Friday, April 29, 2011

Eskay buat sumpah laknat dengan pakaian kalis peluru


Shazryl Eskay Abdullah (tengah) melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks dengan ditemani Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim (kanan). — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 29 April — Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks — di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul sekitar 4 petang ini — selepas dibatalkan dua jam sebelum itu ekoran kekecohan.
“Datuk T” itu menyempurnakan niatnya dengan mengenakan baju kalis peluru kira-kira 4.15 petang.
Turut hadir dua lagi “Datuk T”, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Dua rakannya itu juga memakai baju kalis peluru, dipercayai bimbang diserang ekoran kekecohan selepas solat Jumaat tadi.
Sebaik sahaja berada dalam ruang solat, ketiga-tiga “Datuk T” menunaikan solat sunat sebelum melakukan sumpah laknat.
Mereka yang turut memakai baju kalis peluru, dipercayai bimbang diserang penyokong Pakatan Rakyat yang turut berada dalam upacara itu tiba di Masjid Amru al-As pada pukul 4.10 petang sebelum meninggalkan masjid kira-kira 4.25 petang, sebaik sahaja upacara itu selesai.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak memberikan komen ekoran nasihat polis yang meminta mereka beredar.
Sumpah yang dibacakan Shazryl berbunyi:
Suasana ketika mengangkat sumpah laknat oleh Shazryl Eskay Abdullah di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul petang tadi. — Foto oleh Choo Choy May
“A’uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillahirahma nirrahim (diucap tiga kali), Wallahi, Wabillahi, Watallah. Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: ‘A’uzubillahi minal syaitanirrajim, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut’.”
“Sekiranya aku berlaku fitnah maka Allah akan melaknat akanku,” kata Shazryl ketika melafazkan sumpah laknat itu dengan memegang al-Quran.
Bagaimanapun proses tersebut sedikit terganggung dengan kehadiran seorang individu dipercayai penyokong Pakatan Rakyat yang menyamar sebagai imam masjid.
Individu itu meminta agar Shazryl tidak melakukan sumpah laknat itu.
“Proses angkat sumpah ini tiada dalam syariat Islam, apa yang ada proses sumpah yang membabitkan pasangan suami isteri sahaja.
“Jadi proses ini tidak ada dalam syariat Islam, jadi anda pilihlah,” kata individu itu sebelum diminta agar beredar oleh polis.
Sebaik sahaja proses itu selesai, ketiga-tiga “Datuk T” itu bergegas meninggalkan Masjid Amru al-As dengan dikejar penyokong Pakatan Rakyat yang mengecam tindakan itu.
“Tolak, tolak, tolak fitnah... ia satu fitnah... ia fitnah... kenapa tidak dikenakan tindakan qazaf? Kenapa dibenarkan mereka melakukan sumpah laknat?
“Kenapa Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan polis membenarkan perkara ini berlaku? Mengapa melindung orang yang buat fitnah,” kata penyokong Pakatan Rakyat itu dipercayaai ahli PKR.
Bagaimanapun, mereka kemudiannya dibawa keluar dari ruang solat masjid itu oleh anggota polis.
Turut hadir menyaksikan upacara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib ketua Azmizam Zaman Huri.
Sepanjang proses itu berjalan, polis mengawal ketat keselamatan kerana dikhuatiri bimbang insiden yang tidak diingini.
Terdahulu, Masjid Amru al-As yang dipilih Shazryl untuk melakukan sumpah laknat, bertukar menjadi kecoh ekoran tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat membantah tindakan “Datuk T” itu.
Sejurus selepas solat Jumaat, mereka melaungkan takbir dan mendesak Jawi mengambil tindakan qazaf terhadap “Datuk T” sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.
Bagaimanapun ketika protes itu, dipercayai dilakukan oleh berpuluh-puluh orang, Shazryl tidak berada di masjid tersebut.- The malaysian insider

Gambar Lucah Di Media; Mana Peranan KDN



Pas kesal terhadap media perdana yang dikuasai oleh Umno BN yang tidak beretika dan bermoral kerana menyiarkan gambar di dalam akhbar mereka. Ini satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar etika kewartawanan dan tatasusila agama demi mencapai cita-cita politik mereka.
Pada mereka soal moral dan etika tidak diperhitungkan lagi. Apakah negara kita sudah hilang nilai-nilai ketimuran sehingga sanggup mengaibkan individu yang belum lagi dibuktikan kesalahannya. Sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PAS ingin mengingatkan kerja ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah. Sejak mutakhir ini media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi keputusan belum lagi diputuskan oleh mahkamah. Begitu juga berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk "Lelaki Y ialah Anwar".
Ini merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar. Lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya. Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan? Ini sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat.
PAS hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja. Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi akta penerbitan dan mesin cetak tidak boleh diambil tindakan. Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno/BN sahaja?

