SAYA ingat belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriah dan salam Hijratul Rasul. Saya ingin merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana keadaan negara kita yang Alhamdulillah setakat ini kita kira semua kaum dan bangsa boleh hidup bersama walaupun kita masih ada perkara-perkara yang kita ingin perbaiki dan sempurnakan.
Apabila pihak pembangkang menegur pihak kerajaan dan menyebut perkara-perkara tertentu, tidaklah bermakna kita mengatakan tidak ada satu benda pun yang tidak bagus yang kerajaan lakukan. Biasalah sebagai check and balance, ya sebagai menyemak imbang ini, tentulah kita akan menyebut perkara-perkara yang masih perlu diperbaiki dan perlu disempurnakan. Itu harap kena fahamlah, itu peranannya negara demokrasi yang ada pembangkang.
Saya ingin menyebut sebelum saya menghurai beberapa perkara. Beberapa perkara yang tidak ada dalam bajet ini yang Perdana Menteri tidak sentuh dan saya rasa perkara-perkara ini penting. Mungkin saya tidak sempat untuk membahaskan kesemuanya tetapi saya ingin ia dicatit kerana perkara ini adalah penting.
Pertama ialah mengenai tidak ada langsung peruntukan untuk tebatan banjir di Sungai Golok. Saban tahun, tiap-tiap kali – dua atau tiga kali kawasan Rantau Panjang dan sekelilingnya akan ditimpa banjir. Sebelah sana, Kerajaan Thailand sudah membina benteng yang tinggi dan air sungai yang melimpah tidak ke belah Thailand tetapi sebelah kita.
Kedua ialah tidak ada langsung Perdana Menteri menyebut tentang pembangunan insentif kepada pembangunan elektrik dan hybrid, insentif penjimatan tenaga elektrik melalui tenaga solar, penjimatan air melalui harvest, penuaian air hujan. Semua ini adalah terangkum di dalam kita panggil teknologi hijau. Juga isu jurang upah dan gaji antara pengurusan atas dan bawah dan antara gender dan antara kaum di sektor swasta tidak langsung ditempuh. Bagaimana kerajaan hendak membetulkan keadaan ini?
Penting saya rasa yang saya mungkin sempat sentuh sekejap lagi ialah mengenai keperluan negara kita kepada buruh asing dan bagaimana negara kita akan mentransformasikan ekonomi kita ke arah berpendapatan tinggi. Ini saya rasa penting kerana kita dibanjiri oleh pekerja asing dan rakyat sendiri merasakan bahawa kehadiran pekerja asing ini sangat membawa impak negatif kepada sosioekonomi mereka.
Tanggapan pertama – first impression bajet yang peduli rakyat ini banyak habuan untuk rakyat. Itulah yang sekali lalu kalau kita tengok, inilah tanggapan pertama kita. Akan tetapi, apabila diteliti ia tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, memanglah mendatangkan kegembiraan euphoria ataupun keseronokan sementara. Namun, akhirnya rakyat masih di tahap tokok yang lama.
Kerajaan telah cuba untuk compensate, dengan izin ya dengan berbagai-bagai program kesejahteraan rakyat tetapi isunya ialah penyebab kepada perkara-perkara ini tidak disentuh dalam bajet ini. Kos sara hidup yang terus naik, saya kira semua orang terima hakikat ini. Tambahan dengan pelaksanaan GST tahun hadapan, maka juga telah diterima bahawa kos hidup ini akan meningkat yang dalam negara kita, kita tahu kos sara hidup ini kalau dah naik, tidak akan turun. Kalau ia mendatar pun, kira pun tak akan mendatar. Maknanya akan terus naik.
Ada sahabat-sahabat kita daripada Barisan Nasional mengatakan, “Katakan di mana di dalam dunia ini kos sara hidup tidak meningkat?” Saya rasa agak terkilan. Saya hendak ceritakan bahawa saya biasa belajar di United Kingdom dan saya biasa pergi ke Ireland beberapa kali.
Saya terkejut kerana di sana, setelah 10-15 tahun saya pergi balik, harga barang-barang asasnya tidak meningkat dan mereka tidak ada subsidi. Saya balik dan melihat barang-barang kegemaran yang saya selalu minum dan makan sebagainya masih lagi pada harga yang sama.
