Monday, February 11, 2013

Tidak akan pernah luntur semangat...



Anak-anak muda di Gaza telah dididik semenjak kecil dengan semangat juang yang tinggi dan berpanjangan. Mereka akan berbuat apa sahaja demi perjuangan Islam dan demi pembebasan bumi yang diberkati ini.

Bagaimana dengan kita di Malaysia yang aman dan mewah ?

via : Dr Zainur Rashid Zainuddin

Ronnie Liu mahu saman Jafrie Nordin



Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu
Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu
SHAH ALAM – Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu mahu mengambil tindakan mahkamah ke atas bekas pembantu khasnya, Jafrei Nordin kerana menuduh beliau dan DAP tidak menghormati Pas dan PKR termasuk ada cubaan menjatuhkan kedua-dua parti terbabit.
Liu yang juga Adun Pandamaran berkata, beliau juga akan menyaman akhbar kerana melaporkan berita tidak benar menyebabkan imejnya terjejas sebagai wakil rakyat dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor.
“Lepas cuti Tahun Baru Cina ini, saya akan menyaman dia (Jafrei) menerusi peguam saya, Gobind Singh Doe kerana menyiarkan berita palsu terhadap saya.

"...peguam saya kata, kita ada asas yang kukuh untuk saman mereka,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Tambah Liu, beliau telah memecat Jafrei tiga tahun lalu setelah mendapati tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perkhidmatannya di pejabat Exconya.
Jumaat lalu, Jafrei mengaku sebagai bekas pembantu khas Exco Kanan Selangor telah mengumumkan peletakkan jawatannya atas alasan tidak berpuas hati dengan majikannya dan DAP.

Jafrei mengumumkan peletakan jawatannya pada satu sidang akhbar di kediaman Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, yang keluar PKR pada tahun 2009.

Iran rai Revolusi Islam ke-34



TEHERAN 10 Feb. - Beratus-ratus ribu penduduk Iran berarak di sekitar Teheran dan bandar-bandar utama sambil melaungkan slogan 'Kematian buat Amerika' dan 'Kematian buat Israel', ketika Iran meraikan sambutan ulang tahun Revolusi Islam ke-34 hari ini.
Di ibu kota, orang ramai mengibar bendera Iran dan membawa potret gambar pemimpin revolusi, Ayatollah Ruhollah Khomeini sambil berjalan menuju ke Dataran Azadi atau Kebebasan.
Presiden Mahmoud Ahmadinejad dijangka berucap di dataran tersebut.
Beberapa wilayah lain di Iran termasuk Mashhad, Isfahan, Shiraz dan Kerman turut mengadakan perarakan yang sama.
Di Teheran, media asing dibenarkan memantau perarakan di beberapa tempat yang dikhususkan untuk mereka.
Perarakan tersebut diadakan sebagai memperingati tarikh 11 Februari 1979 yang menyaksikan tentera mengisytiharkan perpaduan dengan rakyat dan menggulingkan Dinasti Pahlavi di bawah pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi.
Iran kini dihimpit pelbagai sekatan daripada kuasa dunia ekoran program nuklearnya yang mencetuskan kontroversi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130211/lu_02/Iran-rai-Revolusi-Islam-ke-34#ixzz2KaGpFDBo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengebom berani mati serang pos tentera di Gao



GAO, Mali 11 Feb. - Seorang pengebom berani mati yang memakai baju seragam tentera meletupkan dirinya di sebuah pondok keselamatan di bandar Gao, menyebabkan seorang tentera cedera, kelmarin.
Menurut jurucakap tentera semalam, letupan itu merupakan insiden kedua di tempat yang sama sejak Jumaat lalu.
"Kejadian berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan rondaan," katanya. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130211/lu_09/Pengebom-berani-mati-serang-pos-tentera-di-Gao#ixzz2KaFHE1UY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima askar maut di Yala



