Saturday, November 15, 2014

​2.6 juta rakyat M'sia menghidap diabetes tahun ini


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.6 juta rakyat negara ini menghidap diabetes pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam.

Masyarakat, katanya, perlu memandang serius masalah itu supaya dapat mencegahnya lebih awal kerana kos rawatan penyakit diabetes amat tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Hari Diabetes Sedunia 2014 di sini.
- Bernama

Larangan cetak, edar Bible


Isu kalimah ALLAH
SHAH ALAM - Kitab Bible menggunakan kalimah ALLAH yang telah dipulangkan kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) semalam, tidak dibenarkan untuk digunakan ataupun diedarkan di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa berkata, kitab itu hanya dibenarkan digunakan kepada penganut Kristian di Sarawak.

Menurutnya, larangan  tersebut adalah sebagai menghormati pegangan agama serta menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

“Mais menghormati keputusan yang telah dicapai hasil perbincangan mengenai isu pemulangan kitab Bible yang dirampas.

“Kita menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memulangkannya kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS), di Istana Alam Shah, Klang pagi ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bible mengandungi kalimah ALLAH dipulangkan]

Demi menjaga kesucian Islam sebagai agama rasmi negara, beliau mengingatkan jangan ada pihak yang cuba mencetak dan mengagihkan semula kitab seumpama itu di negeri ini.

Beliau berkata, larangan itu selaras dengan Enakmen Agama Bukan Islam (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam) 1988.

Semalam, kesemua 351 Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas awal tahun ini kerana mengandungi perkataan ALLAH telah dipulangkan kepada ACS, selepas berlarutan hampir setahun.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataannya berkata, pemulangan Bible itu dilakukan ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok bertemu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Katanya, pihak terlibat terutamanya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan ACS mencapai satu penyelesaian yang baik dalam isu ini menerusi usaha ikhlas serta keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

Azmin Enggan Ulas Isu Dapatkan Semula RM2.5 Juta


Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 2:47 PM
Mohamed Azmin Ali.

BANGI: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri akan mendapatkan semula wang berjumlah RM2.5 juta yang didakwa diberikan kepada tujuh pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.
“Biar saya dapatkan butirannya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Menteri Besar Incorporated (MBI) diarahkan untuk mengembalikan semula wang tersebut.
Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dari PKR membangkitkan perkara itu menerusi tulisannya di Twitter dengan mendakwa kerajaan negeri tersebut dalam proses mendapatkan semula wang berkenaan.
"Kerajaan Selangor mengarahkan MBI untuk mendapatkan semula RM2.5 juta yang diberikan kepada bekas pembantu TSKI," tulis Dr Xavier di laman Twitternya.

Malah, Dr Xavier turut memberitahu sebuah portal berita pada Jumaat bahawa beliau menerima maklumat berkenaan daripada seorang ahli Exco Selangor yang kononnya ditugaskan untuk mendapatkan semula wang tersebut.

Polis Pantau Taufik, Ada Kaitan Dengan Marwan


Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 9:29 AM
Taufik (kanan) tiba di negara ini, malam Rabu lalu.