Dipetik daripada blog Pas oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Idris Hj Ahmad

Eskay selesai lakukan sumpah laknat


KUALA LUMPUR 29 April - Datuk Shazryl Eskay Abdullah selesai melakukan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul pada petang ini.

Sambil memegang al-Quran beliau memulakan sumpah dengan mengucap dua kalimah syahadah kemudian diikuti dengan wallahi wabillahi watallahi.
Di dalam sumpah laknat itu Eskay menyatakan bahawa dua individu di dalam paparan video itu adalah dia dan Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Turut hadir dalam upacara sumpah laknat itu ialah Tbekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim. - Utusan

Pelajar di Mesir dalam ketakutan


IPOH: Walaupun krisis politik mendesak peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak sudah berakhir namun ribuan mahasiswa Malaysia yang pulang menyambung pengajian di negara itu, kini dihantui ketakutan baru apabila kerap menjadi sasaran jenayah rompakan dan samun.
Difahamkan, situasi menakutkan itu berlaku akibat tindakan anggota polis negara berkenaan yang mengurangkan kawalan di jalan raya selain rakyat negara itu yang terdesak meneruskan hidup selepas tamat huru-hara pada 12 Februari lalu. Keadaan itu menyebabkan 11,319 pelajar Malaysia yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bidang perubatan kini dalam kebimbangan dan lebih berhati-hati berikutan beberapa siri jenayah membabitkan mangsa pelajar Malaysia.

Awal bulan ini, seorang pelajar lelaki Malaysia menjadi mangsa rompakan apabila diserang seorang lelaki Arab yang bertindak menggigit dan cuba menikam mangsa yang berseorangan di dalam bilik di asrama pelajar Malaysia.

Kejadian dikatakan berlaku jam 6 pagi, apabila mangsa yang dikenali sebagai Asada, 20-an selesai bersembahyang subuh kembali berehat di dalam biliknya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk menggunakan kunci pendua.

Difahamkan, mangsa yang tersedar menjerit meminta tolong sebelum diacukan pisau oleh penjenayah.

Menurut sumber, suspek mengugut mangsa supaya tidak menjerit sekiranya tidak mahu dibunuh sebelum merampas telefon bimbit, wang tunai dan jam tangan milik mangsa yang diletakkan di atas meja komputer.


“Pada masa sama, mangsa diarah duduk dan meletakkan tangan di atas kepala sebelum suspek menyelongkar bahagian bawah katil mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek cuba menyumbatkan longgokan wang syiling yang disimpan mangsa ke dalam poket jaketnya sebelum meletakkan kedua-dua pisau di atas meja komputer.
Kesempatan itu diambil pelajar Malaysia berkenaan untuk merampas pisau terbabit sebelum dia bergelut dengan penjenayah yang menggigit dan menumbuk rusuk mangsa bertubi-tubi.

Mangsa turut cedera pada bibir dan pipi akibat dicakar suspek sebelum melarikan diri keluar untuk meminta tolong dari rakannya. Sementara itu, seorang lagi pelajar Universiti Al-Azhar yang juga ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Mohd, 23, berkata, dalam kes berasingan, seorang pelajar dari Selangor, Mohamed Salman Mohd Azam, 16, turut disamun beberapa warga Arab Mesir.

“Kejadian berlaku pada pertengahan bulan lalu ketika mangsa baru pulang dari kelas pengajian secara bersendirian berhampiran Suq Sayyarat.

“Dia dihampiri sebuah kereta dinaiki dua lelaki Arab yang menyamar sebagai perisik polis (mabahis) sebelum mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba dilarikan bagaimanapun terselamat apabila kereta suspek dibaling dengan batu oleh beberapa pelajar Indonesia.

Tidak janji taat William


GAMBAR William dan Kate dalam atur cara majlis.
GAMBAR William dan Kate dalam atur cara majlis.

