SEBELUM membocorkan maklumat sulit Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS) kepada dunia, Edward Snowden mengambil tindakan awal melarikan diri ke Hong Kong, China untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang oleh Washington pada 10 Jun lalu.

Media meramalkan, Snowden, 30, bertindak sedemikian untuk melindungi dirinya selain mengambil iktibar daripada hukuman yang menimpa Bradley Manning (memberi ribuan dokumen ketenteraan AS kepada laman pembocor maklumat Wikileaks).

Angkara keberanian membongkar aib AS, bekas kontraktor NSA itu dilabelkan sebagai musang, narsisistik dan berpendirian oleh para wartawan antarabangsa dan petugas di lapangan media massa.

Pada 14 Jun, pihak pendakwa persekutuan AS, mendakwa Snowden sebagai pencuri dan pembocor maklumat harta kerajaan.

Sehingga ke hari ini, nasib pemuda jati AS itu masih terawang-awangan dan AS sedaya upaya mencari jalan untuk mengekstradisinya bagi menjatuhkan hukuman.

Mohon perlindungan negara anti-AS

Selepas sejam meninggalkan Hong Kong, Snowden memohon perlindungan dari Equador susulan mengetahui AS sedang berusaha mengekstradisinya di bawah dakwaan pengintipan.

Selepas beberapa hari bersembunyi di Hong Kong, Snowden memberanikan diri berpindah ke Moscow, Rusia dan mengadakan pertemuan dengan duta Equador di Rusia.

Sebelum itu, Menteri Luar Equador, Ricardo Patino mengesahkan tindakan permohonan suaka Snowden menerusi laman Twitternya.

Setakat ini, Equador adalah negara yang memberi perlindungan maksimum kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange di bangunan kedutaannya di London, Britain membabitkan dakwaan serangan seks.

Dalam satu kenyataan, WikiLeaks mendedahkan, Snowden sudah terikat dengan Republik Equador membabitkan lingkungan keselamatannya dan sedang diiring oleh barisan diplomat dan penasihat undang-undang.

Permohonan suaka dilakukan selepas sehari Washington menuduh Snowden mengintip dan membocorkan program Prism yang dikendalikan oleh bekas majikannya, NSA kepada media barat.

Sehingga ke hari ini, pihak berkuasa AS cuba mengekstradisi beliau dari Hong Kong seterusnya Rusia.

Sebelum itu, satu kenyataan pihak berkuasa Hong Kong berkata, mereka masih tidak mendapat maklumat mencukupi untuk mengeluarkan waran tangkap sementara kepada Snowden dan AS menganggapnya sebagai perlindungan kepada si pembocor rahsia mereka.

Lebih menarik lagi, Snowden berani mendedahkan AS adalah dalang utama penggodaman institusi China dan Hong Kong selama ini.

Susulan itu, China nekad mengeluarkan surat kepada AS dan meminta Washington memberi penjelasan mengenai penggodaman sistem komputer di Hong Kong dan agensi kerajaan.

"Selama ini, AS berlakon dan cuba menjadi pihak yang tidak bersalah sebagai mangsa serangan siber, pada hal merekalah penjahat terbesar di zaman ini," kata jurucakap kerajaan China kepada media tempatan.

Pemuda berani itu, turut membekalkan beberapa dokumen intipan kepada akhbar Guardian, membabitkan program risikan Britain terhadap lebih 600 juta sistem komunikasi peribadi harian rakyat.

Menerusi risikan itu, Britain turut membekalkan segala maklumat yang diperoleh kepada AS dengan memintas atau menceroboh emel, panggilan telefon, carian Google dan kemas kini laman sosial Facebook.

'Anak saya selamat di Rusia'

Bapa kepada pembocor maklumat sulit NSA, Lon Snowden mendedahkan, adalah lebih baik anak lelakinya itu kini berlindung di Rusia berikutan dicerca oleh pentadbiran Presiden AS, Barack Obama serta ahli Kongres.

Setakat ini, Lon bersama peguamnya berusaha mendapatkan keadilan menerusi undang-undang di AS namun veteran pengawal pantai itu semakin hilang kepercayaan terhadap institusi perundangan negara yang berkeras mahu mengekstradisi Snowden.

"Jika saya menjadi Snowden dan telah mengetahui nasib yang menimpa Daniel Ellberg kerana membocorkan maklumat Pentagon, lebih baik untuk saya mencari tempat yang lebih selamat," katanya.

Ellsberg yang juga penganalisis ketenteraan dituduh membocorkan maklumat khas Pentagon membabitkan penyelidikan rahsia AS di Vietnam kepada akhbar tempatan.

Lon berpendapat, Rusia adalah tempat terbaik untuk anaknya mendapatkan perlindungan kerana negara itu bukan sekutu AS sekaligus dapat memberi tekanan kepada Washington.

Bagaimanapun, beliau aku jabatan keadilan AS semahu-mahunya menggesa negara-negara yang berkeinginan untuk melindungi Snowden membatalkan hasrat itu selain Obama sendiri melabelkan pemuda berani itu sebagai pengkhianat negara.

Lon turut berkata, ahli-ahli Kongres sebenarnya mempunyai niat untuk menghapuskan anaknya.