Sunday, December 26, 2010

Disyaki pukul seorang lelaki, dua polis ditahan

Dua anggota polis, dipercayai memukul seorang lelaki yang ditahan semasa sekatan jalan raya kerana disyaki membawa dadah Sabtu lalu, ditahan hari ini.

NONEKetua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua anggota berpangkat konstabel serta berumur 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Kota Damansara itu ditahan selepas kawad cam oleh lelaki berkenaan semalam.

"Dalam kawad cam itu, enam orang telah dibuat kawad cam dan dari jumlah itu, dua telah ditahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata sebelum itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian tersebut.

"Polis melihat kes ini adalah serius dan wujudnya penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis, dan tiada sebarang diskriminasi jika mereka bersalah," katanya.

Bagaimanapun, Tun Hisan berkata siasatan mendapati terdapat elemen palsu dalam laporan polis lelaki tersebut.

"Selepas itu, satu laporan telah dibuat oleh pasukan itu tentang laporan lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai elemen palsu.

"Seramai 20 orang telah direkodkan percakapannya, termasuk doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis yang ditahan serta orang awam," katanya.

Beliau berkata penahanan kedua anggota polis yang berkhidmat selama empat tahun itu bukan bermakna mereka bersalah tetapi bagi membantu siasatan, dan mereka akan ditahan reman mulai esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Sabtu lalu, seorang lelaki mendakwa dipukul beberapa anggota polis ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana disyaki membawa dadah, dan wangnya sebanyak RM13,000 telah diambil anggota polis tersebut.

- Bernama

http://www.malaysiakini.com/news/151714

NASIHAT KEPADA PENGGUNA INTERNET


Susulan daripada hasil  siasatan kes Facebook “Sultan yang Setan” yang mendapati suspek telah menggunakan akaun Internet orang lain dengan cara memecahkan kod keselamatan pada Wireless Router jiran-jirannya untuk melayari Internet dan seterusnya mencipta akaun Facebook "Sultan yang Setan" serta menulis komen-komen di dalamnya. Justeru,  Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, telah memberi nasihat-nasihat seperti berikut kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa “berinternet”.

Nasihat kepada pengguna Internet:

1.       Para pengguna internet yang menggunakan Wireless Router hendaklah berhati-hati dan mendapatkan nasihat daripada Internet Service Provider (ISP) masing-masing berkenaan bagaimana untuk meningkatkan tahap keselamatan rangkaian Internet mereka agar keselamatan talian Internet mereka terjamin dan tidak diceroboh oleh orang lain.

2.       Sila matikan (switch off) Wireless Router apabila tidak menggunakan Internet bagi mengelakkan capaian Internet oleh individu yang tidak diundang.

3.       Bagi pengguna media sosial seperti Facebook, MySpace, Friendster dan seumpamanya, perlu berhati-hati dalam mendedahkan maklumat diri mereka seperti gambar, no. telefon dan sebagainya  bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mencuri dan menggunakan identiti mereka di Internet.

4.       Jangan menulis apa-apa komen yang mempunyai unsur-unsur fitnah dan hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Ini akan membawa risiko kepada anda ditahan di bawah Akta Hasutan 1948.

5.       Pengguna Internet hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab terhadap setiap komen atau posting  yang dibuat oleh mereka.

Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan juga menegaskan bahawa pihak polis dengan berbekalkan peralatan dan perisian yang berteknologi tinggi, berkeupayaan untuk mengesan dan menangkap pesalah-pesalah jenayah siber dan kesemua mereka ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Dato' Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jenayah Siasatan Jenayah Komersil sedang memerhatikan barang-barang kes yang diperoleh sebagai bahan bukit mahkamah bagi kes facebook "Sultan yang Setan".

