Saturday, September 27, 2014

10 petua menjadi suami yang mithali


http://www.queachmad.com | .

PETUA DAN TIPS BERGUNA
 
1. Isteri adalah manusia. Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira.
Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi. 
 
2. Dengar pendapat isteri 
 
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai ‘ice-breaking’. Kemudian, berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya. Malah, isteri tentu berminat hendak mengetahui ‘gosip’ pejabat selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat mengenali karektor rakan pejabat suami secara tidak langsung. 
 
3. Beri pujian kepada isteri 
 
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari. 
 
4. Menganggap pasangan seperti diri sendiri 
 
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cermin diri anda sendiri. Ke mana juga anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumah tangga akan menjadi bahagia. 
 
5. Ingat tarikh penting 
 
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa saja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung sempena meraikan hari lahir. Jika ‘budget’ anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti “Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini”. 
 
6. Penuhi hajat isteri 
 
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh atau mesin jahit, suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun, jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat, simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri? 
 
7. Bantu ringankan tugas isteri 
 
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum. 
 
8. Isteri bukan pembantu rumah 
 
Kebanyakan suami menganggap kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu saja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan selama ini. 
 
9. Bawa isteri berehat 
 
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan yang menarik. Walaupun ia nampak remeh, setiap isteri pasti akan menghargai saat manis itu. 
 
10. Ciuman khas untuk isteri 
 
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas begitu penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.
 
Sumber: Keharmoniaan Rumahtangga Dan Keluarga Muslim

Al-Quran, kitab tidak hangus


Abd Malik Othman menunjukkan al-Quran yang terselamat dalam kebakaran di Batu 18 Pagoh.
Abd Malik Othman menunjukkan al-Quran yang terselamat dalam kebakaran di Batu 18 Pagoh.
MUAR - Lima naskah al-Quran dan beberapa kitab hanya mengalami kerosakan kecil meskipun sebuah rumah separuh kekal di Batu 18 Pagoh, berhadapan sebuah stesen minyak dekat sini, musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyaksikan kitab suci umat Islam itu hanya terbakar pada bahagian tepi dan ditemui di salah satu bilik dengan dikelilingi bara api.

Saksi kejadian, Mazlan Mohamad, 56, yang sibuk menebar roti canai di warungnya terletak di hadapan rumah terbabit mengakui terdengar jeritan kanak-kanak mengatakan kediamannya terbakar.

Dia kemudian segera memberhentikan kerja dan terus berlari ke rumah terbabit seterusnya mendapati kepulan asap tebal keluar dari salah sebuah bilik.

“Saya bersama beberapa penduduk kampung cuba memadamkan api, tetapi tekanan air terlalu rendah menyukarkan usaha tersebut sekaligus menyebabkan api semakin marak dan merebak ke bahagian lain.

“Saya nyaris terperangkap dalam kebakaran kerana api marak terlalu cepat selepas berjaya mengeluarkan tiga orang penghuni rumah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mangsa, Faizan Mohd Zin, 24, berkata, hanya ibunya iaitu Katipah Masiron, 63, bersama dua adiknya yang berusia empat dan tujuh tahun berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Jelasnya, dia berada di tempat kerja di Tanjung Agas, Ledang, ketika kebakaran dan hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung sebelum bergegas pulang dan mendapati keseluruhan kediaman sudah terbakar.

“Saya segera mendapatkan emak untuk menenangkannya yang masih terkejut dengan kejadian itu malah bersyukur ibu serta dua adik selamat.

“Semua dokumen penting dan barangan berharga tidak dapat diselamatkan. Memang sedih apabila kediaman yang menjadi tempat bersama lapan adik beradik lain membesar sudah musnah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Kamaruddin Selamat berkata, seramai 14 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.08 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, struktur rumah sudah runtuh keseluruhannya dan bomba memadamkan sisa-sia kebakaran.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat jam 10.47 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Pagoh dan Pusat Khidmat Parlimen Pagoh menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran itu, semalam.

Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat berkata, ia adalah sumbangan awal daripada bahagian itu untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Selepas ini, masalah itu akan dirujuk kepada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetahui bentuk bantuan sesuai yang boleh diberikan kepada mangsa terbabit.
“Kita juga akan membawa keluarga ini membeli pakaian dan kelengkapan lain berikutan tinggal sehelai sepinggang yang mana perbelanjaannya akan ditanggung Umno bahagian,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Zaid Abd Rahman dan Penghulu Mukim Pagoh, Ishak Khalil.

Kumpulan jemaah haji terakhir ke Tanah Suci hari ini


BERNAMA | .
PETALING JAYA: Kumpulan terakhir seramai 279 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci hari ini menerusi penerbangan KT64.
  
Mereka yang bertolak dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.30 tengah hari dan dijangka tiba pada 8.30 malam waktu tempatan.
  
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut serta dalam penerbangan itu berkata dengan penerbangan terakhir itu, jumlah jemaah haji yang berada di tanah suci adalah sebanyak 22,320 iaitu 100 peratus kuota jemaah haji negara bagi tahun ini.
  
Sementara itu, beliau berkata TH akan melaksanakan Haji Badal untuk menyempurnakan ibadah haji bagi empat jemaah Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci baru-baru ini.
  
"Pihak Lembaga Tabung Haji akan melaksanakan Haji Badal empat jemaah yang meninggal dan memastikan waris seperti isteri, suami atau anak jemaah dapat meneruskan ibadah haji mereka dengan sempurna," katanya kepada pemberita.  
  
Dua jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci minggu ini, seorang kerana masalah jantung dan seorang lagi kerana komplikasi jangkitan paru-paru.
  
Pada minggu lepas, dua jemaah haji lelaki yang berumur 56 dan 57 tahun dilaporkan meninggal dunia kerana masalah jantung. Jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia setakat ini ialah empat orang.
  
Abdul Azeez berkata setakat ini semua jemaah yang berada di Tanah Suci juga dilaporkan tidak dijangkiti sebarang virus penyakit berjangkit.
  
"Pasukan perubatan kita yang telah berada di sana juga akan menjalankan tugas sebaiknya bagi memastikan kesihatan jemaah Malaysia dalam keadaan baik untuk melakukan ibadah Haji.
  
"Kita juga akan memastikan keselesaan dan keselamatan mereka terjamin dan minta waris serta rakyat Malaysia mendoakan agar semua jemaah dapat menunaikan haji dengan sempurna," katanya.
  
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia bermula pada 27 Ogos lepas melibatkan 450 jemaah dan penerbangan balik yang pertama dijangka pada 10 Okt ini. - Bernama

Tegur kerajaan negeri, ahli majlis MPPP dipecat?


PULAU PINANG 27 Sept. - Kerajaan DAP negeri yang selama ini melaungkan
prinsip cekap, telus dan akauntabiliti (CAT) sekali lagi dilihat bertindak
dengan membelakangkan prinsip berkenaan apabila keahlian Ahli Jawatankuasa Tetap Polisi Pembangunan Rakyat Pulau Pinang yang juga Bendahari Badan Perhubungan Pas negeri, Izuree Ibrahim ditarik serta-merta tanpa sebarang sebab munasabah.
Tindakan yang seolah-olah terdesak mengeluarkan Izuree daripada semua
jawatankuasa tetap majlis di bawah kerajaan negeri itu difahamkan dibuat
selepas Izuree menegur kepimpinan kerajaan negeri dalam isu perumahan di
negeri ini semasa berucap di Muktamar Pas di Johor baru-baru ini.
Izuree yang dihubungi mengesahkan menerima surat pemecatannya daripada MPPP semalam dan memberitahu beliau tidak langsung diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Awal pagi tadi, surat pemecatan Izuree itu tersebar melalui aplikasi
WhatsApp yang menggunakan kepala surat MPPP dan ditandatangani oleh
Setiausaha Perbandaran majlis berkenaan, Ang Aing Thye.
Dalam surat itu diberitahu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang
diadakan pada 25 September 2014 telah memutuskan untuk mengeluarkan Izuree dari semua Jawatankuasa Tetap MPPP dan membekukan peruntukan terhadapnya.
Namun, surat berkenaan tiada langsung menyatakan sebab atau alasan kukuh yang menyebabkan Izuree dikeluarkan daripada MPPP biarpun telah menjadi Ahli Majlisnya sejak tahun 2010. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140927/dn_23/Tegur-kerajaan-negeri-ahli-majlis-MPPP-dipecat#ixzz3EVDeVF00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anwar: Lima isu jadi misi Azmin