Di Ireland, ada masanya harga rumah turun. Harga beras tinggal separuh kerana adanya free market di sana. Real free market, dengan izin. Jadi jawapan yang lazim kita dapat adalah kerana negara kita permintaan lebih tinggi berbanding dengan bekalan. Kos barangan mentah meningkat, sebagainya. Kita semua tahu dalam menyelesaikan hampir semua masalah kehidupan ini, prinsipnya sepatutnya kita kembali kepada penyebabnya. Apa penyebabnya? Kita betulkan atau dalam kata lain kita cari ubatnya walaupun ia susah, sukar dan pahit.
Kalau sumber makanan kurang, maka kita perlu memperbanyakkan penghasilannya. Kita perlu ada jaminan makanan sendiri. Jika makanan tertentu tidak ekonomik untuk dihasilkan dan lebih murah diimport, maka Malaysia perlu membuka pasaran bebas untuk pengimport bersaing, memberi harga terbaik kepada pengguna dan tidak membenarkan monopoli pengimportannya dan lesen perniagaannya.
Di Malaysia apabila harga barang naik, kita belum lagi mengalami harganya yang akan turun semula. Malah ada penternak ayam sanggup membinasakan anak-anak ayam kerana hendak mengekalkan harga yang tinggi. Kos rumah yang semakin tinggi dikatakan disebabkan harga tanah yang tinggi. Tidak siapa dapat menafikan keadaan ini terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Akan tetapi apa maklum balas yang saya dapat daripada developer – daripada pemaju-pemaju perumahan, dia kata yang paling teruk sekarang ialah kos harga-harga barang binaan itu sendiri ya, untuk buat rumah sehingga 30%.
Apabila kita tanya kenapa, semua mereka menjawab bahawa kenaikan harga ini tidak dapat dikawal kerana tiada persaingan sihat di antara pembekal dan pengilang kerana adanya monopoli pembekalan bahan seperti simen. Ya, yang ini berlaku. Jadi unsur persengkokolan di antara syarikat-syarikat yang besar-besar dan setengahnya ada kaitan dengan parti pemerintah, dasar kerajaan yang tidak meliberalisasikan perniagaan bahan binaan dan sebagainya menyebabkan kos-kos ini akan terus naik dan rakyat menanggung beban.
Mengenai BR1M, saya hendak menyebut di sini bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia tidak siapa yang menafikan bahawa rakyat kita, sebahagian daripada rakyat kita memerlukan bantuan daripada kerajaan, sumbangan daripada kerajaan. Tambahan pula dengan penarikan subsidi-subsidi bahan bakar - minyak, maka semuanya akan naik. Cuma saya nak betulkan atau nak tegur cara pengagihan BR1M itu sendiri.
Saya dapati bahawa penerima-penerima bantuan JKM – OKU, tidak semuanya mendapat BR1M. Mereka terpaksa sekali lagi memohon melalui borang-borang online dan sebagainya, melalui LHDN untuk mendapat bantuan tersebut. Kenapa tidak, bantuan yang sepatutnya kita beri dan mereka ini memang dah layak dapat kerana mereka memang berpendapatan rendah dan orang yang menerima sumbangan daripada JKM, disalurkan melalui JKM itu sendiri, Kementerian Pembangunan Wanita. Makna dia mereka sudah ada statistiknya, berapa orang ibu tunggal, berapa orang warga emas, berapa orang OKU dan sebagainya secara terus diberi kepada mereka melalui akaun-akaun mereka. Mereka ini tidak perlu memohon semula.
Kenapa perlu kita menyusahkan rakyat, tambahan mereka ini adalah daripada golongan yang sosioekonomi rendah, komputer pun tidak ada di rumah, hendak cari borang, hendak naik bas, hendak turun bas, semuanya adalah kos kepada mereka. Permudahkan pengagihan ini kepada golongan ini. Begitu juga dengan penerima-penerima zakat, ini semua saya rangkum sebagai golongan yang memang selama ini mendapat bantuan, memerlukan bantuan kerajaan.
