Saturday, February 11, 2012

Kematian Osama bin Laden dipermainkan


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Kematian Osama bin Laden dipermainkan

SALT LAKE CITY - Kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden telah dipermainkan sebuah syarikat penerbitan tidak bertanggungjawab di Utah selepas mereka menerbitkan filem zombi (mayat berjalan) menggunakan watak beliau.

Filem berjudul Osambie: The Axis of Evil Dead itu memaparkan pertempuran antara Unit Angkatan Khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan kumpulan militan zombi di kawasan gurun diketuai oleh Osama yang kononnya bangkit dari kematiannya.

Pengarah eksekutif, Kynan Griffin berkata, skrip tersebut telah dihasilkan sebelum Osama dibunuh pada Mei lalu.

Ia turut menggunakan tagline 'Bin Laden Will Die Again' (Osama akan mati sekali lagi) yang dianggap biadab dan dilihat bakal mencetuskan kemarahan orang Islam.

Sementara itu, sebuah lagi filem kontroversi arahan Kathryn Bigelow yang berkisar mengenai operasi memburu Osama juga akan diterbitkan walaupun menerima kritikan banyak pihak kerana ia secara terang mendedahkan misi rahsia Agensi Penyiasatan Pusat (CIA).

Kematian Osama bin Laden dipermainkan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Malang akibat suami dijel


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Malang akibat suami dijel

KOTA BHARU - Seorang ibu kini hidup tertekan untuk menyara lima anak selepas suaminya ditahan polis Jumaat lalu dipercayai mencederakannya.

Lebih memeritkan Rohana Abdullah, 40, mendakwa dirinya juga sering kali dipukul oleh suaminya sepanjang 10 tahun lalu, kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga membesarkan anak-anaknya.

Rohana berkata, hidupnya semakin tertekan kerana dia sebatang kara perlu bekerja mencari wang untuk membesarkan anak-anaknya berusia tiga hingga 17 tahun termasuk menjaga seorang cucunya, Nor Safira Abdullah yang berumur tiga tahun.

“Sebelum ini, saya terpaksa menyerahkan RM15 hingga RM20 setiap hari kepada suami dan penahanan suami saya juga disebabkan dia mencederakan muka saya dengan menggunakan wang yang dibakarnya setelah berlaku pertengkaran ketika dia meminta duit daripada saya untuk perbelanjaan dirinya.

"Sekarang, setelah dia ditahan saya perlu menanggung semuanya sendiri dan saya mengambil peluang menjual satar di Wakaf Che Yeh supaya anak-anak tidak berlapar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Nasib malang yang dialami Rohana bukan sahaja ditanggung sendiri, tetapi tiga anaknya Wan Mazwan Idayu, 17, Wan Maizatul Amira, 16 dan Wan Maznira, 11, yang trauma dengan kejadian menimpa ibunya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dua bulan lalu.

Rohana berkata, anak-anaknya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana sering melihat dia dan suami bergaduh.

Dalam pada itu, kisah hidup Rohana yang perlu membayar sewa rumah dan termasuk bil elektrik berjumlah RM150 sebulan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Skuad Sayang Parlimen Pengkalan Chepa.

Pengarah JKM Negeri, Md Noor Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendaftarkan semula persekolahan ketiga-tiga anak tersebut termasuk menambahkan jumlah bantuan bulanan.

Malang akibat suami dijel - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saudi beli senjata nuklear jika Iran uji bom atom


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012

LONDON - Arab Saudi akan bertindak cepat untuk mendapatkan senjata-senjata nuklear jika Iran berjaya melakukan ujian bom atom, demikian menurut satu laporan media Barat.

Dengan merujuk kepada sumber-sumber Arab Saudi yang tidak didedahkan identiti mereka, akhbar The Times berkata, negara itu akan berusaha untuk membeli senjata nuklear dan juga memulakan program-program memperkaya uranium jika Iran berjaya dalam usaha melakukan ujian bom atom.

Malah menurut akhbar itu, kemungkinan besar Pakistan akan membekalkan senjata nuklear kepada Arab Saudi.