Anwar berjabat tangan tanda sokongan kepada Azmin bersama empat Exco Selangor baharu di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
Anwar berjabat tangan tanda sokongan kepada Azmin bersama empat Exco Selangor baharu di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
PETALING JAYA - Lima isu tertangguh menjadi misi pertama buat menteri besar baharu, Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja beliau menpengerusikan mesyuarat Exco Selangor pertama pada Rabu depan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, empat perkara tersebut yang telah diputuskan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dipertimbangkan semula demi kepedulian terhadap rakyat dan menjana pendapatan negeri.

"Kita nasihatkan menteri besar dan exco yang baharu ini supaya menurunkan elaun mereka pada kadar yang munasabah, kenaikan itu wajar tapi tidak perlu mendadak.

"Pemindahan dana pendidikan tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya mohon menteri besar membawanya pada sidang Dun Selangor nanti," katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, lewat petang tadi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang itu juga mahu Azmin mengkaji semula beberapa perjanjian yang dibuat oleh kepimpinan Abdul Khalid kerana dikatakan berat sebelah dan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

"Saya sokong penuh supaya Azmin menyemak semula kelulusan projek kontroversi lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) yang memberi manfaat kepada kroni tertentu.

"Saya juga sokong Azmin menyemak semula kelulusan tanah yang tidak mengikut proses termasuk perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa ketika Abdul Khalid menjadi menteri besar, beliau tidak pernah bermesyuarat walaupun sekali dengan ahli Jawatankuasa Mengenai Penstrukturan Air Selangor yang ditubuhkan Majlis Pimpinan PR pada awal tahun ini.

"Keputusan Majlis Pimpinan PR setahun lalu yang dihadiri oleh tiga-tiga pemimpin PR adalah untuk bersama Abdul Khalid memberi pandangan dan nasihat mengenai perjanjian air.

"Jawatankuasa itu diwakili ketiga-tiga parti iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (Pas), Tony Pua (DAP) dan Rafizi Ramli (PKR), namun belum ada satu mesyuarat pun semasa menteri besar lepas," katanya lagi.

Butang kecemasan di stesen minyak


Demonstrasi dua penjenayah meragut beg tangan pelanggan stesen minyak Shell Bukit Setongkol ketika
pelancaran GTSP, semalam.
Demonstrasi dua penjenayah meragut beg tangan pelanggan stesen minyak Shell Bukit Setongkol ketika pelancaran GTSP, semalam.
KUANTAN - Semua 43 stesen minyak Shell di negeri ini akan dilengkapi sistem asas keselamatan atau butang kecemasan dikenali sebagai I Alert menjelang penghujung tahun ini.

Melalui Program Titik Selamat atau Go To Safety Points (GTSP) di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, sebanyak 20 buah stesen minyak Shell di Pahang  setakat ini dilengkapi I Alert termasuk lapan di Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, pihaknya dimaklumkan, 23 lagi masih dalam proses pemasangan oleh syarikat minyak itu secara berperingkat.

“Dengan adanya sistem ini, ia memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan khususnya berkaitan jenayah," katanya selepas melancarkan GSTP PDRM-Shell Peringkat Negeri Pahang di Stesen Minyak Shell Bukit Setongkol di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Riduan Hashim, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Azman Ismail, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh.

Sharifuddin berkata, stesen minyak Shell menjadi penghubung antara mangsa jenayah atau individu dalam kecemasan dengan pihak berkuasa termasuk polis, hospital dan agensi penguatkuasa berkaitan.

“Orang ramai boleh datang ke stesen minyak Shell berdekatan untuk minta bantuan sekiranya berdepan kes kecemasan atau menjadi mangsa jenayah manakala petugas stesen minyak akan menekan butang I Alert sebagai respon.

