Monday, June 13, 2011

275 bawah umur mohon nikah

90 peratus babitkan gadis kurang 16 tahun tempoh 3 tahun di Kedah

ALOR SETAR: Sejumlah 275 permohonan nikah membabitkan remaja lelaki dan perempuan bawah umur difailkan di negeri ini sejak tiga tahun lalu, dengan lebih 90 peratus daripadanya membabitkan gadis berusia kurang 16 tahun.
Perkahwinan membabitkan remaja bawah umur dilapor semakin meningkat sejak 2008 dan dikatakan ada kaitan dengan beberapa masalah termasuk peningkatan gejala sosial, kemudahan teknologi komunikasi seperti penggunaan laman sosial seperti Facebook dan kesempitan hidup.
Difahamkan, ada juga ibu bapa terpaksa membenarkan anak gadis bernikah bawah umur dan mengaku di depan Hakim Syarie mereka tidak mampu menjaga anak yang didakwa terlalu 'liar' dan menganggap pernikahan jalan terbaik bagi mengelak perkara tidak baik berlaku.

Sumber Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) berkata, sejumlah 75 permohonan kebenaran nikah bawah umur direkodkan sepanjang 2008 dan jumlah itu meningkat 35 peratus kepada 101 kes tahun lalu.

Katanya, ada juga kes membabitkan keluarga miskin di kawasan pedalaman menganggap tindakan mengahwinkan anak gadis mereka dengan orang berada, dianggap dapat memberi kehidupan lebih selesa kepada anak.

Malah, katanya, ada ibu bapa tidak sabar mengahwinkan anak gadis masing-masing sebaik mencecah usia 16 tahun, terutama jika anak itu sudah tidak mampu meneruskan persekolahan.
"Bagi keluarga miskin yang ada anak gadis berwajah cantik, akan dibenarkan kahwin jika ada pihak `meminta' walaupun mereka baru berusia 15 tahun. Kes ini banyak berlaku di Sik dan Baling.

"Justeru, ibu bapa menganggap lebih baik anak mereka dikahwinkan awal, kerana sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, apatah lagi jika lelaki terbabit orang berada yang diyakini dapat memberi kehidupan lebih terjamin terhadap anak mereka," katanya.

Sementara itu, bagi anak gadis yang dianggap 'liar' pula, sumber itu berkata, perkahwinan dianggap jalan penyelesaian terbaik untuk membendung pergerakan mereka, sebelum terlambat.

"Walaupun dilihat seperti memperjudikan masa depan anak gadis, namun ramai ibu bapa menganggap ia risiko sanggup ditanggung, berbanding melepaskan anak bergaul bebas sehingga mengandung luar nikah," katanya.

Difahamkan, ada di kalangan remaja yang berkahwin muda mengaku di depan Hakim Syarie mereka berkenalan melalui laman sosial sebelum membuat keputusan bernikah bagi mengelak terlanjur.

"Apabila ditanya alasan mahu berkahwin awal, mereka memberi alasan tidak mahu melakukan dosa, selain mengakui pernikahan tidak menghalang mereka terus bersekolah," katanya.

Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah, had umur minimum pasangan lelaki dibenarkan berkahwin ialah 18 tahun, manakala perempuan 16 tahun. Enakmen itu juga menyebut perkahwinan bawah umur hanya boleh dilakukan dengan kebenaran Hakim Syarie.

Sumber itu berkata, ada juga kes pasangan remaja bawah umur yang berkahwin, kembali ke Mahkamah Syariah untuk bercerai tidak sampai setahun perkahwinan kerana tiada persefahaman.
Berita Harian Online | 275 bawah umur mohon nikah

Rumah dinding buluh



BALING - Walaupun negara terus membangun dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serba canggih, seorang penduduk di Kampung Wang Kelian, Ramli Yusof, 51, masih mengekalkan penggunaan dinding buluh sebagai tempat berteduh.

Penggunaan dinding buluh semakin dilupakan masyarakat setempat dan memilih kediaman yang lebih selesa.

Menurutnya, dinding buluh di rumahnya berusia lebih dari 50 tahun dan tidak pernah mengalami sebarang masalah.

“Rumah ini merupakan peninggalan arwah ayah saya. Biasalah, orang dulu memang gunakan dinding buluh. Tapi, sekarang memang susah nak jumpa kerana dinding rumah sekarang lebih cantik dan mengikut peredaran zaman.

“Selama ini, saya tinggal di sini, dinding rumah ini tidak pernah ditukar sejak zaman arwah ayah saya lagi. Dinding ini memang kuat kerana menggunakan buluh yang banyak,” katanya.