Pegawai-pegawai Barat menyedari sudah wujud persefahaman antara negara-negara terbabit untuk mengambil langkah itu sekiranya situasi di Teluk Parsi semakin memburuk.

Bagaimanapun Pakistan dan Arab Saudi menafikan kerjasama sedemikian.

Iran, yang berpegang kepada amalan Syiah manakala Arab Saudi pula Sunah, dilihat sebagai dua pesaing di rantau Teluk.

Laporan The Times, yang dipetik AFP dan msnbc, menggambarkan sumber kepada beritanya sebagai seorang pegawai kanan Arab Saudi.

Bagaimanapun ia tidak memberi butiran terperinci mengenai aspek itu.

Saudi beli senjata nuklear jika Iran uji bom atom - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Israel-Palestin: Haram terima negara haram, kata Pas


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012

SHAH ALAM - Pas menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."

Sehubungan itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.

Beliau melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.

Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.

Menulis di blognya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.

"Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh," katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah.

Katanya, Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka.

Malah katanya, sejarah membuktikan hanya pemimpin Islam dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.

Menurut Abdul Hadi, negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi.

"Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua bagi mengotakan Perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh Yahudi, sejak Perang Dunia Pertama lagi.

"Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia.

Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka," katanya lagi.

Abdul Hadi juga berkata, negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka.

Katanya, bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh.
"Haram menerima kewujudan negara haram," katanya.

Israel-Palestin: Haram terima negara haram, kata Pas - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hijrah Ana Raffali demi Muslimah sejati


NURUL NAZRAH NAZARUDIN
11 Februari 2012
Ana Raffali

Terkenal trademark berbaju kurung atau kebaya ketika mengadakan persembahan, penyanyi, Ana Raffali, yang sebelum ini tampil imej sopan kini semakin ayu apabila mengenakan hijab.

Pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku ini membuat keputusan untuk bertudung litup pada sambutan Maulidur Rasul lalu.

Menganggap penghijrahannya itu bukan satu percubaan atau trend, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, menyifatkan keinginan bertudung lahir daripada hatinya sendiri.

Tambahnya, keputusan yang dibuat itu bukan disebabkan desakan keluarga atau orang terdekat, tetapi ia atas keinginan menjadi Muslimah lebih baik.

“Soal bertudung ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main dan juga bukan merupakan percubaan atau fesyen. Ia timbul atas keinginan untuk cuba menjadi Muslimah lebih baik.

“Alhamdulillah, keputusan saya untuk bertudung menerima sokongan daripada keluarga dan orang terdekat.

“Malah, saya sudah mula mengenakan tudung semasa mengedarkan kad jemputan kahwin kepada bekas pensyarah di universiti. Jadi, keluarga mahupun bakal suami tidak terkejut dengan keputusan itu,” katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari ini.

Mengaku pernah berkongsi hasrat mengenakan tudung kepada ibunya, Ana berkata, keluarga dan bakal suaminya, Aznaim Abdullah, 30, tumpang gembira dengan perubahan dilakukan.

Menurutnya, sukar menggambarkan perasaannya ketika itu tatkala ‘seruan’ untuk penghijrahan tersebut berlaku.

“Apa yang boleh saya katakan adalah timbulnya satu dorongan atau keinginan yang begitu kuat untuk mengenakan hijab sewaktu tengah hari ketika saya hendak keluar makan,” katanya yang ketika itu berada di studio bagi menyiapkan kerja-kerjanya.

Penyanyi yang berusia 27 tahun ini juga berhasrat mendalami lebih banyak ilmu agama selepas ini.

Berpendapat setiap insan akan melalui fasa peralihan dalam kehidupan mereka, Ana bersyukur menerima sokongan daripada bakal suaminya untuk berhijrah ke arah kebaikan.

“Sebelum ini pun, saya dan bakal suami sering berbincang mengenai perkara berilmiah bagi melengkapkan diri kami dengan ilmu.

