SHAH ALAM – Seluruh anggota Pas diingatkan supaya mengikut haluan dan hala tuju parti serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan fahaman sahaja.
'via Blog this'
KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meredakan kebimbangan ahli Pas dengan memberi jaminan parti itu tidak akan tersasar dari landasan perjuangan sebagaimana dakwaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Mursyidul Am Pas itu berkata, Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada Pas sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.
“Dakwaan konsep negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah merupakan kenyataan yang tidak berasas.
“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
JOHOR BAHRU: “Tidak sangka rutin harian saya dan isteri memberi Eryshah susu pada jam 6 pagi kelmarin menjadi yang terakhir apabila isteri menyedari anak kami sudah tidak bernyawa,” kata Erywan Yaacob, 32, bapa bayi merdeka yang dilahirkan dengan otak berada di luar tempurung kepala, semalam.
Menurut Erywan, masih terngiang tangisan anaknya itu setiap kali kelaparan atau mengalami masalah kesihatan.
“Air mata pasti menitis setiap kali teringatkan Eryshah, pelbagai usaha kami lakukan untuk menyelamatkannya.
“Ketika kejadian, saya dan isteri baru selesai mengerjakan solat Subuh dan kami pergi ke katilnya untuk memberikan Eryshah susu.
“Bagaimanapun, kami terkejut mendapati Eryshah berusia hampir empat bulan tidak lagi bergerak,” katanya.
Menurut Erywan, bimbang dengan keadaan bayinya itu, dia dan isteri, Noraishah Alaby, 32, bergegas menghantar Eryshah ke hospital sebelum doktor mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.
Katanya, Eryshah mengalami masalah kesihatan seminggu sebelum itu namun kesihatannya beransur pulih dua hari sebelum pemergiannya.
“Saya dan isteri menganggap pemergian Eryshah sebagai ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana dia sempat hidup bersama kami sepanjang hampir empat bulan ini.
“Sepanjang hayatnya, Eryshah adalah bayi yang kuat dan mudah dijaga selain tidak banyak ragam walaupun dia menanggung kesakitan yang kita sendiri tidak dapat bayangkan,” katanya.
Jenazah Eryshah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah dan dia sekeluarga mengucapkan terima kasih di atas doa dan bantuan dihulurkan orang ramai sepanjang hayat anaknya itu.
“Syukur, sejak berita kelahiran Eryshah disiarkan Harian Metro, kami sekeluarga tidak pernah putus menerima bantuan selain pelbagai nasihat dan saranan untuk kesihatannya.
“Kami tidak pernah berputus asa dalam mencari rawatan dan kaedah terbaik yang mampu menyelamatkan Eryshah seperti mendapatkan rawatan doktor pakar selain pelbagai kaedah tradisional,” katanya.
Pada 12 September lalu, muka depan Harian Metro melaporkan, Eryshah disahkan doktor hanya menunggu masa untuk pergi buat selama-lamanya kerana keadaannya itu.
KUALA LUMPUR: “Tidak, saya belum menerimanya (surat peletakan jawatan),” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menafikan menerima surat peletakan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan selepas melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan Siri Mata Wang Baru di sini, semalam.
Perdana Menteri bagaimanapun menolak ketika diminta mengulas mengenai kontroversi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
“Saya akan ulas bila tiba masanya,” katanya.
Shahrizat kini berdepan dengan isu NFC yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan Oktober lalu menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Isu berkenaan semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui pemberita di majlis Karisma bersamapertubuhan sukarelawan semalam berkata, beliau tahu apa yang perlu dilakukannya dan mampu membuat keputusan sendiri.
“Tidak perlu sesiapa gesa saya. Saya tahu apa yang perlu dibuat,” katanya apabila ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang mahu beliau meletakkan jawatan berikutan isu NFC itu.
Shahrizat berkata, beliau hanya isteri pengerusi NFC dan daripada segi undang-undang dan profesional, dia tiada kena mengena dengan kes NFC.
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Datuk Dr Hasan Ali seolah-olah mengisytiharkan perang ke atas parti berkenaan dan mencadangkan supaya beliau ‘angkat kaki’ jika tidak bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan.