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang mahir dalam pembuatan bom, Taufik Abdul Halim kini kembali ke pangkuan keluarganya di Johor selepas dibebaskan dari sebuah penjara di Indonesia.
Lelaki berusia 39 tahun itu dibawa pulang ke Malaysia dari Jakarta dengan menaiki pesawat komersial yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.40 malam Rabu lalu.
Dia dibawa anggota polis Bukit Aman dan kemudiannya disoal-siasat oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.
"Dia kelihatan tenang dan bersyukur kerana dapat kembali ke Malaysia. Dia ditanya jika telah bertaubat daripada perbuatannya sebelum ini," kata sumber yang mendedahkan bahawa Taufik dapat pulang selepas rundingan khas dengan pihak berkuasa Indonesia.
Sumber berkata, Taufik yang dipenjarakan selama 12 tahun atas dakwaan cuba meletupkan sebuah pusat membeli-belah di Jakarta pada 2001, dihantar pulang ke kampung halamannya di Johor.
"Polis akan memantau setiap pergerakannya," kata sumber.
Menurut sumber, terdapat 'kepentingan khas' terhadap Taufik kerana dia adalah adik ipar kepada anggota militan, Zulkifli Abdul Khir atau lebih dikenali sebagai Marwan, individu paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).
Taufik antara 350 bekas anggota JI yang dibebaskan dari penjara Indonesia selepas menerima pengampunan daripada Presiden Joko Widodo.
Walaupun tiada rakyat Malaysia lain di dalam kumpulan tahanan itu, Bukit Aman sentiasa berwaspada bagi memastikan tiada tahanan yang dibebaskan memasuki negara ini.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menahan Taufik bagi menyiasat kes-kes yang pernah dilakukannya di negara ini sebelum ini.
Tegasnya, Malaysia tidak akan dijadikan sebagai pangkalan atau tempat transit untuk pengganas.
Taufik mula dikenali selepas kejadian rompakan di Southern Bank Petaling Jaya pada 2001.
Rompakan bank itu dipercayai untuk mengirim wang kepada kumpulan pengganas di Ambon dan Jakarta.
Sebelum terbabit dalam kegiatan pengganas, Taufik yang merupakan bekas pelajar cemerlang dan pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergiat aktif dalam gerakan tabligh bersama keluarganya.
Bagaimanapun, dia dikatakan terjebak dengan kumpulan pengganas selepas dipengaruhi Marwan.
Taufik pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun.

Ambiga Tidak Dibenarkan Memasuki Sabah


Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 12:09 PM
Ambiga Sreenevasan.

PETALING JAYA: Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dilarang daripada memasuki Sabah.

Beliau dalam rancangan untuk berkunjung ke negeri itu pada 25 November ini sempena program gerakan Negara-ku yang menyaksikannya sebagai penaung.
Namun, Ambiga menerima sepucuk surat daripada Jabatan Imigresen Sabah sekembalinya ke Malaysia dari Hong Kong pada Jumaat lalu yang memaklumkannya tidak dibenarkan memasuki negeri itu.
Surat tersebut merupakan maklum balas kepada surat yang ditulis Ambiga kepada jabatan tersebut pada Selasa yang memaklumkan niatnya untuk berkunjung ke negeri itu.

Pengerusi Bersih 2.0 itu memberitahu sebuah portal berita bahawa dia hanya menulis surat tersebut untuk tujuan formal di samping mengesahkan tiada sekatan terhadap dirinya untuk memasuki Sabah.

"Mereka membalas surat saya dan menolak permohonan tersebut walaupun saya tidak memohon kebenaran untuk memasuki Sabah," katanya seperti dipetik dalam portal tersebut.

Usaha untuk mendapatkan komen Ambiga pada Sabtu tidak berhasil apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Gambar Pesawat Pejuang Didakwa Tembak MH17 Didedahkan


MEDIA Rusia mendedahkan gambar sebuah pesawat pejuang yang didakwa milik Ukraine telah melepaskan tembakan ke arah pesawat awam Penerbangan Malaysia MAS), MH17 pada Julai.
Gambar itu dipercayai dirakamkan oleh satelit British atau Amerika Syarikat yang kemudian didedahkan bagi menyokong dakwaan sebelum ini tentang kewujudan sebuah lagi pesawat berhampiran penerbangan MH17.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, kejadian tersebut mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia.
Pakar di Rusia berpendapat, penerbangan awam itu dipercayai  telah ditembak oleh pesawat pejuang jenis MIG 29 milik tentera Ukraine.

Bagaimanapun, barat pula menyifatkan pesawat pejuang itu merupakan milik puak pemisah pro-Rusia yang menawan Donetsk.
Gambar itu dilapor didedahkan selepas berlaku ketegangan antara Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron dengan pemimpin Rusia, Vladimir Putin di Australia baru-baru ini.