Saya merasakan bahawa pengagihan ini perlulah telus. Rakyat perlu faham siapa yang tidak layak dan tidak boleh mengambilnya. Kalau mengikut borang BR1M yang ada dalam online, yang layak dapatnya ialah orang-orang yang ketua keluarga berpendapatan sekarang ini RM4,000 dan sebelum ini RM3,000.
Juga warga emas sebatang kara yang pendapatannya juga kurang daripada RM4,000 untuk tahun 2015, yang lepas RM3,000 dan juga orang bujang. Pokoknya bila saya tengok borangnya, maka tidak ada penapisan. Makna kalau saya hendak pergi, hendak tulis bahawa pendapatan saya kurang RM3,000 siapa yang memeriksanya? Kecuali orang yang sudah bayar cukai yang nama mereka ada dengan LHDN.
Kebanyakan yang memohonnya sama ada dalam informal sektor ataupun bekerja sendiri. Mereka tidak perlu untuk memberi kenyataan penyata gaji atau sebagainya bukti pendapatan mereka. Ada isi rumah, suami dapat isteri dapat. Ada warga emas, dia bukan sebatang kara, anak-anaknya berpendapatan tinggi dan mereka ini juga pernah dibangkitkan oleh kawan-kawan di sebelah sana yang datang mengambil BR1Mnya menaiki kereta mewah.
Jadi kita bercakap mengenai rakyat yang layak mendapat subsidi dan bantuan. Itu sebabnya antara sebab kerajaan menarik balik subsidi dari minyak kerana katanya orang- orang kaya yang menikmati. Sekarang ini di dalam BR1M kita tidak cermat, kita tidak fokus kepada siapa yang kita hendak beri, sesiapa sahaja boleh. Ini kerana tidak ada pihak yang memeriksa latar belakang. Kalau permohonan JKM, dia lain. Pegawai akan turun membuat pemeriksaan, mendapat maklumat yang sebenarnya. Akan tetapi untuk BR1M, sesiapa sahaja boleh.
Saya rasa dari segi hukum, saya tidak dengar lagi mana-mana fatwa sekiranya seseorang itu tidak layak menerima, dia menipu dalam mengisi borang BR1M. Apa fatwanya dari segi hukum? Kalau ikut, haram. Dalam pengajian saya, apabila kita mengambil sesuatu yang bukan hak kita, ia adalah haram. Kita akan makan, kita akan jadikan dia darah daging kita. Adakah dia sama seperti mencuri? Menipu? Merasuah? Makan duit rasuah? Ini rakyat kena jelas kerana ia akan menjadi darah daging kita. Keberkatan kita daripada apa yang kita makan. Kita mengambil sesuatu yang bukan hak kita.
Ada orang kata tidak apalah mak dengan ayah boleh ambil, ini hak rakyat. Dia lupa yang anaknya adalah daripada golongan berpendapatan tinggi dan sepatutnya menjadi tanggungjawab anak-anak menjaga ibu bapa itu. Ini saya rasa kena jelas dan kena diuar-uarkan kepada rakyat.
Saya kira satu sistem perlu kita wujudkan dan saya tidak tahu bahawa lama mana lagi kerajaan akan meneruskan BR1M. Ini kerana saya rasa selagi Datuk Seri Mohd. Najib menjadi Perdana Menterinya, selagi itulah BR1Mnya ada. Jadi tidak dapat dinafikan BR1M ialah instrumen politik yang sangat berkesan untuk terus mendapat undi golongan berpendapatan rendah dan kurang berpendidikan. Golongan ini masih terkapai-kapai untuk memenuhi keperluan asas mereka. Makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain keperluan asas.
Bila sahaja memperoleh wang, mudah untuk menyelesaikan masalah mereka. Walaupun sementara sangatlah dihargai. Bagi mereka walaupun sedikit tetapi lebih baik daripada tiada langsung. Ini pemikiran yang ada kepada orang kita. Sebanyak RM4.3 bilion sebenarnya ialah satu pelaburan ampuh untuk memastikan Barisan Nasional kekal berkuasa entah berapa lama lagi. Ini ialah cara mengikat hati rakyat. Ia cara yang sah dari segi undang-undang kerana telah diluluskan di Parlimen.