Menurutnya, buluh yang sering digunakan untuk membuat dinding rumah adalah terdiri dari buluh paib.

“Buluh paib memang kuat, tambahan pula, beberapa bahagian buluh ini dipotong nipis dan dibentuk sehingga menjadi sebuah dinding yang kukuh. Untuk membina dinding yang melibatkan sebuah rumah, ribuan batang buluh perlu digunakan.

“Kesabaran yang tinggi diperlukan untuk membuat dinding kerana pembuatan dinding ini perlu berhati-hati untuk memastikan buluh dapat bertahan lama dan tidak mudah rosak,” katanya.

Ramli berkata, antara kelebihan utama dinding buluh berbanding dinding batu adalah dari segi suhunya.

“Rumah yang menggunakan dinding buluh akan lebih sejuk berbanding dinding batu kerana dinding buluh mempunyai ruang kecil yang membolehkan angin masuk menerusi dinding ini.

“Maknanya, rumah seperti ini memang tidak memerlukan kipas kerana angin sentiasa memenuhi ruang rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, penggunaan dinding buluh ini sering mendapat perhatian masyarakat setempat terutamanya bandar.

“Kalau musim raya, sanak saudara dari bandar akan datang ke kampung ini. Jadi, mereka akan berkunjung ke rumah saya untuk melihat keunikan dinding buluh yang jarang ditemui ini.

“Penggunaan dinding buluh memang akan menarik perhatian orang ramai kerana dinding buluh ini mempunyai keunikan tersendiri,” katanya

Menurutnya, dinding buluh ini merupakan seni yang perlu diketahui anak muda zaman ini.

“Mana ada anak muda yang membesar dalam rumah yang berdindingkan buluh. Zaman sekarang, sesusah mana pun seseorang itu, rumahnya pasti berdindingkan papan bukan berdindingkan buluh. Saya tidak akan menukar dinding ini selagi dinding ini masih elok,” katanya.
SH

Keluarga nelayan kecewa



PONTIAN – Beberapa ahli keluarga yang ditemui, melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pekan Baru menolak rayuan pembebasan enam nelayan tempatan yang ditahan hampir tiga bulan di Penjara Bengkalis.

Bapa salah seorang nelayan yang ditahan, Reduan Aris, Aris Baba berkata, harapan keluarga untuk bertemu dengan nelayan yang ditahan semakin kabur memandangkan rayuan di Pekan Baru sudah ditolak.

“Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi tiada apa yang mampu kami lakukan selain terus berdoa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pontian Besar, semalam.

Menurutnya, dia kecewa kerana peluang untuknya dan ahli keluarga nelain lain bertemu dengan enam mereka dalam tempoh terdekat masih buntu apabila kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Agong di Jakarta.

“Kami sekeluarga bertambah bingung dan keliru, kerana banyak janji yang diberikan bagi membebaskan nelayan yang ditahan melalui media massa dan cetak, tetapi sehingga kini ia masih kosong,” katanya.

Beliau turut menuntut, kata-kata nelayan yang ditahan akan dibebaskan melalui saluran diplomatik oleh Koordinator Informasi Sosial dan Budaya, di Kedutaan Indonesia di Malaysia, Surayana Sastradiredjo

“Rayuan demi rayuan mengikut saluran diplomasi telah dibuat, namun tetap juga ditolak oleh mahkamah sehingga terpaksa dibawa ke Jakarta,” katanya.

Harapan terus disandarkan agar rayuan terakhir di Jakarta akan memihak kepada nelayan tempatan berkenaan yang ditahan sejak Mac lalu.

Sementara itu, abang kepada Ibrahim Mohd Kassim, Tahir Mohd Kassim, merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, campur tangan dalam hal ini sepertimana yang disuarakan ketika bertemu Presiden Indonesia ketika Sidang Kemuncak Negara-Negara Asean.

“Kami merayu agar Perdana Menteri campur tangan bagi pembebasan enam nelayan tempatan yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, ketika berbual dengan adiknya di telefon baru-baru ini, perasaan hampa dengan keputusan Mahkamah Pekan Baru, jelas terdengar, dan rasa sedih tidak dapat disembunyikan.

“Adik sangat hampa dan berputus asa seolah-olah tiada jalan penyelesaian bagi membebaskan mereka dan terpaksa akur dengan hukuman penjara selama 30 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Bengkalis,” katanya.

Selain itu, sejak adiknya ditahan di Bengkalis sejak tiga bulan lalu, dia sekeluarga telah mengeluarkan kos yang besar bagi menampung perbelanjaan adiknya ketika ditahan.

