Thursday, May 26, 2011

Surat berisi serbuk pedih: Perkasa buat laporan polis



Syed Hassan Syed Ali menunjukkan surat layang mengandungi serbuk oren yang dipercayai beracun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis setelah menerima sepucuk surat layang mengandungi serbuk oren yang dipercayai beracun.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 4 petang oleh Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali setelah beliau membuka surat berkenaan di ibu pejabat Perkasa di Jalan Pahang pagi ini.

Syed Hassan berkata, ketika membuka sampul surat berwarna coklat yang ditujukan kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kira-kira pukul 10.30 pagi, beliau melihat ada serbuk berwarna oren yang tidak diketahui jenisnya.

Katanya, beliau bimbang setelah tangannya terasa amat pedih apabila memegang surat itu yang diposkan dari Shah Alam.

"Oleh itu, saya bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan segera dilakukan berhubung pelaku dan kandungan serbuk yang terdapat pada surat layang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu hari ini.

Syed Hassan berkata, Perkasa percaya perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan perjuangan pertubuhan tersebut.

Tegas beliau, tindakan yang dilakukan individu terbabit merupakan satu perbuatan pengecut.

"Sekiranya mereka yang terlibat tidak dikenakan tindakan tegas, kita percaya ia mungkin berulang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pelatih PLKN koma masih terlantar di hospital




KRISHNAMARY sedih melihat keadaan Tamilarasi yang terlantar sakit sejak Februari lalu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam.


SEREMBAN 25 Mei - Mungkin ramai sudah melupakan seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), A. Tamilarasi, 18, yang dilaporkan koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini Februari lalu.
Pelatih yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Desa Cempaka, Nilai dekat sini itu dimasukkan ke HTJ selepas dikatakan demam panas sewaktu menjalani latihan PLKN di Kem PDS Resort, Pasir Panjang, Port Dickson.
Namun selepas hampir empat bulan, Tamilarasi masih terlantar di atas katil hospital HTJ itu dalam wad pengasingan dengan ahli keluarga menemaninya 24 jam sehari secara bergilir-gilir.
Keadaan semakin menyedihkan apabila pelajar yang aktif dan bercita-cita menjadi jururawat itu kini dipasang tiub ke perut melalui rongga hidung untuk menyalurkan susu, manakala lehernya pula terpaksa ditebuk untuk memudahkan pernafasan.
Ibunya, A. Krishnamary, 40, berkata, Tamilarasi tidak mampu bercakap, malah tidak mengenali mereka di sekelilingnya selain mendongakkan kepala dan merenung tajam ke siling hospital itu.
Katanya, Tamilarasi memasuki kem di Port Dickson pada 2 Januari lalu dan beberapa hari kemudian menghidap demam panas, bagaimanapun pihak pengurusan kem tidak merujuknya ke hospital, sebaliknya memberi Panadol selepas mendapati keadaannya tidak begitu serius.
Kata Krishnamary, suaminya, K. Anandan, 41, telah pergi ke kem berkenaan pada 2 Februari bagi membawa pulang anaknya itu kerana cuti Tahun Baru Cina, tetapi terkejut melihat keadaan Tamilarasi.
''Kami kemudian membawanya ke klinik untuk rawatan lanjut dan pada 8 Februari, dia dimasukkan ke HTJ dan berada dalam keadaan koma.
''Doktor hanya memberitahu anak saya dijangkiti virus pada organ utama termasuk otak, leher dan jantung. Apa jenis virus itu, masih tidak dapat dipastikan," ujarnya.
Kini, memandangkan keadaan Tamilarasi yang semakin kritikal, Krishnamary hanya balik ke rumahnya di Nilai sekali dalam seminggu.
''Kami tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Hati saya tersentuh setiap kali melihat Tamilarasi menghembuskan nafas," katanya sambil menjelaskan pihak pengurusan kem ada datang melawat anaknya itu.
Tamilarasi merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik dan merupakan anak perempuan tunggal bagi pasangan itu.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Anak ketua madrasah juga maut



