Gebeng melalui jalan yang tiada sekatan polis. Difahamkan ketika itu pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di pintu masuk ke kawasan perindustrian terbabit dari arah jalan Kuantan-Kemaman. Malah, polis juga dipercayai mengadakan sekatan yang sama di jalan masuk dari lebuhraya Jabor-Sg.Ular, untuk menghalang laluan. Terdapat beberapa buah bas yang ditahan dan penumpang yang berbaju T-Shirt "Perhimpunan Hijau" telah diarahkan turun. Walau bagaimana sebahagian peserta berjaya sampai ke pintu masuk kilang Lynas dan sebahagian lagi tersekat di jalan masuk ke Gebeng berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Sementara itu, dijalan masuk ke kilang Lynas kelihatan pihak polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerahkan berkawal sejak dari awal pagi lagi. Mereka membuat tiga pagar manusia bagi menghalang para peserta menerjah ke kawasan jalan masuk ke kilang terbabit. Tidak cukup dengan itu, sebuah helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di udara ketika para peserta mula sampai ke lokasi terbabit. Peserta sempat berhimpun seketika di disitu secara aman sebelum di arahkan berpindah oleh pemimpin. Mereka diarahkan berkumpul di kawasan berhampiran pintu masuk ke kawasan Gebeng (dekat papan tanda besar), kerana taklimat ketika itu sedang dibuat oleh pemimpin yang hadir.

Di jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Gebeng, para peserta sudah mula berkumpul di situ. Mereka membawa sepanduk dan kain rentang anti Lynas. Sementara itu para pemimpin pula menyampaikan ucapan di atas lori yang disediakan untuk beri semangat kepada peserta. Antara mereka yang berucap ialah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk A.Samad Said, Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan PAS), Leong Ngah Ngah (ADUN Triang) serta lain-lain lagi.

Najib kata.. PKR Selangor yang bergolak.. tapi ini apa?

Najib kata.. PKR Selangor yang bergolak.. tapi ini apa? 

Laporan Polis ini telah dibuat oleh Syed Atif Syed Abu Bakar Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bandar Arau terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengenai status ijazah doktor falsafah (Phd) beliau.

Kita anggaplah ianya sebagai satu gurau senda (orang utara kata melawak) antara beliau dan MB Perlis kerana menurut Najib, PKR Selangor yang sedang bergolak..

Ha..ha..ha..
Laporan berkaitan..

Laporan polis terhadap MB Perlis

KANGAR: Seorang ahli Pemuda Umno Arau membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengenai status ijazah doktor falsafah (Phd) beliau.

Syed Atif Syed Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda Umno cawangan Bandar Arau membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar tengah hari tadi.

“Menteri Besar telah menggunakan gelaran itu dalam dokumen dan majlis rasmi kerajaan negeri dipercayai diperolehi dari sebuah institusi pengajian tinggi yang tidak mendapat tauliah atau akreditasi daripada agensi pemberi tauliah yang diamanahkan oleh kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Amerika Syarikat.

“Saya membuat laporan ini supaya pihak polis dan kerajaan Malaysia menyiasat status Phd milik Mohd Isa atas dasar intergriti yang berkaitan dengan unsur-unsur jenayah penghinaan akademik yang serius dan menyalahi undang-undang negara,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Atif berkata, rakyat Perlis bercakap mengenai status Phd milik Menteri Besar itu.

“Sebelum ini, kami mengadakan peraduan menawarkan hadiah RM10, 000 dalam Facebook untuk membolehkan orang ramai mengesahkan status Phd tersebut.

“Bagaimanapun, selepas peraduan itu dibuat lawan web rasmi kerajaan negeri telah mengeluarkan gelaran Phd tersebut,” katanya.

Ahli Umno Pauh, Abdul Halim Sani yang hadir sama di IPD Kangar hari ini mendakwa Mohd Isa menggunakan Phd dari Universiti New Port, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, menuurt Syed Atif, universiti tersebut tidak wujud sama ada di Amerika Syarikat atau di tempat lain - FMT
 

DOKUMEN BUKTI CAMPUR TANGAN DATO’ SERI NAJIB MENGANUGERAHKAN KONTRAK BERNILAI RM1 BILION

DOKUMEN BUKTI CAMPUR TANGAN DATO’ SERI NAJIB MENGANUGERAHKAN KONTRAK BERNILAI RM1 BILION

CAMPUR TANGAN DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK BERTENTANGAN DENGAN KEPUTUSAN AWAL JAWATANKUASA PEROLEHAN MENTERI KEWANGAN

Walaupun KEADILAN telah memaklumkan bahawa pendedahan bersiri mengenai anugerah kontrak bernilai RM1 bilion projek sambungan LRT Ampang akan membuktikan campur tangan terus Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga kini beliau masih belum bersuara.