“Kami sekeluarga terus berharap agar kesemua mereka dapat dibebaskan bagi membolehkan bertemu ahli keluarga dan menyambut bulan puasa serta Hari Raya Aidilfitri bersama,” katanya.
SH

Orang Arab mula bangkit



KUALA TERENGGANU - Penasihat Kanan Ikatan Ulama Palestin, Sheikh Abu Bakar Al-Awawida menjangkakan, dalam masa 10 tahun lagi masyarakat Islam di Palestin akan merampas semula negara mereka daripada terus dicengkam rejim Zionis.

Sheikh Abu Bakar yang juga ulama terkenal Palestin berkata, beliau yakin bumi Palestin terutama di sekitar Masjidil Aqsa yang kini dikuasai Israel, mampu dirampas semula rakyat negara itu apabila masyarakat Arab di negara jiran mereka seperti Mesir, Tunisia dan Libya turut merasai kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.

Menurutnya, ketika ini gerakan revolusi bertujuan memerangi kezaliman Zionis di negara mereka sedang rancak dilancarkan.

“Ketika ini orang Arab mula bangkit dengan mengadakan revolusi termasuk merampas kembali Masjidil Al-Aqsa daripada Yahudi selain kebangki-tan kesedaran negara Mesir, Tunisia serta Libya.

“Dengan semangat yang semakin memuncak ini saya percaya dengan izin Allah, kita mampu merampas semula bumi Palestin,” katanya melalui jurubahasa, Abu Ubaidah Musa, 24, graduan universiti di Syria anak kelahiran Dungun, Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatannya ke negeri ini di pejabat Himpunan Lepasan Institut Pengajian (Haluan) Malaysia cawa-ngan Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Haluan Palestin cawangan Terengganu, Mohd Jamil Muda.

Difahamkan Sheikh Abu Bakar tiba di negara ini lima hari lalu yang ditemani anaknya, Uwais Al-Awawida, 24, dalam siri menjelajah Semenanjung sebelum dijadual pulang ke Syria hari ini.

Ketika berada di pejabat Haluan, beliau sempat menceritakan pengalaman ngerinya disumbatkan ke dalam penjara sebanyak lapan kali di negara kelahirannya bermula 1982 sehingga 1992.

Katanya, sewaktu pertama kali dipenjara, be-liau diseksa dengan pelbagai cara termasuk didera dengan menggunakan elektrik sehingga menyebabkan beliau buta.

“Sejurus dibebaskan daripada penjara pada 1992, saya bersama isteri, Ummu Bakr dan lapan anak terpaksa hidup dalam bu-ruan Israel serta dihalau ke Lebanon untuk mencari perlindungan.

“Kami sekeluarga kini menetap di Syria sejak 1994 dan masih buruan Israel sehingga kini, malah diancam bunuh sekiranya kembali ke Palestin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jamil berkata,bersempena dengan kunjungan Sheikh Abu Bakar ke sini, pihaknya telah mengatur beberapa slot termasuk majlis dialog bersama beliau untuk memberi kesedaran dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat

Menurutnya, kesempatan bertemu Sheikh Abu Bakar sedikit sebanyak dapat memberi gambaran jelas berhubung pergola-kan yang berlaku di sana dan membina keseda-ran seterusnya belajar daripada pengalaman beliau yang berada dalam keadaan sukar ketika itu, namun mampu membentuk insan yang lebih berkualiti.
SH

Lima pemimpin ditukar



KUALA LUMPUR – Lima Pesuruhjaya negeri ditukar setelah Jawatankuasa Pas Pusat selesai bermesyuarat buat kali pertama petang semalam yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Muktamar Pas ke-57 baru-baru ini.

Lima negeri yang bertukar kepimpinan adalah Selangor, Dr Abd Rani Osman menggantikan Datuk Dr Hasan Ali; Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib dan Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani menggantikan Zulkifli Mohamad Omar.

Dua negeri lagi adalah Melaka, Adli Zahari menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman dan Sabah iaitu Aminuddin Alim menggantikan Mohamad Abdullah.

Bagi Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali dikekalkan sebagai Setiausaha Agung manakala Datuk Abd Halim Abd Rahman dilantik menjadi Bendahari Agung. Jawatan Ketua Penerangan pula diberi kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr Mohd Hatta Ramli menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Pada sidang media selepas itu, Hadi mengumumkan terdapat tujuh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tambahan yang dilantik untuk penggal 2011-2013 kali ini.

“Tujuh mereka yang dilantik adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Zulkefly Mohamad Omar.