Beliau berkata, tindakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor secara terang-terang menolak konsep Negara Berkebajikan bererti beliau tidak bersetuju dengan pendapat dan pandangan semua pemimpin serta ahli Pas termasuklah Presiden dan Majlis Syura.
Menurutnya, Hasan telah menunjukkan dirinya telah hilang kepercayaan terhadap perjuangan Pas dan sanggup menolak dasar parti itu dengan membuat tuduhan tidak berasas.
“Kami dalam Pas tidak kisah dengan kritikan beliau untuk membina parti. Namun, tindakan menolak konsep negara berkenaan yang dipersetujui Muktamar Pas Pusat yang dianggotai perwakilan seluruh negara dan Pemuda, Dewan Muslimah serta Perwakilan Dewan Ulama sebenarnya menyerlahkan niat sebenarnya.
“Sebab itu saya anggap kenyataan Hasan seperti mengisytiharkan perang dengan parti sendiri sedangkan di dalam mesyuarat sebelum ini, beliau tidak bercakap mengenai masalah ini, sebaliknya menggunakan media,” katanya di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Hasan perlu membuat keputusan untuk dirinya sendiri, sama ada mahu bersama parti atau angkat kaki.
Katanya, Hasan tidak perlu menyuruh orang lain membuat keputusan itu kerana sebagai pakar motivasi yang mempunyai kelulusan yang tinggi, beliau sendiri boleh meramal nasibnya di dalam Pas.
“Angkat kaki lah. Saya tidak akan halangnya untuk berbuat demikian. Atau beliau hendak tunggu Pas buat keputusan (pecat). Satu lagi, beliau tidak perlu menjual nama Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib serta Ketua Pemuda, Nasrudin Tantawi.
“Mereka semua kata Pas berada di landasan yang betul dan tidak tergelincir seperti dakwaan Hasan. Malah mengaitkan nama saya dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebenarnya takut dengan kehebatan saya dan terima kasihlah kerana perkara ini. Apa pun, jika saya berada di tempat ini, sudah tentu keputusan yang diambil ialah keluar parti,” katanya.
Mahfuz berkata, sekiranya Hasan bertindak demikian (keluar parti), Pas Selangor tidak akan goyang.
Beliau berkata, ahli Pas jangan terpengaruh dengan apa yang diperkatakan Hasan kerana semua kenyataan itu adalah pandangan peribadinya sahaja dan tidak ada kena-mengena dengan dasar parti.
Katanya, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu tidak perlu meletakkan Pas di landasan yang betul kerana dirinya (Hasan) yang sebenarnya tersilap dan masih keliru dalam menterjemah perjuangan parti, sebaliknya bertindak menghentam ulama.
Menurutnya, Pas selesa dengan rakan-rakan dalam Pakatan dan boleh menubuhkan kerajaan yang baik bersama-sama DAP dan sekiranya ada isu tertentu mengenai kedua-dua belah pihak, ia hanya masalah teknikal sedangkan dalam Barisan Nasional, Umno dan MCA pun mempunyai masalah yang sama.
IPOH – Pas tidak tersasar dari perjuangan asal, namun pertukaran mengenai penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan adalah keputusan Majlis Syura bukannya ditentukan sewenang-wenangnya.
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menyangkal dakwaan, beliau terperangkap dalam agenda politik Umno dan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
Menurutnya, sepanjang pembabitan di dalam Pas, beliau belum pernah menyatakan hasrat menyertai Umno.
“Buat kesekian kalinya saya tegaskan, saya tidak mempunyai niat menyertai Umno.
“Janganlah gunakan alasan seperti ini untuk menyimpulkan tindakan atau perhitungan politik ketika kita mengharung gelombang percaturan politik jauh lebih mencabar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Nasharudin berkata, kenyataan itu dikeluarkan rentetan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadapnya, menerusi media massa, blog dan laman Facebook serta Twitter.
“Saya perlu mengeluarkan kenyataan ringkas untuk menjelaskan kecelaruan berlaku. Saya harap ia memadai mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan Pas.