HULU LANGAT 25 Mei - Tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa baru-baru ini bukan hanya meragut nyawa penghuni madrasah itu malah turut mengorbankan anak Ketua Pentadbiran dan Pembangunan di rumah berkenaan.
Muhammad Naerzeim, 8, anak kepada Mohd. Noor Ismail, 46, mayat pertama yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dalam kejadian Sabtu lalu.
Mangsa merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua yang sering mengunjungi madrasah tersebut untuk mempelajari ilmu agama selain mendekati penghuni rumah berkenaan.
Mohd. Noor ketika ditemui berkata, tiada perasaan yang dapat digambarkan selain sayu dan pilu di saat melihat mayat anaknya diusung keluar dari timbunan tanah runtuh.
"Saya tidak dapat menahan rasa sedih ketika melihat mayat anak saya itu dikeluarkan. Saya kemudian kuatkan semangat untuk terus mencari mangsa-mangsa lain yang masih berada di bawah runtuhan tersebut," katanya ketika ditemui di penempatan sementara penghuni di Resort Lembah Azween hari ini.
Mohd. Noor berkata, madrasah itu merupakan antara perancangan dan projek di bawah kelolaan Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia.
"Sebelum ini kami telah merancang untuk membina beberapa rumah yang menempatkan anak-anak yatim. Bagaimanapun ini merupakan rumah pertama berjaya dibina.
"Penubuhan madrasah ini mula dirancang sejak 1997 namun ia hanya menjadi kenyataan pada 2002 hasil titik peluh persatuan ini," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Anak kudung jaga ayah uzur


DAIF...Ismail yang uzur terpaksa dipangku cucunya, Mazlan sementara Habsah menyuapkan air.
DAIF...Ismail yang uzur terpaksa dipangku cucunya, Mazlan sementara Habsah menyuapkan air.


PELABUHAN KLANG: Dia dikatakan antara peneroka terawal Kampung Sungai Pinang dekat Pulau Indah, di sini, bagaimanapun kini hidupnya hanya terbaring di kediaman yang amat uzur.
Oleh Amir Abd Hamid amir@hmetro.com.my Begitulah nasib warga emas, Ismail Ahmad, 97, yang hanya mampu terbaring selepas diserang angin ahmar kira-kira tujuh bulan lalu. Lebih menyedihkan, anak perempuan yang menjaganya, Habsah Ismail, 57, kudung kedua-dua belah kaki daripada pangkal peha sejak dilahirkan.

Ketika wartawan serta jurufoto berkunjung ke rumahnya semalam, situasi menyayat hati dapat dilihat apabila Ismail yang tidak mampu bertutur dengan jelas terpaksa dipangku Habsah dan cucu warga emas itu untuk meneguk minuman.

Habsah berkata, lebih pilu apabila hujan lebat, bumbung tempat Ismail berbaring bocor menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menakung air di sekitar tilam bapanya itu.

Selain Habsah dan bapanya, rumah usang yang dibina semasa Ismail masih muda itu turut didiami anak Habsah iaitu Mazlan Mohd Yunus, 27, dan Zulkifli, 26.


Malang bertimpa apabila Mazlan menghidap penyakit jantung menyebabkan dia tak mampu bekerja dan keluarga itu terpaksa bergantung harap kepada Zulkifli dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

“Saya amat berharap orang ramai sudi membantu daripada segi kewangan untuk membaiki rumah kami. Sebelum ini memang saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai jahit, namun sekarang sudah tak upaya.

“Dulu saya kuatkan hati berjalan guna kedua-dua belah tangan untuk bekerja tetapi sekarang tak boleh, lebih-lebih lagi ayah yang uzur perlu dijaga setiap masa. Sedih betul lihat ayah yang juga antara peneroka awal di tempat ini,” kata Habsah yang diceraikan suami lima tahun lalu.

Menurutnya pada masa ini, dia menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun wang sebanyak itu hanya boleh dihabiskan untuk belanja dapur mereka empat beranak.

