Monday, November 15, 2010

Depa tak mau berundur sibuk suruh orang berundur

UMNO cabar Pas berundur 

KOTA BHARU-UMNO mencabar Pas supaya terlebih dahulu berundur di negeri yang bermasalah di bawah pemerintahan mereka (Pakatan Rakyat) sebelum menyarankannya kepada pihak lain.

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Dali Husin berkata, sepatutnya Pas membuktikan dahulu corak pemikiran pemimpin tersebut yang meminta UMNO berundur secara terhormat.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya UMNO perlu berundur secara terhormat jika tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Membidas kenyataan itu, Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut mencabar Pas melaksanakan cadangan tidak masuk akal itu di negeri bermasalah dan bukannya setakat mencadangkan kepada parti lawan.

“Kita lihat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ada masalah dengan pemerintahan mereka, jadi saya mengarahkan supaya Pas laksanakan cadangan tersebut di tempat mereka.

“Pas kena buat di negeri ini, buktikan kata-kata ini dengan mereka dahulu sepatutnya berundur kerana rakyat sudah mula tidak menyenangi pentadbiran mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sambil menyifatkan Pas tidak dapat menerima sistem demokrasi pemerintahan berdasarkan pilihan rakyat, Dali turut menyangkal kemampuan pembangkang untuk memerintah negara.

“Bagi saya kenyataan Abdul Hadi tersebut adalah kerana wujudnya kebimbangan beliau terhadap sokongan rakyat yang kembali memilih UMNO,” katanya.

Dali juga secara sinisnya menyatakan Pas hanyalah boneka dan alat kepada PR, malah hanya mempunyai peratusan yang kecil sahaja untuk memerintah negara.

“Pas hanya digunakan oleh pihak lain untuk mengukuhkan kuasa mereka dan jika mereka mempunyai kekuatan sudah tentu masalah tidak akan timbul di negeri pemerintahan mereka,” katanya.

Zaid tidak tolak kemungkinan keluar PKR


KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim hari ini tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata, bagaimanapun, keputusan itu masih dalam pertimbangan.

"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi," katanya menerusi SMS kepada Bernama, di sini.

Akhbar The Star hari ini melaporkan bekas calon timbalan presiden PKR itu telah membuat keputusan untuk keluar parti, dengan mengatakan bahawa beliau telah muak dengan pergolakan dalaman parti.

Zaid juga dilaporkan berkata, bahawa "beliau tahu masanya sudah suntuk untuk terus berada dalam PKR ekoran serangan bertali arus ke atas peribadinya oleh pemimpin-pemimpin parti".

Islam lebih baik apabila Pas bersama PKR daripada BN: Nizar


IPOH - Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri 1, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menegaskan Islam lebih baik apabila Pas bersama Pakatan Rakyat bukannya bersama Barisan Nasional "cukupla Pas dipecat dari BN dlu," katanya.

Padan muka dok kutuk orang sangat

Kru TV3 buat liputan pemilihan PKR kena halau


2010/11/15

KUALA LUMPUR: Kru TV3 yang membuat liputan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Petaling Jaya Selatan di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dihalau, pagi semalam. 

Wartawan, Pang Chinn Fei dan jurukamera, Norliza Mohd Salleh dihalang daripada membuat liputan sebelum dihalau calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Latheefa Koya dan seorang petugas PKR kira-kira jam 11.30 pagi.Pang berkata, Latheefa mengarahkan beliau dan Norliza beredar dari pusat pemilihan ketika Norliza merakam visual proses pemilihan yang sedang berlangsung.
“Latheefa tiba-tiba meluru ke arah kami dan nada marah berkata What the hell TV3 doing here (Apahal TV3 buat di sini). TV3 are not suppose to be here (TV3 tidak sepatutnya berada di sini). 

“Dia turut berkata TV3 always making lies, misleading stories and we have to explain (TV3 selalu menyebarkan penipuan, laporan tidak tepat dan kami terpaksa memberi penjelasan),” katanya. 

Pang berkata, beliau kemudian menjelaskan kepada Latheefa bahawa kehadiran mereka ke pusat pemilihan itu adalah membuat liputan pemilihan PKR. 
Namun katanya, Latheefa tetap mengarahkan mereka meninggalkan pusat pemilihan itu. 
“Jurukamera saya kemudian meminta beliau supaya tidak marah, namun beliau (Latheefa) tetap mengarahkan kami keluar dari pekarangan stadium. 