LONDON: Kate Middleton tidak berjanji akan mentaati Putera William dalam ikrar perkahwinannya hari ini, sebagai mengikut jejak langkah ibu William, Puteri Diana 30 tahun lalu.
Menurut atur cara majlis yang diedarkan semalam, bakal pengantin berusia 29 tahun itu yang menjalin hubungan cinta dengan William selama lapan tahun, sebaliknya akan berikrar untuk menyayangi, menghormati, mengambil berat dan menghargai bakal suaminya itu. Diana membuat ikrar serupa ketika berkahwin dengan pewaris takhta Britain, Putera Charles pada 1981, tidak seperti beberapa anggota diraja lain termasuk Ratu Elizabeth II. Diana dan Charles bercerai pada 1996 sebelum mati dalam dalam kemalangan kereta setahun selepas itu.

Atur cara yang edarkan semalam turut mengandungi mesej daripada pasangan itu yang berbunyi, “satu daripada hari paling bahagia dalam hidup kami”. Pasangan itu juga berkata, mereka benar-benar terharu dengan sokongan rakyat apabila lebih sejuta orang dijangka berbaris di sepanjang jalan di London untuk menyaksikan perkahwinan mereka.
   
  • FotoORANG RAMAI tidur di khemah di seberang jalan dari Westminster Abbey bagi mendapatkan posisi terbaik sebelum perkahwinan diraja berlangsung hari ini.
  • FotoPEMINAT pasangan diraja berkumpul sambil berbual di luar gereja Westminster Abbey, semalam.
“Kami berdua amat gembira anda semua dapat sama-sama meraikan detik yang diharap menjadi satu daripada hari paling bahagia dalam kehidupan kami,” bunyi mesej berkenaan.

“Kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan anda semua ketika pertunangan kami membuat kami sungguh terharu.

“Kami ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dengan penuh keikhlasan atas kebaikan anda semua,” kata mereka Gambar hitam putih terbaru pasangan itu yang dirakam jurugambar Mario Testino turut dipamerkan dalam atur cara itu. - AFP

Konflik sempadan Thai, Kemboja tamat


PHNOM PENH: Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata semalam, selepas seminggu tentera kedua-dua negara bertempur menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut serta lebih 60,000 menjadi pelarian.
Perjanjian itu menamatkan pertempuran di sana-sini, termasuk membabitkan senjata berat dan roket kedua-dua pihak.

Kementerian Pertahanan Kemboja berkata, kedua-dua negara bersetuju mengekalkan tentera masing-masing di kawasan itu dan pegawai kanan akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa.

Pertikaian sempadan yang berpanjangan itu pula diserahkan kepada Suruhanjaya Persempadanan Bersama Thailand - Kemboja untuk diputuskan selepas badan itu dibentuk sedekad lalu.

Bangkok dan Phnom Penh juga bersetuju membuka pusat pemeriksaan sempadan berhampiran dua kuil Hindu abad ke-12 yang menjadi pertikaian.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila penduduk kampung dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing di kawasan terpencil itu. - Reuters, mymetro

Maizawati lahir anak lelaki


GEMBIRA...Maizawati bersama anak ketujuh.
GEMBIRA...Maizawati bersama anak ketujuh.

KUALA LUMPUR: Bekas isteri penceramah bebas Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 35, selamat melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan suami ketiga, Mohd Yassin Ben @ Abdul Rahim, 23, jam 4.08 pagi kelmarin.
Bayi lelaki seberat 2.86 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur dinamakan Muhammad Qhalef Izz Qhusairy Mohd Yassin.

Maizawati berkata, kehadiran cahaya mata pertama buat dia dan suami akan menambah keharmonian rumah tangga yang dibina setahun lalu.

Menurutnya, meskipun suami tidak berada bersamanya di saat bayi dilahirkan berikutan tuntutan kerja di luar negeri, dia tetap bersyukur kerana ditemani anak perempuannya selain ahli keluarga terdekat.

“Saya berterima kasih kepada semua kakitangan hospital yang terbabit dalam memastikan proses kelahiran Qhalef berjalan lancar.

“Syukur tidak terhingga kerana bayi ini dilahirkan sihat dan tiada masalah. Terima kasih juga kepada suami yang sentiasa memberi sokongan moral di saat saya melalui saat getir itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Selain Muhammad Qhalef Izz Qhusairy, Maizawati turut mempunyai empat anak lelaki dan dua anak perempuan hasil dua perkahwinannya yang lalu.-mymetro

Eskay sumpah laknat hari ini


KUALA LUMPUR: “Saya berani bersumpah pelaku tersebut (lelaki dalam video seks yang didedahkannya bersama rakan) adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) kerana saya sendiri berada di lokasi itu dan dalam paparan video berkenaan.
“Dengan nama Allah, Rasulullah, rakyat dan anak cucu kita, saya dan rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan ini,” kata ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah pada sidang media, semalam.