“Apa yang penting sekarang, rumah ini perlu dibaiki. Kami tak dapat nak kumpul wang bagi tujuan itu dan diharapkan orang ramai dapat membantu kami.


“Sekurang-kurangnya apabila rumah dibaiki, hidup ayah saya yang kini tak dapat melihat dan bangun akan lebih selesa,” katanya.


Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Mazlan di 017-333 1202 atau ke rumah mereka di Lot 7395, Kampung Sungai Pinang, 42920 Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
myMetro | Anak kudung jaga ayah uzur

Suri rumah ‘tertidur’ setiap kali ketawa

LONDON: Menghidap penyakit cataplexy menyebabkan seorang wanita, Claire Scott, tertidur setiap kali dia ketawa.
Disahkan menghidap penyakit yang jarang berlaku, otot ibu kepada dua anak itu akan lemah setiap kali emosinya meningkat.

Cataplexy menyebabkan Claire tumbang sehingga 50 kali sehari sejak zaman kanak-kanaknya.
Pada satu ketika, Claire, 24, pernah tertidur 25 kali ketika menghadiri majlis Krismas yang penuh meriah.

Selepas diberi ubat antimurung, keadaan Claire agak terkawal sehinggalah baru-baru ini dia sekali lagi tumbang apabila anaknya - berusia lima tahun - membuat kelakar.

Kata Claire, dia gagal menahan diri daripada ketawa.
“Perkara pertama yang saya ingat selepas itu ialah suami saya, David, mengangkat saya dari lantai dapur,” katanya.

Serangan cataplexy berlangsung beberapa saat atau minit dan sepanjang tempoh itu, penghidapnya hanya mampu mendengar tetapi tidak dapat melihat. Satu ketika dulu, doktor pernah menyangka Claire menghidap masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan. - TS
myMetro | Suri rumah ‘tertidur’ setiap kali ketawa

Jarum, paku dalam badan

SUBANG: Sekumpulan doktor di Hospital Ciereng Subang semalam berjaya mengeluarkan tiga daripada empat jarum yang berada dalam tubuh kanak-kanak, Erik Nuriana.
Pembedahan yang membabitkan pakar bedah, pakar bius, ahli radiologi dan beberapa kakitangan perubatan lain mengambil masa tiga jam. Daripada empat jarum yang bersarang dalam perut Erik, pakar perubatan berkenaan mengeluarkan tiga yang sudah berkarat sementara yang keempat gagal dikeluarkan kerana sudah memasuki usus besar.

“Satu daripada empat jarum yang berada dalam tubuh Erik belum dapat dikeluarkan kerana ia berada di dalam usus besar.
“Kami berharap ia akan keluar apabila dia membuang air besar,” kata pakar bedar, Dr Jaya Sutisna kepada akhbar Internet, Inilah.com, selepas pembedahan itu.

Terdapat empat jarum dikesan berada dalam tubuh kanak-kanak berusia 14 bulan itu sebelum ini.

"Keputusan untuk melakukan pembedahan selanjutnya atau tidak adalah terletak kepada pakar bedah yang merujuk kepada imej sinar-X bagi mengetahui perkembangan selanjutnya,” kata Jaya.
Erik mengalami kejadian ganjil sejak berusia empat bulan. Dia mengeluarkan benda keras dan berkarat seperti paku, jarum, batu dan buah rantai ketika membuang air besar.

Sehubungan itu, Hospital Ciereng Subang membentuk pasukan khas yang terdiri daripada beberapa doktor pakar untuk merawatnya. - Agensi
myMetro | Jarum, paku dalam badan

Strauss-Kahn dipindahkan ke tempat baru


NEW YORK: Bekas Ketua Pengarah Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn dipindahkan ke tempat baru dan lebih tetap di New York sementara menunggu perbicaraan kes serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel.