Pegawai unit bom Thailand memeriksa kenderaan peronda tentera yang musnah dalam satu serangan bom oleh kumpulan pemisah di Yala, semalam. Lima anggota tentera terbunuh dalam serangan itu. - AFP
BANGKOK 10 Feb. - Lima askar Thailand maut dan seorang lagi askar cedera dalam serangan bom di selatan negara ini hari ini, kata polis.
Bom yang dipercayai ditempatkan di dalam sebuah kereta meletup berhampiran kenderaan peronda yang dinaiki askar berkenaan ketika meronda di sebuah kampung di Yala.
Jurucakap polis, Mejar Torphan Phusuntiae berkata, kira-kira 10 anggota pemisah dipercayai bersembunyi dan meletupkan bom tersebut.
''Seorang lelaki dan seorang wanita yang bekerja di sebuah ladang getah turut cedera dalam serangan tersebut,'' katanya.
Torphan berkata, askar berkenaan dijadikan sasaran kerana mereka sering menerima maklumat mengenai kumpulan pemisah daripada penduduk kampung.
Pemberontak menuntut kuasa autonomi yang lebih besar di wilayah selatan Thailand sejak pergolakan bermula pada 2004 yang meragut lebih 5,300 nyawa.
Anggota pasukan keselamatan Thailand sering menjadi sasaran serangan hendap dan serangan bom, manakala orang awam yang dipercayai menjadi pemberi maklumat dengan pihak berkuasa Thailand dibunuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130211/lu_01/Lima-askar-maut-di-Yala#ixzz2KaFpP2qY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Presiden Pakistan kebal



ISLAMABAD 10 Feb. - Pihak berkuasa Switzerland enggan membuka semula kes penyelewengan terhadap Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari kerana beliau mempunyai kekebalan undang-undang sebagai pemimpin negara ini, kata Kementerian Undang-Undang Pakistan hari ini.
Pegawai kanan kementerian itu, Yasmin Abbasey berkata, pihak berkuasa Switzerland memaklumkan mereka tidak akan membuka semula kes tersebut yang dibekukan apabila Zardari menjadi ketua negara pada 2008.
Pakistan mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Switzerland pada Oktober lalu untuk membuka semula penyelewengan membabitkan Zardari yang melibatkan berjuta-juta dolar atas arahan Mahkamah Agung.
Zardari dan isterinya, Allahyarham Benazir Bhutto dituduh menggunakan akuan bank di Switzerland untuk melakukan penyelewengan melibatkan AS$12 juta (RM37.2 juta). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130211/lu_06/Presiden-Pakistan-kebal#ixzz2KaFyxShW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga doktor Korea Selatan maut dalam serangan di Nigeria


Darjat politik rendah Malaysia menjadi-jadi



Harakahdaily,11 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malsyia (Mapim) amat kesal darjat politik di negara ini sudah menurun dari politik serius untuk mengurus kehidupan rakyat menjadi politik menabur wang dan menghidang hiburan kepada rakyat.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid(gambar) berkata, sekarang politik pecutan terakhir yang sedang digerakkan ialah menaburkan lagi wang yang tersisa untuk rakyat dan menghimpunkan rakyat dengan hiburan mega walaupun berbelanja besar untuk membayar artis luar sehingga mencecah RM2 juta.

“Kami mempersoalkan serendah mana lagi parti pemerintah mahu bawa rakyat dan negara ini dalam berpolitik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan beliau seterusnya seperti di bawah.
Kami senaraikan kerendahan berpolitik yang sangat memalukan yang dilakukan oleh peneraju pemerintah negara sepanjang tempoh berkempen untuk PRU13 yang bakal diadakan:

1. Menyebar bahan lucah untuk memfitnah lawan politik

2. Mempertajamkan politik perkauman untuk meraih undi kaum tertentu.

3. Mengguna isu agama untuk mempolemik dan menegangkan perhubungan antara penganut agama.

4. Mengguna wang dan janji peruntukan besar untuk ditabur kepada rakyat.

5. Menjemput artis luar dengan bayaran tinggi untuk menghimpun rakyat.

7. Membeli wakil rakyat untuk mengkhianati undi rakyat.

8. Mengerah jabatan awam untuk mengguna seluruh peruntukan bagi menabur wang kepada rakyat diluar bajet yang direncanakan.

9. Mengguna media awam untuk menyerang parti lawan tanpa memberi peluang parti lawan untuk menjawab serangan.

10. Mengguna pihak keselamatan untuk menekan parti lawan.

11. Mengguna kumpulan samseng untuk mengganggu dan menyerang majlis parti lawan.

Dari senarai di atas kami menjangka martabat berpolitik di negara ini tidak lagi menuju kepada kematangan dan menilai politik sebagai perjuangan yang mulia dan dihormati tetapi sudah jatuh ket ahap politik murahan yang sangat memalukan.