“Saya tegaskan di sini, saya adalah adalah ahli Pas, perjuangan saya kekal bersama Pas untuk menjunjung risalah Islam serta memberi sumbangan kepada ummah,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai seorang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama sebelum berpindah kepada pengajian Syariah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari pembabitan di pentas politik nasional mengundang pelbagai cabaran dan dugaan.
“Dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga. Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah yang lalui ketika ini.
“Jalan dakwah ini ditempuh oleh para anbiya’, sahabat dan ulama terdahulu daripada kami yang memilih Pas sebagai pentas politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali dalam kenyataannya berkata, bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Nasharuddin Mat Isa terperangkap dalam agenda politik Umno.
KUALA LUMPUR – Mulai Januari depan, kira-kira 46,000 kenderaan gas asli (NGV) di negara ini wajib dipasang dengan Alat Pengesan Kebocoran Gas yang telah diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Alat itu diwajibkan dipasang pada semua kenderaan NGV berikutan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengenai penggunaan NGV telah diluluskan oleh Parlimen dan akan diwartakan tahun depan.
Menurut Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Ir. Mohamad Dalib, alat keluaran tempatan berharga RM150 itu terbukti dapat mengesan kebocoran NGV dalam kenderaan.
“Ia boleh dipasang di 170 bengkel kenderaan berdaftar di seluruh negara dengan harga RM150 itu termasuk caj pemasangan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
SAN FRANCISCO 21 Dis. - Lebih 1 trilion rakaman video dimainkan semula di laman video YouTube sepanjang tempoh 2011, iaitu sama seperti setiap orang di dunia ini menonton 140 video, menurut Google semalam.
Google turut mengeluarkan senarai 10 video teratas yang paling banyak ditonton selain yang diterbitkan oleh syarikat rakaman utama.
Senarai itu kebanyakannya daripada video amatur atau komedi daripada lagu-lagu hit dengan satu daripadanya termasuklah iklan kereta Passat buatan Volkswagen di mana seorang kanak-kanak bertopeng Darth Vader menyangka dia telah menghidupkan enjin kereta bapanya menggunakan kuasanya tanpa menyedari bapanya menggunakan alat kawalan jauh.
Video yang paling ramai ditonton sepanjang 2011 di YouTube ialah video memaparkan penyanyi remaja Amerika Syarikat (AS), Rebbeca Black yang menyanyikan lagu Friday.
Video Ultimate Dog Tease yang memaparkan seekor anjing memberi tindak balas ketika tuannya menceritakan kisah-kisah dongeng mengenai makanan pula menduduki tangga kedua.
Lagu oleh kumpulan rombongan AS, Lonely Island yang menampilkan Michael Bolton sebagai Jack Sparrow berada di kedudukan ketiga dalam senarai video paling popular itu dan diikuti oleh video di mana dua bayi kembar berbicara antara satu sama lain.
Video animasi memaparkan seekor kucing terbang di angkasa lepas pula berada di kedudukan kelima, manakala Karmin Music yang menyanyikan lagu Chris Brown, Look at Me Now menduduki tangga keenam.
Lonely Island's The Creep berada di kedudukan ketujuh diikuti oleh video seorang kanak-kanak Maria Aragon, 11, menyanyikan lagu Lady Gaga, Born This Way.
Volkswagen's The Force pula menduduki tangga kesembilan dan video ibu kucing berpusing-pusing membawa anaknya di kedudukan ke-10.
Bagi video daripada syrikat rakaman utama pula, Jennifer Lopez dengan lagu On the Floormenduduki senarai teratas diikuti oleh LMFAO (Party Rock Anthem), Bruno Mars (The Lazy Song) dan Nicki Minaj (Super Bass).
Pitbull dengan lagu Give Me Everything dan Rain Over Me berada di kedudukan kelima dan keenam.
Video klip daripada penyanyi Jessie J dengan lagu Price Tag pula menduduki tangga ketujuh sementara lagu Sexy and I Know oleh LMFAO di tangga kelapan.