Belanja RM700 ke hospital



LIMBANG 25 Dis. - Masih ramai penduduk di pedalaman Limbang berhadapan masalah untuk dapatkan perkhidmatan perubatan yang baik disebabkan kekurangan kemudahan klinik dan hospital.
Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, untuk dapatkan rawatan perubatan biasa di hospital Limbang, sesetengah penduduk khasnya yang tinggal di Ulu Mendamit dan Ulu Lubai di pedalaman Limbang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk belanja pengangkutan.
"Ada penduduk di Long Napir terpaksa belanja sekitar RM700 untuk dapatkan sekali rawatan kesihatan di Hospital Limbang. Ia pasti bebankan penduduk," katanya.
Katanya, beliau berharap kerajaan menimbang untuk bangunkan kemudahan klinik kesihatan di pedalaman Limbang, selain meningkatkan kemudahan jalan raya, elektrik dan air yang diperlukan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang melawat Limbang dan Lawas baru-baru ini berkata, kerajaan memang prihatin dengan masalah penduduk di pedalaman Sarawak dan akan memastikan Klinik 1Malaysia dapat diwujudkan masing-masing satu di Limbang dan Lawas. - BERNAMA

Penduduk rayu bina segera kemudahan asas



TIGa orang penduduk bermotosikal meredah lumpur dan jalan berlubang di Kampung Kuala Sat, Jerantut, semalam.


JERANTUT 24 Dis. - Seramai 800 penduduk Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini meminta kerajaan negeri melaksanakan segera beberapa kemudahan asas termasuk penempatan baru supaya ia tidak tersisih daripada arus pembangunan.
Antara kemudahan yang perlu dibina adalah seperti jalan kampung sejauh tujuh kilometer, padang permainan dan rekreasi, masjid baru serta penempatan semula penduduk Kampung Jipang di bawah JKKK Kuala Sat.
Tinjauan Utusan Malaysia bersama JKKK Kuala Sat mendapati usaha memohon kemudahan tersebut kepada kerajaan negeri dan pentadbiran daerah Jerantut bermula sejak 15 tahun lalu, tetapi belum menampakkan hasilnya.
Bekas Ketua Kampung Kuala Sat, Sidek Mahusin, 58, berkata, dua agenda utama pembangunan yang dipohon oleh JKKK terbabit sejak 15 tahun lalu belum dilaksanakan oleh kerajaan negeri iaitu pembinaan masjid baharu dan jalan kampung.
''Paling menyedihkan keadaan masjid kayu lama yang berusia 50 tahun sudah uzur dan hampir roboh, tetapi belum ada projek baru walaupun sudah banyak kali permohonan telah dibuat," katanya kepada ketika ditemui di Kuala Sat dekat sini hari ini.
Sidek berkata, projek jalan kampung sejauh tujuh kilometer sehingga kini belum menampakkan tanda dan menyukarkan penduduk membawa hasil kampung ke jeti untuk dipunggah dengan bot penambang Sungai Tembeling ke bandar Jerantut.
Seorang Penduduk Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 39, berkata, jalan kampung yang berturap simen dibina 25 tahun lalu di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat sudah rosak dan keadaan berlumpur teruk ketika musim tengkujuh.
''Kita kesal kerana projek jalan sudah dibina di beberapa kampung berdekatan sedangkan penduduk di sini masih menunggu," katanya.
Seorang belia, Ahmad Shamsuddin, 32, berkata, kegiatan riadah dan rekreasi golongan remaja dan belia di Kampung Benih, Kampung Baru, Kampung Olak Koh, Kampung Belutin dan Kampung Jipang lesu kerana ketiadaan padang permainan bola sepak dan gelanggang bola jaring.
''Ketiadaan kemudahan itu menyebabkan belia tidak ada tempat beriadah pada waktu petang dan musim cuti persekolahan sehingga ada segelintir yang menghabiskan masa dengan kegiatan tidak berfaedah," katanya.
Menurutnya, sepatutnya pihak berwajib wajar membina kemudahan berkenaan kerana masih ada tanah milik kerajaan boleh dibangunkan untuk projek padang permainan seperti, gelanggang futsal, sepak takraw dan bola jaring.
Bagi penduduk Kampung Jipang, Daud Jawi, 52, berkata, seramai 20 keluarga telah meminta kerajaan menyediakan tapak perumahan di bawah pentadbiran JKKK Kuala Sat bagi mengurangkan kos bebanan ulang alik mengunakan bot.
''Kita terpaksa menaiki bot penambang dan membelanjakan satu liter petrol untuk membeli keperluan dapur dengan mengambil masa selama 15 minit untuk sampai di jeti Kuala Sat ketika hendak berurusan ke bandar Jerantut," katanya.
Daud berharap, kerajaan dapat menyediakan tapak perumahan tersebut untuk mereka berpindah supaya dapat menjamin kehidupan yang lebih selesa dan tidak tertekan dengan kedaifan yang dilalui sejak negara merdeka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri tidak 'terlepas pandang' atau menolak projek pembangunan yang dipohon oleh JKKK Kuala Sat.
''Kita tidak menolak permohonan JKKK berkenaan tetapi perlu mengkaji dari segi peruntukan yang lebih relevan dan mengikut keutamaan untuk projek kemudahan asas di sesebuah tempat.
''Misalnya projek masjid baru perlu peruntukan lebih besar memandangkan kapasiti penduduknya ramai dan mengkaji dengan teliti untuk dipertimbangkan dalam rancangan pembangunan akan datang," katanya.
Wan Amizan berkata, beliau dengan kerjasama pegawai daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan meninjau kampung berkenaan tidak lama lagi khususnya untuk menaiktaraf prasarana tertentu supaya dapat memberi keselesaan penduduk di situ.