Beliau hadir ditemani rakan trio ‘Datuk T’ iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Katanya, beliau sanggup mengambil segala risiko untuk mendedahkan siapa sebenarnya pemimpin pembangkang yang dikenalinya sejak 1996 kerana percaya Anwar tidak akan berubah, malah tidak akan menyesal dan insaf terhadap perbuatan terkutuk dilakukannya.

“Sekiranya Anwar masih menafikan beliau bukan orang dalam video tersebut, saya mengundang beliau sama-sama melafazkan sumpah laknat (berhubung isu video seks itu) selepas Solat Jumaat esok (hari ini) di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul .

“Saya juga ingin mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk turut hadir menyaksikan upacara berkenaan kerana kami, Datuk Trio bertanggungjawab sepenuhnya atas pendedahan ini dan demi Allah Yang Maha Mengetahui, tindakan diambil ini semata-mata bertujuan menzahirkan kebenaran.


“Bukan sekali-kali memfitnah atau bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu atau kepentingan peribadi kami sendiri...ini lebih kepada soal maruah, agama, bangsa dan negara (kerana) kita tidak mahu anak cucu kita mempersalahkan kita kelak kerana membiarkan orang tidak bermoral memerintah dan menerajui negara,” katanya.

Shazryl Eskay berkata, mereka juga sedar apakah balasan diterima di akhirat sekiranya melakukan fitnah, namun tetap percaya berada pada pihak yang benar dan apa lebih penting adalah penduduk negara ini tahu siapa sebenarnya suami kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.
Menurutnya, hanya beliau seorang saja yang melafazkan sumpah laknat di hadapan ulama di masjid berkenaan, tetapi tidak menolak kemungkinan Rahim dan Shuib menyertainya bersama jika keadaan memerlukan.

“Ramai pihak menyuruh saya melafazkan sumpah ini dan ada juga menghubungi minta berbuat demikian, jadi saya menyahut seruan itu dan akan melafazkannya di hadapan ulama di Masjid Amru Al-As...pihak masjid tahu kami akan ke sana dan siapa ulama yang menyaksikan, hanya diketahui esok (hari ini),” katanya.

Beliau menjelaskan sekiranya Anwar tidak hadir ke upacara berkenaan beliau tetap meneruskan apa dirancang dan tidak mahu menuduh pemimpin pembangkang itu pengecut.

Mengenai sampel DNA beliau yang diserahkan kepada polis di Bukit Aman, kelmarin, Shazryl Eskay memberitahu ia hanya bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa bagi menyelesaikan kes berkenaan.
-mymetro

Anwar dicabar bersumpah laknat



MASJID Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur akan menjadi tempat Shazryl melakukan sumpah laknat hari ini.


KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah iaitu salah seorang trio Datuk T menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama melafazkan sumpah laknat berhubung rakaman video seks membabitkan seorang lelaki didakwa mirip pemimpin pembangkang di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul di sini selepas solat Jumaat hari ini.
Dua lagi trio itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim turut menunggu kehadiran Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu di masjid berkenaan.
Sumpah laknat itu akan dilakukan oleh Shazryl dan beliau turut mewakili Rahim dan Shuib dalam melakukan sumpah laknat itu.
Jika Anwar tidak hadir, Shazryl yang mengaku mengenali Anwar secara peribadi akan melakukan sumpah laknat itu tanpa Anwar.
Shazryl berkata, beliau mahu melakukan sumpah laknat itu bagi membuktikan dakwaannya bahawa Anwar merupakan pelaku lelaki dalam video seks yang dibongkar pada 21 Mac lalu.
“Saya juga mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk hadir menyaksikan sumpah itu nanti.
“Saya menadah tangan ke hadrat Ilahi supaya membuka hati Anwar Ibrahim agar dapat bertaubat, insaf dan kembali ke pangkal jalan,” kata Shazryl pada sidang akhbar di Hotel Impiana di sini semalam.
Beliau berani bersumpah bahawa pelaku dalam video seks itu adalah Anwar kerana beliau sendiri berada di lokasi rakaman tersebut dan juga berada dalam rakaman berkenaan. Turut bersama Shazryl pada sidang akhbar itu ialah Rahim dan Shuib.

YouTube - USTAZ AZHAR - PENGURUSAN MAYAT 19 APRIL 2009 [PART 1]

YouTube - USTAZ AZHAR - PENGURUSAN MAYAT 19 APRIL 2009 [PART 1]: ""