Penyanyi Katy Perry melengkapkan senarai kesembilan dan ke-10 melalui video klip lagunyaET dan Last Friday Night. - DPA
NEW YORK 21 Dis. - Pengasas Facebook Mark Zuckerberg; aktivis hak asasi manusia Ronan Farrow; bintang pop Lady Gaga dan Justin Bieber tersenarai sebagai antara individu berusia bawah 30 tahun yang paling berjaya oleh majalah Forbes.
Senarai itu turut membariskan pereka pemasangan foto berskala besar, JR, 28, dan penerbit filem David Ellison yang juga anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Oracle, Larry Ellison yang membiaya filem True Grit dan World War Z.
"Walaupun ramai yang disenarai merupakan individu dikenali, namun kemunculan pertama pakar sains kelahiran Kanada, Danielle Fong yang menyelesaikan pengajian doktor falsafah di Universiti Princeton pada usia 17 tahun sebelum mengasaskan syarikat tenaga alternatif Lightsail pada usia 20 tahun turut menjadi perhatian," kata Pengarang Eksekutif Forbes, Michael Noer dalam satu kenyataan.
Farrow yang kini dikenali sebagai Sarjana Rhodes, Pakar Dasar dari Jabatan Negeri Amerika Syarikat (AS), satu-satunya anak kandung aktres Mia Farrow dan pengarah Woody Allen pula berada dalam senarai dasar dan undang-undang.
Sementara itu, Donald Glover, Jonah Hill, Jennifer Lawrence dan Jaden Smith, 13, anak kepada pelakon Will Smith tersenarai dalam kategori hiburan manakala kategori muzik pula menyenaraikan bintang British Adele dan bintang pop AS Katy Perry, Rihanna serta penyanyi rap Lil Wayne.
Sebanyak 12 kategori dipertandingkan termasuk seni dan rekaan, makanan, media, sosial dan teknologi yang menyenaraikan Pengasas CEO jaringan berita teknologi Mashable, Peter Cashmore.
Bidang pemilikan pula menyenaraikan Alex Hodara, 24, yang menjadi syarikat broker pertama dikendalikan oleh pelajar di AS serta Kunal Shah, 29, dari Goldman Sach dinamakan sebagai Pengarah Urusan termuda ketika berusia 27 tahun.
Seramai 30 individu dipilih bagi setiap kategori dan ia akan disiarkan dalam majalah tersebut bulan depan.
Forbes meminta pembaca dan juga 12 ahli panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang berkaitan menilai individu tersenarai yang bakal memberi pengaruh kepada dunia.
Antara panel terlibat termasuk artis Chuck Close, jutawan kewangan Thomas Lee dan pemilik Gawker Media, Nick Denton. - Reuters
SEOUL 21 Dis. - Syarikat pembinaan kapal Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering hari ini menandatangani perjanjian eksport senjata terbesar bernilai AS$1.1 bilion (RM3.41 bilion) dengan menjual tiga buah kapal selam kepada Indonesia.
Menerusi kenyataan media, Daewoo menyatakan perjanjian tersebut merupakan peluang pertama buat mereka untuk meneroka pasaran antarabangsa.
Di bawah perjanjian tersebut, Daewoo akan menghantar tiga kapal selam yang setiap satunya seberat 1,400 tan ke Jakarta pada tengah tahun pertama 2018.
Setiap kapal selam tersebut mampu membawa seramai 40 anak kapal dan akan dilengkapi peralatan termasuk lapan pelancar torpedo dan peluru berpandu.
Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) berkata, perjanjian tersebut turut meningkatkan volum eksport peralatan pertahanan kepada AS$2.4 bilion (RM7.44 bilion) iaitu lebih daripada dua kali ganda dari setahun lalu.
Perjanjian tersebut merupakan perjanjian pertahanan terbesar kedua yang dimeterai antara dua negara terbabit.
Pada Mei lalu, Industri Aeroangkasa Korea (KAI) bersetuju untuk mengeksport 16 jet latihan supersonik T-50 Golden Eagle bernilai AS$400 juta (RM1,240 juta) ke Jakarta. - AFP
JAKARTA 21 Dis. – Anak kepada pasangan petani dari Bachok, Kelantan, Dr. Rosaida Sidek muncul sebagai penuntut jurusan perubatan cemerlang dan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), di sini.
