Showing posts with label Bajet. Show all posts
Showing posts with label Bajet. Show all posts

Wednesday, October 3, 2012

Bajet ‘seronok sementara, merana sepanjang masa’


KUALA LUMPUR: Menariknya dalam Bajet 2013 kali ini yang dibentangkan Perdana Menteri didapati bajet ‘one off’ paling banyak dalam sejarah sejak 55 tahun kemerdekaan.“Maka pakar-pakar ekonomi yang begitu menjunjung bajet berkebajikan tersebut dengan manis mulut melambung-lambung pujian kepada kerajaan seolah-olah bajet yang dikurniakan itu merupakan duit dari poket dia sendiri,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin A. Razali (gambar).


Katanya, kenyataan berkenaan dengan bajet one off ini sehingga mencecah angka billion merupakan belanjawan yang bersifat ‘seronok sementara tetapi merana sepanjang masa’.

“Boleh kita ibaratkan seperti seseorang yang kelaparan, kita hanya menjamunya pada waktu tengah hari dan selepas itu ‘bye bye’. Inilah bajet 1 off,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa noktah, antaranya kalau tidak bagipun kepada rakyat, rakyat tidak akan mati dan rakyat tidak kaya dengan RM250 atau RM500.

Justeru, katanya ia bajet pilihan raya untuk meraih undi.

Beliau berkata, bahasa yang digunakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai bajet menyerupai rasuah’.

Tambahnya, rakyat memerlukan wang tetapi yang lebih diperlukan pekerjaan.

“Berapa banyak graduan yang tiada pekerjaan? Berapa banyak yang sepatutnya mengisi guru-guru tetapi diabaikan?

“Berapa banyak jawatan penjawat awam yang tidak mampu diisi dan berlaku kekosongan? Kenapa harga barang tidak diumumkan penurunan?” tanya beliau.

Justeru, menurutnya sudah sampai masanya kerajaan perlu bersikap serius dan bertanggungjawab sepanjang masa bukan hanya one off yang sudah pasti mahu melepaskan tanggungjawab atau dalam bahasa yang lain hanya mahu meraih undi untuk PRU dan mencanangnya sebagai bahan kempen.

“Marilah sama-sama kita menginsafi bahawa belanjawan sebenarnya bukan bersifat sekali makan tetapi perlu dirasai oleh segenap lapisan masyarakat sepanjang tahun melalui insentif yang lebih bersifat umum seperti penurunan harga barang,” katanya.-Harakah

Separuh peruntukan Bajet 2013 hasil Petronas

KOTA BHARU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mendedahkan kepada umum sebahagian besar daripada peruntukan dalam Belanjawan 2013 adalah dipungut daripada hasil petroleum.

Jumlah tersebut merangkumi 45 peratus atau kira-kira RM96 daripada jumlah keseluruhan Bajet 2013.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, manakala jumlah tunggakan royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan sekarang meningkat kepada RM10.4 bilion.

“Tanpa segan silu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan belanjawan 2013 kononnya berjiwa rakyat.

“Sedangkan hasil yang dikutip daripada Petronas meningkat begitu banyak sekali berbanding sebanyak RM22 bilion (20 peratus) pada 2002,” katanya di sini semalam.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan menyokong penuh pendirian Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya hasil royalti milik Kelantan jangan diusik kerajaan pusat.

Menurutnya juga usaha menuntut royalti minyak akan menjadi lebih mudah apabila kerajaan yang ada di Putrajaya sekarang ditukar kepada kerajaan baru.

“Kalau kita nak merdekakan rakyat Kelantan bagi mendapatkan royalti petroleum kita kena berpakat pinggirkan kerajaan pusat yang ada sekarang pada PRU-13 nanti.

“Dan buat masa sekarang kita terus perjuangan menuntut royalti. Kita akan jelajah ke segenap tempat bagi mengajak sokongan orang ramai di samping meneruskan tuntutan melalui mahkamah,” ujarnya.

