Monday, April 26, 2010
Majoriti tipis, menang BN tak berbaloi - Anwar
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 26 April: Kemenangan tipis Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semalam tidak berbaloi dengan wang yang dihabiskan ratusan juta ringgit. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar)berkata, BN sekurang-kurangnya menghabiskan RM65,000 untuk setiap 1,725 majoriti yang dimenangi mereka. Apatah lagi seluruh jentera kerajaan digunakan BN termasuk Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), namun hasil yang diperolehi langsung tidak memadai. "Lebih dari RM100 juta dihabiskan oleh BN untuk memenangi majoriti tipis di Hulu Selangor iaitu sebanyak RM65,000 untuk setiap orang. "Puluhan menteri berkempen setiap hari, Suruhanjaya Pilihan raya sekali lagi melanggar etika tanggungjawab mereka untuk memastikan pilihan raya adil, dan polis melakukan dooble standard kepada penyokong PR malah ada laporan bahawa mereka menghalang beberapa pengundi melaksanakan tanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan. Jumlah majoriti tipis itu kata Anwar, menunjukkan BN tidak pernah belajar dari pilihan raya umum Mac 2008 lalu di mana rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan sebarang taktik kotor dan penyalahgunaan kuasa. "Ini bermakna bahawa Barisan Nasional tidak belajar apa-apa sejak pilihan raya umum pada Mac 2008. Pembunuhan karakter , perkauman, rasuah dan keganasan digunakan untuk membantu mereka memenangi pilihan raya kecil. Tapi rakyat tidak akan tertipu," katanya. Pakatan Rakyat, jelasnya tidak pernah putus semangat berdepan dengan segala penyalahgunaan kuasa BN sepanjang pilihan raya. Malah, katanya akan terus berusaha memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di Selangor termasuk ke kawasan tanah-tanah Rancangan Felda. "Kita akan meningkatkan sokongan rakyat di Hulu Selangor. Kita banyak yang perlu kita lakukan agar sasaran menarik pengundi di kawasan pedalaman dan Felda tercapai," katanya. Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada seluruh jentera Pakatan khususnya dari PAS dan DAP yang memberikan sokongan padu kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. "Saya berterima kasih kepada petugas dari Pakatan Rakyat termasuk rakan-rakan kita dari DAP dan PAS yang menyokong calon PKR di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim. "Puluhan ribu penyokong PR bergabung dengan kami untuk untuk membuktikan setiap rakyat mempunyai hak untuk keamanan, keadilan, dan kemakmuran. "Saya bersyukur atas sokongan luar biasa yang telah dipaparkan. Komitmen anda untuk mengubah kepada yang lebih baik," katanya. |
Pelakon Amitabh Bachchan hidap masalah sirosis hati
NEW DELHI - Bintang terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan mendedahkan kepada peminatnya bahawa beliau menghidap sirosis hati yang berpunca daripada pemindahan darah, yang dijalaninya pada tahun 80-an.
Aktor berusia 67 tahun itu menulis dalam blognya bahawa 25 peratus daripada hatinya rosak akibat pemindahan darah yang dilakukan pada 1982.
Pemindahan darah itu dilakukan selepas kemalangan yang berlaku ketika beliau sedang menjalani penggambaran filem.
“Lapan tahun lepas, ketika melakukan Imbasan Magnetik Resonan (MRI), mereka dapati 25 peratus daripada hati saya telah pun rosak. Oleh itu, saya secara teknikal atau dalam istilah perubatan adalah seorang pesakit secara tidak sengaja," kata Bachchan.
Menurutnya, seseorang pesakit menghidap sirosis hati iaitu keadaan yang lazimnya dikaitkan dengan orang yang suka minum minuman keras.
"Jadi, inilah saya...seorang yang bukan kaki botol, tidak meminum minuman keras, dengan penyakit yang menjangkiti saya menerusi pemindahan darah daripada seorang penderma,” katanya.
Bachchan cedera parah ketika melakukan penggambaran filem Hindi berjudul :Coolie: dan terpaksa menjalani pemindahan darah bagi menyelamatkan nyawanya.
Banyak lompat, elok bubar DUN
- ABDUL AZIZ BARI
Laporan Bernama Isnin lalu menyebut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah jika keluar atau lompat parti terus berlaku.
Akhir-akhir ini begitu ramai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PKR yang berbuat demikian. Bermula dari apa yang berlaku di Perak awal tahun lalu sehingga menumbangkan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin ia diikuti tindakan keluar parti di DUN Kedah dan Parlimen; kesemuanya melibatkan anggota-anggota PKR.