Kini menjemput artis terkenal dari Korea yang menelan belanja yang tidak munasabah dihidangkan kepada rakyat hanya dengan tujuan untuk menarik kehadiran rakyat dan mencelah peluang untuk berkempen.

Malah ada wakil rakyat yang terlalu ghairah untuk turut menari di pentas bersama artis tersebut hanya untuk mencari populariti murahan.

Tabiat seperti ini samasekali bukan lagi menyumbang kepada politik sihat dan bermaruah tinggi tetapi terjebak dengan politik lucah dengan tarian yang bertentangan dengan nilai timur apatah lagi nilai agama.

Kami juga amat prihatin betapa artis tempatan meluahkan rasa tidak puas hati bila pihak penganjur mengenepikan mereka untuk memberi layanan lebih utama kepada artis luar.

Keluhan mereka bahawa janji pihak kerjaaan untuk memberi pelbagai insentif kepada industri dan artis tempatan ternyata menghampakan.

Kini tiba-tiba seorang artis luar ditampilkan hanya untuk menghimpun peminat dan mengambil kesempatan untuk berkempen sempenan perayaan Tahun Baru Cina dengan belanja besar yang melampau.

Kami lebih kesal jika pihak pemerintah melalui penganjur dan penaja mampu mengeluar belanja sebesar itu untuk seorang artis luar, bagaimana pula nasib sekolah desa dan sekolah agama yang masih daif tidak mendapat peruntukan sebesar itu untuk ratusan ribu pelajar dan pendidiknya.

Inilah politik yang sangat memalukan bukan sahaja untuk rakyat malah juga memaparkan darjah politik rendah dimata dunia. Sebagai sebuah negara anggota OIC serta Asean yang sangat sarat dengan nilai agama dan nilai hidup ketimuran, acara dan politik hiburan sebegini sangat pelik dan tidak melambangkan kematangan dan memgutamakan politik berfikiran murni dan tinggi.


Adakah ini yang hendak dibangunkan setelah negara mendewasa sebagai negara merdeka dengan slogan 1 Malaysia. Transformasi sosial apakah yang dimaksudkan oleh PM Datuk Seri Najib bila melaungkan retorik bahawa negara perlu mempunyai rakyat yang kuat berpegang kepada nilai moral dan budaya murni tetapi dalam masa yang sama merestui acara yang menampilkan hiburan yang tidak ada kaitan malah bertentangan sama sekali dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini.

Kami kesal bila retorik transformasi sosial hanya menjadi slogan berniat politik untuk menarik pengundi tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal diterima terutama kepada generasi muda.

Kem Iran di Iraq dibedil




11 Februari 2013
Kem Iran di Iraq dibedil
Wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban di kem Liberty, Iraq.
BAGHDAD - Sekurang-kurangnya lima maut manakala 40 cedera selepas penyerang tidak dikenali melepaskan puluhan mortar dan roket di kem pelarian Iran berdekatan Baghdad di Iraq.
Media tempatan melaporkan, serangan di kem Liberty itu mungkin sengaja dilakukan kerana terdapat kira-kira 3,000 penempatan Kumpulan Mujahedeen-e-Khalq (MEK) yang disifatkan sebagai pengganas Iran.

Menurut pegawai keselamatan Iraq, lima ahli MRK dilaporkan terbunuh dalam serangan itu

“Kira-kira 40 roket dan mortar membedil kawasan penempatan itu pada waktu subuh,” katanya.

Misi Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq dipanggil melakukan siasatan segera terhadap kejadian itu.

Duta khas PBB di Iraq, Kobler Martin pula mendesak pihak berkuasa Iraq melakukan siasatan segera bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“PBB mengutuk serangan itu. Pelaku perlu dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian Antonio Guterres dan wakil Kesatuan Eropah turut mengutuk serangan terbabit. - Reuters

Pembedahan Basri dijangka bulan April



Pembedahan Basri dijangka bulan April
Perkembangan Basri kini ialah berat badannya semakin bertambah sehingga boleh dilihat dari pipinya yang tidak seperti dulu, selain mampu mengalihkan pandangan untuk memerhatikan
KANGAR - Harapan menjalani kehidupan seperti remaja seusianya kembali bersinar buat Mohd Basri Basharudin, 18, apabila dijangka menjalani pembedahan menggantikan tempurung kepala tiruan selepas pemeriksaan susulan dijalankan pada 4 April depan.

