Wednesday, March 4, 2015

Azmin Tolak Pemberian Bonus 3 Bulan Gaji Kepada MBPJ


Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2015 3:30 PM
Azmin Ali.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor pada Rabu menolak cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberikan Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 sebanyak tiga bulan kepada Ahli Majlis dan kakitangannya.
Bagaimanapun Menteri Besar, Azmin Ali berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju untuk memberikan bonus satu bulan gaji kepada kakitangan MBPJ tertakluk kepada syarat ketat penilaian secara menyeluruh.
Azmin Ali.

Azmin berkata MMKN akan menyediakan garis panduan yang lebih ketat kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan di peringkat PBT.
"Semua PBT di Selangor bertanggungjawab untuk menghayati akan tujuan penubuhan majlis perbandaran yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat. 
"PBT diminta mematuhi dasar-dasar Kerajaan Negeri yang telah diputuskan sebelum ini selaras dengan Seksyen 10(9) Akta Kerajaan Tempatan 1972," katanya
Jelasnya,  peningkatan hasil kutipan melalui pembayaran cukai rakyat tidak boleh dilihat sebagai keuntungan perniagaan sebaliknya ia perlu diurus secara berhemah dan efisien. 
"Kutipan hasil dan rezab perlu diurus dengan berhemah dan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang berkualiti dan perkhidmatan yang efisien termasuk Piagam Pelanggan yang jelas. 
"Penyelenggaraan jalan yang baik dan selesa, pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap serta menjamin persekitaran yang bersih dan selamat," katanya. 
Beliau berkata PBT juga perlu meneroka dan melabur dalam sektor perkhidmatan yang baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar.

Bekas Jeneral Perang Amerika & Pengarah CIA Hadapi Risiko Dipenjara


Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2015 6:56 PM
Jeneral David Petraeus dan Paula Broadwell.