“Maklumat awal akan diterima pusat kawalan Shell di Kuala Lumpur sebelum memaklumkan kepada  pihak polis dan sebagainya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tanggung jawab polis dalam GTSP ini adalah melaksanakan rondaan dan lawatan berkala di premis stesen minyak manakala jika berlaku kecemasan, anggota akan tiba ke lokasi itu dalam tempoh 10 minit  untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Azman berkata, GTSP adalah sebahagian usaha Shell meningkatkan kesedaran keselamatan dan mengeratkan hubungan kerjasama dengan polis.

“Dengan rangkaian runcit seluruh negara, Shell dilihat sebagai ikon kepada orang ramai untuk mencari pelindungan bersifat sementara dalam kes-kes kecemasan.

“Pengurusan Shell akan memberikan latihan kepada semua pengedar dan pekerja berhubung peringkat asas termasuk tatacara penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa, menjalankan tangkapan oleh orang awam dan hak mempertahankan diri berlandaskan undang-undang dan cara menenangkan mangsa yang berada dalam keadaan trauma,” katanya.

Indonesia mansuh pilihan raya pemimpin tempatan


Kumpulan penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut di luar bangunan Parlimen.
Kumpulan penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut di luar bangunan Parlimen.
JAKARTA - INDONESIA. Parlimen Indonesia, semalam memutuskan untuk memansuhkan pilihan raya pemimpin tempatan walaupun berdepan kritikan beberapa pihak yang mendakwa langkah itu akan mengundurkan pembaharuan demokratik utama era pasca-Suharto.

Menurut AFP, seramai 226 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersetuju untuk menamatkan sistem pilihan raya itu yang memilih datuk bandar, gabenor wilayah dan ketua daerah selepas lebih 10 jam perbahasan.

Ahli DPR yang menentang rang undang-undang tersebut didakwa gagal mendapat sokongan besar selepas hanya 135 mengundi untuk mengekalkan pilihan raya terbabit.

Difahamkan, kuasa pemilihan itu akan diberikan kepada Parlimen tempatan dan ia disifatkan sebagai satu tamparan kepada proses demokrasi yang dilaksanakan selepas kejatuhan bekas Presiden Suharto pada 1998.

Akta Hasutan: Keterangan Anwar diambil


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) diambil keterangan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang di ibu pejabat PKR, Petang Jaya , hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) diambil keterangan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang di ibu pejabat PKR, Petang Jaya , hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN.
PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuka semula kertas siasatan berhubung satu ceramah pada 2011 sedangkan tiga lagi pemimpin parti itu telahpun disoal siasat pada tahun sama.

Anwar menegaskan tidak sepatutnya pihak polis diarahkan mengambil keterangan beliau pada masa ini sedang tarikh pendengaran kes fitnah II itu semakin hampir.

"Siasatan kes ini telah dikendalikan sejak 2011, di mana pihak polis telah mengambil keterangan tiga pemimpin kami iaitu Mohamed Azmin Ali, Saari Sungib dan Amirudin Shaari.

"Kenapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyiasat kes ini hingga terpaksa membuka semula kertas siasatan?

"Jelas pertuduhan Akta Hasutan ke atas saya mempunyai hubungan dengan pendengaran rayuan kes fitnah II dalam seminggu akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disoal siasat di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 berhubung satu ceramah beliau di Taman Melawati, Gombak pada 27 Mac 2011.

Anwar yang diambil keterangan lebih satu jam oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang ditemani peguamnya, N.Surendran dan Lathefaa Koya.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa pertuduhan ke atasnya juga mempunyai kaitan dengan pendakwaan sama ke atas 20 individu sebelum ini di bawah Akta Hasutan termasuk peguam belanya, Surendran.

Pada 19 Ogos lalu, Surendren didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan Anwar bersalah dalam kes fitnah II.

Surendran sekali lagi didakwa di bawah akta sama pada 28 Ogos lalu berhubung sebuah video di YouTube yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kes tersebut.

Sultan Selangor tegur strategi politik PR


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini membuat teguran langsung terhadap PR atas strategi politik yang dijalankan termasuk usaha menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda turut menyentuh soal usaha mengguling Abdul Khalid yang dilakukan secara berterusan oleh PKR pada bulan Ramadan lalu, seolah-olah tidak menghormati bulan suci itu.