“Insya-Allah selepas berkahwin, kami masing-masing akan terus mendalami ilmu agama bagi melengkapkan diri dan cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya yang semakin sibuk menyediakan persiapan untuk perkahwinan.


Debaran bergelar isteri

Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk melangkah ke fasa baru dalam hidupnya. Bagaimanapun, Ana berharap segala perancangan untuk hari tersebut berjalan lancar.

Mengaku berdebar menunggu tarikh 25 Februari ini, Ana bersyukur kerana dibantu keluarga dan rakan terdekat dalam menyiapkan urusan perkahwinan.

“Alhamdulillah, persiapan majlis setakat ini berjalan lancar. Saya lebih tertumpu kepada persiapan hantaran untuk diberikan kepada bakal suami,” katanya yang menyediakan sembilan dulang hantaran dengan warna tema perak putih untuk diberikan kepada pihak lelaki.

Mengambil keputusan untuk tidak bersanding, pasangan ini memilih untuk diraikan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.

Hijrah Ana Raffali demi Muslimah sejati - Hiburan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pemuda Pas buat laporan terhadap Hasan Ali


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohamed Ali ekoran kenyataan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu, yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Laporan polis itu merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah di Bandar Baru Bangi, 31 Januari lalu.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, ucapan itu sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci Pas serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Hasan dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik. Pemuda Pas juga mendakwa Hasan berkata DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.

Raja Ahmad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

"Kalau ia tidak benar, dia (Hasan) kena nafikanlah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad dipetik organ Pas.

Pemuda Pas buat laporan terhadap Hasan Ali - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Alasan Hasan tunjuk kelemahan diri


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali

SHAH ALAM - Sembilan alasan dikemukakan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk tidak membuat rayuan pemecatan daripada Pas, menunjukkan kelemahannya kepada umum.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, alasan Hasan mendakwa pemecatannya berdasarkan peranan parasit, menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu tidak menghormati keputusan Muktamar dan ahli Pas.

“Pemecatan Hasan dari parti diputuskan oleh pimpinan tertinggi seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas Pusat) dan pimpinan lain. Beliau seolah-beri gambaran Datuk Seri Abdul Hadi tidak boleh berdepan dengan pemimpin lain sehingga dikuasai parasit,” katanya, di pejabatnya, di sini, semalam.

Khalid berkata, kenyataan Hasan mendakwa tidak menerima surat atau pesanan berhubung pertuduhan terhadapnya adalah palsu, kerana bekas Pesuruhjaya Pas itu pernah diberikan amaran tidak mempunyai pendirian bercanggah dengan Pas dan Pakatan Rakyat (PR), sebelum ini.

“Amaran itu tetap berkuat kuasa, beliau sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar terhadap Pas kepada media. Tindakan melampaunya itu menyebabkan beliau dipecat atas desakan anggota Pas sendiri.

“Bagaimana Hasan kata beliau berpegang teguh dengan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), sedangkan sehari selepas itu, beliau mendakwa Pas tersasar dari landasan dan meminta Harakah Daily jangan menipu kerana dia tidak pernah meminta maaf,” katanya.

Walaupun Hasan kerap kali meminta kedudukan Pas dalam PR dikaji semula, Khalid mendakwa, ia disebabkan perasaan tidak puas hati Hasan yang gagal mencapai hasrat untuk menjadi Menteri Besar.

Beliau berharap, semalam adalah kali terakhir pihaknya bercakap mengenai Hasan.

Alasan Hasan tunjuk kelemahan diri - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Majlis Fatwa diminta respons 'fatwa' Harussani


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
 Tan Sri Harussani Zakaria

SHAH ALAM - Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.

Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.

"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Menurut laporan media semalam, Harussani melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves. Najib juga pernah hadir samputan Thaipusam sebelum ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun, namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka. Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya.

Ismail yang yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, beliau tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menggadaikan akidahnya dengan menghadiri perayaan Thaipusam.

Justeru soal beliau, "menggadai akidah adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?"

Katanya, "kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggungjawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini."