WASHINGTON: Bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), Jeneral David Petraeus berhadapan kemungkinan  dihukum penjara walaupun dia dikatakan telah bersetuju untuk mengaku bersalah kerana membenarkan bekas kekasihnya melihat dokumen-dokumen rahsia ketenteraan.
Petraeus yang juga jeneral empat bintang Angkatan Tentera Amerika Syarikat akan didakwa di sebuah mahkamah di  Charlotte, Carolina Utara tidak lama lagi.
Jeneral itu dikatakan telah menandatangani satu persetujuan dengan pihak pendakwa raya pada 22 Februari lalu untuk mengaku bersalah dan tidak akan mencabar keputusan untuk mendakwanya dan sebagai balasan, kerajaan akan mengesyorkan supaya hukuman ke atasnya diringankan kepada denda sebanyak AS$40,000 sahaja dengan tempoh percubaan selama dua tahun.
Bagaimanapun, mahkamah tidak terikat dengan 'perjanjian' tersebut dan dia mungkin akan berhadapan dengan risiko dipenjarakan maksimum setahun, penalti sebanyak AS$100,000 dan hukuman diletakkan di bawah percubaan selama lima tahun.
Tujuan pihak kerajaan melakukan 'perjanjian' itu adalah untuk mengelak perbicaraan yang boleh memalukan jeneral tersebut yang telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai komander tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan serta dilihat sebagai bintang baru yang berkebolehan untuk memimpin angkatan tentera Amerika pada masa depan.
Petraeus terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pengarah CIA pada November 2012 selepas skandalnya dengan  Paula Broadwell yang juga penulis buku biografinya terdedah.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang dikemukakan di Mahkamah Persekutuan menyebut antara Ogos 2011 hingga 5 April 2013, Petraeus telah melakukan satu tindakan yang menyalahi undang-undang dengan menyerahkan beberapa dokumen yang diklasifikasikan sebagai 'Sulit' kepada seseorang yang tidak mempunyai kuasa untuk melihatnya.
Menurut dakwaan yang dikenakan ke atasnya, ketika Paula Broadwell menulis mengenai biografi Petraeus, pengarah CIA itu telah menyerahkan dokumen-dokumen sulit termasuk nota-nota berhubung perkara yang dibincangkannya dengan Presiden Barack Obama.
Dokumen tersebut yang dikenali sebagai 'buku hitam' telah dirampas oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dari kediaman Petraeus.
Ketika dalam proses siasatan, jeneral itu telah didapati berbohong kepada ejen-ejen FBI yang dia tidak pernah menyerahkan dokumen-dokumen sulit tersebut kepada Paula Broadwell.
Bagaimanapun menjelang lewat Ogos 2011, Petraeus telah membawa dokumen berkenaan ke kediamannya di sini yang mana Broadwell didapati telah bermalam.
Dia didakwa telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Paula bagi membolehkannya  memasukan beberapa bahagian sebagai sumber tulisan di dalam buku biografi Petraeus.
Seminggu kemudian Petraeus membawa pulang dokumen berkenaan ke kediamannya di Arlington, Virginia di mana dia berpusat.
Selepas skandal mengenai percintaan antara Petraeus dengan Paula terdedah, jeneral empat bintang yang dipinjamkan oleh presiden Obama ke CIA sebagai pengarah terpaksa melepaskan jawatannya pada 2012 sekaligus menamatkan perkhidmatannya yang cemerlang bersama kerajaan dengan penuh kehinaan.
Paula yang kini berusia 42 tahun pertama kali bertemu dengan Petraeus, 62, ketika dia adalah graduan Universiti Harvard.
Biografinya mengenai karier ketenteraan Petraeus berjudul; 'All In: The Education of General David Petraeus', telah membuka laluan untuk dia menghabiskan banyak masa bersama jeneral itu.
Mereka dikatakan menjalin percintaan pada tahun 2011 ketika Paula sedang menyiapkan buku biografi jeneral itu.
Percintaan mereka terbongkar apabila FBI mula menyiasat satu ancaman yang dikirimkan melalui emel kepada seorang kawan Petraeus di Florida bernama Jill Kelley.
Mesej itu yang antara lain memberi amaran kepada Kelley supaya menjauhkan diri daripada Petraeus, akhirnya didapati dikirim oleh Paula Broadwell.
Hasil daripada siasatan itulah terbongkarnya mesej-mesej cinta yang dikirimkan antara Paula dengan pengarah CIA itu dan siasatan lanjut mendapati terdapatnya beberapa dokumen rahsia telah jatuh ke tangan kekasih gelap Petraeus.
Ketika skandal itu terbongkar Paula sudahpun berkahwin dan mempunyai dua orang anak manakala Petraeus, kekal bersama isterinya Holly.
Ketika Petraeus melepaskan jawatannya, dia mengakui mempunyai hubungan dengan Paula.
Pada Mei 2013, Paula membuat pengumuman terbuka memohon maaf di atas skandal yang terjadi itu.
Katanya, ia adalah kesilapan yang boleh dilakukan oleh mana-mana manusia.
Dia masih terus kekal bersama suaminya.