Strauss-Kahn kelihatan tersenyum ketika meninggalkan pangsapuri di Manhattan semalam dan kemudiannya memasuki sebuah kenderaan SUV berwarna kelabu.
Seorang pakar dalam urusan tahanan rumah berkata, Strauss-Kahn dibawa ke sebuah rumah empat bilik di kawasan Tribeca. - AP
Berita Harian Online | Strauss-Kahn dipindahkan ke tempat baru

Akmal gembira tatap wajah rakan, penjaga


TIADA kata-kata dapat menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur buat satu-satunya mangsa tanah runtuh yang dirawat di Hospital Pakar KPJ Kajang, Muhammad Akmal Mohd Jefry, 11, sebaik menatap wajah sembilan rakan serta penjaga Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, semalam.


Ditemani kedua ibu bapanya, Muhammad Akmal, semalam menziarah semua rakannya di Hospital Ampang di sini, sehari selepas dibenarkan pulang dan mengambil kesempatan singgah dari satu katil ke satu katil rakannya termasuk dua yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya gembira dapat berjumpa kawan selepas tragedi menimpa madrasah kami, Sabtu lalu. Saya doakan mereka semua cepat sembuh agar kami dapat kembali belajar bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang.
Dalam tragedi itu, Muhammad Akmal yang juga anak bongsu dari empat beradik, cedera di kaki dan kepala akibat dihempap besi khemah yang roboh ketika tanah runtuh.

Walaupun kakinya masih terasa kebas, beliau menggagahkan diri mengajak ibu bapanya ke Hospital Ampang untuk berjumpa dengan rakan lain untuk bertanya khabar dan mengetahui keadaan mereka selepas kejadian menyayat hati itu.

Menceritakan saat cemas tragedi Sabtu lalu, Muhammad Akmal yang mengikuti kelas di madrasah itu dua kali seminggu sejak dua tahun lalu berkata, ketika kejadian beliau sedang mengisi air dalam baldi sebagai persiapan menyambut kedatangan tetamu ke madrasah berkenaan.

“Bila saya berpaling, tiba-tiba saya nampak khemah yang menempatkan kawan-kawan saya, roboh. Saya juga lihat cerun di belakang khemah runtuh.
“Saya kemudian lari sekuat hati dan langsung tidak menoleh ke belakang untuk menyelamatkan diri sebelum tergelincir dan terjatuh lalu dihempap besi,” katanya yang juga antara mangsa terawal diselamatkan anggota penyelamat.

Rakannya, Mohd Harris Izzuddin Syahrul Azmi, 11, yang masih dirawat di wad khas bencana Hospital Ampang, pula berkata beliau semakin sihat dan tidak sabar kembali ke madrasah itu.

“Apabila benar-benar pulih dan dibenarkan pulang, saya mahu kembali mengikuti pelajaran di madrasah bersama rakan-rakan lain pada setiap hujung minggu seperti sebelum ini,” katanya.
Berita Harian Online | Akmal gembira tatap wajah rakan, penjaga

Mangsa kudung terima takdir



DARI kiri Muhd Alauddin Safree, Muhd Aizad Qusyhairiry Abd Karim, Muhd Harris Izzuddin Syahrul Azmi, Mohd Syafiq Ibrahim dan Siti Fatimah Ibrahim kelihatan ceria dan beransur pulih apabila ditemui di Hospital Ampang, semalam.
DARI kiri Muhd Alauddin Safree, Muhd Aizad Qusyhairiry Abd Karim, Muhd Harris Izzuddin Syahrul Azmi, Mohd Syafiq Ibrahim dan Siti Fatimah Ibrahim kelihatan ceria dan beransur pulih apabila ditemui di Hospital Ampang, semalam.

Pelajar masih sebak, trauma kenang kehilangan 16 rakan serentak

AMPANG: Mangsa tanah runtuh yang kaki kirinya terpaksa dipotong di lokasi kejadian bagi menyelamatkan nyawanya, Zulkhairi Aminuddin, 13, menerima nasib menimpanya sebagai suratan takdir dan ketentuan Allah.
Walaupun kejadian tanah runtuh itu sudah lima hari berlalu, namun beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang di sini, masih sebak dan trauma terkenangkan saat-saat cemas itu, terutama kehilangan 16 rakan serentak.
“Hingga ke saat ini saya masih sebak dan trauma dengan apa yang berlaku. Namun, saya reda dan menganggap ini semua ketentuan Allah,” katanya menitiskan air mata ketika ditemui semalam.