Pakar perubatan juga mengesahkan tahap kesihatannya semakin stabil selain selain kos perubatan yang diperlukan sudah mencukupi.

Ibunya, Jamilah Kamis, 41, berkata, 31 Januari lalu dia dan suami membawa Basri berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap perkembangannya supaya mendapat tarikh untuk menjalani pembedahan.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, doktor turut mengambil ukuran tempurung kepala tiruan yang bersesuaian berdasarkan saiz asal diperlukan Basri untuk dibuat penempahannya.

“Doktor memaklumkan bahawa Basri boleh melakukan pembedahan yang berkemungkinan dalam bulan April ini,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan bahawa saiz tempurung kepala yang diperlukan Basri sudah dimuktamadkan dan sebanyak 30  skru akan digunakan bagi menampung pemasangan kedua-dua belah tempurung itu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan anak ketiga daripada empat beradik itu memerlukan sejumlah wang antara RM7,000 hingga RM10,000 bagi menjalankan pembedahan menggantikan tempurung kepala tiruan malah melalui daripada pembaca prihatin, dana berkenaan berjaya disampaikan kepada keluarganya.

Dalam pada itu, Jamilah berharap anaknya dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa lain selepas menjalani pembedahan.

“Walaupun mengambil masa yang panjang namun kami sekeluarga tidak putus harap untuk memberi semangat  kepada Basri bagi melihat keadaannya pulih seperti sedia kala supaya dapat memulakan kehidupan baru setelah lebih setahun terlantar di katil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Basharudin Bakar, 48, berkata, dia bersyukur kerana mendapati  berat badan anak itu semakin bertambah yang menunjukkan perkembangan positif selain boleh melakukan tindak balas  lain.

“Perkembangan itu jelas kelihatan apabila pipinya yang semakin membulat dan saiz badannya pula makin berisi dan dia (Basri) juga boleh mengesan orang yang lalu di hadapannya dengan memusing sedikit leher selain mampu mengangkat kedua tangannya sejak bulan Januari lalu,” katanya.

Mahkamah Mesir arah sekat akses YouTube



KAHERAH - Mahkamah Kaherah mengarahkan kerajaannya menyekat akses kepada laman YouTube bermula hari ini.

Hakim Hassouna Tawfiq berkata, tindakan itu diambil selepas menerima banyak aduan dari penduduk Mesir bahawa laman YouTube menjadi ancaman kepada keamanan sosial selepas tercetusnya rusuhan di seluruh negara Islam hingga membawa kepada ratusan kematian berpunca daripada penyebaran filem anti-Islam tahun lalu.

“Kerajaan masih boleh mengemukakan petisyen terhadap keputusan sekatan ini,” katanya dipetik AP.

Beliau berkata, penduduk Mesir melahirkan kebimbangan sekiranya perkara sama bakal berulang berikutan laman web ini mudah diakses.

“Mahkamah menerima banyak desakan untuk menyekat terus laman web ini kerana penduduk Mesir percaya negara Barat akan berterusan melakukan provokasi dan ancaman sosial terhadap masyarakat Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bagi syarikat induk YouTube, Google berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang arahan berkaitan penyekatan ini dari mahkamah atau kerajaan negara itu.

September tahun lalu, kira-kira 50 maut di Kaherah manakala 20 negara melakukan protes terhadap penayangan filem pendek menghina Nabi Muhammad SAW yang dihasilkan oleh seorang warganegara Amerika Syarikat.

Pengebumian mangsa rogol, ratusan hadir



JOHANNESBURG - Ratusan orang menghadiri pengebumian mangsa rogol kejam di Bredasdorp, Cape Town Barat yang telah mencetuskan kemarahan banyak pihak di seluruh negara.

Remaja berumur 17 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan teruk berikutan perut mangsa dibelah hingga ke bahagian kemaluannya.