Australia, Britain minta Putin henti 'membuli' negara kecil

CANBERRA: Perdana Menteri Britain, David Cameron hari ini memberitahu Vladimir Putin supaya berhenti daripada menjadi 'pembuli' negara kecil manakala rakan sejawatannya dari Australia, Tony Abbott pula menuduh pemimpin Russia itu cuba menghidupkan semula kehebatan Tsar pada zaman silam.
Presiden Russia itu dijadual tiba di Brisbane untuk Sidang Kemuncak G20 ketika ketegangan di antara negaranya dengan Australia tengah memuncak.
Abbott berkata kemunculan empat kapal ketenteraan Russia termasuk kapal bersenjata dan pemusnah adalah sebahagian daripada "sikap buli" tentera negara berkenaan.
Jumaat lalu, Russia memberi amaran kepada Perancis agar bersedia menghadapi akibat yang serius sekiranya negara berkenaan tidak menghantar kapal perang yang ditangguhkan penyerahannya berikutan krisis Ukraine, menyebabkan mungkin berlaku konfrontasi di antara Russia dengan pemimpin Eropah pada perbincangan G20 kali ini.
Cameron, yang bercakap di Parlimen Australia, memberi amaran kepada Russia bahawa ia menghadapi sekatan lanjutan sekiranya ia tidak komited untuk mencari penyelesaian kepada konflik di Ukraine dan menyifatkan tindakan Russia sebagai "tidak boleh diterima".
Cameron menambah: "Ia adalah sebuah negara besar yang membuli negara lebih kecil di Eropah. Kita sudah lihat akibatnya pada masa lalu dan sepatutnya belajar daripada sejarah dan memastikan ia tidak berlaku lagi."
Perhubungan antara Barat dengan Moscow menjadi semakin tegang sejak penembakan jatuh pesawat Penerbangan Malaysia di wilayah dikuasai pemisah pro-Russia di timur Ukraine Julai lalu, yang mengorbankan 298 penumpang dan kru, termasuk 38 warga Australia. - AFP

Obama sokong pinda perlembagaan beri laluan Suu Kyi bertanding

YANGON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini menggesa Myanmar mengadakan pilihan raya "bebas, adil dan inklusif" serta menyokong usaha pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi untuk meminda perlembagaan yang menghalangnya daripada bertanding jawatan presiden.
Obama mengadakan perbincangan dengan pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu di kediamannya di villa Lakeside di sini, selepas tiba dari ibu negara, Naypyidaw di mana beliau berbincang mengenai proses pembaharuan dengan Presiden Thein Sein.
Bercakap dalam sidang media bersama, beliau memberi amaran bahawa pembaharuan yang dilakukan di Myanmar sejak berakhirnya pemerintahan ketenteraan pada 2011 masih belum lengkap dan tidak boleh berpatah balik.
Obama menyeru agar Myanmar mengadakan pilihan raya "bebas, adil dan inklusif" di mana Suu Kyi dan partinya dijangka bertanding tahun depan.
Suu Kyi, yang dengan secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi presiden, dihalang daripada jawatan tertinggi itu oleh peruntukan di dalam perlembagaan yang melarang pertandingan bagi sesiapa yang mempunyai pasangan hidup atau anak dari negara asing.
Mendiang suaminya dan dua anak lelakinya adalah warga Britain.
Obama memberitahu pemberita bahawa proses pindaan itu perlu berbentuk inklusif dan bukan ekslusif.
"Saya tidak memahami adanya peruntukan yang menghalang seseorang daripada bertanding presiden dengan melihat siapa anaknya," katanya.
Parti Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD) dijangka akan menyapu bersih pilihan raya yang akan diadakan pada penghujung 2015.
Beliau menyifatkan peruntukan di dalam perlembagaan itu sebagai "tidak adil dan tidak demokratik".
Isu berkenaan kini sedang dibahas di Parlimen di mana 25 peratus kerusi adalah berpihak kepada tentera. - AFP