Berusia 24 tahun, Dr. Rosaida tidak pernah menjadikan latar belakang keluarga sebagai halangan untuk meningkatkan prestasinya selama lima tahun menelaah ilmu perubatan di universiti berkenaan.
Dengan merangkul Anugerah Cum Laude iaitu penghormatan yang diberikan oleh Ukrida kepada mahasiswa cemerlang yang mendapat Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 ke atas dalam pengajian, kegembiraan itu dikongsi Dr. Rosaida bersama ibu dan ayahnya, Ramlah Daud dan Sidek Hamzah.
Kedua ibu bapa Dr. Rosaida hadir buat pertama kali ke Ukrida untuk melihat anak mereka dilantik dan mengangkat sumpah sebagai doktor.
“Tiada apa yang menggembirakan saya selain dapat menyelesaikan pengajian dalam bidang perubatan selain daripada membahagiakan kedua ibu bapa serta keluarga saya,” kata Dr. Rosaida yang memperoleh PGNK 3.60 ketika ditemui selepas majlis pelantikan dan angkat sumpah sebagai doktor di Ukrida di sini hari ini.
Dr. Rosaida yang juga penerima biasiswa Mara berkata, dia sangat bertuah kerana mendapat sokongan, restu dan doa yang tidak terhenti daripada kedua ibu bapanya.
Kegembiraan yang sama dikongsi oleh ibu Dr. Rosaida, Ramlah yang memberitahu, dia amat bersyukur kerana anak bongsu daripada lima saudara kandung itu akhirnya berjaya membawa pulang ijazah dalam bidang kedoktoran.
“Pengorbanannya selama lima tahun di Jakarta akhirnya membuahkan hasil. Saya amat bersyukur dan gembira dengan pencapaian Rosaida,” ujar Ramlah lagi.
Bagi Sidek yang mengusahakan tanaman tembakau, sayur-sayuran dan padi di kampung halamannya berkata, kepulangan Dr. Rosaida ke tanah air untuk berbakti kepada masyarakat merupakan hal yang sangat menggembirakan beliau.
Biarpun terpaksa bekerja keras untuk membantu meringankan kos perbelanjaan Dr. Rosaida di perantauan, namun kepayahan itu katanya berbayar apabila melihat anaknya hari ini secara rasmi bergelar seorang doktor.
Selain Dr. Rosaida, dua pelajar Malaysia yang lain, Dr. Zaitul Akma Baharuddin dan Dr. Nurshaheda Mohd. Salleh juga turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang.
Kedua-dua pelajar berkenaan menamatkan pengajian masing-masing dengan memperoleh PGNK 3.58 dan 3.51.
Ketiga-tiga mereka serta 21 penuntut Malaysia lain menerima pelantikan dan mengangkat sumpah pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan Ke-83 di depan Dekan Fakulti Kedoktoran Ukrida, Dr. Mardi Santoso. – Utusan
KUALA LUMPUR 22 Dis. – Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau tidak kisah jika digugurkan daripada jawatan tersebut serta tidak dipilih semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata: “Yang jelas adalah perjuangan saya mempertahankan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja.”
"Bagi saya ketiga-tiga ini merupakan landasan yang sangat penting dari dulu sampai sekarang,” katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib yang disiarkan malam tadi.
Menyentuh mengenai PAS, Anggota Dewan Undangan Gombak Setia itu berkata jawatankuasa pusat parti itu kini lebih ramai dianggotai oleh profesional iaitu sebanyak 65 peratus berbanding golongan ulamak yang kini hanya 35 peratus.
Untuk itu beliau berharap anggota parti dapat meletakkan kembali kedudukan ulamak sebagai barisan kepimpinan parti.
Ini adalah kerana golongan ulamak dilihatnya mampu membawa PAS kembali ke landasan perjuangan berdasarkan prinsip Islam, katanya.
Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan PAS berikutan perubahan ini, Hasan berkata: “Saya akan bersama apa jua gerakan berunsur politik atau tidak yang dapat mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi raja. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan membuat kenyataan berhubung kontroversi melibatkan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) apabila tiba masanya.