Ketika melepaskan konvoi Royalti ke Putrajaya pagi semalam Menteri Besar mengingatkan hasil royalti milik Kelantan tidak digunakan sesuka hati.-Harakah

Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013: Bajet panik, bajet selamat tinggal


KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah belanjawan panik yang takut kepada kebangkitan rakyat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.


Tetapi, katanya lagi, apa pun yang diumum dan diberikan oleh Najib dalam belanjawan itu tidak akan dapat membendung kemaraan gelombang kebangkitan rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Belanjawan tersebut adalah belanjawan selamat tinggal dari Najib sama ada sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan," kata Mahfuz.

Beliau berkata, sama ada BN kalah atau menang dalam pilihan raya umum akan datang, inilah penggal terakhir bagi Najib dalam kabinet.

"Kalau dengan segala tipu dayanya BN menang sekalipun dalam pilihan raya akan datang, ia dijangka lebih tipis dari kemenangannya pada tahun 2008.

"Akibatnya, Najib akan dihambat seperti Umno hambat Pak Lah (Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi) setelah beliau gagal mendapatkan majoriti dua pertiga untuk BN dalam pilihan raya 2008 lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, belanjawan tersebut bagaikan wasiat Najib dalam pembahagian harta.

"Berbilion-bilion diwasiatkan untuk anak-anak kesayangan atau kroni-kroni Umno yang pakar membodek dan mengampu.

"Anak-anak yang tak mahu atau tak pandai membodek dan mengampu pula, dapatlah sagu hati RM1,000, RM250, RM200 atau RM7.80," katanya.

Tumpuan belanjawan panik Najib itu, kata Mahfuz, adalah untuk menggula-gulakan rakyat supaya memberi peluang kepada Umno BN sekali lagi.

Namun begitu, katanya, masih terdapat unsur ketirisan dan hendak mengkayakan kroni.

"Walaupun hendak menggula-gulakan rakyat supaya terus menyokong Umno BN, tetapi belanjawan itu bukan untuk rakyat," katanya.

Belanjawan yang tidak pro-rakyat itu, kata Mahfuz, tidak mempedulikan masalah fundamental dalam ekonomi negara seperti penghapusan rasuah, salah urus dan percanggahan yang besar antara perancangan dan perlaksanaan.

"Belanjawan itu juga mengetepikan soal akauntabiliti," katanya.

Beliau juga menyifatkan belanjawan itu kosong dengan pendekatan yang menarik perhatian untuk meningkatkan ekonomi.

"Tidak ada perkara baru seperti perancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diumumkan oleh (Tun) Dr Mahathir dulu.

"Belanjawan Najib tidak ada daya penarik. Orang Putih kata tak ada 'wow factor'," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan belanjawan itu tidak mengetengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

"Kita baca berita tentang belanjawan Perancis yang dipanggil 'combat budget' dengan memberikan tumpuan kepada pengurangan hutang negara serta kos pinjaman yang kian meningkat dan pengurangan defisit perbelanjaan awam," kata beliau.

Sebaliknya, kata Mahfuz, belanjwan Najib tidak memberi tumpuan kepada hutang negara yang telah mencecah RM476 bilion.

"Kerajaan Umno BN juga masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 trilion ke dalam negara," katanya lagi..
-harakah

Friday, September 28, 2012

Bajet PR libat semua

Bajet PR libat semua
Keratan Sinar Harian semalam
SHAH ALAM – Pas menolak dakwaan parti itu kurang berperanan dalam Bajet Pakatan Rakyat (PR) 2013 yang dibentang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin

Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, misi bajet untuk membangunkan sebuah negara berkebajikan yang mempunyai rakyat berbilang agama dan bangsa dengan mengeluarkan mereka yang berpendapatan rendah dari kepompong kemiskinan membuktikan peranan Pas.