Bill Gates kekal paling kaya

New York: Pengasas syarikat Microsoft, Bill Gates mengekalkan kedudukannya sebagai manusia paling kaya di dunia yang dipegangnya selama 16 tahun berturut-turut, lapor majalah Forbes kelmarin.
Harta Gates dianggar berjumlah AS$79.2 bilion (RM287.40 bilion), meningkat AS$3.2 bilion (RM11.6 bilion) pada tahun lalu.
Gates masih mampu mengekalkan kedudukannya walaupun mendermakan AS$1.5 bilion (RM5.44 bilion) kepada Yayasan Bill & Melinda Gates pada November.
Taikun telekomunikasi Mexico, Carlos Slim kekal di tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$77.1 bilion (RM279.67 bilion).
Pelabur Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett berada di tempat ketiga selepas menyaksikan kekayaannya melonjak kepada AS$72.7 bilion (RM263.67 bilion).
Menurut Forbes, Buffett ahli perniagaan paling banyak memperoleh keuntungan tahun lalu apabila hartanya meningkat AS$14.5 bilion (RM52.64 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Kekayaannya banyak didorong oleh peningkatan saham syarikat Berkshire Hathaway miliknya.
Pengasas kumpulan fesyen Inditex, Amancio Ortega berada di tempat keempat dengan harta dianggarkan bernilai AS$64.5 bilion (RM234.18 bilion).
Butik pakaian Zara turut termasuk dalam kumpulan fesyen Inditex.
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-16 dengan harta bernilai AS$33.4 bilion (RM121.29 bilion).
Ini kali pertama Zuckerberg, 30, berada dalam kelompok 20 paling kaya di dunia.
Bekas bintang bola keranjang, Michael Jordan berjaya memasuki senarai bilionair buat kali pertama dengan harta bernilai AS$1 bilion (RM3.63 bilion).
Jordan, 52, mengikat kontrak dengan syarikat Nike yang mengeluarkan kasut Air Jordan.
Pengasas bersama aplikasi pesanan Snapchat, Evan Spiegel, 24, dan Bobby Murphy, 25, menjadi bilionair paling muda dengan masing-masing mengumpul harta bernilai AS$1.5 bilion (RM5.44 bilion).
Jumlah bilionair meningkat pada tahun ini kepada 1,826 berbanding 1,645 pada tahun lalu.
Peningkatan mata wang dolar berbanding euro dan juga kejatuhan harga minyak mentah dunia dipercayai memberi kesan kepada peningkatan jumlah kekayaan mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:10 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34524#sthash.1ltHpYnD.dpuf

9 jam pisah kembar siam

KEADAAN seorang daripada kanak-kanak itu setelah dipisahkan.

Riyadh: Sepasang kembar siam dilaporkan stabil selepas berjaya dipisahkan dan dijangka sembuh sepenuhnya selepas menjalani pembedahan selama sembilan jam .
Pembedahan rumit itu diketuai bekas Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdullah Al-Rabeeah.
Pasangan kembar itu, Abdullah dan Abdulrahman yang berkongsi organ, termasuk usus, diterbangkan dari Yaman untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan mereka di hospital King Abdulaziz Medical City, Riyadh.
Seorang jurucakap hospital berkata, pasukan perubatan daripada pelbagai disiplin mengambil masa sembilan jam untuk melaksanakan sembilan peringkat pembedahan bagi memisahkan kedua-dua kanak-kanak itu, kelmarin.
Menurutnya, peringkat pertama pembedahan membabitkan pemisahan usus dan sistem pembuangan air kencing sebelum beralih kepada tulang pelvis.
Selepas dipisahkan, pasukan pembedahan dibahagi kepada dua untuk menguruskan Abdullah dan Abdulrahman.
Pakar perubatan sebelum ini memberi pasangan kembar itu 60 hingga 70 peratus peluang untuk hidup.
Bagaimanapun, keadaan kedua-duanya semakin pulih dengan kedua-duanya kini ditempatkan di unit rawatan rapi kanak-kanak.
Ia pembedahan ke-35 di Arab Saudi membabitkan kembar siam dari lebih 18 negara, termasuk Malaysia, Sudan, Filipina, Maghribi dan Iraq.
Arab Saudi mempunyai pasukan pakar untuk memisahkan kembar siam dengan 30 kejayaan dalam masa 20 tahun.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 8:18 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34527#sthash.DxR47SZN.dpuf

Pengeluaran emas Australia paling tinggi

jongkong emas

MELBOURNE - AUSTRALIA. Pengeluaran emas Australia kini pada tahap paling tinggi dalam tempoh 11 tahun.
 
ABC News melaporkan bahawa angka industri terkini menunjukkan pelombong mengeluarkan 284 tan hasil emas iaitu peningkatan empat peratus tahun ke tahun.
 
Sandra Close, Pengarah Surbiton Associates berkata, peningkatan itu bukan l‎agi berita yang sangat baik.
 