Tambah beliau, hal yang berhubung dengan akidah bukan perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.

"Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan menggadaikan akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu," ujar beliau.

Malah katanya, hal itu perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.

"Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini," katanya lagi.

Majlis Fatwa diminta respons 'fatwa' Harussani - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nasrudin: Saya tiada 'bisnes' dengan Hasan Ali


ZULAIKHA ZULKIFLI
11 Februari 2012
Nasrudin Hasan

GOMBAK - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, beliau tidak lagi bersama Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, malah tidak ambil peduli terhadap tindak tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mendakwa Dewan Pemuda Pas berada di belakang dan menyokong tindakan-tindakan diambil Hasan.

Nasrudin berkata, setelah Hasan dipecat dan tiada rayuan dibuat, beliau menganggap bekas Exco Selangor itu sebagai orang luar yang tiada kena-mengena dengan Pas.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari dan minggu lalu, beliau mengumumkan tidak akan membuat rayuan.

"Saya difahamkan sebelum ini dalam 'roadshow' beliau, Hasan ada berkata yang Pemuda berada di belakangnya, menyokongnya. Di sini saya nak tegaskan bahawa saya tak bersama beliau selepas dia keluar Pas dan dia tidak kemuka rayuan. Saya tak bersama beliau," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, walaupun terdapat beberapa kenyataannya sebelum ini yang didakwa menyebelahi Hasan, ia disebabkan Adun Gombak Setia itu masih lagi ahli Pas.

"Pemuda sejak awal lagi konsisten perjuangkan Islam. Kita tak pernah menyeleweng seperti yang didakwa dia (Hasan) yang mengatakan Pas kini mengabaikan perjuangan. Dari segi penubuhan negara kebajikan, kita cuma memperhalusi pendekatan dan perbaharui tindakan yang sesuai mengikut suasana. Itu perkara biasa.

"Mungkin bila kita ubah nama dari negara Islam kepada negara kebajikan, dia mengatakan kita sudah abai perjuangan. Sebenarnya tidak ada beza pun. Negara kebajikan ialah membina negara Islam," tegasnya.

Nasrudin: Saya tiada 'bisnes' dengan Hasan Ali - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Isa guna RM353,000 wang Felda buat rumah terbuka?

Hazayani Zakaria,
11 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menyalahgunakan wang Felda sejumlah RM353,375 bagi mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, September tahun lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, Isa tidak mengadakan rumah terbuka di Ibu Pejabat Felda seperti kebiasaannya, sebaliknya memilih untuk mengadakannya di kediamannya di Port Dickson.

"Sepatutnya Felda mengadakan rumah terbuka di ibu pejabatnya dengan kos lebih kurang RM30 ribu.

"Tapi Tan Sri Isa buat di kediaman sendiri. Jadi sudah tentu memerlukan peruntukan yang banyak untuk tujuan pengangkutan dan sebagainya, dan dia guna duit Felda, sudah tentu duit peneroka," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Selain itu, turut dipersoal isteri Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga mengadakan rumah terbuka, juga menggunakan duit Felda.

Kos rumah terbuka tersebut mencecah RM17,875 dan diadakan di Taman Fatimah, Kuala Pilah.

"Apa gunanya isteri dia buat rumah terbuka guna anam sendiri dan peruntukan Felda? Sepatutnya cukuplah pengerusi Felda sahaja yang buat," katanya.

Sehubungan itu, Anak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

"Kami akan buat laporan ke SPRM dan SPRM dapat menyiasat perkara ini," katanya.

Isa guna RM353,000 wang Felda buat rumah terbuka?:

'via Blog this'

Aset udara APMM tersadai


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Akibat apa yang didakwa sebagai 'ketirisan' dan kelemahan pentadbiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lima daripada lapan aset udara pihak berkuasa itu kini tersadai ibarat gajah putih.