Malah kata Perdana Menteri, beliau juga akan menjawab mengenai isu peletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat pada masa yang sesuai.
''Saya akan komen apabila sampai masanya," kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan Mata Wang Siri Baharu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi NFC yang turut dikaitkan dengan Shahrizat dan keluarganya yang mana Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.
Ketika ditanya adakah beliau ada menerima surat peletakan jawatan Shahrizat memandangkan terdapat beberapa pihak yang mendesak Shahrizat berbuat demikian, Najib berkata, beliau tidak menerima surat tersebut.
Menjawab soalan mengapa hanya menteri berkaitan sahaja yang menjawab isu berkaitan syarikat milik kerajaan (GLC), Najib berkata, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga bertanggungjawab dalam perkara tersebut.
''Apa yang berlaku mungkin menteri selalu bertemu media, sebab itu sebarang isu berkaitan dengan GLC dijawab oleh menteri.
''Tetapi jika kita lihat dalam ruangan perniagaan akhbar-akhbar misalnya, CEO juga ada membuat kenyataan," katanya.
KUALA LUMPUR 21 Dis. – Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD) Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang baru-baru ini, memberitahu, dia selamat dan kini menetap di Dublin.
Menurut Ariff Alfian, dia juga masih beragama Islam dan tidak hilang sebagaimana dilaporkan.
‘‘Saya tidak menganut agama lain seperti yang dilaporkan. Saya dilahirkan sebagai Islam, saya masih seorang Islam dan akan kekal Islam sehingga saya meninggal dunia.
‘‘Tiada apa yang mampu menggoncang keimanan saya,” katanya yang dipetik dalam portal berita http://www.irishtimes.com semalam.
Pada 12 Disember lalu, bapanya, Rosli Haron telah melaporkan kehilangan Ariff Alfian kepada Utusan Malaysia selepas gagal menghubungi anaknya itu sejak tiga tahun lalu.
Bekas pelajar UCD itu memberitahu, dia telah bermastautin di Ireland ketika mula menyambung pengajian dalam bidang perubatan sejak lapan tahun lalu.
“Saya tak hilang. Pihak berkuasa Ireland tahu saya tinggal di negara ini secara sah.
‘‘Kedutaan Malaysia juga tahu dan sedar yang saya tinggal secara sah di sini sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.
Ariff Alfian mengakui dia sudah beberapa tahun tidak bercakap atau menghubungi bapanya di Malaysia, ekoran satu perselisihan faham antara mereka.
‘‘Saya ada sedikit salah faham dengan ayah pada tahun 2009 dan sehinggalah saya dilaporkan hilang.
‘‘Saya masih tidak berhubung dengannya, tetapi sering berhubung dengan ahli keluarga yang lain,” katanya lagi.
Ariff Alfian menjelaskan, tindakannya itu secara tidak langsung telah menarik perhatian masyarakat.
Menurutnya, dia tidak berniat mencetus kontroversi, apatah lagi perkara tersebut melibatkan keluarganya.
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein hari ini menjelaskan deposit wang ke dalam akaun peribadinya seperti didakwa beberapa blog adalah bertujuan untuk membiayai kerja-kerja kebajikan melibatkan rakyat di Bachok, Kelantan.
Menurutnya, deposit wang itu adalah hasil derma atau sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat yang disalurkan menerusi akaun khas dan diselia oleh seorang pegawai bagi tujuan tersebut.
Jelasnya, antara kerja-kerja yang dilaksanakan menerusi sumbangan berkenaan ialah bantuan kepada rakyat miskin seperti bantuan Aidilfitri kepada 4,000 penerima, program tuisyen bahasa Inggeris untuk 33 buah sekolah rendah dan program membaiki rumah orang miskin.
‘‘Banyak syarikat dan individu yang menderma kepada saya bagi membolehkan saya menjalankan kegiatan-kegiatan atau program untuk rakyat di Bachok. Ramai yang derma menerusi akaun tersebut. Rekodnya saya ada termasuk siapa yang beri (derma) dan penerima sumbangan. Saya ada pegawai yang khusus jaga akaun itu.
