Tuesday, October 19, 2010

500 sukarelawan dari 17 negara sertai misi ke Gaza



GEORGE TOWN 18 Okt. - Kira-kira 500 sukarelawan dari 17 negara termasuk Malaysia akan menyertai Kafilah Perpaduan Asia ke Gaza Disember ini bagi membantu rakyat Palestin di sana.
Setiausaha Agong Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kafilah berkenaan akan bergerak dari India pada 2 Disember dan melalui 18 bandar di Pakistan, Iran, Turki untuk memecah kepungan Gaza menerusi jalan laut.
Katanya, kafilah berkenaan adalah anjuran Perpaduan Rakyat Asia untuk Palestin (APSP) iaitu gabungan pertubuhan rakyat, pergerakan sosial, kesatuan sekerja dan institusi masyarakat awam Asia.
"Mapim yang merupakan anggota APSP menyokong sepenuhnya inisiatif itu sebagai usaha untuk menarik penyertaan masyarakat awam Asia bagi membantu rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 15 rakyat Malaysia akan menyertai misi itu yang dijadualkan tiba di New Delhi, India pada 1 Disember ini.
"Orang ramai atau sukarelawan yang berminat untuk menyertai kafilah berkenaan boleh menghubungi Mapim dan kami bersedia untuk mendaftarkan mereka serta menyelaras peralatan yang diperlukan bagi perjalanan ke Gaza," katanya.
Mohd Azmi berkata, kafilah berkenaan yang membawa bahan bantuan kepada penduduk Gaza akan melintasi Pakistan melalui sempadan Wagah dan beberapa negara sebelum dijangka belayar ke Gaza pada 26 Disember.
"Kami harap kerajaan dan rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada usaha mulia itu yang dapat mengembalikan pembebasan, keadilan dan hak rakyat Palestin," katanya. - BERNAMA

Tiga tahun aduan tak dilayan




DAUN-DAUN kering sudah mula memenuhi saiuran air pada bumbung rumah Asiah Darus (sedang menyapu daun) di Kelana Jaya walaupun ia sebenarnya baru sahaja dibersihkan beberapa hari lalu.



PETALING JAYA 18 Okt. - "Sudah banyak aduan yang saya buat tetapi kenapa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih tidak mengambil tindakan?
"Jika ia (aduan) baru dibuat tiga hari lalu, mungkin masih terlalu awal tetapi aduan telah saya buat sejak tiga tahun dahulu."
Begitulah luahan Asiah Darus, 59, seorang penduduk di Jalan SS4B/18 ketika ditemui di sini hari ini.
Masalahnya, daun-daun gugur dari pokok-pokok di Jalan Bahagian (di hadapan rumahnya) memasuki ke sistem salur air di bumbung rumahnya mengakibatkan air tersekat.
Akibatnya, setiap kali hujan lebat, air yang tersekat akan melimpah masuk ke dalam rumahnya.
Pada awalnya, Asiah beranggapan air yang masuk itu mungkin disebabkan berlaku kebocoran pada bahagian bumbung rumahnya tetapi setelah pemeriksaan dilakukan, ternyata ia berpunca dari salur air yang tersekat.
"Siling dan banyak barang dalam rumah saya rosak terkena air yang mencurah masuk, malah ada ketikanya, saya terpaksa menadah baldi bagi mengelakkan air melimpah ke bahagian rumah yang lain," katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Asiah juga terpaksa kerap membersihkan daun-daun yang tersekat di salur air rumahnya itu.
Setiap kali dibersihkan dengan upah kira-kira RM250, katanya, tidak kurang dua beg plastik sampah akan penuh dengan daun kering.
Katanya, dalam aduannya, dia meminta MBPJ memotong pokok-pokok di Jalan Bahagia itu bagi mengelakkan dia terus menanggung kerugian.
Selain itu, katanya, pokok-pokok itu juga sudah tua kerana semasa dia mula-mula berpindah ke situ 27 tahun lalu, pokok-pokok tersebut sudah ada.
"Namun, MBPJ hanya memotong pokok-pokok kecil dan enggan mencantas pokok yang besar dan tua atas alasan mengelakkan pemanasan global.
"Mengapa MBPJ tidak mengambil kira kos yang perlu saya tanggung. Lagi pun saya bukan minta tebang pokok itu, cuma cantas dahan yang masuk ke kawasan rumah saya," katanya.
Dalam pada itu, Asiah juga mempersoalkan sistem penerimaan aduan MBPJ yang disifatkannya sebagai sangat tidak efisien.
Katanya, dia ada membuat aduan pada 29 Ogos lalu dan diberikan nombor rujukan tetapi apabila dirujuk semula, dia diberitahu, aduan itu adalah di bawah nama orang lain.
"Saya dinasihatkan membuat aduan kedua dan sekali lagi saya diberikan nombor rujukan pada awal bulan ini.
"Kemudian apabila saya cuba mendapatkan perkembangan aduan berdasarkan nombor aduan yang diberikan, sekali lagi pegawai MBPJ memberitahu nama pengadu lain dan bukannya nama saya.
"Adakah ini kesilapan atau mereka cuba memperlekehkan aduan yang saya lakukan," tegasnya.