Menurut sumber, selain masalah penggantungan operasi aset udara, sepasukan petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah beberapa kali melakukan pemeriksaan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya berkaitan 'Bayaran Insentif Penerbangan' kepada anak kapal yang tidak berkelayakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kelemahan itu antara lain menyebabkan dua pesawat amfibia agensi berkenaan iaitu Bombardier CL415MP dihentikan operasi sejak Disember 2010 manakala tiga helikopter AgustaWestland AW139 berhenti beroperasi mulai September 2011.

Katanya, penghentian operasi kelima-lima aset itu secara tidak langsung menjejaskan keupayaan Cawangan Udara agensi tersebut.

"Kelemahan itu antara lain menyaksikan aktiviti penyelenggaraan AW139 masih dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang belum memperoleh status kelayakan menyelenggara dan Certificate Of Airworthiness pesawat berkenaan digantung.

"Jika masalah kelemahan selenggara, pengurusan pesawat dan sumber manusia APMM tidak diambil perhatian oleh pihak berkuasa, ia dikhuatiri akan berterusan dan sengaja dimanipulasikan oleh pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sumber tersebut menambah, APMM gagal menggerakkan kelima-lima pesawat itu kerana kontrak penyelenggaraan asal syarikat yang dilantik, AJ Aviation Services Sdn. Bhd. dan AgustaWestland telah dihentikan.

Katanya, berdasarkan bilangan pesawat yang kecil dan usia yang masih baru, APMM dan negara secara amnya hanya mempunyai beberapa orang kapten pesawat yang berkelayakan bertugas dalam semua keadaan cuaca pada bila-bila masa.

Katanya, dua jurulatih pesawat helikopter agensi itu dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan tamat tempoh pada pertengahan tahun ini manakala satu-satunya jurulatih penerbangan agensi itu dirancang ditukar ke bahagian lain.

"Pembangunan modal insan turut terjejas di mana pelatih-pelatih penerbangan gagal menamatkan latihan walaupun kos latihan telah dijelaskan kerajaan akibat daripada kelemahan pemantauan dan pengurusan oleh pihak berkaitan," dakwanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Amdan Kurish ketika dihubungi mengakui pihaknya mempunyai sedikit masalah berhubung penyambungan kontrak penyelenggaraan pesawat itu yang kini dalam peringkat akhir perbincangan.

Kerana masalah itu katanya, kelima-lima aset udara tersebut tidak dibenarkan untuk beroperasi atas faktor keselamatan selari dengan amalan dan arahan kerajaan.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua aset tersebut dijangka kembali beroperasi selepas segala prosedur penyambungan kontrak itu diselesaikan dalam masa terdekat ini.

"Mengenai SPRM pula, ia bukannya siasatan tetapi mereka meminta kerjasama kami menyediakan beberapa dokumen mengenai perkara tertentu, saya tidak pasti kerana baru pulang daripada bercuti," katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Hilmi dibawa pulang selepas proses undang-undang



Hilmi Hazimin


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Hilmi Hazimin Malek yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia hanya akan dibawa pulang ke negara ini untuk siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong, selepas lelaki itu selesai menjalani proses undang-undang di negara jiran itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki itu perlu melalui proses pendakwaan dan hukuman di Indonesia sekiranya disabitkan kesalahan memiliki dokumen palsu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat laporan penuh daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung status siasatan kes lelaki berkenaan.

"Apabila polis di negara itu sudah mengesahkan sama ada dia didakwa, dikenakan tindakan undang-undang dan kemudian dia dibebaskan barulah kita mengambil tindakan membawa pulang Hilmi untuk siasatan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1433 Hijrah Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai 'Azmin Helmi', 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

Diminta mengulas berhubung kes penyelewengan pengeluaran tender projek baik pulih Muzium PDRM yang didakwa melibatkan anggota pasukan itu, beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati ia dilakukan oleh pihak luar.

"Setakat ini, kita ada terima laporan tahun lepas dari seorang mangsa yang dijanjikan akan memperoleh tender namun, tidak melibatkan mana-mana anggota PDRM.