Pihak berkuasa memaklumkan, tiga lelaki termasuk bekas teman lelaki remaja malang tersebut telah ditahan dan kesemua mereka akan dihadapkan ke mahkamah pada hari ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma turut menggesa tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas golongan wanita dihentikan segera. - AP

Bekas ketua perisik Indonesia nafi ketuai operasi sulit CIA seksa tahanan




9 Februari 2013
JAKARTA - Bekas ketua Badan Intelijen Negara (BIN) Indonesia, AM Hendropriyono mengaku menyerahkan tiga suspek militan kepada agensi perisikan pusat Amerika, CIA, tetapi menafikan beliau mengetahui rancangan sulit negara itu untuk menahan dan menyeksa suspek pengganas dari seluruh dunia dalam usaha memerangi keganasan.

Beliau berkata, suspek berkenaan ditahan di Poso, Sulawesi Tengah pada 2002 dalam operasi yang tidak mempunyai kaitan dengan CIA.

"Kami tidak mendapat sebarang perintah daripada CIA. Saya masih ingat, kami menahan tiga warga asing yang terbukti mendalangi pertelingkahan antara penganut Kristian dan Islam di Poso pada sekitar 2002.

"Akhirnya, saya ambil keputusan memindahkan tiga suspek berkenaan kepada CIA kerana pihak berkuasa kami, termasuk Polis Nasional dan Dewan Perwakilan Rakyat, menolak hasil siasatan kami," kata Hendropriyono yang dipetik The Jakarta Post, hari ini.

Akhbar harian itu melaporkan bahawa laporan Open Society Justice Initiative (OSJI) berpejabat di New York setebal 213 halaman mendedahkan bahawa sejak 2002, Hendropriyono dipercayai membantu CIA menahan tiga suspek berkenaan – Muhammed Saad Iqbal Madni, Omar al-Faruq dan Salah Nasir Salim Ali Qaru (Marwan al-Adeni) - dan mendakwa mereka kemudian dipindah ke negara lain untuk ditahan dan diseksa secara rahsia.

Bekas ketua agensi perisikan itu berkata, apabila penemuan BIN ditolak,beliau memaklumkan kepada agensi perisikan asing, termasuk CIA, tentang penahanan tiga suspek terbabit.

CIA kemudian meminta BIN menyerahkan suspek kepadanya kerana mereka termasuk dalam senarai orang yang dikehendaki, kata beliau. – Bernama

Presiden Syria rombak Kabinet




10 Februari 2013
Presiden Syria rombak Kabinet
Pihak berkuasa sedang memadamkan kebakaran di sebuah kilang di Aleppo yang didakwa telah dibedil tentera Assad, kelmarin. Foto: Reuters
DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad merombak Kabinet dan melantik beberapa menteri baru untuk mengendalikan ekonomi yang terjejas teruk akibat krisis meruncing selama dua tahun di negara itu, menurut media tempatan, semalam.

Stesen TV tempatan melaporkan antara kementerian yang terlibat dalam rombakan tersebut adalah Hal Ehwal Sosial, Buruh, Perumahan, Pertanian, Kewangan dan Minyak manakala Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri pula kekal tanpa sebarang perubahan.

Sementara itu, Menteri Maklumat, Omran al-Zoubi memaklumkan kerajaan sudah bersedia untuk menyertai sesi dialog bersama dengan kumpulan pembangkang tanpa prasyarat.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai dua juta penduduk di Syria kini kehilangan tempat tinggal manakala empat juta lagi memerlukan bantuan segera dari negara antarabangsa.

Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Manusia PBB, Jens Laerke berkata, situasi kemanusiaan di negara bergolak itu mencapai tahap 'bencana' berikutan 2.5 juta penduduk dilanda krisis kekurangan bekalan makanan.

Kelmarin, kerajaan Turki turut mengumumkan mereka telah membelanjakan lebih AS$600 juta (RM1.9 bilion) untuk menanggung kira-kira 170,000 pelarian Syria yang mendapat perlindungan di sempadan. - AP

Lima askar terbunuh serangan bom di Selatan Thailand




10 Februari 2013
BANGKOK - Lima anggota tentera terbunuh dalam serangan bom di Kampung Kubae Talak, Thatong, Reman, Yala, hari ini.

Ketua polis Thatong Lt Kol Topan Pusantiar berkata dalam kejadian itu, bom seberat 50kg yang dipasang pada sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan diletupkan apabila sebuah trak membawa enam anggota tentera melintasinya pada pukul 7.10 pagi.

Kesemua anggota tentera berkenaan tercampak keluar akibat letupan itu.