Beliau berkata, kejatuhan harga emas memaksa pelombong mencari galian gred l‎ebih tinggi untuk kelangsungan hidup.
 
"Pada asasnya ia merupakan berita baik, yang memberi gambarkan bahawa i‎ndustri itu sihat dan cergas, namun kami perlu menggali lebih dalam.
 
"Berikutan harga yang rendah, apa yang berlaku kini ialah pelombong ‎meningkatkan usaha untuk menggali galian yang lebih tinggi nilainya untuk membuat keuntungan yang lebih besar," katanya.
 
"Ini menimbulkan konotasi negatif kerana ia bermakna hayat galian d‎ikurangkan dan terdapat emas yang ditinggalkan memandangkan ia tidak menguntungkan untuk dilombong," katanya. - Bernama

Paha reput, punggung pun reput


Andressa Urach
Andressa Urach
SAO PAULO - BRAZIL. Bekas ratu cantik Brazil yang sebelum ini dikejarkan ke hospital kerana paha mereput dek pembedahan plastik, dikejarkan ke hospital selepas punggungnya menunjukkan komplikasi sama.

Andressa Urach, 27, berada dalam unit jagaan rapi selepas implan di bahagian punggungnya dijangkiti kuman.

Menurut Dailymail, satu pembedahan kecemasan dijalankan untuk mengeluarkan cecair dari punggung kiri Urach.

Pada Januari lepas, Urach menjalani beberapa pembedahan selepas daging dan otot paha mereput disebabkan jangkitan kuman.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tanggung derita, paha bekas ratu cantik reput ]

Sirul Bersyukur Dapat Perlindungan Di Australia - Mahfuz


Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2015 9:08 PM
Piah (kanan) dan Noriatin berjaya bertemu Sirul pada Selasa.

PETALING JAYA: Sirul Azhar Umar, yang didakwa atas sabitan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu berterima kasih kepada kerajaan Australia diatas perlindungan yang diberikan terhadapnya, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kami tidak membincangkan mengenai kes Altantuya. Kami masih belum bercakap mengenai masa depannya di Australia. Dia bersyukur di atas perlindungan yang diberikan kerajaan Australia, walaupun dia berada di pusat tahanan Imigresen," kata Mahfuz kepada The Star Online pada malam Selasa.
Beliau berkata sekumpulan tujuh individu bertemu Sirul di pusat tahanan Villawood di Sydney.
Kumpulan tersebut termasuk seorang peguam, ibu Sirul, Piah Samad, 72 dan adik perempuannya, Noriatin Omar, 37.

Ketika ditanya mengenai pertemuan itu, Mahfuz berkata: "Sirul menghabiskan masa selama dua jam berbual dengan ibu dan adiknya mengenai keadaannya di Australia. Kami akan bertemu semula dengannya esok (Rabu), lusa dan Jumaat ini."

Mahfuz menegaskan pertemuan itu dilakukan atas dasar kemanusiaan.

"Ia misi kemanusiaan untuk membenarkan Sirul bertemu keluarganya," kata Mahfuz yang tiba di Sydney pada Isnin lalu.

Pada 23 Februari lalu, beliau mengadakan telesidang bersama Sirul yang didakwa atas kesalahan membunuh model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu untuk merungkai misteri kejadian itu.

Bagaimanapun, sidang media tersebut dibatalkan selepas beberapa usaha untuk menghubungi Sirul tidak berjaya.
Sirul menghubungi Mahfuz kembali dua jam kemudian dengan berkata beliau hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemberita kerana membuat liputan telesidang tersebut.

Sirul berlepas ke Australia pada Oktober 2014 selepas Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membebaskannya pada Ogos 2013.