Resolusi 100 hari hanya dilaksana apabila pembangkang perintah negara: Nik Aziz



KOTA BAHARU - Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka pada Ahad lepas hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

"Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah Pas Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan resolusi itu.

Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan
ketiga Felda.

Nik Abdul Aziz berkata, apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.

Beliau juga berkata, Pas akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.

Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.

"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.

Beliau berkata, perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat.

Kejadian misteri hantui balai



KULIM - Balai Polis Trafik Kulim menyimpan pelbagai rahsia alam mistik terutama bagi anggota yang telah lama bertugas di situ.

Ia mula digunakan pada 1906 oleh British sebelum Jepun menjajah Tanah Melayu.

Menurut beberapa peniaga Cina yang masih menjalankan perniagaan kedai kopi di sekitar Balai Polis Kulim dan kini berusia antara 70 hingga 80an berkata, tapak di mana bangunan balai polis itu dibina sememangnya berpuaka kerana ia merupakan tempat di mana puluhan tali barut British diikat dan kemudiannya ditembak beramai-ramai oleh tentera Jepun.

Walaupun alam tiga dimensi ini sukar untuk dipercayai tetapi ia wujud dan kewujudannya bukan hanya mengganggu manusia malah boleh memesongkan akidah mereka yang terlalu taksub dengannya.

Apabila melangkah merentasi dua bilik air di tingkat bawah bangunan kolonial itu untuk menaiki tangga ke tingkat dua, perasaan aneh mula terasa apabila seperti diekori oleh sesuatu.

Sinar Harian bertemu Sarjan Tengku Abd Aziz Tengku Ayob yang pernah mengalami sendiri pengalaman diganggu oleh makhluk halus dan kehadiran lembaga seorang wanita Cina yang berpakaian cheongsam.

Lebih menakutkan apabila bangunan itu pernah dikejutkan dengan suara wanita mengilai, ketawa dan menangis sekitar jam 1 pagi.

Menurut Tengku Abd Aziz, pada 1906, British telah menjadikan bangunan itu sebagai 'Police Station' dan kemudiannya dijadikan Balai Polis Kulim.

Beliau berkata, bangunan itu kemudiannya diubah dan dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sehinggalah terbinanya bangunan IPD sekarang ini pada 2000.