“Itu (Pas kurang berperanan) tidak benar sama sekali. Teras negara berkebajikan adalah membangunkan rakyat, memberikan ruang mereka berperanan dalam tuntutan beragama dan mendayakan diri mereka.

“Apabila ekonomi sesebuah keluarga berada di tahap stabil, dari sini dapat mengurangkan penceraian, jenayah, keruntuhan akhlak sebabnya isi rumah boleh membina keluarga dengan pendapatan yang wajar dan bermaruah dan institusi keluarga lebih terjamin,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, PR menggunakan pendekatan penyelesaian dalam Islam iaitu penyelesaian yang holistik (membantu mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik dari yang sebelumnya).

Beliau berkata, pemimpin bertanggungjawab mengeluarkan rakyat keluarga dari garis kemiskinan kerana mengurangkan kos perbelanjaan dari segi rumah, kenderaan, pinjaman pendidikan akan membantu rakyat memperoleh ‘pendapatan boleh berbelanja’.

“Saya hendak bezakan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak buat, mengesan golongan miskin, kekalkan mereka di tahap itu dengan memberikan mereka infrastruktur sesuai untuk mereka.

“Golongan miskin diberikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia. Situasi ini menunjukkan golongan miskin tidak diberikan peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Tidak membantu mengeluarkan mereka dari keluarga miskin kepada yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, membantu rakyat tidak cukup dengan memberikan bantuan sahaja dan mengharapkan mereka akan berubah, sebaliknya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“Dalam menyediakan bajet itu, kami memandang dan menimbang dalam kedudukan negara di ambang pelbagai ancaman seperti hutang yang terus membengkak. Memandang kepada defisit bajet yang hampir 14 tahun berterusan, berbelanja lebih dari pendapatan. Dan memandangkan jurang kaya miskin semakin melebar, yang paling lebih di antara negara Asia,” katanya.

Thursday, September 27, 2012

Bajet Pakatan tawar ‘lebihan wang di poket rakyat’



Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat pada majlis pembentangan Bajet 2013 pihaknya di bangunan Parlimen hari ini.
Belanjawan Pakatan Rakyat 2013
SHAH ALAM - Dilihat sebagai cadangan belanjawan yang lebih komprehensif berbanding tahun lalu, Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengemukakan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menyasarkan "lebihan wang dalam saku rakyat."

Dalam dokumen cadangan belanjawan yang diumumkan di bangunan Parlimen petang ini, perikatan tiga parti itu, dalam usaha menuju ke Putrajaya berkata, cadangan pihaknya akan membolehkan rakyat memiliki pendapatan boleh diguna pakai tambahan sebanyak RM930 setiap bulan.

Angka itu adalah hasil penjimatan harga kereta yang lebih rendah iaitu sebanyak RM70, penjimatan daripada penghapusan tol (RM50), penghapusan pinjaman bagi peminjam PTPTN yang layak (RM200), elaun pengajaran khas yang dijanjikan dalam Buku Jingga (RM500), sumbangan kerajaan ke dalam Caruman Wanita Nasional (RM50) dan penjimatan daripada harga makanan dan barangan susulan kos minyak dan pengangkutan (RM60).

Bajet PR 2013 akan menelan kos RM234 bilion dengan pendapatan sebanyak RM197 bilion, bermakna defisit 3.5 peratus.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan membangkitkan isu intergriti dan unjuran ekonomi negara dalam Bajet 2013 kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dibahaskan di Dewan Rakyat mulai minggu depan.

Menurutnya, kedua isu itu perlu dipandang serius kerana kegagalan kerajaan BN untuk mencapai tahap unjuran pertumbuhan ekonomi yang ditetapkan pada setiap tahun.

"Kegagalan unjuran dan unjuran defisit  tidak pernah mencapai oleh kerajaan BN, jika satu peratus kegagalan pertumbuhan ekonomi bermakna gagal berkembang RM20 bilion setahun.