Dengan adanya BR1M, Kerajaan Barisan Nasional tidak perlu lagi menyogok ataupun merasuah rakyat bila PRU tiba. Strategi ini semakin canggih kerana tahun 2015, BR1M akan diberi dalam tiga kali, makna dia tiga kali dalam setahun. Rakyat akan terima kasih, terima kasih, terima kasih dia bijak ini. Ini strategi yang sangat bijak. Saya cakap betul ini tetapi dia tidak akan menyelesaikan masalah jangka masa panjang 40% daripada rakyat kita. Sepatutnya kita memikirkan bagaimana kita hendak mengeluarkan mereka daripada golongan ini, golongan 40% ini. Apakah peluang-peluang pekerjaan yang ada pada mereka? Rakyat tidak sedar.
Rakyat terima kasih sebab RM4.3 bilion ini sedikit berbanding dengan pembaziran yang kawan-kawan saya sebutlah terlalu banyak subsidi-subsidi, kompensasi-kompensasi yang diberi kepada syarikat-syarikat kroni. Jadi ini sedikit sangat bagi saya.
Jadi saya hendak sebut juga mengenai OKU. Dengan bangganya Datuk Seri Mohd. Najib mengatakan kami tambah RM50. Apalah RM300 kata RM350, apalah RM150 kalau lebih RM20. Bagi orang berpendapatan tinggi memang RM50 ini tidak ada apa. Akan tetapi apa yang saya harapkan bagi orang OKU, bukan RM350 tetapi RM500 secara bulanan.
Saya tidak nampak macam mana mereka boleh survive dengan masalah yang ada. Saya akan bercakap lagi mengenai OKU apabila tiba kepada bawah Kementerian Pembangunan ini. Saya hendak sebut mengenai i-BR1M...
Idris Ahmad [Bukit Gantang]: Berkenaan dengan OKU ini. Apa pandangan Yang Berhormat Kota Raja, pelik juga bantuan untuk OKU ini bagi yang tidak bekerja, dia bagi RM150, hak yang bekerja dia bagi RM300. Sepatutnya memang hak yang tidak bekerja hendak pergi kerja macam mana? Jadi sifir yang saya rasakan agak pelik dan kekok. Apa pandangan daripada Yang Berhormat Kota Raja?
Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja]: Okey, sebenarnya kalau kita tengok polisi JKM, yang tidak bekerja itu sepatutnya adalah yang terlantar. OKU yang terlantar ataupun mempunyai kecacatan tidak boleh kerja. Jadi memang tidak mencukupi dan malah penjaganya yang tidak boleh bekerja kerana menjaga OKU ini juga perlu diberi bantuan.
Jadi sepatutnya bukan RM150 kerana ada satu lagi bantuan yang diberi kepada orang yang menjaga RM300 lebih kalau tidak silap saya. Ya, memang songsanglah itu saya setuju. Bagi yang bekerja dia dapat top up dari RM350, yang tidak bekerja RM150 sekarang RM200 tidak mencukupi. Sama-sama sekali tidak mencukupi. Jadi kita minta kerajaan menyemak semula bantuan kepada OKU ini.
Saya hendak menyebut tentang insurans BR1M ataupun Takaful BR1M ini. Tahun lepas 2014 apabila kerajaan memulakan BR1M ini, RM50 diinsuranskan panggil Insurans 1Malaysia dan kita ada tujuh juta penerima. Tujuh juta penerima kali RM50 makna dia RM350 juta digunakan sebagai premium kepada Syarikat Takaful.
Apabila ditanya oleh salah seorang Ahli Parlimen kita, jawapan bertulis - yang hanya kelim menuntut pampasan apabila ada kematian, kemalangan hanya 13,000 orang sahaja yang layak lebih kurang, yang dapat dan pampasan yang dikeluarkan hanya RM42 juta. Kita tidak perlu ada sistem Takaful ini.
