Wednesday, September 18, 2013

Cubaan lelaki Korea Selatan belot gagal


 
Seoul: Askar Korea Selatan melepaskan ratusan tembakan ketika menghalang seorang lelaki yang cuba berenang menyeberangi sempadan ke Korea Utara, kata seorang pegawai kanan tentera di sini, semalam.

Dalam taklimat media rasmi pertama sejak insiden luar biasa itu kelmarin, Brigadier Jeneral Cho Jong-Sul, mempertahankan tindakan pengawal sempadan yang hanya mematuhi protokol.
Cuba seberang sungai


Nam Yong-Ho, 47, ditembak mati kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Imjin yang menjadi sebahagian daripada kawasan sempadan sebelah barat dengan Korea Utara.

Cho berkata, anggota tentera yang mengawal pos pengawal berhampiran sungai itu berulang kali menjerit memberi amaran kepada Nam supaya berpatah balik, namun tidak diendahkannya.

Ditembak 30 tentera
Komander unit itu kemudian mengarahkan anggotanya melepaskan tembakan dan 30 daripada mereka melepaskan tembakan.

“Beratus-ratus tembakan dilepaskan terhadap lelaki itu,” kata Cho.

Pengkhianatan dari Korea Selatan ke Korea Utara jarang berlaku dan tiada kes sejak 20 tahun lalu berkaitan tentera Korea Selatan menembak sesiapa yang cuba menyeberangi sempadan.

Motif sebenar Nam masih tidak diketahui tetapi pegawai Kementerian Pertahanan percaya dia cuba berpaling tadah.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak menjelaskan mengapa Nam berenang menyeberangi sempadan yang dikawal ketat pada siang hari. - AFP

Raja Swaziland bakal berkahwin buat kali ke-14


Mswati III


MBABANE - Raja Swaziland, Mswati III memilih seorang peserta pertandingan ratu cantik berusia 18 tahun sebagai isterinya yang ke-14, kata seorang jurucakap istana semalam.
"Saya boleh mengesahkan raja (Mswati III) memperkenalkan tunang diraja baharu kepada rakyat jelata," kata jurucakap Istana Ludzidzini, Timothy Mtetwa.
Menurutnya, Mswati III yang berusia 45 tahun memperkenalkan bakal isterinya, Sindiswa Dlamini dalam satu acara kebudayaan tempatan dikenali sebagai Tarian Reed hujung minggu lalu.
Gadis cantik berkenaan menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi St.Francis di ibu negara Swaziland di sini pada tahun lalu.
Dia juga merupakan peserta pertandingan ratu cantik Miss Cultural Heritage. Pemenang pertandingan itu akan diumumkan pada 28 September ini.
Pemerintah Swaziland itu dikritik kerana mengamalkan cara hidup mewah, sedangkan penduduk negara itu rata-rata hidup dalam kemiskinan.
Mswati III dilaporkan memiliki kekayaan peribadi mencecah AS$200 juta manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 70 peratus daripada 1.2 juta rakyat Swaziland hidup di bawah paras kemiskinan.
Beliau sebelum ini menolak untuk mengadakan pembaharuan.
Mereka akan berkahwin hanya selepas tunang Mswati III hamil anak pemerintah berkenaan. Ketika itu, barulah Dlamini diisytihar sebagai isteri ke-14 Mswati III.
Setakat ini, tiga isterinya telah meninggalkan istana. Terbaharu, Permaisuri LaGija lari dari istana pada 2012 selepas mendakwa beliau menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental selama bertahun-tahun. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2fC9MinTK 
Hakcipta terpelihara