"Isu yang dibawa oleh PR akan dipandang serius dan bajet yang dibentang kerajaan Jumaat ini perlu dipandang serius," katanya pada sidang media sempena Majlis Pembentangan Bajet  Pakatan Rakyat 2013 yang bertemakan "Ekonomi rakyat negara berkat".

Sebelum ini, ramai pemimpin BN mendakwa jika mengikut Buku Jingga yang menjadi panduan PR akan memufliskan negara.

Dalam pada itu Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata PR sebulat suara bersetuju untuk menetapkan enam peratus pertumbuhan setiap tahun di negeri-negeri PR untuk membentuk ekonomi yang mampan.

Tambahnya, Bajet PR 2013 mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang diagihkan sama rata kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Tuesday, November 23, 2010

Bajet 2011 RM8.711 bilion



KUANTAN – Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak RM871,117,390 untuk Bajet 2011 bagi negeri ini dengan RM600,424,140 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan RM270,693,250 untuk peruntukan pembangunan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, bagi peruntukan perbelanjaan pengurusan, sebanyak RM250,976,050 atau 41.8 peratus disediakan untuk emolumen, RM216,450,120 atau 36.05 peratus disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM129,573,790 atau 21.58 peratus disediakan untuk perkhidmatan dan bekalan sementara selebihnya adalah untuk aset dan perbelanjaan lain. 

Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan pengurusan itu juga disediakan untuk belanja mengurus jabatan iaitu sebanyak RM462,590,890, manakala RM137,833,250 adalah untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan bekalan air. 

“Daripada jumlah peruntukan mengurus jabatan itu, sebanyak RM419,419,400 adalah untuk batas perbelanjaan, RM20,103,590 untuk dasar baru manakala RM23,067,900 adalah untuk one-off,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Negeri Pahang Tahun 2011, sempena Persidangan Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12, di Wisma Sri Pahang, di sini semalam. 

Adnan berkata, jumlah peruntukan perbelanjaan pengurusan itu melebihi hasil yang dijangka dapat dikutip pada tahun depan iaitu sebanyak RM532,117,720. 

“Ini menjadikan bajet negeri ini pada 2011 berada dalam keadaan defisit sebanyak RM68,246,420. 

“Bagaimanapun, kedudukan defisit ini jauh lebih baik dari anggaran defisit 2010 iaitu sebanyak RM92,481,950 dan kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jumlah defisit ini pada tahun-tahun akan datang bagi mendapat kedudukan kewangan yang lebih sihat,” katanya. 

Beliau berkata, bagi peruntukan pembangunan, sejumlah RM270,693,250 disediakan untuk projek pembangunan iaitu RM187,933,250 adalah dari sumber dalam negeri manakala RM82,760,000 adalah dari sumber pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi projek bekalan air. 

Menurutnya, mulai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan akan melaksanakan projek dan program secara rolling plan untuk setiap dua tahun bermula 2011 hingga 2012. 

Katanya, pendekatan ini membolehkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan program dan projek berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan persekitaran ekonomi domestik dan global. 

“Kesemua cadangan program dan projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMK-10 akan sentiasa dikaji kewajarannya khususnya untuk menjadikan Pahang bergerak lebih pantas mengejar negeri di Pantai Barat untuk menjadi negeri maju,” katanya. 

Adnan juga berkata, program dan projek yang akan dilaksanakan pada 2011 adalah projek sambungan dari Rancangan Malaysia Kesembilan dan projek baru yang dilaksanakan menggunakan pendekatan rolling plan hanya akan mula dilaksanakan mulai 2012. 

“Bagaimanapun, perancangan untuk menyusun senarai keutamaan pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-10 bolehlah dimulakan sekarang sehingga 2011 dan mulai 2012 pelaksanaan program dan projek yang ditentukan keutamaan boleh bermula,” katanya.