KUALA LUMPUR: Pendaftaran keahlian Umno secara dalam talian boleh menghalang budaya menyekat kemasukan ahli baharu di kalangan golongan profesional ke dalam parti itu.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah berkenaan juga merupakan penyelesaian kepada isu 'borang hilang' yang sebelum ini banyak dilaporkan khususnya di peringkat cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara.
"Cadangan keahlian secara online ini merupakan satu pendekatan yang baharu untuk kita nak meramaikan lagi ahli Umno.
"Seperti yang disebut oleh presiden ada juga dua tiga kes apabila orang itu sudah isi borang keahlian, tapi borang hilang," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat presiden di Dewan Merdeka PWTC di sini, Selasa.
Arahan membuka pendafaran keahlian Umno secara dalam talian dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika taklimatnya kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2014.
Mengulas lanjut, Shafie yang juga pengerusi jawatankuasa keahlian Umno berkata, kaedah baharu yang akan dilaksanakan serta merta itu juga memudahkan pendaftaran ahli yang berada di luar negara.
"Sebelum ini kita dapati banyak masalah seperti beberapa pihak termasuk orang yang belajar di luar negara tidak dapat daftar sebagai ahli.
"Jadi dengan menggunakan sistem online, ia adalah pendekatan yang baharu untuk mantapkan parti," katanya.
Selain itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, arahan supaya pendaftaran keahlian Umno dibuat secara dalam talian juga merupakan isyarat kepada kepentingan untuk menarik lebih ramai ahli menyertai Umno.
Menurutnya lagi, ia perlu dilihat sebagai tindakan tegas kepada sikap sesetengah pemimpin peringkat bawahan yang cuba menyekat kemasukan golongan profesional.
"Apabila presiden kata proses penerimaan ahli secara online perlu dilaksanakan dengan kadar segera, ia dilihat ia sebagai pendirian yang tegas.
"Jangan sama sekali menyekat Umno kepada golongan bijak pandai atau profesional kerana katanya kadang-kadang wujud isu borang keahlian hilang," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kesukaran golongan muda untuk mengetahui di mana untuk mendaftar dan tidak mengenali ketua-ketua cawangan bagi berbuat perkara itu menyebabkan pendaftaran secara dalam talian (online) diperkenalkan.
Beliau berkata, permohonan online itu merupakan satu program yang dianggap sebagai keterbukaan oleh Umno supaya golongan muda mudah untuk menyertai parti itu.
"Apatah lagi mereka (golongan muda) menggunakan platform 'di hujung hari' dalam aktiviti harian. Sebagai contoh, pelajar kita di London lebih mudah untuk mendaftar pada bila-bila masa tanpa perlu balik ke tanah air dan menggunakan saluran tertentu untuk mendaftar.
"Selepas mereka mendaftar secara online barulah permohonan itu diserahkan kepada pengerusi perhubungan negeri yang akan disalurkan kepada bahagian-bahagian dan seterusnya cawangan-cawangan," katanya kepada mStar online.
Bagi Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, pendaftaran secara dalam talian itu merupakan sesuatu yang baik untuk parti dari segi menambah jumlah penyertaan namun kualitinya juga perlu diambil kira.
"Ia memang baik untuk Umno tetapi kita juga berharap mereka yang mendaftar online perlu tahu untuk setia dan jujur dalam perjuangan parti.
"Kita tidak mahu keahlian ini begitu banyak tetapi mereka tidak mengetahui tentang parti ini apatah lagi keikhlasan untuk menjadi ahli," katanya.