ADUN Pinang Tunggal digantung sehari daripada sidang DUN


Oleh Faridzwan Abdul Ghafar Dan Anis Nabilla Md Wasilah
GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin sebentar tadi digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang selama satu hari.
Usul penggantungan berkenaan dikemukakan Ketua Menteri yang juga ADUN Air Putih, Lim Guan Eng mengikut sub Peraturan 10B (1) Majlis Mesyuarat DUN dan keputusan usul yang diluluskan pada 11 Disember 2013 atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati dan menyentuh peribadi seseorang.
Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ADUN dan Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Roslan digantung daripada menghadiri sidang DUN yang berikutnya.
Julai tahun lalu, Roslan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa tiga doktor berketurunan Cina enggan merawat pesakit Melayu di Hospital Kepala Batas.

Hampir 5 juta penduduk di Mali kelaparan

NEW YORK: Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, faktor kemarau berpanjangan, hasil pertanian merosot dan konflik politik di Mali menyebabkan kira-kira 4.75 juta penduduknya kini tidak mempunyai makanan yang mencukupi.
Selain itu, hampir setengah juta kanak-kanak di negara ini akan berdepan dengan masalah kekurangan makanan seimbang atau malnutrisi yang teruk menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Kecemasan UNICEF, Afshan Khan, berkata kadar kekurangan makanan seimbang di Mali kini bersaing dengan negara dalam krisis seperti di Selatan Sudan dan Semenanjung Afrika.
Pengarah Operasi Kemanusiaan PBB, John Ging, pula memberi amaran tanpa peruntukan tambahan pihaknya menjangkakan keadaan itu bertambah buruk.
Mengikut penilaian Ging pada Jun lalu, hampir 500,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun kini berisiko tanpa makanan seimbang dan berzat manakala 1.5 juta penduduk berdepan dengan kehidupan tanpa makanan. - AP

Russia tuntut Perancis serah kapal perang


Moscow: Russia semalam memberi amaran kepada Perancis mengenai kesan serius yang akan berlaku kecuali Paris tidak menyerahkan kapal perang yang ditempahnya menjelang akhir bulan ini.
Penyerahan kapal perang kelas Mistral itu ditangguhkan kerana kebimbangan mengenai pembabitan Moscow dalam krisis di Ukraine.
“Kami menyediakan pelbagai senario. Kami menanti hingga akhir bulan ini sebelum mengemukakan tuntutan serius,” lapor agensi berita Ria Novosti, memetik satu sumber peringkat tinggi di Moscow.
Kapal pertama daripada dua kapal pengangkut helikopter itu sepatutnya diserahkan semalam, menurut perjanjian asal yang ditandatangani pada 2011.
Russia membeli kedua-dua kapal berkenaan dengan harga AS$1.5 bilion (RM5 bilion).
Bagaimanapun, ekoran krisis Ukraine dan kemerosotan mendadak hubungan Barat dengan Russia, Perancis berdepan dengan tekanan daripada sekutunya, khususnya Amerika Amerika Syarikat untuk menunda penyerahan kapal berkenaan.
Sumber Moscow itu berkata, pakarby kini menilai kesan yang ditanggung oleh Russia akibat penundaan itu dan ia akan diumumkan secara terbuka.
“Jumlah itu tidak akan dirahsiakan,” kata sumber itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9168#sthash.t9uPZpRk.dpuf