"Apabila berpindah ke bangunan baru, bangunan lama ini ditinggalkan begitu sahaja dan sekarang ini dijadikan Ibu Pejabat Polis Trafik Kulim.

"Masalah gangguan makhluk halus berlaku sejak dulu dan ia semakin memuncak sekitar 1995. Ketika itu seluruh anggota polis yang bertugas heboh memperkatakan tentang kewujudan seorang wanita Cina berpakaian cheongsam dan ia sering menunjukkan diri. Apabila diekori, wanita itu akan hilang dan disusuli dengan suaranya ketawa dan menangis," katanya.

Menurutnya, lembaga wanita Cina itu mungkin merupakan salah seorang mangsa kekejaman penjajah dan mungkin dia dibunuh secara kejam.

"Ia akan menarik perhatian anggota yang bertugas dan seakan-akan ingin memberitahu sesuatu dan meminta pertolongan.

“Antara kejadian yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika bertugas di hari pilihan raya 1998. Saya dan beberapa anggota lain terpaksa bertugas dan tidak balik ke rumah. Ketika saya sedang mandi, saya terdengar suara wanita mengilai dengan kuat di bilik air di tingkat bawah meminta tolong. Saya yang curiga dengan suara itu telah membuat pemeriksaan tetapi tidak ada sesiapa di dalamnya.

"Sehingga ke suatu tahap di mana anggota takut untuk bekerja pada waktu malam kerana sering di ganggu dengan bunyi orang berkawat di dalam pejabat. Selain itu banyak lagi kejadian aneh yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pada 2001, Ketua Balai Polis Trafik Kulim pernah diganggu oleh makhluk halus atau mistik ketika bertugas di pejabatnya kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, ketika kejadian itu, ketua balai berkenaan bekerja bersendirian di biliknya.

"Dia kemudiannya terdengar bunyi orang berjalan di luar pejabat seakan–akan sedang berkawat dan tiba-tiba pintu bilik pejabatnya tertutup serta dikunci dari luar. Menyedari tidak ada sesiapa ketika itu di tingkat atas melainkan dia seorang, dia mengambil pendekatan memujuk makhluk halus yang tadinya mengganggunya untuk membuka pintu. Tidak lama kemudiannya, pintu pejabatnya terbuka dengan sendiri," katanya.

Menurutnya, gangguan makhluk halus ini bukan sahaja berlaku di pejabat tetapi ada dalam kalangan anggota yang diikut sehingga balik ke rumah.

Sementara itu, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh dan beliau telah mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di tingkat dua bangunan itu pada Ramadan lalu.

Walaupun gangguan makhluk halus telah berkurangan selepas majlis itu diadakan tetapi ia masih ada di mana kadangkala telefon akan berbunyi tetapi apabila diangkat tidak ada sesiapa yang bercakap.

Sehingga kini kemunculan dan kewujudan kejadian mistik yang menghantui Balai Polis Trafik Kulim masih menjadi tanda tanya.

Suami berkorban jaga isteri koma



KUANTAN – Kasih suami tiada batasnya. Begitulah besarnya pengorbanan seorang suami dari Felda Bukit Goh di sini, yang tabah menghadapi ujian apabila isterinya terlantar koma sejak tiga bulan lalu.

Zulkifli Abdullah, 44, yang merupakan pesara tentera kini terpaksa menjaga isterinya, Siti Nor Athirah Mohd Yunos, 39, sepenuh masa apabila ibu beranak lima itu koma selepas terjatuh di hospital semasa ditahan di wad.

Menurutnya, isterinya ditahan di wad kerana disyaki menghidap denggi namun koma akibat terjatuh dan matanya terkena bucu katil.

“Selepas terjatuh dia masih sedar namun mula bercakap tidak tentu arah. Dia kemudiannya diserang sawan sebanyak empat kali dan selepas serangan keempat, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.