“Insya-Allah semua mereka akan menerima jawatan ini dan tugas mereka akan bermula sejurus selepas Setiausaha Agung menyerahkan surat tauliah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan negara berkebajikan Pas hanyalah topeng untuk mendapatkan undi bukan Islam, Hadi berkata kenyataan tersebut datangnya dari seorang yang ‘tidak membaca’.

Menurutnya, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai negara berkebajikan yang dibawa Pas jelas membuktikan bahawa pemimpin mereka ‘kepanasan’ kerana bimbang rakyat tidak lagi menyokong mereka.

“Bagi peluang Pas memerintah selama satu penggal, kita akan buktikan apa itu negara berkebajikan, kita akan hapuskan banyak cukai persendirian tetapi akan tingkatkan cukai daripada yang kaya,” katanya.
SH

Lelaki paling pendek di dunia



PENDEKNYA: Junrey berdiri memegang dua botol Coca-Cola di Pusat Kesihatan Sindangan, di Sindangan, wilayah Zamboanga Del Norte, di selatan Filipina, kelmarin. -- Foto AP

SINDANGAN (Filipina): Anak lelaki seorang tukang besi Filipina yang berhenti membesar sejak berusia dua tahun diisytiharkan sebagai lelaki paling pendek di dunia sedang dia meraikan ulang tahunnya yang ke-18 semalam.
Junrey Balawing yang tingginya 59.93 sentimeter (atau 23.5 inci), adalah anak sulung empat beradik - kesemuanya normal - yang dilahirkan di Sindangan, sebuah kawasan luar bandar di pulau Mindanao, di selatan Filipina.'Secara rasmi, dia adalah lelaki paling pendek di dunia,' kata Encik Craig Glenday, ketua editor Guinness Book of World Records, yang mengukur Balawing di hadapan saudara mara dan penduduk kampungnya yang bersorak-sorak.Pemegang rekod sebelum ini ialah Khagendra Thapa Magar, dari Nepal, yang setinggi lebih 26 inci pada tahun lalu.Junrey kemudian menghembus lilin pada kek yang dibuat khusus untuknya, sebelum memberitahu para hadirin, dengan suaranya yang halus: 'Kapoy (saya penat)!'Sekumpulan pelawat, termasuk ahli politik, menyaksikan para pegawai pengukur mengukur Junrey dan kemudian menyerahkannya wang tunai yang menurut ibu bapanya akan disalurkan ke dalam simpanan keluarganya yang miskin itu.Menurut bapanya, Encik Reynaldo, Junrey sering sakit ketika bayi dan berhenti membesar apabila berusia dua tahun tetapi doktor yang memeriksanya tidak dapat mengenal pasti masalahnya. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Wanita muda sedia bermadu



Salih Yaccob antara artis yang mangamalkan poligami. – gambar hiasan


BENARKAH sebahagian besar wanita muda di Malaysia kini tidak lagi kisah seandainya ditakdirkan hidup bermadu?

Berdasarkan kajian soal selidik yang dijalankan terhadap 400 responden berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini, ramai di antara mereka bersetuju mengizinkan suami berkahwin lain.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi menerusi rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang mencatatkan sehingga April ini sahaja, sebanyak 286 kes poligami dilaporkan telah didaftarkan.

Daripada jumlah itu pula, 222 permohonan poligami diluluskan atas perintah mahkamah.

Wartawan unit khas Utusan Malaysia, ROSALINDA MD.SAID dan SITI NURAZLINA JAMALUDIN serta jurugambar ZAKARIA IDRIS, mengupas trend penerimaan berkongsi kasih ini.

KUALA LUMPUR 12 Jun – Wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kaji selidik rambang Utusan Malaysia ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi daripada kumpulan menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami. Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Antara alasan diberikan mereka yang enggan berpoligami ialah tidak sanggup berkongsi kasih sayang selain mengaitkannya dengan tahap kemampuan kewangan seseorang lelaki itu.

Bagi yang bersedia untuk berpoligami, ia didorong perasaan takut menanggung dosa kerana tindakan itu dibenarkan oleh agama.

Dalam masa sama, mereka lebih menghormati suami yang bertanggungjawab dan jujur.

Berhubung soalan tentang punca wanita muda mudah terpikat kepada lelaki berstatus suami orang, ramai memilih faktor kewangan kukuh dan sikap romantik ditunjukkan mereka.