Pengasas Alibaba kurang senang disebut paling kaya

Beijing: Pengasas Alibaba, Jack Ma berkata, dia tidak bahagia menjadi lelaki paling kaya di China.
Dalam satu wawancara dengan CNBC baru-baru ini, Ma berkata: “Forbes menyatakan saya lelaki paling kaya di China. Ia sungguh menyakitkan. Apabila kamu kaya, orang lain mengelilingi kamu hanya kerana wang.”
Menurutnya, orang ramai kini melayani dia sebagai selebriti, bukan lagi sebagai usahawan.
“Saya mahu menjadi ahli perniagaan yang dihormati,” katanya.
Ma berkata, dia tidak menjangka Alibaba akan berjaya seperti sekarang. Dia juga tidak sangka akan menjadi kaya raya menerusi syarikat yang diasaskannya.
Tidak lama selepas Alibaba mencatatkan rekod menerusi tawaran sahamnya pada September lalu, bilionair berusia 50 tahun itu, buat kali pertama termasuk dalam senarai Forbes selaku antara orang paling berpengaruh di dunia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:03 AM


JACK Ma
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9175#sthash.lRZ13nRy.dpuf

Genius komputer berusia lima tahun


Pada usia hanya lima tahun 11 bulan, Ayan Qureshi menjadi individu
Pada usia hanya lima tahun 11 bulan, Ayan Qureshi menjadi individu termuda di dunia memiliki Sijil Profesional Microsoft. – AGENSI
LONDON 14 Nov. – Seorang kanak-kanak Britain kelahiran Pakistan menjadi individu termuda di dunia yang memiliki kepakaran dalam bidang komputer selepas lulus dalam peperiksaan kursus Teknologi Maklumat (IT) Microsoft pada usia lima tahun 11 bulan.
Menurut laporan Mail Online, kanak-kanak tersebut, Ayan Qureshi yang kini berusia enam tahun, mengambil peperiksaan itu yang kebiasaannya dijalani oleh golongan belia dan jurutera IT di Universiti Birmingham City di England pada September lalu, walaupun pada mulanya dia tidak dibenarkan mengambil ujian berkenaan.
Bagaimanapun selepas lima bulan dilatih oleh bapanya, Asim, Ayan membuktikan kemampuannya apabila melepasi ujian Supporting Windows 8.1 yang membabitkan pengetahuan tentang perkakasan, perisian dan sistem operasi komputer hanya dalam tempoh dua jam.
Malah pencapaian Ayan berjaya memadamkan rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh Mehroz Yawar dari Pakistan ketika berusia enam tahun apabila melepasi ujian terbabit, sekali gus memegang gelaran individu termuda di dunia memiliki Sijil Profesional Microsoft.
Ayan mula diperkenalkan tentang dunia komputer pada usia tiga tahun oleh bapanya dan kanak-kanak itu tidak menghadapi masalah untuk mempelajari bidang berkenaan dengan cepat.
Asim berkata, anaknya sangat berminat dengan bidang komputer dan memahami dengan pantas apabila diterangkan tentang perkakasan, perisian dan cara memasang program.
“Saya menunjukkan cara memasang perisian Windows dan memutuskan untuk menghantar dia mengambil peperiksaan tersebut.
“Pada mulanya bukan mudah untuk mengajar dia pada setiap hari, tetapi dia berjaya membuktikan kebolehannya yang sebenar,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/genius-komputer-berusia-lima-tahun-1.24660#sthash.HBKdYB3o.dpuf