"Kemelut dan pergolakan dalam PR ini bermula daripada Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

"Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tohmahan untuk memburukkan Abdul Khalid. Perkara  hasut  menghasut  dan  melempar tohmahan-tohmahan  terhadap  beliau berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadan, di mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh ALLAH untuk membersihkan dosa dan maksiat.

"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun  dalam  bulan Ramadan dengan terus  menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid," titah baginda dalam ucapan pada Majlis Pelantikan Exco Baru Negeri Selangor di sini, hari ini.

Titah Sultan Selangor lagi, kemelut terbaru di negeri ini "membuka mata dan hati serta pandangan" baginda terhadap perkembangan politik di Selangor.

"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya yang akan datang. Tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titahnya.

Dalam ucapan sama, baginda turut membangkitkan soal 'ketidakfahaman' ahli politik di negeri ini terhadap kuasa dan tanggungjawab sultan.

"Sebagai sultan yang memerintah, tugas-tugas beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Selangor yang beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri yang dijalankan oleh menteri besar. Beta hanya menasihatkan menteri besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

"Beta ingin mengingatkan bahawa sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Selangor hidup dalam keamanan dan maju jaya," titahnya.

Menurut baginda lagi, rakyat tidak diberi kefahaman jelas tentang fungsi sebenar sultan dan beranggapan institusi raja hanyalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Malah, menerusi titah itu, baginda menyebut bahawa ahli politik turut tidak faham atau sengaja tidak faham tentang peranan dan kuasa institusi raja.

"Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

"Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterikan pada tahun 1959," katanya.

Baginda sempat juga merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri ini yang menyokong baginda dalam kemelut pelantikan Menteri Besar dan mempercayai baginda dalam menyelesaikan kemelut ini.

Ukraine tutup sempadan


27 September 2014


KIEV - UKRAINE. Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, kelmarin mengarahkan Kabinet menutup sementara laluan timur negara itu yang bersempadan dengan Rusia.

Dekri yang diterbitkan menerusi laman rasmi presiden tersebut bertujuan untuk menghentikan campur tangan Moscow dalam hal ehwal dalaman negara berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Rusia didakwa terus berdegil menghantar konvoi bantuan ketiga disertai kira-kira 200 kenderaan melintasi sempadan memasuki Ukraine.

Menurut Press TV, dalam satu kenyataan lain, Poroshenko memaklumkan bahawa beliau yakin pelan damai dipersetujui bersama puak pemisah, pro-Rusia akan berjaya selepas ia diluluskan Parlimen, minggu lalu.

Di bawah pelan damai tersebut, kumpulan yang menguasai wilayah timur negara itu dibenarkan untuk menubuhkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya majlis tempatan pada awal Disember.

