Sunday, September 21, 2014

PAS tidak 'pelahap' jawatan MB Selangor


SALMIYAH HARUN | .
BATU PAHAT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu tidak 'pelahap' dengan jawatan Menteri Besar Selangor.
Beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Pusat kali ke-60 di Parit Raja, petang ini.
Katanya, walaupun PAS memenangi 15 kerusi Dun di Selangor pada PRU13 yang lalu tetapi tidak menuntut jawatan Menteri Besar.
"Walaupun undang-undang tubuh negeri Selangor menyatakan Menteri Besar Selangor mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam," katanya.
Pada PRU13 lalu, DAP juga mendapat 15 kerusi Dun sementara PKR pula 14 kerusi.
Justeru, beliau mempersoalkan adakah 'membeli' dua Adun merupakan etika dalam tahaluf siyasi.
"Jangan jadi broker dan barua!" tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Ini kerana, katanya setiap wakil rakyat PAS mengadakan baiah (ikrar setia).
"Mana lebih besar aku janji dengan baiah?" tanya beliau dengan tegas. -HARAKAHDAILY 20/9/2014

IS bebaskan 46 warga Turki


AHMET (tengah) bergambar bersama sebahagian rakyat Turki yang dibebaskan selepas diculik IS semasa mereka tiba di Lapangan Terbang Esenboga di Ankara semalam.


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, 49 tebusan yang diculik oleh militan Negara Islam (IS) di utara bandar Mosul, Iraq pada 11 Jun lalu telah dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air semalam.
Mereka diculik di Konsulat Turki di Mosul apabila sekumpulan militan IS menawan bandar itu pada Jun lalu.
Pembebasan mereka agak berbeza dengan nasib dua wartawan Amerika Syarikat dan seorang sukarelawan British yang mati selepas kepala mereka dipenggal oleh militan IS.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc pula berkata, tawanan itu terdiri daripada 46 warga Turki, manakala tiga yang lain merupakan warga Iraq termasuk seorang Konsul Ozturk Yilmaz, diplomat lain, kanak-kanak dan pasukan khas polis.
"Mereka dibebaskan awal pagi semalam dan telah tiba di Turki," kata Ahmet kepada wartawan Turki ketika melawat Baku, Azerbaijan.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu lokasi tawanan berkenaan dibebaskan, namun mangsa dibawa pulang menerusi bandar di selatan Turki, Sanliurfa yang menunjukkan mereka dipindahkan dari Iraq ke Syria.
Ahmet berkata, pembebasan itu adalah hasil perisikan dengan 'kaedah sendiri' dan bukannya operasi menyelamat yang melibatkan pasukan khas.
"Selepas berusaha sejak beberapa minggu, rakyat kita akhirnya pulang ke tanah air," katanya. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3DtzpQnfB 
Hakcipta terpelihara 

Homoseksual: 100 sebatan diusul


KIRI-KIRA 1,000 orang berkumpul bagi menyaksikan hukuman sebatan yang dijalankan di hadapan sebuah masjid di sini, selepas solat Jumaat, kelmarin. - REUTERS
BANDA ACEH 20 Sept. - Wilayah Aceh mengusulkan agar pelaku homoseksual dikenakan hukuman sebat sebanyak 100 kali.
Undang-undang kecil itu akan dikemukakan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh Isnin ini dan dijangka diluluskan sebulat suara.
Pemimpin dari Parti Aceh yang bertanggungjawab mendraf undang-undang itu, Ramli Sulaiman berkata, usul tersebut dijangka mendapat sokongan majoriti anggota DPR.
"Kami telah mengkaji pelaksanaan undang-undang syariah di negara seperti Arab Saudi, Brunei dan Jordan. Kami gembira dengan draf ini," katanya hari ini.
Rang undang-undang berkenaan mengharamkan perlakuan homoseksual dan turut tertakluk kepada penganut bukan Islam.
Selain sebatan, pesalah juga boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
Draf undang-undang syriah berkenaan merupakan susulan daripada beberapa undang-undang Islam yang sudah diguna pakai di wilayah ini seperti melarang pengambilan arak, berjudi selain menyentuh dan mencium wanita bukan muhrim.
Sebatan dengan menggunakan rotan nipis sudah menjadi satu kelaziman di Aceh dan hukuman berkenaan dikenakan bukan untuk menyakitkan pelaku, tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada mereka.
Semalam, pihak berkuasa Banda Aceh bertindak menjatuhkan hukuman rotan ke atas lapan orang lelaki di hadapan orang ramai, selepas mereka didapati bersalah terlibat dengan judi.
Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi pada Julai lalu.
Ketika ditahan, polis turut merampas wang tunai sejumlah 1.5 juta rupiah (RM403). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_03/Homoseksual-100-sebatan-diusul#ixzz3DtyC23OQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Identiti 225 mangsa pesawat MH17 dikenal pasti - Belanda


GAMBAR bertarikh 22 Julai lalu, menunjukkan seorang anggota penyiasat dari Malaysia berada di tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 berhampiran kampung Grabove, Donetsk, timur Ukraine. - REUTERS
THE HAGUE 20 Sept. - Kementerian Keselamatan dan Kehakiman Belanda semalam menyatakan, pakar forensik negara ini telah mengenal pasti identiti 225 daripada 298 mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine kira-kira dua bulan lalu.
Jelas kementerian itu, sebanyak 14 lagi mayat mangsa dikenal pasti semalam iaitu tujuh daripadanya adalah warganegara Belanda dan selebihnya rakyat dari pelbagai negara.
"Bagaimanapun, kerakyatan tujuh mangsa dari negara lain tidak akan didedahkan atas permintaan kedutaan terbabit," jelas kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Rusia semalam mengkritik penyiasat antarabangsa berhubung laporan nahas pesawat MH17 dengan mendakwa, siasatan hanya akan menjadi lebih telus sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat sama.
Majlis Keselamatan PBB atas permintaan Rusia mengadakan pertemuan semalam, bagi membincangkan tentang laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang mendakwa pesawat MH17 terhempas disebabkan oleh 'sejumlah objek berkelajuan tinggi' menembusi badan pesawat.
"Laporan awal DSB tidak lengkap dan tidak mengandungi maklumat yang meyakinkan tentang punca sebenar nahas," kata Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin.
Churkin berkata, Moscow percaya ketelusan dan objektif utama siasatan hanya akan dapat dijalankan dengan bantuan serta penglibatan PBB.
Dalam perkembangan sama, Ukraine dan pemberontak pro-Rusia menandatangani satu perjanjian mewujudkan zon bebas tentera dalam konflik perang saudara yang sudah berlanjutan selama lima bulan.
Perbincangan yang berlangsung semalam di ibu negara Belarus, Minsk berakhir dengan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mewujudkan zon berkenaan dengan semua tentera kerajaan dan pemberontak bersetuju untuk keluar dari kawasan terbabit.
Wakil Ukraine dalam perbincangan tersebut, Leonid Kuchma berkata, melalui perjanjian berkenaan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berundur sejauh 15 kilometer dari kawasan perjanjian bagi membentuk zon berkeluasan 30 kilometer. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_02/Identiti-225-mangsa-pesawat-MH17-dikenal-pasti---Belanda#ixzz3DtxplGin
© Utusan Melayu (M) Bhd