‘‘Prinsipnya memang ada orang beri sumbangan. Siapa yang nak beri derma, tiada masalah. Kecuali kalau ada kepentingan peribadi, maknanya nak kontrak. Saya sebagai timbalan menteri, tiada kena mengena dengan pemberian kontrak.
‘‘Semua rekod (derma) akan saya serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diminta. Bila diminta, saya akan beri. Saya akan kumpul segala rekod,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan beberapa blog yang mengaitkannya dengan rasuah apabila seorang individu mendeposit wang ke dalam akaun miliknya.
Awang Adek berkata, sebagai seorang ahli politik dan timbalan menteri, kerja-kerja kebajikan yang dijalankan adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.
‘‘Sebagai seorang timbalan menteri, rakyat (di Bachok) rasa saya boleh bantu. Jadi bantuan itu menerusi derma-derma terbabit. Berilah derma tapi jangan harap saya beri balasan (kepada penderma),” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan satu ‘perangkap’ yang dipasang oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
‘‘Banyak aduan saya terima terutama di kalangan peniaga kecil yang bimbang untuk isi borang BR1M. Mereka khuatir untuk memberikan maklumat, takut-takut LHDN akan cuba kesan bagi pembayaran cukai dan sebagainya.
‘‘Saya ingin jelaskan, kerajaan tidak ada niat sedemikian. Kerajaan semata-mata nak bantu golongan yang layak. LHDN dilantik dan dipilih sebagai agensi pelaksana kerana agensi itu ada rekod-rekod pembayar cukai.
‘‘Jadi, siapa yang tiada rekod dalam LHDN, jangan takut (isi borang BR1M),” katanya.
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Penyanyi veteran tanah air, Abd. Latif Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim, 61, kini berada dalam keadaan kritikal di Institut Jantung Negara (IJN).
Penyanyi lelaki era 70-an yang terkenal dengan lagu Nora itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN setelah diserang sakit jantung di rumahnya, Ahad lalu.
Adiknya yang juga penyanyi popular, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, walaupun masih berada dalam keadaan kritikal, namun Latif sudah boleh berkomunikasi.
“Dia (Latif) sudah sedar dan mula bertutur, namun dalam kadar yang sangat sedikit.
“Buat masa ini, kami sedang menunggu kepulangan doktor yang menguruskan Latif balik dari Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan keputusan berhubung keadaan kesihatannya.
“Saya harap orang ramai dapat sama-sama mendoakan kesihatan Latif Ibrahim dan dia akan kembali sembuh seperti sediakala,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Buat masa sekarang, jelas Khadijah, pelawat tidak dibenarkan menziarahi abangnya itu atas nasihat pihak IJN.
KOTA BHARU 21 Dis. _ Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimasukkan ke sebuah hospital di sini untuk berehat sejak kelmarin.
Setiausaha Akhbar beliau, Ahmad Fadzli Shaari berkata, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berada dalam keadaan stabil dan akan dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat.
Kenyataan tersebut ditulis oleh Ahmad Fadzli dalam status laman sosial facebook milik Nik Abdul Aziz hari ini dan beliau tidak pula menyatakan Menteri Besar itu dimasukkan ke hospital mana.
Status kesihatan Nik Abdul Aziz menimbulkan tanda tanya banyak pihak biarpun beliau sebelum ini sering menegaskan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, dalam status yang sama, Ahmad Fadzli berkata, Nik Abdul Aziz tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
"Merujuk kepada laporan muka hadapan The Star hari ini yang memetik bahawa pendirian Hasan disokong oleh Nik Abdul Aziz, sukalah dinyatakan bahawa Nik Abdul Aziz tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian Hasan.
"Kenyataan terakhir Nik Abdul Aziz dalam isu Hasan Ali ialah menyerahkan isu ini untuk dikendalikan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor dan seterusnya pimpinan Pas peringkat pusat. Justeru, tidak timbul isu Nik Abdul Aziz menyokong pendirian Hasan," katanya.
Hasan dalam sidang akhbar semalam menolak konsep dasar Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh Pas, sebaliknya beliau mahu parti itu kembali pada perjuangan asal iaitu menubuhkan sebuah negara Islam.