Saya percaya beliau memahami betapa besarnya kesan pendedahan ini kepada kredibiliti pentadbiran beliau. Desas-desus campur tangan beliau yang bertentangan dengan penilaian bidaan (bid evaluation) dan tindakan beliau menolak semua keputusan yang telah dibuat di peringkat jawatankuasa bertanggungjawab menjadi bahan bualan di kalangan mereka yang terbabit di dalam projek ini.


Ia menguatkan lagi pandangan komuniti perniagaan di dalam dan luar negara bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau memainkan peranan mempengaruhi pelbagai keputusan tender dan berkait rapat dengan pihak yang berkepentingan.

Dalam kes kontrak kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada minggu lepas melahirkan hasrat beliau untuk menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang lalu.

Ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang bersidang pada 25 Januari 2012. JPMK adalah jawatankuasa perolehan tertinggi di peringkat Kementerian Kewangan dan dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan secara jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini (seperti yang didedahkan sebelum ini oleh KEADILAN).
Sebaliknya, JPMK mengarahkan supaya pakej kontrak itu dianugerahkan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000.

Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak (Menteri Kewangan), Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan II) dan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) seperti yang dilampirkan bersama.

Keputusan JPMK itu kemudiannya disampaikan secara bertulis oleh Kementerian Kewangan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana melalui satu surat bertarikh 26 Januari 2012 (yang dilampirkan bersama).

Rentetan keputusan ini menimbulkan persoalan-persoalan berikut yang perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak:
1. Kenapakah Konsortium George Kent begitu yakin akan memenangi kontrak ini seperti yang dilaporkan oleh media kebelakangan ini, walaupun keputusan anugerah kontrak telah dibuat seawal 25 Januari 2012?
2. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menafikan bahawa beliau menandatangani kertas keputusan JPMK jika dokumen yang saya tunjukkan hari ini adalah palsu;
3. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan atas faktor apakah beliau mengubah fikiran sehingga campur tangan untuk menolak keputusan awal anugerah projek yang beliau sendiri sama-sama bersetuju; dan
4. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa campur tangan beliau di dalam anugerah projek ini langsung tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan.



KEADILAN akan terus menunggu maklum balas daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung perkara ini dan akan terus membuat pendedahan.

Pun begitu, saya yakin bahawa campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah pun melanggar etika pentadbiran telus dan berbaur penyelewengan kuasa. Oleh yang demikian, KEADILAN akan membuat satu laporan polis dan laporan SPRM terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat 29 Jun 2012 untuk mendesak perkara ini disiasat secepat mungkin.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
27 JUN 2012
 

Lima soalan untuk Mahathir

Lima soalan untuk Mahathir 


Demokrasi, selalu diberi ragam makna. Bergantung kepada fahamnya. Faham demokrasi Mahathir selalu mudah: demokrasi harus ada batasannya, harus diiringi dengan tanggungjawab, dan berfungsi untuk tujuan pembangunan. 

Inilah "acuan demokrasi yang ideal" yang Mahathir sampaikan sewaktu sharahan utama di University of Santo Tomas (UST) di Manila seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 11 Jun 2012.

Lebih lanjut di Filipina tersebut, Mahathir turut menegaskan bahawa sekiranya mahu mengubah pemerintahan, cukuplah dengan kotak undi. Ini dapat dilakukan lima tahun sekali. Selain itu, nilai pemimpin, bagi Mahathir, ialah idea dan strategi yang dimilikinya. Sesuai dengan faham ini, maka Mahathir sama sekali tidak melihat Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi liberal. Anehnya, Mahathir tidak pula memaklumkan jenis apakah demokrasi di Malaysia ini.

Walau bagaimanapun, - terlepas dari semua ini - kita harus menelaah-kembali apakah sebenarnya tujuan dari hidup bernegara ini. Sebab, tampaknya Mahathir cuba menyelewengkan makna demokrasi kepada sebuah faham kenegaraan yang kabur. Justeru, untuk memahami persoalan ini, maka adalah lebih baik kita mengungkapkan lima persoalan kepadanya.