Kerajaan boleh letak RM350 juta ini dalam satu tabung, biar JKM yang mentadbirnya maka semua golongan yang dapat BR1M ini tanpa syarat, mati sahaja bagi sahaja. Akan tetapi sekarang kita tengok Syarikat Takaful, beberapa syarikat yang digabungkan sudah dapat keuntungan RM300 juta. Satu lagi pembaziran ketirisan yang sepatutnya duit itu digunakan untuk rakyat. Akan tetapi kali ini saya tengok Perdana Menteri sudah memberi dalam ucapannya baru-baru ini bahawa akan melakukan, tidak lagi membuat skim Takaful ini tetapi menggantikannya dengan Takaful berkelompok, Skim Khairat Kematian bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama satu tahun. Untuk makluman Parlimen, Dewan Rakyat ini negeri Selangor dari tahun 2008 telah melaksanakan apa kita panggil Skim Mesra Usia Emas.
Di mana warga emas 60 ke atas secara automatik, tidak kira kaya, tidak kira miskin tidak kira Cina, tidak kira Melayu, tidak kira India, tidak kira agama apa daftar sahaja sekiranya dia meninggal innalillahwainailahirojiun, maka keluarga penamanya akan dapat urusan khairat kematian RM2,500. Kelantan sudah lama melaksanakan skim takaful ini ataupun khairat kematian ini. Jadi terima kasih kerana maknanya kerajaan melihat kewajaran apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.
Saya hendak cakap kata saya sokong apa yang dilakukan di Sabah dan Sarawak. Macam- macam hendak buat. Tengoklah sendiri banyak mana hendak beri. Cuma menjadi kegusaran saya kerana projek-projek ini seharusnya menjana pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah dan Sarawak.
Kita ada ramai rakyat Sabah yang berhijrah duduk di Kuala Lumpur, di Selangor dan sebagainya dan kehidupan di sini pun tidak mudah, tidak senang. Mereka masih lagi bekerja dengan pekerjaan-pekerjaan yang berpendapatan rendah. Satu rumah kadang-kadang dihuni oleh dua, tiga keluarga.
Akan tetapi pokoknya saya hendak tanya kenapa baru-baru ini mungkin Yang Berhormat Timbalan Menteri Sumber Manusia mengatakan bahawa akan bawa masuk 12,000 orang dari Bangladesh. Minta Kerajaan Bangladesh menyediakan 12,000 orang untuk tambah di atas 5,000 pekerja Bangladesh yang sedia ada di Sarawak. Saya tidak faham bagaimana kerajaan kita tidak memikirkan jangka masa panjang kesan kedatangan pendatang-pendatang ataupun pekerja-pekerja asing.
Di Semenanjung sendiri, kalau kita lihat pekerja-pekerja Bangladesh dan Indonesia sudah memasuki penetrate ataupun invade dengan izin semua sektor pekerjaan. Daripada perniagaan runcit, kedai-kedai runcit yang ada di Selangor kawasan Melayu semuanya dimonopoli oleh orang-orang Acheh.
Walaupun boleh dikatakan kebanyakan mereka sudah dapat kerakyatan sini dan sekarang ini semua pusat membasuh kereta dan sebagainya semuanya dikuasai oleh orang Bangladesh. Kenapa kerajaan tidak boleh memikirkan untuk memodalkan rakyat untuk kerja-kerja kecilan begini. Misalnya kerja kontrak, potong rumput.
Saya masih hairan kenapa perlu ambil kontraktor dan kemudian bagi pula kepada orang Bangladesh untuk buat kerja. Apa salahnya kalau kita mengupayakan rakyat kita untuk membuat kerja-kerja ini. Beri sedikit gaji tinggi pada biasa kerana intangible cost yang kita tidak nampak dalam jangka masa panjang lebih besar daripada kalau kita memberi gaji yang lebih tinggi.
Saya ingin bertanya Tuan Yang di-Pertua berkenaan gaji minimum. Ada lagi syarikat-syarikat keselamatan tidak membayar gaji minimum kepada pekerja mereka dan banyak lagi majikan yang belum bayar gaji minimum. Jadi sampai bila keadaan ini dasar yang dibuat oleh kerajaan belum habis kita laksana, kemudian kita buat yang baru, kelemahan kita adalah pelaksanaan. -
HARAKAHDAILY 30/10/2014
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud semasa membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2014.