“Pada masa sama, seorang petugas PKR turut menolak dan menepis kamera dipegang Norliza yang cuba merakamkan insiden pertikaman lidah itu,” katanya. 

Pang berkata, beliau kemudian meninggalkan tempat itu bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini. 

Masalah setinggan belum selesai



TRONOH – Masalah 16 setinggan di Sri Kanthan di sini, masih belum dapat diselesaikan walaupun kawasan perumahan itu telah wujud lebih 30 tahun lalu yang terletak bersebelahan Kampung Tersusun Sri Kanthan, Mukim Belanja. 

Penduduk mendakwa mereka pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik kekal tapak tanah perumahan secara kelompok sejak tahun 1998, namun sehingga kini tidak mendatangkan hasil. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, penduduk mengadu kepadanya dan menyatakan kekecewaan kerana tiada usaha murni daripada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu. 

Menurutnya, penduduk juga mendakwa ramai pemimpin dari kalangan parti politik yang menaburkan janji manis bagi menyelesaikan masalah itu, namun ia sekadar angan-angan kosong. 

“Penduduk menyatakan ada individu tertentu hadir ke kampung ini dan menabur janji manis kepada penduduk tetapi ia hanya sekadar janji kosong pada pilihan raya dan bukannya niat untuk membantu rakyat. 

“Mereka sudah muak dengan segala janji pihak tertentu dan kini hanya mahukan perhatian serius Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah setinggan selain pihak pentadbir tanah turut membantu mempercepatkan proses pemberian tapak tanah,” katanya kepada :Sinar Harian. 

Sivakumar berkata, pada September 2001 dan Ogos 2003, pejabat menteri besar pernah mengeluarkan surat meminta pihak pentadbir tanah untuk mengambil tindakan berhubung permohonan tanah itu. 

“Penduduk menyatakan masalah ini sudah sampai ke pengetahuan pejabat menteri besar, namun apa yang peliknya masih tiada tindakan diambil. 

“Oleh itu, saya membuat satu soalan bertulis berhubung masalah setinggan ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 30 November 2010,” katanya. 

Beliau berkata, penduduk turut menyatakan Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tersusun Sri Kanthan, pernah membawa isu berkenaan kepada pengetahuan pemimpin politik kawasan berkenaan namun sehingga kini tiada perkembangan positif. 

“Penduduk yakin permohonan ini berada dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian, namun mengapa masih tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya. 

Katanya, walaupun terdapat surat sokongan daripada Ahli Parlimen Parit dan wakil rakyat lain sebelum ini, tetapi tiada sebarang jawapan atau tindaka serius daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mengenai isu itu. 

"Diharap pihak Kerajaan Negeri akan lebih prihatin dan memenuhi aspirasi rakyat jika mereka benar-benar mendahulukan rakyat dan bukan sekadar slogan semata-mata," katanya.

Motif kenyataan Zaid dipersoal



SHAH ALAM - Pas mempersoalkan motif sebenar kenyataan bekas calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim bahawa pemimpin Pas perlu mengetuai Pakatan Rakyat (PR). 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kenyataan yang menyebut nama beliau sebagai antara calon pemimpin yang berkebolehan memimpin PR, tidak seharusnya dikeluarkan Zaid. 

Menurutnya, berdasarkan masalah terkini Zaid dalam PKR, kenyataan seperti itu boleh menimbulkan tanda tanya apakah hasrat sebenar bekas Menteri di :Jabatan Perdana Menteri itu. 

”Kenyataan ini tidak perlu dikeluarkan sekarang kerana ia boleh dianggap sebagai usaha untuk melaga-lagakan parti komponen PR. 

”Dalam PR, tidak kira siapa pun, kami bersama DAP dan PKR akan memimpin secara kolektif bukannya secara individu ataupun satu parti sahaja. Itu yang diterapkan pimpinan PR,” katanya ketika dihubungi S:inar Harian,: di sini, semalam.

Beliau mengulas temu ramah Zaid bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memaparkan tajuk ‘pemimpin Pas perlu terajui Pakatan’, kelmarin. 