Lubang susahkan pemandu



Keadaan jalan yang berlubang dan rosak di Bulatan Melawati, Shah Alam mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.



SHAH ALAM 18 Okt. - Jalan di sekitar Bulatan Melawati, berhampiran Pusat Perniagaan Seksyen 15 dan Pejabat Pos Besar di sini kini mengalami kerosakan yang teruk.
Menurut beberapa pengguna, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu tanpa ada sebarang langkah untuk membaikinya diambil oleh pihak berkuasa tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysiamendapati, jalan di situ bukan setakat berlubang tetapi kerosakannya sudah memanjang dan boleh mendedahkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal kepada risiko kemalangan.
Seorang pengguna yang ditemui, Hasmah Mohd. Kadir, 35 berkata, keadaan jalan di sekitar Bulatan Melawati kini sangat berbahaya, apatah lagi laluan itu sememangnya sentiasa sibuk.
Menurutnya, kerosakan jalan itu perlu dibaiki dengan segera bagi mengelak pengguna daripada menjadi mangsanya.
"Saya sendiri hampir-hampir melanggar penghadang jalan di situ kerana ingin mengelak lubang-lubang yang semakin membesar di bulatan ini.
"Nasib baik ketika itu kenderaan tidak berapa banyak dan saya sempat memberhentikan kenderaan seketika," katanya yang menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk pulang ke rumahnya di Puchong.
"Saya selalu tertanya-tanya apakah sebabnya laluan tersebut tidak dibaiki dengan segera sedangkan keadaannya sudah benar-benar teruk dan jalan itu adalah laluan utama orang ramai," katanya.
Tambahnya, jika perkara itu dibiarkan, ia bukan sahaja mengundang risiko kemalangan tetapi juga boleh menjatuhkan imej Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor.
Seorang lagi pengguna, Shahwati Ibrahim, 29, yang ditemui ketika sedang melakukan urusan di Pusat Perniagaan Seksyen 15 pula berkata, jalan utama di kawasan berkenaan memang berdepan dengan masalah berlubang yang serius.
Katanya, lubang yang berada di tengah-tengah jalan itu sukar untuk dielakkan oleh pengguna yang melalui kawasan itu khususnya mereka yang tidak biasa dengan jalan tersebut.
"Saya sendiri kalau lalu di situ kadang kala terpaksa melanggar lubang-lubang itu kerana tidak boleh mengelak disebabkan ada motosikal berada di tepi kenderaan saya," ujarnya.
Shahwati berharap masalah jalan berlubang di situ dapat diselesaikan dengan segera agar tiada perkara tidak diingini berlaku.
Harapan itu turut dilahirkan oleh seorang pengguna, Mohd. Azlan Mohd Azmin, 26, yang sering melalui laluan tersebut untuk menyelesaikan kerja-kerja harian sebagai penghantar surat.
Dia berkata, bukan sahaja jalan di situ yang rosak dan berlubang tetapi banyak lagi jalan lain di sekitar Shah Alam.
"Cuba lihat jalan dari pusat bandar melalui Pejabat Pos Besar ke Bulatan Kayangan, jalan itu lagi teruk berlubang.
"Sudahlah kawasan itu agak sunyi, bayangkan jika sesuatu tidak diingini berlaku, mungkin mengambil masa untuk seseorang membantu," katanya.
Beliau turut memberitahu, banyak jalan di sekitar Sekysen 18, Seksyen 20, Seksyen 17 dan jalan sekitar Bukit Kemuning dan Bukit Naga juga mengalami masalah yang sama.