Katanya, doktor memaklumkan isterinya mengalami komplikasi akibat jangkitan kuman di otak namun tidak dapat mengesahkannya biarpun selepas imbasan otak dibuat.

“Doktor juga sudah mengambil air tulang belakangnya untuk diuji dan setakat ini kami masih menunggu keputusan ujian.

“Mereka juga membenarkan saya membawa isteri pulang ke rumah dua minggu lalu apabila dia tidak lagi bergantung kepada mesin,” katanya.

Zulkifli berkata, dia kini hilang punca pendapatan apabila terpaksa berhenti menjadi pemandu lori kerana mahu menjaga isteri dan anak-anaknya sepenuh masa.

“Dia tidak memberikan apa-apa tindak balas dan setiap empat jam sekali, saya memberikannya minum susu melalui tiub yang disambung ke perut.

“Harga susunya juga mahal iaitu sekitar RM70 setin dan hanya bertahan empat hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, belanja lampin pakai buang juga tinggi dan mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat memandangkan dua anaknya masih lagi bersekolah.

“Anak sulung saya, Shafimer, 18, belajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), anak kedua baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua lagi dihantar tinggal dengan saudara di Kelantan selepas ibu mereka sakit.

“Saya juga belum pasti sama ada mahu menukarkan mereka supaya bersekolah di sana memandangkan saya sibuk menguruskan ibunya di sini,” katanya.

Katanya, dia kini menjalankan perniagaan gunting rambut secara kecil-kecilan di rumah untuk menambah pendapatan.

“Saya berharap agar ada pihak sudi memberi bantuan peralatan menggunting kerana saya berhasrat hendak bekerja di rumah.

“Doktor juga ada menasihatkan saya supaya sentiasa bercakap dengannya dan mengurut badannya supaya tidak kaku,” katanya.

Penderitaan Zulkifli sekeluarga sedikit terubat apabila menerima kunjungan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut hadir memberikan sokongan ialah kira-kira 50 ahli Wanita UMNO Cawangan Felda Bukit Goh yang sama-sama membacakan yasin untuk Nor Athirah.

101 pasangan nikah serentak



KOTA BHARU - Seramai 101 pasangan pengantin dinikahkan secara serentak semalam, sempena Kahwin Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2010 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, semalam.

Lebih menggembirakan bagi peserta ke 101 dalam program itu ialah, Mohd Wais Wong Abdullah dan isterinya, Siti Muliyana Mohd Nor apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri yang menyempurnakan sendiri majlis akad nikahnya.

Pasangan mualaf tersebut sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz yang disaksikan kira-kira 3,000 hadirin itu turut menerima hadiah sagu hati daripada Tok Guru.

Nik Abdul Aziz berkata, program berkahwin secara beramai-ramai ini dilaksanakan adalah untuk memudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak berlakunya gejala tidak sihat.

“Berkahwin adalah wajib bagi umatnya yang mampu dan sekiranya tidak mampu digalakkan berpuasa bagi mengawal nafsu dan menghindari keburukan.

“Bagi saya perkahwinan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada semua kerana dengan hanya kadar mas kahwin yang murah dan ini tidak akan membebankan kaum lelaki serta mengelak daripada tidak berkahwin kerana dianggap mas kahwin sebagai beban,” katanya, semalam.

Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran beliau akan meraikan semula 17 pasangan pengantin baru Orang Asli yang dinikahkan serentak, semalam.

Nik Aziz berkata, perbelanjaan menguruskan majlis keraian itu adalah menggunakan wang beliau sendiri dan tarikh sesuai akan ditentukan oleh pihak Urus setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri (UPWKK).

“Saya sangat gembira kerana hari ini (semalam) seramai 101 pasangan pengantin dapat dinikahkan secara beramai-ramai dan ini dapat mengelak daripada berlakunya zina seperti yang dibimbangkan sekarang.

“Jadi dalam program ini kumpulan Orang Asli juga tidak dilupakan dan mereka dipanggil bersama-sama untuk diraikan,” katanya.