Kenyataan Azizan itu timbul berikutan tindakan ahli DUN Batu Arang, Tan Wei Shu, meninggalkan PKR dan menjadi ahli bebas. Sebelum itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohamad Radzhi Salleh, juga dari PKR juga berbuat demikian.
Buat masa ini di DUN Kedah, Pas memiliki 16 kerusi manakala PKR 3 dan DAP 1. UMNO memiliki 14 kerusi; termasuk kerusi DUN Bukit Seputeh yang dipertikaikan itu. Dalam Perlembagaan; khususnya Perkara 39(2)(b) Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, kuasa memperkenan atau sebaliknya pembubaran DUN terletak di tangan sultan. Pada hakikatnya ini sama sahaja dengan kedudukan di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain. Dalam kata lain kuasa Yang di-Pertuan Agong, sembilan Raja dan empat Yang di-Pertua Negeri sama sahaja.
Justeru apabila Azizan berkata beliau akan membubarkan DUN maka ia bermakna Menteri Besar Kedah itu akan menyembah memohon perkenan Sultan supaya Dewan dibubarkan. Di sisi undang-undang kuasa ketua negara atau ketua negeri – walaupun kelihatannya mutlak kerana disebut budi bicara – sebenarnya adalah satu amanah. Ini bermakna Perlembagaan memberi tugas kepada ketua negara atau ketua negeri itu membuat keputusan yang terbaik untuk negeri. Oleh sebab itulah Suruhanjaya Reid sendiri dalam laporannya mengatakan bahawa kita perlu merujuk kepada pengalaman di seluruh Komanwel dan belajar daripadanya. Hal ini juga terpakai dalam soal kuasa speaker Dewan, baik di Parlimen mahupun di DUN.
Salah satu alasan yang membenarkan ketua negara atau ketua negeri menolak permintaan membubarkan Dewan ialah apabila di sana ada kemungkinan untuk membentuk kerajaan tanpa mengadakan pilihan raya. Sebagai contoh kalaulah UMNO dapat menarik bilangan ADUN yang cukup untuknya menjadi kumpulan majoriti dalam Dewan, maka ketua UMNO di situ bolehlah dilantik sebagai menteri besar dan bolehlah permohonan membubarkan DUN oleh Azizan ditolak. Pada hakikatnya inilah yang berlaku di Perak awal tahun lalu.
Walaupun apa yang dilakukan di Perak itu tidak salah ia tidak semestinya tepat dan betul dalam keadaan sekarang. Ini kerana kita mesti ingat formula yang dikemukakan para sarjana perlembagaan itu dibuat berdasarkan keadaan dan senario tahun awal 1900an. Waktu itu tidak ada internet atau telefon bimbit seperti sekarang.
Dalam kata lain meskipun kuasa itu masih sama cara bagaimana ia harus digunakan sudah berlainan. Kita juga tidak harus lupa tentang kedudukan dan peranan dan ketua negeri; yakni mereka perlu berada atas politik kepartian atau kata lain, mereka tidak harus mengambil keputusan dan tindakan yang akan menyebabkan dituduh berat sebelah serta mempunyai kepentingan.
Sebelum terjadinya tragedi politik di Perak, saya sendiri tidak terfikir soal itu. Setelah berlaku kekecohan dan perbalahan yang berlarutan sehingga sekarang barulah saya nampak segi dan aspek lain yang perlu diberi perhatian dalam soal pembubaran Dewan ini.
Satu lagi sebab mengapa pembubaran Dewan ini tidak diberikan kepada kerajaan yang memerintah dan diletakkan di tangan ketua negara atau negeri kerana ia lebih adil. Selain itu pilihan raya adalah mahal dan memakan masa, justeru perlu dielakkan.
Bagaimanapun dalam keadaan sekarang alasan-alasan itu tidak selamanya betul. Melihat kepada perkembangan terbaru di negara-negara Westminster yang maju – khususnya United Kingdom – adalah jelas apabila rakyat diupayakan – yakni diberi peluang bersuara – keputusan lebih tepat boleh diambil. Penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan juga tidak berlaku. Sebab itu di Britain tidak timbul perdebatan atau 'suspend' tentang bila pilihan raya akan diadakan. Ratu Elizabeth juga tidak kelihatan memainkan peranan meskipun di sisi undang-undang kedudukan baginda sama dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.