"Selepas itu, 10 anggota militan berpakaian renjer menembak mereka dari jarak dekat, mengakibatkan lima anggota tentera maut dan seorang cedera. Mereka juga merampas senjata anggota tentera terbabit," katanya.

Ketua Polis itu berkata anggota militan juga menebang pokok untuk merintangi laluan ke tempat kejadian bagi menghalang operasi bantuan.

Katanya anggota tentera yang cedera itu kini dirawat di Hospital Yala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta yang digunakan dalam serangan itu dicuri daripada guru besar Sekolah Kampung Bangol, yang ditembak mati oleh militan Disember lepas.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak pemisah dipercayai melancarkan kempen bersenjata untuk menuntut kemerdekaan wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand sembilan tahun lepas.- Bernama

Tunjuk perasaan di 27 wilayah di Mesir




10 Februari 2013
Tunjuk perasaan di 27 wilayah di Mesir
Penunjuk perasaan membaling batu ke arah pihak berkuasa selepas polis menyembur air ke arah mereka berhampiran istana presiden di Kaherah, kelmarin. Foto: AP
KAHERAH - Ribuan penunjuk perasaan di 27 wilayah di Mesir bertempur dengan pihak berkuasa dalam protes besar-besaran yang berterusan menggesa Presiden Mohammed Mursi untuk memenuhi matlamat revolusi kebangkitan rakyat di negara itu.

Kementerian Kesihatan melaporkan lebih 120 orang turut cedera dalam insiden keganasan di seluruh negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, perdana menteri, Hisham Qandil mengutuk tindakan pihak yang cuba untuk menjejaskan kestabilan di Mesir dengan cara menentang kerajaan menerusi penganjuran protes ganas seumpama itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Mesir telah dicemari protes anti-Mursi selepas pihak pembangkang mendakwa beliau menggunakan kuasanya sebagai presiden hanya untuk menjaga kepentingan Ikhwanul Muslimin. - AFP

Rancangan peluru berpandu balistik, Iran main teka-teki



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2013
Rancangan peluru berpandu balistik, Iran main teka-teki
Rancangan peluru berpandu balistik, Iran main teka-teki
KEBELAKANGAN  ini, Iran dilihat mencapai kemajuan dalam teknologi penerbangan angkasa. Daripada Program Nuklear Teheran, penghasilan pesawat futuristik Qaher F-313 hinggalah ke kisah monyet. Kesemua pencapaian itu bagi merealisasikan agenda rahsia Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Terbaru, seekor monyet ‘menghadiahkan’ kejayaan kepada negara republik Islam itu dalam mencapai satu lagi misi penting. Agensi Angkasa Iran mengumumkan secara rasmi mereka berjaya melancarkan seekor monyet hidup ke angkasa lepas.

Kapsul angkasa dipanggil Pishgam, bermaksud 'perintis' dalam bahasa Parsi itu, dilaporkan kembali bersama monyet hidup selepas penerbangan ke angkasa dan kembali semula ke bumi.

“Iran menghantar monyet ke angkasa di dalam kapsul bio asli sebagai permulaan menghantar manusia ke angkasa,” lapor Agensi Berita Republik Islam.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi memberitahu, kejayaan itu membuka jalan untuk kejayaan seterusnya.

“Monyet dalam pelancaran itu, mendarat dengan selamat dan masih hidup. Ini adalah kejayaan bagi saintis kita,” katanya.

Namun, kejayaan itu memberi tekanan dan kebimbangan terhadap Barat apabila dikatakan ujian terbabit mempunyai kaitan dengan rancangan Iran dalam program pembangunan peluru berpandu balistik.

Peluru berpandu balistik

Iran mencapai kemajuan kukuh dalam pembangunan peluru berpandu balistik yang mampu melepaskan ledakan hingga ke sasaran pada jarak 2,500 ke 3,200 kilometer.

Pada Februari 2009, Iran membuat penemuan teknologi utama dengan melancarkan Omid-1 iaitu satelit penyelidikan saintifik dibangunkan oleh Agensi Angkasa Iran dengan menggunakan roket Safir-2 versi Shehab.

Tidak seperti meletakkan monyet di angkasa, pelancaran ke orbit dari Pusat Penyelidikan Angkasa Semna di tenggara Tehran adalah gambaran awal keupayaan peluru berpandu balistik Iran.

