Wednesday, December 23, 2015

Peserta Jerman Mohon Maaf Kritik Pemenang Miss Universe


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 11:13 PM
Peserta Miss Universe dari Jerman, Sarah-Lorraine Riek (kiri) dan pemenang, Pia Alonzo Wurtzbach dari Filipina.

PESERTA Jerman bagi Miss Universe 2015 membuat permohonan maaf selepas beliau mengkritik pemenang pertandingan ratu cantik itu yang merupakan peserta dari Filipina dengan mendakwa bahawa tiada siapa yang mengundinya, lapor portal Mirror.
Terdahulu, pengacara Steve Harvey mencetuskan kontroversi apabila tersilap mengumumkan nama pemenang dengan menyebut perserta dari Colombia, Ariadna Gutierrez-Arevalo sebagai pemenang.
Harvey yang menyedari kesilapan itu kemudiannya mendedahkan bahawa peserta Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach yang sebenarnya dimahkotakan sebagai Miss Universe 2015.
Bagaimanapun, peserta Jerman, Sarah-Lorraine Riek yang tidak mendapat sebarang tempat teratas dalam pertandingan itu mengakui bahawa beliau tidak gembira dengan keputusan tersebut.
"Saya benar-benar tidak percaya, saya begitu kecewa. Bagi saya, Miss France (peserta dari Perancis) adalah pemenang yang sebenarnya," katanya dalam satu temuramah yang dimuat naik di laman Facebook, Missosology.
"Saya sangat gembira buat Miss Colombia (peserta dari Colombia) kerana dia sememangnya layak. Saya sangat tidak gembira dengan keputusan (baharu) dan begitu juga dengan gadis-gadis lain," tambah Lorriane.
"Ini kerana tiada siapa yang mengundi untuk Filipina. Saya minta maaf kerana terpaksa mengatakannya," katanya.
Bagaimanapun, Sarah-Lorraine kini dilaporkan membuat permohonan maaf di atas kenyataannya itu apabila pasukan Miss Universe Germany, penganjur bagi pertandingan itu di Jerman mengeluarkan kenyataan di akaun rasmi Facebook mereka.
Menurut beberapa laporan, kenyataan itu menyebut: "Miss Universe Germany, Sarah-Lorraine memohon maaf terhadap temannya dan rakan Miss Colombia. Ia pastinya merupakan mimpi ngeri terburuk. Beliau tiada niat untuk menyinggung perasaan Miss Philippines (peserta Filipina). Beliau memohon maaf kepada kedua-duanya."

Lamaran ditolak gara-gara cincin tak muat


Suasana meriah itu bertukar kepada luar biasa kekoknya sebaik sahaja wanita tersebut meninggalkan lokasi secara tiba-tiba.

CHENGDU - CHINA. Impian seorang lelaki yang mahu mengahwini dan menghabiskan hidup bersama wanita pilihan hancur berkecai saat lamarannya ditolak oleh wanita berkenaan di khalayak ramai.
Memetik laporan Shanghaiist.com, lelaki yang tidak mahu dinamakan itu merancang lamarannya dalam bentuk ‘flash mob’ jalanan di daerah ini, baru-baru ini.
Pada mulanya flash mob berbentuk tarian sekumpulan penari itu berjalan dengan lancar dan wanita itu menangis terharu ketika lelaki itu menghulurkan jambangan bunga dan melutut sambil menunjukkan cincin di hadapannya.
Bagaimanapun suasana meriah itu bertukar kepada luar biasa kekoknya sebaik sahaja wanita tersebut meninggalkan lokasi secara tiba-tiba.
Reaksi wanita itu jelas menunjukkan bahawa lamaran lelaki itu ditolak.
Tidak lama kemudian, punca penolakan terhadap lamaran lelaki itu akhirnya terjawab menerusi perbualan wanita itu dengan rakannya.
Menerusi kandungan perbualan yang tersebar di laman sosial itu, wanita itu mengadu bahawa pasangannya itu tersalah memilih saiz cincin yang sesuai dengan jarinya.
“Dia sudah setuju bahawa dia akan membelikan cincin berlian sebesar satu karat.
"Kenapa cincin yang ini terlampau kecil? Adakah dia terlalu cuai atau dia tidak sayangkan saya?” soal wanita terbabit
.

Ingatkan bekas ubat, rupa-rupanya beg duit



CARLIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT . Tindakan seorang pelayan sebuah restoran yang memulangkan semula wang pelanggannya yang tertinggal bernilai lebih dari gaji bulanannya mendapat pujian di atas kejujurannya itu.
Brian Geery, 33, pelayan restoran Applebee yang terletak di tengah bandar Carlifornia menjumpai sebuah beg berisi wang bernilai AS$32,000 ( RM137,572) ketika mengemas sebuah meja selepas sebuah keluarga makan di restoran itu.
Geery yang pada mulanya menyangka beg berkenaan hanya berisi ubat-ubatan kemudiannya menyerahkan beg berkenaan kepada pengurus restoran tempatnya bekerja.
Pengurusnya itu kemudian memintanya  untuk memeriksa kandungan beg berkenaan.
Greey terkejut selepas mendapati beg berkenaan berisi sejumlah wang yang banyak.
"Saya sukar mempercayainya. Saya tidak pernah melihat wang tunai sebanyak itu sepanjang hidup," kata Geery
Sementara itu, Pengarah Serantau Restoran Applebee, Carrie Hellyer, berkata, pekerjanya itu enggan menerima sebarang ganjaran daripada keluarga terbabit.
"Dia  ( Geery) hanya berkata, apa yang dilakukan adalah perkara yang sepatutnya dilakukannya dan tidak mahu menerima sebarang ganjaran," kata Hellyer
Menurut jurucakap Polis Fresno, Lieutenant Joe Gomez, wang berkenaan kemudiannya diserahkan pihak restoran kepada pihak polis.
"Wang tersebut telah diserahkan semula kepada  keluarga terbabit selepas siasatan mendapati wang berkenaan bukanlah wang haram," katanya
Menurut Gomez, wang berkenaan adalah hasil kutipan sewa hartanah dan keuntungan restoran milik keluarga berkenaan di San Jose
.