Tak membazir sebab dapat banyak komisyen

Pembinaan Menara 100 tingkat bukan membazir - Najib

19/10/2010 8:14pm

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.
Perdana Menteri berkata, pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.
"Banyak kerja-kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.
"Projek ini bukan pembaziran tapi menguntungkan, yang dirancang (oleh) PNB.
Najib berkata, beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.
"Saya tidak arahkan PNB. PNB yang mencadangkan (perkara) ini, sesuatu yang sangat diingini oleh pengurusan atau lembaga (pengarah) PNB,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 hari ini. - Bernama

Heret Anwar ke mahkamah


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusannya mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan meliwat kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan tepat.
Ketika bercakap pada sesi dialog di hadapan 63 wakil daripada 22 parti dari 20 negara yang hadir pada program forum antarabangsa hari ini beliau turut menegaskan kes yang melibatkan bekas timbalannya itu bukan satu konspirasi.
Sebaliknya beliau berkata, usaha itu dilakukan secara berhati-hati iaitu dengan bersandarkan kepada fakta serta bukti yang ada kerana ia melibatkan perbicaraan di mahkamah selain turut membabitkan maruah seseorang.
“Sebagai seorang yang rasional mustahil kes Anwar ini hasil daripada konspirasi. Kes Anwar membabitkan institusi kehakiman dan di dalam institusi ini konspirasi sukar dilakukan kerana kita terpaksa berhadapan dengan banyak pihak.
“Kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan satu dua orang tetapi lebih 100 orang. Antaranya hakim, pendakwa, polis, saksi-saksi dan mangsa. Ini bukan kerja mudah kerana banyak pihak yang akan terlibat,’’ katanya pada sesi soal jawab itu.
Terdahulu Dr. Mahathir diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-64, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Dr. Mahathir sebelum itu telah ditanya mengenai kes yang melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu oleh salah seorang peserta forum berkenaan.
Sehubungan itu Dr. Mahathir mahu semua pihak perlu berfikir sebelum membuat sebarang tuduhan apatah lagi Anwar di dalam kes terbarunya turut disabitkan tuduhan yang sama.
“Memang kita akui seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sehinggalah dia disabitkan bersalah oleh mahkamah tetapi dalam kes terbaru Anwar jelas ia sama seperti kesnya yang terdahulu.
“Ini menggambarkan seolah-olah kes ini ada asas kebenarannya. Kes yang terkini disabitkan pada era pemerintahan orang lain dan bukannya zaman pemerintahan saya. Persoalannya mengapa kesnya sama? Tidak mustahil wujud asas-asas kebenaran dalam kes yang melibatkan Anwar itu,’’ katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir ketika menjawab soalan tersebut turut menarik perhatian peserta bahawa sepanjang 22 tahun memimpin negara, beliau tidak pernah sekali mempelawa hakim hadir untuk majlis-majlis rasmi sama ada di kediamannya atau di tempat lain.
Sekiranya ada beliau berkata, ia hanya untuk Ketua Hakim Negara.
“Saya faham kedudukan hakim dan etika yang harus mereka patuhi. Sebagai hakim mereka perlu bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk golongan pemimpin kerana akhirnya mereka yang akan membuat keputusan bagi satu-satu kes,’’ katanya.
Menjawab satu soalan lain, beliau menegaskan, semua negara termasuk kuasa-kuasa besar perlu menghapuskan penggunaan senjata nuklear kerana ia bakal memberi kemusnahan kepada beribu-ribu nyawa manusia dalam sekelip mata.
Beliau berkata, adalah satu perkara yang tidak adil apabila hanya negara tertentu sahaja dilarang memiliki tenaga nuklear sedangkan kuasa-kuasa besar bebas menggunakannya.
“Adakah ini yang kita katakan demokrasi tulen? Bagi saya semua negara mesti dilarang daripada membangun dan menggunakan senjata nuklear kerana ia langsung tidak memberi faedah kepada keamanan dunia sejagat.
“Senjata nuklear hanya akan merosakkan bumi dan akan menyebabkan nyawa manusia terbang umpama tiada harga. Hentikanlah perang, hapuskan senjata nuklear. Insya-Allah dunia akan aman,’’ ujarnya.