Pilihan raya tempatan dimansuh


Anggota Parlimen Indonesia, Maruarar Sirait (tali leher merah) dari Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) bercakap dengan Priyo Budi Santoso, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat tentang rang undang-undang sistem pemilihan pemimpin kerajaan tempatan semasa satu pengundian di Jakarta, semalam. - AFP
JAKARTA 26 Sept. - Parlimen Indonesia, hari ini membatalkan sistem pemilihan pemimpin kerajaan tempatan menerusi proses pilihan raya.
Keputusan itu menerima kecaman hebat dan mencetuskan tunjuk perasaan dengan menyifatkan tindakan tersebut menggugat pembaharuan demokratik utama, era pasca-Suharto.
Selepas satu perdebatan hangat selama lebih 10 jam, 226 anggota Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu bagi menamatkan sistem pemilihan datuk bandar, gabenor wilayah dan ketua daerah melalui pilihan raya di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia ini.
Melalui keputusan itu, Parlimen tempatan akan diberikan kuasa untuk memilih pemimpin mereka, yang disifatkan oleh pengkritik sebagai satu tamparan hebat kepada proses demokrasi yang dilaksanakan selepas kejatuhan Suharto pada 1998 yang didakwa mengamalkan pemerintahan 'kuku besi' selama tiga dekad.
Rang undang-undang itu kehilangan sokongan besar semasa peringkat akhir perbahasan, apabila parti pemerintah, Parti Demokrat yang dijangka menentang langkah itu bertindak keluar dewan selepas syarat-syarat yang mereka tuntut tidak dipersetujui.
Hanya 135 anggota Parlimen memilih untuk mengekalkan sistem pemilihan itu dalam satu pengundian yang dibuat selepas aktivis pro-demokrasi menunjukkan tahap kemarahan ramai berhubung rancangan itu dengan membakar tayar di luar bangunan Parlimen di Jakarta selepas demonstrasi bertukar 'panas'.
"Demokrasi di negara ini mengalami kemunduran," kata Datuk Bandar Bandung di kepulauan Jawa yang dipilih melalui pilihan raya, Ridwan Kamil dalam laman Twitter beliau.
Selain menjejaskan demokrasi yang masih muda di Indonesia, pengkritik melihat keputusan itu sebagai balas dendam oleh pencabar Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang memenangi pilihan raya Presiden pada Julai lalu dan terlibat dalam politik selepas dipilih secara langsung sebagai Datuk Bandar.
Penyokong rancangan itu berhujah, ratusan pilihan raya yang diadakan di seluruh negara di kepulauan terbesar di dunia itu pada setiap tahun sejak 2005 membabitkan kos yang besar dan secara realiti hanya memberi laluan kepada orang kaya untuk memenangi pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, pengkritik beranggapan langkah itu sebagai satu cubaan merampas kuasa oleh golongan atasan dan berpendapatan selain akan meningkatkan rasuah ketika bakal pemimpin perlu mencapai persetujuan dengan anggota Parlimen tempatan untuk memenangi jawatan tersebut.
Jokowi sebelum ini pernah mengulas isu itu dan menentang rancangan berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_04/Pilihan-raya-tempatan-dimansuh#ixzz3ESXlLr00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

India, China setuju undur tentera


NEW DELHI 26 Sept. - India dan China bersetuju mengundurkan tentera masing-masing yang ditempatkan di dataran terpencil Himalaya, sekali gus menamatkan konflik pertikaian sempadan terbesar antara kedua-dua negara pada tahun ini.
Kedua-dua negara itu, masing-masing menempatkan kira-kira 1,000 askar di Ladakh pada bulan ini dengan menuduh satu sama lain membangunkan infrastruktur ketenteraan, yang melanggar perjanjian bagi mengekalkan keamanan di kawasan itu dalam konflik yang berlarutan selama 52 tahun.
Menteri Luar India, Sushma Swaraj berkata, keputusan yang bakal dilaksanakan akhir bulan ini itu dicapai ketika beliau bertemu rakan sejawatnya dari China, Wang Yi di New York semalam.
"Fasa buruk telah berakhir,'' lapor Radio All India yang memetik kenyataan Sushma kepada media di New York.
China dan India pernah berperang pada 1962 menyaksikan India ditewaskan dan sejak itu, isu sempadan antara kedua-dua negara masih belum diselesaikan walaupun telah berlaku 17 pusingan rundingan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_10/India-China-setuju-undur-tentera#ixzz3ESXTmhHJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Modi perlu jawab isu rusuhan Gujarat


NEW DELHI 26 Sept. - Sebuah mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Perdana Menteri India, Narendra Modi (gambar) memberi keterangan berikutan kegagalannya menghentikan rusuhan anti-Islam ketika beliau menjadi Ketua Menteri Gujarat, sekali gus menyuramkan lawatan kali pertamanya ke AS sebagai pemimpin negara ini.
Kes sivil di sebuah mahkamah di New York itu, bertujuan mendapatkan ganti rugi dan hukuman terhadap Modi kerana jenayah menentang kemanusiaan dan pembunuhan di bawah Akta Tuntutan Tort Alien dan Akta Perlindungan Mangsa Penderaan.
Modi dikehendaki memberi respon dalam masa 21 hari.
Pemimpin India itu tiba di New York hari ini dalam lawatan kerja selama lima hari dan beliau dijangka berucap di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum bertemu Presiden, Barack Obama di Washington. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_11/Modi-perlu-jawab-isu-rusuhan-Gujarat#ixzz3ESW5OKRl
© Utusan Melayu (M) Bhd