“Idea ini adalah sejak sebelum pilihan raya lagi dan saya berhajat untuk melakukannya di setiap daerah.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas menolak budaya meletakkan mas kahwin yang tinggi dan baginya perkahwinan bukan satu perniagaan.

Pasangan terbabit dinikahkan secara serentak dan pengantin perempuan menerima mas kahwin sekeping dinar mas dan RM500 termasuk senaskhah al-Quran yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Program anjuran bersama UPWKK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan itu juga membabitkan pasangan golongan remaja dan belia dari seluruh Kelantan

Sebagai hadiah berbulan madu ada di antara mereka yang ditawarkan untuk ke China dan juga melancong dalam negara dengan tajaan Kerajaan Negeri dan individu tertentu.

Hadir sama pada program tersebut, isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar; Pengerusi Bersama Program, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengerusi, Rohani Ibrahim bersama Exco yang lain.

Biar polis buat siasatan



SHAH ALAM – Pas menyerahkan siasatan berhubung kes bekas anggota Bahagian Keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang didakwa diserang sekumpulan lelaki kerana membuat pendedahan seorang wakil rakyat Pas yang didakwa berzina dengan isteri orang. 

Ketua Dewan Pemuda Pas Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak akan menjalankan siasatan dalaman sebaliknya menyerahkan kes tersebut sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung motif serangan tersebut. 

“Kita serah kepada pihak polis sahaja,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam 

Saidi mendakwa diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh kelmarin namun tidak menghadapi sebarang kecederaan hanya bajunya terkoyak akibat tetakan yang dilakukan tiga lelaki kira-kira jam 11.30 malam. 

Beliau mendakwa serangan terhadapnya itu berkemungkinan berpunca daripada pendedahannya mengenai skandal khalwat tersebut dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar kawasan Pasir Puteh. 

Beliau yang keluar daripada Pas pada Oktober lalu berkata, keretanya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza secara tiba-tiba dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu. 

Terdahulu, beberapa buah laman blog termasuk ‘Papa Gomo’ mendedahkan mengenai seorang wakil rakyat Pas dari kawasan Selising, Pasir Puteh telah ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu. 

Sebelum ini, Pas Kelantan turut menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Drs Saipul Bahrin Mohamad pernah ditangkap kerana berzina dengan isteri orang. 

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya dalam kajian untuk mengambil tindakan itu terhadap mana-mana pengendali blog, penceramah atau mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah itu. 

“Jika ada bukti tunjukkan (kepada kami). Penyebaran fitnah ini dakyah politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin Pas cara tidak bermaruah. Sebelum ini calon ADUN Galas juga pernah menjadi mangsa tetapi apabila Pas kata hendak bertindak, mereka tarik balik dan minta maaf. 

“Penyebaran fitnah disedari dalam minggu ini dan ia ditimbulkan semula oleh musuh politik semata-mata untuk membunuh karakter seseorang individu seperti yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini,” katanya.

Asbullah lumpuh sejak tiga bulan lalu




TAMAN SUNGAI MAS – Seorang pemuda, lumpuh separuh badan sejak tiga bulan lalu ketika bekerja di sebuah pasar raya, di sini. 

Pemuda, Mohd Asbullah Mat Salim, 24, berkata, masalah itu bermula apabila tangan kanannya tiba-tiba menjadi kebas dan lama-kelamaan bahagian badan di sebelah kanan tidak dapat bergerak. 

Menurutnya, sejak berkeadaan sedemikian, dia memerlukan bantuan ibunya untuk mengurus diri. 

"Jika abang saya pulang dari bekerja, dia akan menggantikan ibu menguruskan diri saya. 

“Bagi memulihkan keadaan, saya berusaha merawatnya secara moden dan tradisional,” katanya ketika menerima lawatan Setiausaha Politik Menteri Besar, Ismail Safian, di rumahnya di Taman Sungai Mas, di sini. 