Program peluru berpandu Iran sering dikutuk negara antarabangsa hingga berhadapan sekatan pada pertengahan 2010.

Penganalisis barat berpendapat, sekatan ini memberi tamparan buat Iran terutamanya untuk mendapatkan komponen dan peralatan berteknologi tinggi.

Pada November 2011, Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Hassan Tehrani Moghaddam yang dianggap dalang di sebalik program peluru berpandu itu telah terbunuh dalam siri letupan di Pangkalan Pengawal Kor Peluru Berpandu, 30 kilometer barat Teheran.

AS dan perisikan Israel dipersalahkan kerana dipercayai sengaja mensabotaj pangkalan tersebut bagi memusnahkan beberapa peluru berpandu balistik.

Pada Julai 2012, Kajian Strategik Institut Antarabangsa di London melaporkan pembangunan peluru berpandu balistik negara itu adalah paling maju selepas kejayaan Sejjil-2 yang mampu menjangkau ke sasaran sehingga 1,375 kilometer.

Jabatan Angkasa Kementerian Pertahanan Iran dalam satu laporan menyatakan, Sejjil-2 yang membawa 215 tan bahan bakar itu mampu membedil Israel dari Teheran. Perkara itu menjadi kebimbangan utama kuasa Barat ketika ini.

Reaksi Barat dan Israel

Pakar peluru berpandu AS mengakui, Iran mempunyai 400 senjata balistik.

Pentadbiran Barack Obama bimbang dengan kemajuan ini kerana Iran adalah musuh tradisinya sejak 1945.

Bekas pengarah peluru berpandu balistik Israel, Uzi Rubin berkata, Sejjil-2 adalah lonjakan dalam keupayaan peluru berpandu Iran sekali gus menjadi aset penting buat negara Islam.

Sehingga kini, kuasa Barat diketuai AS gagal mengadakan rundingan diplomatik bagi menghentikan usaha Iran itu.

Pengkritik Barat menyatakan, AS bimbang apabila aplikasi ketenteraan program roket ini berpotensi menjadi penggalak kepada negara lain seperti Korea Utara dan China untuk menghasilkan peluru berpandu jarak jauh.

Iran guna haiwan

Selepas puas dengan pelbagai kajian melibatkan bahan api, Iran kini mengguna pakai semula teori penggunaan haiwan dalam pembangunan peluru berpandu mereka.

Usaha Iran ini harus dijadikan contoh kerana mereka tidak pernah putus asa atau tertekan malah berulang kali menegaskan pelancaran roket ini bertujuan untuk proses pembelajaran.

Ketika negara antarabangsa mengkritik Program Peluru Berpandu Teheran, Iran pada masa sama menghantar seekor monyet spesies rhesus untuk ujian pelancaran angkasa.

Namun, tidak jelas sama ada ada ujian itu berjaya atau sebaliknya kerana gambar monyet yang mengikuti misi itu berlainan ketika berlepas dan pendaratan.

Negara Barat menyelar penyebaran gambar berkenaan dan menyatakan misi itu gagal.

Pada Februari 2010, Iran pernah menghantar seekor tikus, dua ekor penyu dan seekor cacing ke angkasa dengan roket Kavoshagar-3 tetapi pada tahun 2011 cubaan Iran melancarkan monyet hidup ke angkasa mengalami kegagalan tanpa diketahui sebabnya.

Pegawai angkasa Iran pernah berkata, mereka berharap dapat meletakkan angkasawan di bulan menjelang tahun 2025.

Saudi tahan 30 wanita demo tuntut tahanan dibebas




RIYADH - Hampir 30 wanita dan sekurang-kurangnnya lima kanak-kanak ditahan susulan demonstrasi yang diadakan di ibu negara Arab Saudi dan Buraida semalam.

Wanita tersebut menuntut agar saudara mara mereka dibebaskan daripada tahanan, yang ditahan tanpa perbicaraan selama beberapa tahun dan tidak diberi kebenaran akses kepada peguam.

Mohamed Al-Qahtani, seorang aktivis terkemuka yang kini dalam perbicaraan memberitahu CNN bahawa mereka yang mengadakan protes itu adalah "saudara perempuan tahanan politik."

"Mereka mahu pihak berkuasa sama ada membawa tahanan ke mahkamah atau membebaskan mereka," kata Mohamed.