Mengambil kira ini semua saya fikir Azizan membuat kenyataan yang betul: pulangkan kepada rakyat. Hari ini tidak sukar untuk kita mengetahui apa rakyat mahu: minta mereka hantar SMS. Kita tidak mahu kerajaan yang ada digelar kerajaan istana atau kerajaan mahkamah. Perlembagaan sendiri – baik persekutuan mahupun negeri – menuntut kerajaan yang memerintah bertanggungjawab kepada Dewan yang merupakan himpunan wakil-wakil rakyat.
Memulangkan isu ini kepada rakyat saya fikir akan menyelesaikan masalah lompat parti yang tak habis-habis diperdebatkan. Bukan soal ia halal atau tidak di sisi undang-undang, tetapi kerana ia tumpul dan memenatkan minda. Kita banyak kerja lain yang perlu diselesaikan.
** Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang lebih 20 tahun.
Murah rezki dapat anak dan cucu serentak
Bapa, anak dapat cahaya mata
RASAH 25 April - Siapa sangka usikan rakan-rakan hampir setahun lalu bahawa dia bakal menimang anak dan cucu serentak menjadi kenyataan.
Bagi Mohamad Senuan Ahmad Hariri, 46, yang bersanding serentak dengan anaknya pada Mei tahun lepas, kesempatan bergelar bapa dan datuk sekali gus adalah satu anugerah yang cukup berharga.
"Tidak tergambar kegembiraan dan anugerah yang Allah berikan kepada keluarga ini. Dulu bila bersanding memang tak rancang nak buat serentak.
"Kini timang anak dan cucu sekali gus memanglah di luar jangkaan kerana kami tidak merancang apa-apa pun jauh sekali untuk berlumba- lumba. Ini yang dinamakan takdir," katanya ketika ditemui di kediaman bekas isterinya, Norliah Hussin di Senawang di sini hari ini.
Mohamad Senuan ditemani isteri, Intan Nor Farliana Shamsudin, 20, serta anak lelakinya, Mohd. Nurfaizalizwan, 23, dan isteri, Siti Yusnita Ab. Manah, 24, bersama-sama anak-anak yang lain Mohd. Robani, 15, Mohd. Amir, 14, dan Mohd. Najmi Al Hakimi, 10.
Dalam pertemuan tersebut juga, Mohamad Senuan buat pertama kali memperkenalkan kedua-dua ahli keluarga barunya iaitu anak perempuan bongsunya, Intan Nor Iman dan cucu lelaki sulungnya, Mohammad Yusrizan.
Intan Nor Iman dilahirkan pada 19 Mac di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sementara Mohammad Yusrizan pula lahir tiga hari kemudian di sebuah hospital dekat Subang, Selangor.
Kisah Mohamad Senuan pernah menarik perhatian umum apabila perkahwinannya diadakan serentak pada 30 Mei tahun lepas bersama Mohd. Nurfaizalizwan yang merupakan anak sulungnya.
Kedua-dua pasangan tersebut disandingkan di atas satu pelamin dalam majlis resepsi perkahwinan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohamad Senuan yang merupakan ahli perniagaan berkata, kelahiran anak dan cucunya itu diharapkan dapat terus mengeratkan ikatan kekeluargaan mereka walaupun telah berpisah dengan bekas isterinya.
"Sekarang kami mempunyai banyak alasan untuk berkumpul. Sebelum ini selepas isteri (Intan Nor Farliana) bersalin di Kuala Lumpur, saya bawa dia dan anak kami ke rumah bekas isteri setelah mengambil menantu dan cucu untuk berpantang di sini.
"Oleh kerana perlu ke luar daerah, saya terpaksa tinggalkan isteri dan anak di sini selama beberapa hari. Memang ini sangat mengharukan kerana kedua-dua keluarga dapat bersama," katanya yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur.
Menurutnya, mereka merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul kedua-dua bayi itu serentak pada Mei ini.
Sementara itu Mohd. Nurfaizalizwan berkata, dia berasa bertuah dengan kelahiran anak sulung dan adik perempuan bongsunya itu.
"Sememangnya ini adalah kegembiraan berganda untuk keluarga kami dan diharapkan kedua-duanya, anak dan adik saya ini akan membesar dengan sihat," katanya.
Dalam pada itu, Norliah, 46, turut menumpang gembira dengan kelahiran kedua-dua bayi itu.
"Walaupun bercerai dengan bekas suami lima tahun lalu, kami tidak pernah bermusuh, cuma mungkin jarang bertemu kecuali atas urusan anak-anak.
"Tetapi saya tetap gembira dengan kelahiran anak bongsunya itu dan ditambah kedatangan cucu pertama saya," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)