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Rosli Husin. 

Mohd Asbullah berkata, selain itu, dia juga mempunyai ketumbuhan di bahagian belakang lehernya sejak berusia 17 tahun tetapi doktor tidak dapat menjalankan pembedahan kerana risikonya tinggi. 

"Kesudian wakil menteri besar menyumbang kerusi roda elektrik untuk memudahkan pergerakan saya amat dihargai. 

"Saya berasa gembira kerana ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.

Nik Aziz kecam individu kritik Anwar

 


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengecam tindakan ahli politik yang secara berterusan mengkritik serta menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa kes yang dihadapinya kini.

Menurutnya, sebagai manusia Anwar juga mempunyai perasaan sama seperti individu yang lain dan setiap tuduhan yang dibuat terhadapnya perlu dikemukakan bukti.

“Sekarang ni mereka dok cincang Anwar, apa yang mereka tak kata kepada beliau sejak bertahun-tahun. Ada menuduh dia terlibat kes liwat dan bermacam-macam lagi.

“Anwar itu orang bukan batang kayu, dia ada hati perut dan perasaan, dia ada maruah, kenapa nak tuduh tanpa bukti, Itu berdosa, jika Anwar tidak maaf, orang itu tidak dapat masuk syurga,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Sebelum ini, Nik Aziz antara individu yang lantang mempertahankan Anwar, khususnya dalam kes tuduhan liwat yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegur sikap segelintir ahli politik yang mengkritik beliau kerana menghadiri majlis masyarakat bukan Islam, sedangkan ia tidak salah menurut pandangan Islam.

“Kalau apa-apa masalah tanya saya, saya ni hidup lagi, kenapa suka sangat cerita fasal saya. Saya ni tidak suka bercakap hal orang, tapi orang bercakap mengenai saya.

“Saya ni tok guru, kalau saya buat benda saya akan fikir panjang. Dalam kes itu saya tanya orang Cina, majlis tu melibatkan kebudayaan ke agama, kalau agama saya tidak boleh pergi kerana kita ada tuhan satu sahaja. Saya tidak halal orang yang menuduh saya begitu,” katanya.

Penyebar fitnah ADUN Selising berdepan tindakan undang-undang

 

KOTA BHARU – Pas Kelantan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah kononnya Ahli Dewan Undangan (ADUN) Selising, Pasir Puteh, Drs Saipul Bahrin Mohamad pernah ditangkap kerana berzina isteri orang. 

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya dalam kajian untuk mengambil tindakan itu terhadap mana-mana pengendali blog, penceramah atau mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah itu. 

“Jika ada bukti tunjukkan. Penyebaran fitnah ini dakyah politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin Pas cara tidak bermaruah. Sebelum ini calon ADUN Galas juga pernah menjadi mangsa tetapi apabila Pas kata hendak bertindak, mereka tarik balik dan minta maaf. 

“Penyebaran fitnah disedari dalam minggu ini dan ia ditimbulkan semula oleh musuh politik semata-mata untuk membunuh karektor seseorang individu seperti yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan susulan Pas Kelantan ekoran penyebaran fitnah ADUN Selising yang didakwa kononnya ditangkap ‘berzina’ dengan isteri orang dalam koc VIP kereta api ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan. 

Menurutnya, perbuatan penyebaran fitnah berkenaan adalah keji kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan dan memecahbelahkan individu terbabit malah pasangan yang didakwa dalam laman blog berkenaan. 

Kelmarin, sebuah laman web melaporkan Drs Saipul Bahrin mencabar mana-mana pihak membawa bukti penglibatan beliau dalam penyebaran fitnah berzina itu. 

Cabaran itu dibuat berikutan Umno Online sebelum itu memetik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang mencabar ADUN Selising sendiri atau pihak Pas supaya memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu.