Khalid berkata, sesiapa pun mengetuai PR perlulah ada majoriti kerusi yang banyak dan Pas bukanlah parti yang menepati ciri tersebut. 

Menurutnya, pandangan rakyat juga perlu diambil kira dalam konteks siapa perlu memimpin PR, dan Pas berharap sokongan rakyat tetap meningkat tanpa mengira siapa yang memimpin PR pada masa hadapan. 

”Kita berharap rakyat masih menerima Pas dan memberi undi yang banyak dalam pilihan raya akan datang,” katanya. 

Dalam temu bual itu, Zaid turut menyebut nama-nama seperti Bendahari Pas, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahit Yusuf Rawa dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad sebagai calon yang sesuai untuk memimpin PR. 

Zaid memberi pendapat bahawa Pas perlu menerajui PR kerana

Kanak-kanak empat tahun derita penyakit leukemia




PEKAN – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa bertarung nyawa dengan penyakit leukemia yang dihidapinya sejak Jun lalu. 

Bapanya, Abdul Razak Ali, 55, berkata, dia menyedari penyakit anak bongsunya itu, Siti Zubaidah daripada enam beradik itu selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada penghujung bulan Jun lepas. 

”Pada mulanya anak saya itu hanya demam biasa kat rumah selepas itu dia mengalami masalah darah yang keluar dari hidung dan muka dia nampak lebam-lebam. 

”Kami kemudiannya bawa di ke Hospital Pekan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan masa itu kami masih belum tahu apa penyakit dia sebenarnya,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di sini, semalam. 

Abdul Razak berkata, selepas di rujuk ke HTAA, doktor mengarahkan supaya anaknya itu dibawa ke HKL untuk tindakan lanjut. 

Katanya, Siti Zubaidah kemudiannya ditahan di HKL selepas dibawa ke sana pada 29 Jun lepas sebelum mengetahui keputusan anaknya itu mengidap penyakit Leukemia diketahui pada keesokannya. 

“Selepas sebulan lebih berada di HKL doktor memaklumkan anak saya sudah tidak mempunyai harapan sembuh dan membenarkannya dibawa pulang ke rumah,” katanya. 

Beliau berkata, meskipun sudah tidak mempunyai harapan sembuh, dia masih tidak berputus asa untuk mengubati penyakit leukemia yang ditanggung anaknya itu. 

Menurutnya, selepas diarah pulang dari HKL semalam dia berhasrat merawat penyakit anaknya yang berada di tahap akhir dengan perubatan tradisional. 

“Perkara yang merunsingkan kami adalah bayaran kos perubatan yang ditanggung selepas menerima rawatan di HKL hampir mencecah RM5,000 yang masih tertunggak. 

“Siti Zubaidah telah menerima dua kali pembedahan memasukkan dua wayar ke bahagian paru-paru dan jantung sepanjang berada di HKL,” katanya. 

Abdul Razak berkata, dia yang bekerja sebagai pembersih kebun hanya memperoleh pendapatan di antara RM300 hingga RM400 sebulan untuk menyara keluarganya dan tidak mampu menampung kos tersebut. 

”Justeru saya memohon bantuan mana-mana pihak untuk penyakit yang ditanggung oleh anak saya ini, kalau boleh mintak selamatkan anak saya,” katanya. 

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Bumiputra Commerce bernombor akaun 1210-0014164-52-8 atau alamatkan kepada Abdul Razak Ali, No B46, Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan atau hubungi talian 013-9071613. 

Sementara itu, ibu Siti Zubaidah, Supilah Husin, 50, berkata, mereka sekeluarga berharap agar bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung mereka sekeluarga. 

Katanya, Siti Zubaidah yang dilahirkan sihat kini menerima rawatan bulanan termasuk kos ubat-ubatan hampir RM400 sebulan.

Zaid Ibrahim sahkan diri berundur


15/11/2010 4:53pm

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan hari ini beliau akan meninggalkan parti itu.
Teka-teki mengenai pengundurannya dari parti itu terjawab bila beliau membuat penjelasan menerusi blognya (http://www.zaiduntukrakyat.com).
Dalam pos terbarunya Zaid berkata, pengundurannya dari parti akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.
"Saya merujuk kepada tajuk harian The Star hari ini. Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi dari parti.
"Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini, 19 Nov, 2010,” kata beliau.
Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang telah menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR, memutuskan untuk keluar parti, atas sebab beliau tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini. - Bernama

Guru melecur gel pemanas makanan meletup


AINON MARDHIAH menunjukkan mukanya yang cedera dalam kejadian di SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak.


IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.
Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.
Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.
Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.
Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.
"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

Anak teman bapa beli nombor ekor



SEORANG lelaki (dua dari kiri) yang membawa anak lelakinya untuk membeli nombor ekor ditahan dalam satu serbuan di Bahau kelmarin.


BAHAU – Seorang bapa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak tetapi lain pula cerita seorang kaki judi di sini yang membawa anaknya ketika membeli nombor ekor.
Tabiat buruk bapa berusia 40-an tersebut terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama sekumpulan 16 lelaki beragama Islam dan seorang wanita di sebuah premis judi di sini kelmarin.
Kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, Majlis Keselamatan Negeri dan polis.
Penyelaras Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, lelaki berkenaan membawa bersamanya anak lelaki yang baru berusia lima tahun ketika ditangkap membeli nombor ekor.
“Anggota penguat kuasa terkejut selepas mendapati salah seorang lelaki yang ditahan membawa anak lelakinya berusia lima tahun ke premis berkenaan.
“Lelaki tersebut pada mula cuba memberi alasan hanya berjumpa kawan tetapi selepas disiasat dia mengaku membawa anaknya untuk membeli nombor ekor,” katanya di sini semalam.

Guna dinar emas akan henti perang mata wang: Dr Mahathir




2010/11/01

KUALA LUMPUR: Kerajaan di seluruh seharusnya menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata, penyusutan dolar Amerika Syarikat mewujudkan masalah bagi negara kerana mereka perlu menurunkan nilai mata wang mereka bagi mengatasi kerugian daya saing."Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, akan ada perang mata wang dan sudah tentu akan menyumbang kepada krisis," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, emas mempunyai nilai intrinsik iaitu nilai yang lebih baik berbanding mata wang. 

"Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa," katanya. 

Mengenai perbankan Islam, Dr Mahathir berkata institusi kewangan perlu berhati-hati semasa memperkenalkan produk baharu dan tidak mengadakan apa yang telah ditawarkan oleh bank konvensional. 

Beliau berkata, institusi kewangan Islam seharusnya mematuhi prinsip perbankan Islam walaupun terdapat peluang untuk mereka mengambil alih tanggungjawab perbankan konvensional. - BERNAMA

Penduduk Tanah Putih mahu jejantas dibaiki segera


KUANTAN 14 Nov. - Kisah orang ramai tidak mematuhi peraturan lalu lintas apabila tidak menggunakan jejantas yang disediakan adalah perkara biasa.
Sikap negatif sedemikian seharusnya dielakkan kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan jalan tetapi merupakan pembaziran wang kerajaan.
Selain itu, tindakan tidak menggunakan jejantas boleh mengakibatkan seseorang itu dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, jika melihat kepada keadaan jejantas di Tanah Putih Baru di sini, tiada siapa boleh menyalahkan orang ramai jika mereka enggan menggunakan kemudahan tersebut.
Penduduk di sekitar kawasan berkenaan enggan menggunakan jejantas itu untuk melintas jalan berikutan keadaannya yang uzur terutama pada bahagian tangga dan lantainya yang reput serta berlubang-lubang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati memang terdapat kesan tampalan pada beberapa bahagian yang berlubang tetapi ia mungkin tidak dapat bertahan lama.
Seorang penduduk, Wan Zaiton Wan Long, 35, memberitahu, keadaan jejantas tersebut membahayakan penduduk terutama kepada pelajar sekolah yang menggunakannya setiap hari.
"Jejantas ini merupakan laluan kepada pelajar yang pergi dan pulang dari sekolah setiap hari dan mereka dibelenggu ketakutan setiap kali menggunakan jejantas tersebut.
"Bayangkan lubang-lubang yang terdapat di jejantas tersebut menyebabkan pengguna boleh nampak jalan raya dan kenderaan yang lalu lalang di bawahnya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Menurut Wan Zaiton, masalah itu pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dan mesyuarat sekolah.
"Selepas dikemukakan masalah ini, pihak berkenaan telah membaiki kerosakan tersebut tetapi tidak secara menyeluruh dan ia mengakibatkan masalah yang sama terus berlaku.
"Saya terpaksa melangkah beberapa anak tangga dan melangkah kaki dengan lebih besar kerana bimbang terperangkap ke dalam anak tangga yang rosak," jelasnya.
Menurut Wan Zaiton, jejantas tersebut perlu dibaiki segera sebelum kerosakan tersebut menjadi lebih parah.
''Pihak yang bertanggungjawab perlu sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan di setiap bahagian jejantas bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," tegasnya.
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Tanah Putih, Rabieatul Adawiyah Nabila Asyikin Rasid, 12, berkata, dia menggunakan jejantas tersebut setiap hari untuk pergi dan pulang dari sekolah.