Di Riyadh, seorang aktivis yang merupakan sebahagian daripada peserta demonstrasi berkata, demonstrasi telah diadakan di luar bangunan yang menempatkan salah satu kumpulan hak asasi manusia yang disokong kerajaan.

Kira-kira 50 wanita berdemonstrasi dan  sekurang-kurangnya dua daripadanya telah ditangkap.

"Mereka berada di sana hari ini (semalam) untuk meminta  saudara-mara mereka dibebaskan.

"Mereka telah dipenjarakan untuk jangka masa yang panjang dan tidak ada peguam," kata aktivis.

Menurut dua aktivis lain, tiga wanita yang ditangkap di Riyadh adalah isteri, anak perempuan dan cucu kepada Suleiman al-Rashudi, seorang aktivis poltik yang ditangkap pada Disember lepas.

Di Buraida, ibu kota wilayah Qassim, aktivis mengatakan sekurang-kurangnya 26 wanita membantah dan ditahan.

PM Tunisia ancam letak jawatan




11 Februari 2013
Hamdi Jebali
Hamdi Jebali
TUNIS - Perdana Menteri Tunisia, Hamdi Jebali, semalam mengancam untuk meletak jawatan jika cadangan beliau untuk menubuhkan kerajaan teknokrat ditolak parti Ennahda atau parti lain.

Jebali berkata, beliau akan mengumumkan barisan Kabinet baru negara itu menjelang minggu depan jika penubuhan kerajaan sementara tersebut dipersetujui semua pihak.

"Saya yakin keputusan ini adalah jalan terbaik meredakan keadaan pada masa ini," jelasnya. 

Rabu lalu, pemimpin itu memaklumkan bahawa beliau mahu membubarkan kerajaan campuran diterajui parti Ennahda selepas protes antikerajaan di ibu negara susulan daripada insiden pembunuhan pemimpin parti pembangkang, Shokri Belaid.

Bagaimanapun, Ennahda telah menolak cadangan Jebali tidak lama selepas beliau memberitahu akan memperoleh sokongan penuh dari parti tersebut pada Jumaat lalu.- Al-Jazeera

Penyerang bangunan Parlimen India jalani hukuman gantung




NEW DEHLI – Kerajaan India pagi tadi melaksanakan hukuman gantung ke atas Mohammed Afzal Guru, yang didapati bersalah menyerang bangunan Parlimen pada tahun 2001, selepas rayuan terakhirnya ditolak oleh Presiden, Pranab Mukherjee 3 Februari lalu.

Menurut seorang pegawai, Mohammed, bekas penjual buah-buahan, telah digantung di Penjara Tihar sekitar 10.30 pagi waktu tempatan, merupakan orang kedua yang digantung di India dalam tempoh hampir sedekad.

Sepanjang berada dalam penjara, Mohammed sentiasa menafikan dakwaan merancang serangan itu.

Dia merupakan salah seorang daripada dua lelaki yang dihukum gantung kerana didapati bersalah berkomplot merancang serangan itu yang turut mengorbankan sembilan orang.

Psy selesai buat persembahan di Pulau Pinang



 
Foto


Foto
GEORGETOWN: Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia menutup tirai dengan persembahan bertenaga penyayi rap Korea Selatan, Psy sebentar tadi.

Psy yang pertama kali membuat pesembahan di negara ini sempena program anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, menyayikan lagu popularnya "Gangnam Style" dengan disaksikan kira-kira 100,000 pengunjung.
Orang ramai membanjiri padang Kolej Han Chiang di sini, menanti kehadiran Psy sejak jam 9 pagi tadi.

Majlis ini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sukarelawan diserang hendap



Bangkok: Seorang sukarelawan pertahanan terbunuh dan rakannya cedera parah selepas mereka diserang hendap di daerah Yarang di wilayah Pattani, semalam.

Jurucakap polis, Jirawat Thongtha berkata, mangsa dikenali sebagai Sulhiblee Ta-yeh, 28.


Menurut polis, mangsa dan rakannya, Ibrorhim Salae, 30, menaiki pikap dalam perjalan pulang di Yala dengan mengikuti jalan biasa apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang bersembunyi di sebalik pokok getah menyerang mereka.

Penyerang berkenaan kemudian melarikan diri.


Menurut Jirawat, Sulhiblee yang ditembak beberapa kali mati terperosok di tempat duduk pemandu.- AP