Pendedahan dokumen Apco tindakan terancang UMNO: Anwar



SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tindakan kerajaan mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ sebagaimana yang didakwanya bertujuan membunuh karakter beliau sebagai tokoh politik. 

Beliau juga mendakwa pendedahan dokumen tersebut dan penggantungan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai tindakan terancang UMNO- Barisan Nasional. 

“Tindakan UMNO-BN mendedahkan dua dokumen tersebut tidak lebih daripada usaha agar media memainkan isu itu bagi memastikan tiada penelitian ‘bukti’,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini semalam. 

Kerajaan sebelum ini mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ seperti didakwa Anwar. Dokumen itu berupa surat penafian Apco Worldwide (Apco) mengenai pembabitannya dalam penggubalan konsep 1Malaysia dan One Israel serta kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum. 

Surat Apco bertarikh 19 Ogos 2010 kepada Parlimen yang dijadikan bukti utama dalam siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung dakwaan Anwar, menjelaskan firma itu dilantik pada Jun 2009 bagi menyediakan sokongan komunikasi kepada Kerajaan Malaysia. 

Ketua Eksekutif Apco (Timur Tengah Eropah dan Afrika), Brad Staples, dalam surat itu juga menjelaskan firma berkenaan tiada kaitan dengan One Israel dan tidak terbabit dalam pembentukan konsep 1Malaysia. Penafian Staples diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum.

Rais tegur artis berpakaian seksi


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kumpulan Media Prima Berhad perlu membuat penilaian semula berhubung etika berpakaian dalam majlis anugerah anjurannya berikutan kekecewaan beberapa pihak mengenai artis wanita berpakaian tidak sopan dan seksi pada Majlis Anugerah Skrin TV3 2010, semalam.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana anugerah tersebut bertujuan memberi penghargaan kepada filem, drama dan pelakon terbaik.
"Saya sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan malam tadi hanya beri fokus kepada mutu filem dan drama dipertandingkan. Saya tidak tumpukan kepada pakaian setiap artis yang hadir.
"Tetapi sekiranya ada keadaan menjolok mata dan tidak menyerikan majlis, Media Prima melalui anak syarikatnya, TV3 perlu nilai semula supaya ia tidak berulang pada anugerah akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Krismas 1Malaysia anjuran ahli perniagaan, Datuk Seri Vanatiah Anthony, di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan beberapa pihak terutama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang kecewa dengan pendedahan aurat yang ketara oleh artis wanita pada majlis anugerah itu.
Rais berkata, setiap manusia ingin maju dalam kehidupan tetapi bukan bererti tamadun terutama sebagai orang Melayu dicabuli oleh kelakuan atau cara berpakaian yang tidak senonoh.
"Siapa makan cili dia akan terasa pedasnya kerana saya dan pihak lain menyatakan pandangan ini dalam konteks sebenar," katanya.
Sementara itu, Ketua Wirawati Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Zaira Jaafar berkata, biarpun penampilan seseorang itu merupakan hak individu namun ia perlu mempunyai had dan batasan.
Beliau berkata, tindakan artis wanita yang mengenakan pakaian menjolok mata bukan sahaja tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi Malaysia, malah menunjukkan mereka tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat.
"Bukan tidak boleh berpakaian moden dan mengikut trend, namun artis wanita juga perlu peka dengan persekitaran sekeliling.
"Jangan berpenampilan keterlaluan kerana mungkin ada di kalangan peminat dan masyarakat tidak boleh menerima imej sedemikian walaupun atas dasar bersikap terbuka mahupun atas nama kebebasan," katanya.
Zaira berkata, artis wanita sepatutnya lebih menonjolkan pakaian bersifat tradisional seperti kebaya moden apabila menghadiri acara besar dan berprestij seperti majlis penganugerahan.
Kata beliau, ia bukan sahaja membuatkan pemakainya kelihatan lebih menawan dan sopan, tetapi turut menampilkan ciri-ciri kewanitaan, sekali gus memperkasakan fesyen kebangsaan.