Sementara itu, berkaitan soalan - jika anda bercinta dengan suami orang, sanggupkah anda bernikah secara senyap-senyap di Thailand, hasil diperoleh ialah sebanyak 89.5 peratus responden memberikan jawapan tidak sanggup manakala 10.5 peratus lagi bersedia menghadapi apa sahaja rintangan.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas

35 ekor tenggiling RM50,000 dirampas

PULAU PINANG 12 Jun - Sebanyak 35 ekor tenggiling bernilai lebih RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam satu operasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Jalan Mak Mandin, Butterworth, dekat sini awal pagi ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan kerana dipercayai menjadi dalang menyeludup keluar haiwan berkenaan.

Ketua Unit Penguatkuasaan Perhilitan negeri, Khairul Nizam Yahaya berkata, operasi berkenaan adalah yang kedua dilancarkan pihaknya bagi membanteras kegiatan penyeludupan haiwan itu.

Menurutnya, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu setelah memperoleh maklumat terdapat kegiatan penyeludupan tenggiling di sebuah premis di situ.

"Hasil serbuan itu, sepasukan anggota Perhilitan berjaya menahan dua buah kereta Toyota Camry ketika leka memindahkan tenggiling.

"Setelah diperiksa, terdapat berpuluh-puluh ekor tenggiling ditemui dalam kedua-dua but kereta tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khairul Nizam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, haiwan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran untuk sajian kedai makan atau perubatan tradisional.

Menurutnya, harga tenggiling yang tinggi iaitu mencecah RM220 sekilogram dipercayai menjadi pendorong utama penyeludupan haiwan tersebut.

"Tenggiling merupakan hidupan liar berstatus dilindungi sepenuhnya, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Jika disabit kesalahan boleh didenda minimum RM50,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan menyimpan tenggiling melebihi 20 ekor.

"Bagi kesalahan menyimpan hidupan liar tidak matang pula, denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan," tambahnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis pantau Al-Arqam dipercayai masih aktif

KUALA LUMPUR 12 Jun - Polis sedang memantau pergerakan kumpulan Al-Arqam yang dipercayai masih aktif di negara ini walaupun bekas pemimpinnya, Ashaari Muhammad telah meninggal dunia, Mei tahun lalu.

Menurut sumber, pergerakan kumpulan itu tidak pernah berhenti, sebaliknya hanya menukar nama organisasi mereka.

"Al-Arqam hanya mengubah nama untuk mengelirukan masyarakat serta pihak berkuasa, tetapi sebenarnya tetap meneruskan objektif pergerakan mereka.

"Oleh itu, kita kini pantau pergerakan kumpulan terbabit sebagaimana kegiatan lain berbentuk pemesongan agama dan akidah umat Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas satu rakaman wawancara bersama isteri Ashaari, Khatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah di dalam laman sosial, YouTube di Mekah, Mac lalu, yang mendakwa suaminya itu tidak mati sebaliknya ghaib.

Menurut Ummu Jah, Ashaari akan bergabung dengan Rasulullah SAW dan Imam Mahdi tidak lama lagi bagi menggerakkan aktiviti dan program kumpulan tersebut.

Ummu Jah turut mendakwa Rasulullah SAW telah muncul dan berdialog, serta memberi arahan kepadanya dalam bentuk cahaya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tuntutan nelayan tidak dilayan



DERETAN bot laut dalam tersadai di jeti nelayan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di Kuantan sejak kelmarin ekoran bantahan subsidi diesel.


TANJONG KARANG - Kerajaan tidak akan melayan tuntutan kira-kira 1,000 pengusaha bot pukat tunda di Pahang, Johor dan Perlis yang melancarkan mogok sejak kelmarin untuk menuntut pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu.

"Kita bukan tarik (terus) subsidi, kerajaan masih beri subsidi kira-kira RM1 untuk satu liter dengan harga diesel biasa, jadi tidak ada sebab mereka ingin ugut kerajaan untuk boikot dan sebagainya.

"Kalau kita betul-betul tak nak beri subsidi, kita samakan mereka dengan harga industri, tetapi ini masih jauh lebih rendah daripada harga industri,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Ketua UMNO bahagian itu.

Kelmarin, pengusaha bot pukat tunda berkenaan mengancam untuk mogok selama tiga hari dan akan meneruskannya selagi kerajaan tidak mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot pukat tunda berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter, dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, langkah itu diambil kerana golongan terbabit merupakan pengusaha bot laut dalam yang berpendapatan lumayan berbanding nelayan pantai atau Zon A, B dan C.

"Kalau mereka nak bincang, kita tidak ada masalah, tetapi kalau ugut dan beri tempoh tiga hari, saya kata teruskanlah (mogok), dan kita tidak berminat untuk berbincang dengan orang seperti ini,'' katanya yang tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dalam memainkan isu berkenaan.

Kosmo! Online - Negara