"Mangsa yang merupakan individu bukan di kalangan anggota PDRM itu dijanjikan akan mendapat kontrak mengubah suai muzium itu namun, sebaliknya dia telah ditipu," katanya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa seorang pegawai dan seorang anggota PDRM yang bertugas di muzium berkenaan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan tersebut.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Polis minta Raja Petra kemuka bukti


KUALA LUMPUR 10 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta Raja Petra Kamarudin yang mendakwa bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Patrick Wong Kie Yik mungkin mati di tangan pembunuh upahan agar mengemukakan bukti bagi membantu siasatan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya percaya kematian Patrick adalah berpunca daripada kes samun sebelum bertukar menjadi pembunuhan.

Beliau berkata, siasatan kes itu turut menolak kaitan kematian Patrick dengan penyelewengan pasir di Selangor seperti didakwa Raja Petra yang juga pengendali portal berita Malaysia Today, kelmarin.

Menurut beliau, polis sehingga kini telah menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian Patrick dan memburu dua lagi.

“Lelaki itu sudah lama ditahan dan berada di Pusat Tahanan Simpang Renggam untuk siasatan lanjut, namun dia belum didakwa memandangkan polis masih mengesan dua lagi individu terbabit.

“Kita masih mempunyai masa untuk melakukan siasatan ke atas lelaki itu sama ada ia terlibat dalam kes bunuh atau lain-lain kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1433 Hijrah Peringkat PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Kelmarin, Raja Petra mendakwa Patrick mati dibunuh bagi menutup kes penyelewengan pasir di Selangor sebelum muncul dengan pendedahan baharu, dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari terlibat dalam skandal rasuah pasir di negeri itu.

Dakwaan pembabitan Shuhaimi dalam skandal tersebut turut disertakan dengan transkrip perbualan telefon antara Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda itu dan wakil sebuah syarikat kontraktor pasir.

Ditanya sama ada akan menjalankan siasatan sekiranya Raja Petra tampil membuat laporan polis berhubung kes bunuh itu, Khalid berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat baru.

“Jika ada maklumat baru yang dapat menunjukkan bahawa kes itu berkaitan dengan isu pasir yang dinyatakan, berilah kepada kita dan kita akan teruskan siasatan.

“Sekiranya dia (Raja Petra) mengetahui apa jua maklumat berhubung kes itu sepatutnya dia membuat laporan polis. Kalau dia buat andaian itu andaian ini, ia hanya menyusahkan tugas polis,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Enjin terbakar setelah 29 hari kereta dibeli


SETIAP individu mengimpikan sebuah kenderaan yang terbaik dan selamat tanpa mengira sama ada ia model baharu atau terpakai bagi memudahkan urusan harian masing-masing.

Namun tidak semua individu bernasib baik dengan memiliki kereta terpakai dalam keadaan yang 'tip top' kerana ada antara mereka terpaksa berdepan pelbagai risiko kerosakan termasuk enjin terbakar semasa digunakan.

Itulah yang dihadapi seorang penyelia sebuah syarikat swasta di Singapura, M. Gdp Sundhararao, 35, apabila kereta Toyota Estima berharga RM100,000 yang dibelinya pada 2 Ogos tahun lalu terbakar semasa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Labis.

Kejadian didakwa berlaku pada 1 September 2011 atau 29 hari selepas kereta itu dibeli iaitu ketika dia bersama keluarganya sedang dalam perjalanan bagi menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Labis.

Malang tidak berbau apabila setibanya di Kilometer 50 berhampiran Simpang Renggam, kereta yang dipandunya itu mengeluarkan bunyi bising di bahagian enjin.

Risau dengan keadaan itu, dia segera memberhentikan kenderaan tersebut dan apabila dibuka, api mula keluar dari bahagian kiri enjin. Dia cuba memadamkan api itu dengan dibantu oleh pemandu-pemandu lain yang prihatin.

"Apa yang saya kesal adalah apabila saya menghubungi syarikat kenderaan Hin Kee Motor Enterprise tempat saya membeli kereta itu, mereka tidak mahu datang ke tempat kejadian bagi memberi bantuan, sebaliknya bertanya kepada saya kenapa mereka perlu datang.