Ibrahim Ali selamat jalani pembedahan jantung





KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, semalam. 


Ketua Penerangan Wira Perkasa, Nurul Izham Anuar berkata, Ibrahim berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kerumitan selepas pembedahan yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 4 petang, semalam. 


“Beliau kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya. 


Nurul Izham berkata, isteri dan ahli keluarga Ibrahim serta ahli Perkasa turut berada di hospital semasa pembedahan itu berlangsung. 


Ibrahim mengadu tidak sihat sejak tiga minggu lalu, namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu tiga hari lalu. - Bernama

“Masih banyak Najib perlu buat” - Dr Mahathir




KUALA LUMPUR - Masih banyak yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri. 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib, yang mewarisi kerajaan lemah, sedang berusaha membetulkan keadaan, dan sedang berdepan dengan waktu-waktu sukar untuk melakukannya. 

“Anda dapat lihat, ada kalanya dia gagal, ada kalanya dia berjaya, ada kalanya dia ada idea yang baik, dan ada kalanya tidak. Ia memang dijangka,” kata kepada media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa mengenai 'Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik' di sini, semalam. 

Dr Mahathir berkata, beliau juga berharap agar Najib dapat meraih sokongan rakyat kerana jika tidak, alternatifnya mungkin seorang pemimpin yang lebih buruk, dan ia akan tambah memburukkan keadaan. 

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2010, yang akan bermula hari ini hingga Sabtu, bekas Presiden UMNO itu berharap parti terbesar orang Melayu itu akan dapat pulih sepenuhnya dan mendapat sokongan rakyat semula. 

“Mana nak tau apa UMNO nak buat. Saya tak ada kuasa sekarang. Saya ada kuasa tegur saja. Itu pun kadang-kadang orang tutup mulut saya. Nak bercakap dengan UMNO tak boleh cakap, dengan menteri tak boleh. Sekatan menyeluruh di media,” katanya. 

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh bagaimanapun mencelah dan berkata, sekarang Dr Mahathir tidak lagi disekat. 

Mengenai Model Politik Baru yang diusulkan Najib, bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara, Dr Mahathir berkata, yang penting bukan sistem atau konsensus, tetapi individu yang menguasai keadaan. 

Berhubung saranan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) agar mereka diberikan kuasa mengawal selia peraturan anggota sendiri menggunakan mekanisme Majlis Media, dan bukannya hanya menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri semata-mata, beliau berkata, mereka boleh berbuat demikian, tapi mereka sebenarnya tidak mempunyai kuasa sekiranya ada pihak yang melanggar peraturan. 

“Itu sebabnya kerajaan perlu ada kuasa dalam perkara ini. Boleh ada kawalan, seperti pengurusan sesebuah kelab, di mana anda ada undang-undang kecil dan anda seharusnya mengawal selia aktiviti kelab, tapi apabila anda melanggar peraturan itu, kemudian kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang,” katanya. 

Ditanya mengenai siasatan kerajaan terhadap penulis blog tertentu, beliau berkata, seperti mana ada kebebasan media, kerajaan juga bebas menyiasat dan akhirnya satu badan bebas akan membuat keputusan. - Bernama

Kaji semula projek mega, elaun JKKK





KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengkaji semula pembinaan projek mega Warisan Merdeka dan kenaikan elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) namun. tiada pemberian bonus kepada kakitangan awam. 


Setiausaha Agung DAP itu berkata, keputusan kerajaan menaikkan elaun JKKK tetapi tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam menimbulkan rasa tidak senang: dalam kalangan rakyat. 


“Kita mendapat maklum balas yang negatif daripada rakyat kerana mereka rasa kurang senang hati dengan Belanjawan 2011. 


“Saya tidak faham mengapa kerajaan boleh menaikkan elaun JKKK daripada RM450 kepada RM800 sedangkan mereka tidak mampu membayar bonus kepada kakitangan awam. 


“Bukan itu sahaja, kerajaan mahu membina bangunan Warisan Merdeka berharga RM5 bilion. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Kalau elaun dinaikkan ia perlu diberikan kepada semua. Kalau tak ada tak perlu beri,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen semalam. 


Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan kenaikan elaun bulanan Pengerusi (JKKK) dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa in

Lebih 30 hektar sawah di Beseri diancam kulat


KANGAR -- Lebih 30 hektar sawah padi di tiga kampung dalam kawasan Beseri dekat sini diancam sejenis kulat dikenali sebagai 'karah padi' yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada pokok padi.


Tiga kampung terbabit ialah Beseri Dalam, Kampung Belukar dan Kampung Padang Malau.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri Sabry Ahmad yang meninjau kawasan terbabit, berkata ancaman itu dikesan sejak seminggu lepas apabila daun padi bertukar menjadi perang.


Pemantauan sedang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Perlis dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri bagi memastikan ancaman kulat perosak yang nama saintifiknya "pyricularia oryzae" itu terkawal, katanya kepada Bernama ketika meninjau kawasan itu, hari ini. 


Beliau berkata kulat berkenaan boleh menyebabkan akar pokok padi mati dan memberi kesan kepada pertumbuhan pokok termasuk menghalang penghasilan buah padi.


Sabry berkata penyakit karah padi boleh merebak dengan cepat sama ada melalui tiupan angin atau aliran air dan ia boleh bergerak sejauh lebih lima kilometer dari tempat ia mula bertapak.


Sehubungan itu, katanya Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama PPK Beseri membekalkan racun khas bagi menghilangkan kulat-kulat berkenaan pada daun padi yang diserang bagi memulihkan pokok padi berusia 45 hari itu. -- BERNAMA

Sabung nyawa ke sekolah

 



KOTA TINGGI – Abdul Hamid yang telah bekerja selama sepuluh tahun sebagai penghantar murid sekolah di situ berkata, bagaimanapun, sebarang kejadian berbahaya tidak pernah berlaku ke atas murid di sekolah tersebut tetapi berlaku kepada anak penduduk berhampiran. 


“Sepanjang saya membawa sampan menghantar murid ke sekolah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku tetapi seorang kanak-kanak pernah terjatuh di tepi tangga berikutan tiada pengadang dan mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala. 


“Namun kejadian tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada kita dan perlu beringat sebelum kejadian lebih teruk berlaku kepada murid sekolah,” katanya. 


Abdul Hamid berkata, selain tiada pengadang pada jambatan, di jeti juga menghadapi masalah sama menyebabkan murid dari sekolah terbabit tidak berhati-hati sewaktu naik ke dalam sampan. 


“Pengadang hanya ada di jeti pada sudut kanan dan kiri sahaja menyebabkan murid-murid biasanya meloncat sahaja apabila sampan �sampai di jeti,” katanya. 


Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Panchor, Mohd Zawawi Musa berkata, jambatan tersebut dilihat semakin bahaya apabila terdapat pantun yang melanggar rakit di kawasan itu menyebabkan kayu berpaku berlonggok terapung di tepi jambatan tersebut. 


“Saya bimbang jika murid tergelincir atau terjatuh ke dalam sungai lalu terkena kayu dan paku di sebelah jambatan,” katanya. 


Menurut Mohd Zawawi, pihaknya telah membuat surat permohonan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama merangkap Exco Kerajaan Negeri, Asiah Mat Ariff, sejak setahun lalu. 


“Pihak sekolah telah pun menghantar surat permohonan kepada Yang Berhormat Asiah pada April tahun lalu melalui Ketua Kampung Panchor, namun masih tidak mendapat sebarang tindak balas. 


“Saya faham, kerajaan terpaksa mengutamakan kepentingan masyarakat yang lebih memerlukan namun pada masa sama saya mengharapkan keselamatan pelajar juga diutamakan. 


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Mat Ariff berkata, masalah tersebut telah diusulkan kepada pihak bertanggungjawab dan beliau turut berharap masalah itu dapat diselesaikan pada kadar segera. 


“Saya telah mengusulkan masalah itu kepada pihak berwajib dan mengambil sedikit masa bagi membendung masalah ini,” katanya.

Piket aman tuntut kembalikan hak tanah




SUNGAI MAI - “Apa erti merdeka? Di mana hak kami selaku orang asal negara ini apabila tanah adat kami diceroboh pihak tidak bertanggungjawab tanpa ada campur tangan serius pihak kerajaan. Kami mahukan masalah pencerobohan ini ditangani.”

Itu antara ungkapan yang diluahkan hampir 100 penduduk pelbagai latar usia daripada masyarakat Orang Asli suku Jahut Sungai Mai, yang mengadakan piket aman di laluan utama masuk ke kawasan tanah adat mereka.