Cegah Ebola, Liberia guna khidmat bomoh


Joko Moses Kuyon mendakwa, wabak Ebola adalah satu sumpahan daripada
Joko Moses Kuyon mendakwa, wabak Ebola adalah satu sumpahan daripada tuhan dan nenek moyang mereka. – AGENSI
BONG COUNTY, Liberia 14 Nov. - Liberia mengambil langkah luar biasa untuk memerangi penularan wabak maut Ebola dengan menggunakan khidmat bomoh.
Mail Online melaporkan, dalam satu rakaman video, bomoh tradisional, Joko Moses Kuyon mendakwa, Ebola adalah satu sumpahan daripada tuhan dan nenek moyang mereka kerana marah dengan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh penduduk di Afrika.
Kuyon yang juga dikenali sebagai ‘lelaki suci’ berkata, hanya doa, herba dan tembakau dapat menyelamatkan berjuta-juta penduduk Afrika terutamanya di tiga buah negara terjejas teruk iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea daripada wabak berkenaan.
“Virus ini dapat dipulihkan melalui rawatan tradisional. Perkara tersebut ada kaitan dengan dosa kita kepada tuhan dan kemarahan tuhan atas tingkah laku kita.
“Saya akan menghubungi nenek moyang kita dan meminta mereka untuk sampaikan mesej kepada tuhan supaya ampunkan segala dosa kita,” jelas Kuyon dalam rakaman video berdurasi 36 saat itu.
Kuyon yang mempunyai berpuluh-puluh ribu pengikut merupakan seorang daripada jutaan penduduk yang terganggu dengan wabak tersebut dan berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala.
Dalam pada itu, seorang paderi yang dikenali sebagai Idris Wright Samura turut sependapat dengan Kuyon yang menyifatkan Ebola sebagai sumpahan daripada tuhan.
“Penduduk Afrika gemar minum arak dan jarang mendekatkan diri dengan tuhan serta sering melibatkan diri dalam penggunaan ilmu sihir.
“Wabak Ebola adalah kuasa jahat yang perlu ditangani dengan kuasa rohani dan hanya tuhan sahaja dapat menyembuhkan penyakit itu,” ujarnya lagi.
Sehingga kini lebih 5,000 orang terkorban akibat daripada wabak Ebola di seluruh dunia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cegah-ebola-liberia-guna-khidmat-bomoh-1.24665#sthash.dFz93NCa.dpuf

Ada pesawat lain berhampiran MH17

MOSCOW 14 Nov. - Firma keselamatan udara Rusia hari ini tampil mendedahkan maklumat baharu radar yang menunjukkan terdapat pesawat lain terbang berhampiran kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) MH17 ketika jet penumpang itu ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.
Laporan agensi berita Rusia, RT yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan Penerbangan, Sergey Melnichenko berkata, terdapat satu atau dua pesawat dipercayai milik tentera berdekatan MH17 dikesan sebelum dan kira-kira 20 minit selepas tragedi itu.
Menurut Melnichenko, maklumat radar berkenaan dikumpul pada hari kejadian oleh stesen radar yang terletak di Rostov, Rusia, dekat sempadan Ukraine.
“Data terbabit jelas menunjukkan ketika pesawat MH17 terhempas dan selepas kejadian, ada pesawat lain terbang ke arah utara di laluan yang sama.
“Pesawat berkenaan kelihatan seperti pesawat tentera kerana jaraknya sangat rapat antara satu sama lain, sekali gus meningkatkan kemungkinan terdapat satu atau dua jet tempur di situ,” katanya.
Selain itu, Melnichenko berkata, bukti lain yang menunjukkan pesawat terbabit adalah milik tentera kerana mereka tidak bertindak-balas apabila diimbas oleh radar, berbeza dengan pesawat awam yang sering membalas isyarat.
Jelasnya, pesawat tentera kebiasaannya tidak dilengkapi alat elektronik pemancar isyarat atau juruterbang memadamkan sistem berkenaan semasa pertempuran di udara.
“Data baharu ini juga konsisten dengan kenyataan tentera Rusia sebelum ini yang menafikan penglibatan dengan tragedi MH17 dan kemungkinan pesawat tempur itu sengaja menembak jatuh pesawat penumpang itu,” katanya.
Beberapa hari selepas tragedi MH17, Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan bukti bahawa sebuah jet tempur Ukraine jenis Sukhoi SU-25 dikesan terbang menghampiri kapal terbang penumpang itu sebelum ditembak jatuh.
Kiev menafikan dakwaan itu dengan alasan tidak mengerahkan mana-mana jet tempur melakukan penerbangan, tetapi pihak tentera secara rutin melancarkan serangan untuk menggempur kedudukan puak pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ada-pesawat-lain-berhampiran-mh17-1.24668#sthash.v4v4Dxsz.dpuf