Cerai kerana minum Pepsi


Riyadh: Seorang wanita diceraikan kerana meminum air Pepsi.
Pakar rumah tangga Arab Saudi, Dr Abdul Aziz Al-Zeer memberitahu perkara itu dalam satu program televisyen.
Menurutnya, kes itu antara perceraian paling pelik pernah ditemuinya.
Dalam kejadian berkenaan, kata Abdul Aziz, wanita itu, atas sebab tertentu, dinasihatkan suaminya supaya tidak mengambil minuman itu.
Mungkin kerana ketagih, dia mencuri minum ketika suaminya tiada di rumah.
Apabila si suami pulang, dia menemui botol minuman berkenaan.
Kerana berang, dia serta-merta menceraikan isterinya, walaupun sudah sekian lama berkahwin dan mempunyai empat anak.
Dalam kes lain, kata Abdul Aziz, seorang lelaki menceraikan isterinya selepas wanita itu mahu bermanja-manja dengan suaminya dengan memegang tangannya ketika berada di lapangan terbang. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34512#sthash.MxNOQQW9.dpuf

Singapura kekal paling mahal

London: Singapura sekali lagi muncul sebagai bandar raya paling mahal di dunia selepas satu kajian bagi membandingkan kos sara hidup di 133 bandar diumumkan.
Berada di belakang Singapura ialah Paris (Perancis) diikuti Oslo (Norway), Zurich (Switzerland) dan Sydney (Australia).
Laporan yang dikeluarkan Unit Risikan Ekonomi itu meletakkan ibu kota Britain, London di tempat ke 11 bandar raya paling mahal.
Bandar raya di Pakistan dan India, termasuk Karachi, Bangalore serta Mumbai tersenarai dalam lima bandar paling murah.
Menurut laporan itu, harga barangan runcit asas termasuk roti di Singapura 11 peratus lebih mahal berbanding New York.
Singapura juga bandar raya paling mahal di dunia untuk membeli pakaian.
Kedai pakaian di Singapura meletakkan harga premium yang 50 peratus lebih tinggi berbanding New York.
Harga kereta di Singapura sangat mahal dan kos pengangkutan di bandar itu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding New York.
Seoul pula naik enam anak tangga untuk berada dalam kelompok 10 bandar raya paling mahal di dunia.
Kos sara hidup di Seoul kini hampir sama dengan di Hong Kong.
Lima tahun lalu, Seoul berada di kedudukan ke-50 dalam senarai berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:57 AM


PAKAIAN di Singapura lebih mahal berbanding di New York.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34516#sthash.Om6Fbmyk.dpuf

Saksi pembunuhan Nemtsov pulang ke Ukraine



AP - ORANG ramai membanjiri kawasan tanah perkuburan ketika majlis pengebumian Nemtsov di Sakharov, tengah Moscow, Russia semalam.


MOSCOW – Model warga Ukraine yang menjadi saksi pembunuhan pemimpin pembangkang Rusia, Boris Nemtsov minggu lalu tiba di Lapangan Terbang Kiev lewat malam kelmarin untuk pulang berehat di negaranya sendiri, jelas peguamnya kepada pemberita.
Ganna Duritska, 23, yang merupakan teman wanita Nemtsov pada awal pagi kelmarin mendakwa pasukan penyiasat negara ini tidak membenarkannya meninggalkan Moscow atas alasan khuatir tentang keselamatannya.
“Mereka mengiringi saya menggunakan kereta polis sejak tiga hari lalu (selepas pembunuhan tersebut). Mereka tidak jelaskan bila saya akan dibebaskan atau kenapa saya ditahan,” katanya.
Duritska menemani Nemstov berjalan-jalan di pusat bandar Moscow pada malam Jumaat lalu sebelum seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan ketika mereka melintasi sebuah jambatan berhampiran pusat pentadbiran Kremlin.
Mayat Nemstov, 55, dikebumikan di perkuburan Troekurovskoye di Sakharov di sini semalam. Beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri Rusia di bawah pentadbiran mendiang Presiden Boris Yeltsin dan dikenali sebagai pengkritik hebat pentadbiran Presiden Vladimir Putin sejak 15 tahun lalu.
Putin telah menggelar insiden itu sebagai pembunuhan upahan dan merupakan satu provokasi. Beliau turut berikrar mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TLoc3T2k 
Hakcipta terpelihara