Saturday, December 10, 2011

Nik Aziz pertikai video Ustaz Budak

Utusan Malaysia Online - Politik:


KOTA BHARU 9 Dis. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan pendedahan media mengenai ceramah Shamsul Zaman Sukri atau Ustaz Budak yang menyamakannya dengan nabi.

Malah beliau turut menyalahkan media kerana menimbulkan perkara tersebut dan mendakwa telah menjawab isu yang timbul dalam laman sosial Facebook miliknya.

“Orang lain yang kata, saya pula yang dipersalahkan, apa yang marah sangat dekat saya sampai menteri pun komen.

“Saya nak jawab di sini yang pertama betul atau tidak budak (Shamsul Zaman) ini cakap macam itu atau kamu (media) yang pandai-pandai buat cerita, yang keduanya, saya sudah jawab, dalam Facebook sudah ada,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak di atas tindakannya yang tidak mahu menyentuh isu ceramah yang menyamakannya dengan nabi biarpun klip video itu telah tersebar di laman blog.

Sebelum ini, sebuah portal, detikperubahan. com mendedahkan Shamsul Zaman telah menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi berasaskan hadis, ulama adalah perwaris nabi.

Sementara itu, ketika ditemui selepas kuliah tersebut, Nik Abdul Aziz, beliau tidak perlu mengikut cakap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mendesaknya supaya berundur.

“Saya lawan dia (Mahathir) sejak awal sampai ke akhir. Siapa suruh dia berhenti. Waktu dia berhenti dia kata dia gagal pimpin orang Melayu, memang dia gagal sebab dia tarik Melayu cara songsang dengan menolak Islam,” katanya.

Guan Eng teruja naik kapal selam

Kosmo! Online - Negara:



GUAN ENG mencuba alat peninjau kapal selam KD Tun Razak semalam.


LANGKAWI – Keupayaan kapal selam negara beroperasi di bawah permukaan laut diakui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng setelah merasai sendiri pengalaman menyelam di perairan Langkawi petang semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu disertai dua Timbalannya, Datuk Mansor Othman serta Dr. P. Ramasamy menaiki kapal selam KD Tun Razak kira-kira pukul 3 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Mereka dibawa menaiki dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum mendarat di geladak frigat KD Lekiu.

Mereka kemudian dipindahkan ke sebuah bot laju untuk merapati kapal selam KD Tun Razak yang berlabuh di tengah-tengah perairan Awana Porto Malai dan selepas itu belayar kira-kira 30 batu nautika ke barat perairan Langkawi.

Pelayaran KD Tun Razak yang turut disertai Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman itu kemudian menyelam pada kedalaman kira-kira 55 meter.

Guan Eng, Mansor dan Ramasamy berada kira-kira satu jam setengah di atas KD Tun Razak sebelum kapal itu timbul di permukaan laut dan dibawa kembali ke KD Lekiu dan tiba semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira pukul 6.50 petang.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjemput tujuh pemimpin parti pembangkang termasuk Ketua Publisiti DAP, Tony Pua; Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang begitu lantang mengkritik keupayaan KD Tun Razak untuk menaiki dan melihat sendiri aset pertahanan negara itu. Nurul Izzah bagaimanapun memaklumkan beliau tidak boleh datang.

Guan Eng yang ditemui kemudian memuji keupayaan kru kapal selam TLDM mengoperasikan KD Tun Razak yang merupakan aset strategik bagi mengawasi kedaulatan perairan Negara.