Zulkhairi yang belajar di madrasah itu sejak tiga tahun lalu, berkata ketika kejadian beliau berada di bawah khemah di tepi bangunan utama apabila tiba-tiba berlaku gegaran disusuli tanah runtuh.

“Kejadian berlaku sangat pantas... saya tidak sempat lari menyelamatkan diri menyebabkan kaki saya dihempap batu besar dan tertimbus di bawah runtuhan tanah sehingga ke paras pinggang,” katanya.

Kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian kerana hancur akibat dihempap batu besar.
Selain Zulkhairi, turut dirawat di ICU hospital ialah Mohd Izzuddin Abdullah @ Ibrahim, 29. Seorang lagi, Mohd Irwan Zakaria, 32, yang juga terpaksa dipotong kaki kanan kini sudah dipindahkan ke wad lain untuk pemantauan.

Seorang daripada enam yang dirawat di wad khas bencana hospital itu, Khairul Anuar Nazri, 9, pula dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana disyaki mengalami kecederaan dalaman.

Belum dapat dipastikan bila semua mangsa akan dibenarkan pulang kerana masih diberikan rawatan susulan termasuk oleh pakar psikologi berikutan trauma yang dialami mereka akibat tragedi itu.

Sementara itu, Mohd Irwan pula berkata beliau tidak mungkin boleh melupakan peristiwa sedih dan mencemaskan, Sabtu lalu itu.

Namun, Mohd Irwan yang dipotong kaki hingga paras paha, berkata beliau tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian di madrasah itu apabila sembuh kelak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Berita Harian Online | Mangsa kudung terima takdir

Kad nikah pintar diproses segera





CONTOH kad nikah pintar yang akan dikeluarkan pada hari sama jika memohon di ruang pameran e-Nikah JHEAIK sempena Karnival Halal Kelantan bermula Sabtu ini.


KOTA BHARU – Pasangan suami isteri yang belum mempunyai kad nikah pintar boleh memohon untuk mendapatkannya di ruang pameran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) sempena Karnival Halal Kelantan 2011 yang akan bermula Sabtu ini.
Ketua Penolong Pengarah Pendaftaran Undang-Undang Keluarga JHEAIK, Hasnan Ramli berkata, sesiapa yang memohon kad tersebut pada hari karnival di ruang pameran e-Nikah, proses akan dibuat serta-merta.
“Biasanya kad nikah pintar perlukan tempoh 30 hari untuk diproses sebaik permohonan diterima tetapi pada karnival ini, kita menyediakan perkhidmatan yang istimewa di mana ia akan diproses segera.
“Kita juga menyediakan perkhidmatan mengambil gambar bagi pasangan yang membuat permohonan dan dalam tempoh beberapa jam, kad mereka akan disiapkan. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50,” ujarnya.
Kosmo! Online - Negara

Sekolah diancam tanah runtuh





BALING - Kira-kira 232 pelajar dan 17 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bakai dekat sini diancam bahaya ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah bukit di belakang sekolah berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Dalam kejadian terbaru pada dua hari lalu, satu runtuhan kecil berlaku selepas hujan lebat mengakibatkan hakisan di kawasan pinggir sekolah berkenaan.
Akibatnya, dua lubang besar terbentuk yang menjadi laluan air dari puncak bukit.
Kesan-kesan runtuhan batu dan tanah itu hanya kira-kira lapan meter dari bilik darjah dan menjejaskan struktur sekolah yang berkeluasan 1.2 hektar itu.
Pengetua sekolah terbabit, Alias Abdul Rahman berkata, pergerakan tanah dikesan sejak dua hari lalu mengakibatkan berlakunya runtuhan batu dan tanah sehingga memasuki kawasan sekolah berkenaan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online - Negara