Siti Zubaidah harap belas


ABDUL Razak Ali memangku anaknya, Siti Zubaidah manakala isterinya, Supilah Husin hanya mampu termenung di hadapan rumah papan mereka memikirkan nasib anak bongsunya yang menghidap penyakit leukemia kronik di rumahnya di Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan, semalam.


PEKAN 14 Nov. - Jika dilihat dari luar, Siti Zubaidah Abd. Razak, 4, tidak ubah seperti kanak-kanak perempuan lain, yang ceria menjalani kehidupan hariannya.
Dari hujung rambut hingga hujung kakinya langsung tidak menunjukkan tanda yang kanak-kanak ini menghidap sebarang penyakit.
Namun di sebalik wajah cerianya itu, tersimpan cerita mengenai penyakit leukemia kronik malah dipercayai sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
Walaupun dia hanya kanak-kanak dan tidak mengetahui apa-apa, Siti Zubaidah kelihatan begitu tabah menghadapi dugaan itu.
Meskipun sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh namun bapanya, Abdul Razak Ali, 55, tidak pernah berputus asa untuk mengubati penyakit anaknya.
Katanya, punca penyakit anaknya itu diketahui sejak lima bulan lalu apabila anak bongsunya itu mula demam sebelum darah keluar dari hidungnya.
"Saya terus menghantar dia ke Hospital Pekan sebelum doktor di situ menyarankan supaya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
"Hampir seminggu anak saya berada di HTAA, doktor kemudian menyarankan supaya anak saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengetahui punca penyakit anak saya. Di situlah doktor mengesahkan anak saya menghidap penyakit leukemia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Cenderawasih di sini hari ini.
Katanya, bermula saat itulah dia mula berulang-alik ke HKL untuk menghantar Siti Zubaidah menerima rawatan.
"Kira-kira sebulan lalu Siti Zubaidah ditahan di wad sebelum doktor mengesahkan bahawa dia tidak boleh diselamatkan lagi.
"Doktor memberitahu bahawa darah putih anak saya terlalu banyak sehingga 60 peratus daripada darah merah," katanya dalam nada sedih.
Abd. Razak memberitahu, selepas diarah pulang dari HKL semalam, dia kini berhasrat merawat penyakit anaknya yang berada di tahap akhir dengan perubatan tradisional.
Namun apa yang merunsingkan Abdul Razak dan isteri, Supilah Husin, 50, ialah kos perubatan yang ditanggung sepanjang lebih sebulan Siti Zubaidah menerima rawatan di HKL sejak disahkan menghidap leukemia.
Dia kini memerlukan kira-kira RM5,000 untuk melangsaikan bayaran yang masih tertunggak.
Siti Zubaidah yang dilahirkan sihat kini menerima rawatan bulanan termasuk kos ubat-ubatan bernilai hampir RM400 sebulan.
Dengan keadaan hidupnya yang daif dengan bekerja sebagai pembersih kebun, Abdul Razak hanya memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari untuk menyara lima ahli keluarganya dan tidak mampu menampung kos tersebut.
"Saya hanya berharap ada orang dapat membantu menyelamatkan anak saya ini dan membantu menyelesaikan bayaran kos anak saya semasa berada di HKL," katanya.
Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Bumiputra Commerce bernombor 1210-0014164-52-8 atau alamatkan kepada Abdul Razak Ali, No. B46, Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan atau menghubunginya di talian 013-9071613.