"Kereta itu kemudian dihantar ke bengkel panel insurans untuk tujuan baik pulih dan mendapati ia memang berpunca daripada bahagian dalaman enjin," katanya.

Wanita itu meluahkan rasa tidak puas hati kerana semasa membeli kenderaan itu, pihak syarikat memberitahu enjin kereta berada dalam keadaan baik dan apabila masalah berlaku mereka enggan bertanggungjawab.

Kesal dengan apa yang berlaku, Sundhararao membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor Bahru dan kes tersebut didengar oleh Presidennya, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh baru-baru ini.

Pada prosiding tersebut, Pengurus Hin Kee Motor Enterprise, Lew Sin Fatt memberikan alasan kenderaan itu terbakar kerana berpunca daripada kerosakan pendawaian yang terdapat dalam kenderaan itu.

Alasan itu bagaimanapun tidak diterima oleh Mohd. Nasrim memandangkan pihak syarikat itu tidak hadir ke tempat kejadian semasa kenderaan itu terbakar sambil menyifatkan alasan itu sebagai rekaan semata-mata.

Mohd. Nasrim kemudian memerintahkan syarikat itu membayar pampasan sebanyak RM4,864 kepada Sundhararao sebagai bayaran terhadap kerugian yang ditanggung oleh wanita tersebut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Tangan Zulhafiz perlu dipotong



Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani akan kehilangan tangan kiri jika dipotong ekoran kanser tulang.


KUANTAN 10 Feb. - Akibat menghidap kanser tulang tahap kritikal, ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, tidak boleh dibedah melainkan tangan kirinya dipotong bagi memulihkan penderitaan yang sedang ditanggung pemuda malang tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nooraini Baba berkata, Mohd. Zulhafiz yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hanya diberikan rawatan paliatif yang bertujuan mengurangkan kesakitan yang dihadapi pemuda itu.

"Rawatan paliatif ini kita berikan kepada pesakit yang menghidap kanser tahap kritikal yang tidak ada rawatan bagi memulihkan penyakit itu. Ia rawatan terakhir yang mana kita akan beri ubat tahan sakit yang dosnya di tahap paling tinggi bagi mengurangkan kesakitan Mohd. Zulhafiz.

"Tidak ada pembedahan akan dilakukan kerana Mohd. Zulhafiz telah melakukan rawatan sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pelbagai rawatan termasuk kemoterapi telah dibuat dan sehingga kini keadaannya masih sama kerana Mohd. Zulhafiz menghidap kanser tulang tahap kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Majlis Belia Pahang (MBP) yang hadir melawat dan memberikan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 kepada ibu Mohd. Zulhafiz, Supiah Yahya, 58, di HTAA di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohamad Salleh, Setiausaha Agung MBP, Azrul Khairi Muhamad dan Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Masyarakat MBP, Nurasyikin Sulaiman.

Sementara itu, mengenai laporan yang memetik kenyataan Supiah sebelum ini bahawa RM20,000 diperlukan bagi kos rawatan Mohd. Zulhafiz, Nooraini menjelaskan, tiada kos rawatan yang diminta oleh HTAA kepada keluarga pemuda itu.

''Ini kerana apabila seseorang pesakit itu ditempatkan di hospital kerajaan, semuanya adalah percuma," jelasnya.

Sementara itu, Nurasyikin berkata, MBP akan memantau perkembangan pemuda malang itu dari semasa ke semasa kerana tidak mahu dia keseorangan menanggung penyakit yang sedang dihidapinya itu.

"Kita tahu, banyak kos diperlukan terutama untuk membeli keperluan harian sepanjang Mohd. Zulhafiz berada di hospital. Kita (MBP) akan membantu dari segi kebajikan. Kalau pemuda ini perlukan lampin pakai buang, kita juga akan berikan.

"Kami juga akan terus mengumpul dana melalui program yang MBP laksanakan untuk disumbangkan kepada Mohd. Zulhafiz. Dan buat permulaan untuk hari ini, sebanyak RM1,000 kita berikan kepada ibunya," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'