Seorang penduduk, Yusri Ahon, 37, berkata, masalah pencerobohan tanah itu sudah lama berlaku dan banyak laporan sudah dibuat kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, tanah yang dicerobohi itu termasuk dalam rizab Orang Asli sebagai tanah adat dan dia mendakwa, pemberian permit pemilikan sementara (TOL) kepada beberapa pihak untuk mengusahakan tanah terbabit, bertindih dengan hak Orang Asli. 

“Dahulu, ada pihak yang kata nak masuk dan bercucuk tanam. Kami terima dan izinkan dengan syarat ia bukan tanaman kekal dan ternyata ia dipatuhi apabila mereka hanya bertanam halia, betik dan pisang.

“Apa yang berlaku sekarang, bukan sahaja kawasan tanah adat dicerobohi dan diteroka, tapi kawasan bersebelahan juga diteroka untuk tujuan kepentingan sendiri. Mereka pada mulanya menanam pisang, namun di antara pokok pisang ditanam dengan anak sawit dan getah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Yusri berkata, perkara itu menyebabkan masyarakat Orang Asli di kawasan itu tiada tempat untuk mencari makan atau ubat-ubatan berikutan kawasan mereka ‘diganggu’ dan jika memasuki kawasan hutan simpan kerajaan pula, mereka bakal berdepan kesalahan serta boleh ditangkap Perhilitan jika berburu.

Katanya, sudah 10 laporan polis dibuat sejak 2007 lalu sehingga tahun ini, tetapi masih tiada tindakan dilakukan bagi membela hak mereka sebagai Orang Asli.

“Jika di daerah lain, masalah sama boleh diberi perhatian, kami juga mengharapkan perkara sama dapat diberikan pihak berkuasa tempatan yang ada di daerah ini untuk menghentikan pencerobohan tanah haram itu.

“Kami juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang jika masalah yang sama masih tidak ditangani dan diberi perhatian serius,” katanya

PKR bertanding di Batu Sapi




2010/10/19

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan meletakkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan demikian pada sidang media di Lobi Parlimen sebentar tadi.Pada masa sama, Anwar meminta Parti Maju Sabah (SAPP) yang berhasrat untuk meletakkan calon supaya memberi laluan kepada PKR untuk pertandingan satu lawan satu antara PKR dan Barisan Nasional (BN).BN akan meletakkan calon daripada Parti Bersatu Sabah (PBS). 

PDRM bangunkan unit risikan tangani jenayah




2010/10/19

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan sistem "Central Intelligence Unit" (CIU) sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan kemampuan polis dalam menyelesaikan kes jenayah berpandukan maklumat risikan tepat. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata PDRM juga sentiasa menambah jumlah pegawai penyiasat dari semasa ke semasa untuk memenuhi kuota yang ditetapkan.Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PDRM berjaya menyelesaikan 230 kes atau 59.74 peratus daripada 385 kes bunuh yang dilaporkan."Bagi tahun 2008, sebanyak 446 kes atau 68.2 peratus daripada 654 kes telah diselesaikan dan bagi tahun 2009, jumlah penyelesaian kes ialah 392 kes atau 65.55 peratus daripada 598 kes yang dilapor," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai statistik penyelesaian kes bunuh di negara ini dan langkah kerajaan dalam memerangi jenayah berat seperti bunuh dan rompakan. 

Abu Seman berkata, kes jenayah seperti samun, bunuh, rogol dan mencederakan dikategori sebagai jenayah kekerasan dan bagi memeranginya, PDRM sentiasa meningkatkan rondaan dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM). 

"Sehingga 20 September lalu, seramai 4,725 anggota Rela dan JPAM dilantik khusus untuk menjalankan tugas itu," katanya. 
Abu Seman berkata, PDRM juga memiliki Pasukan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) di bawah Makmal Forensik. 

Beliau berkata, Makmal Forensik yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2002 itu ditubuh untuk menyelesaikan kes jenayah yang memerlukan kaedah penyiasatan canggih untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. 

"Anggota Pasukan CSI juga diwujudkan dalam kontinjen PDRM di seluruh negara selain daripada yang dilantik dan ditempatkan di Makmal Forensik di Cheras," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar). - BERNAMA