MANILA: Saudara mara 57 mangsa pembunuhan beramai-ramai di selatan Filipina pada 2009 menyaman bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo semalam berhubung pembunuhan itu yang didakwa mereka boleh dihalang.Sekurang-kurangnya dua sekutu Arroyo, termasuk bekas gabenor wilayah autonomi Islam itu, antara 100 suspek yang dibicarakan atas tuduhan bunuh dalam pertumpahan darah bermotifkan politik paling buruk di negara itu.Mangsa termasuk 32 pekerja media, menjadikan kejadian itu pembunuhan wartawan paling buruk di dunia.
Arroyo ditahan minggu lalu atas dakwaan mengarahkan bekas gabenor, Andal Ampatuan Sr, dan seorang lagi pegawai melakukan penipuan dalam pilihan raya dua tahun sebelum pembunuhan itu berlaku.
Arroyo mengutuk pembunuhan itu dan menafikan mengetahui mengenainya tetapi peguam plaintif, Harry Roque berkata, dia sepatutnya tahu Ampatuan dan anaknya memang berbahaya.
Roque memfailkan saman semalam, menuntut ganti rugi 15 juta peso (RM1.03 juta) menuduh Arroyo sengaja tidak mempedulikan pencabulan hak asasi manusia selama sedekad di wilayah itu dan sebaliknya menjalin hubungan baik dengan Ampatuan yang terbukti penting untuk dia terus berkuasa dalam politik.
Wartawan, pemandu dan pembantu mengiringi keluarga dan penyokong saingan politik Ampatuan dalam perjalanan memfailkan pencalonan dalam pilihan raya wilayah apabila sekumpulan lelaki bersenjata diketuai bekas datuk bandar Andal Ampatuan Jr menahan dan membawa mereka ke bukit berhampiran sebelum dibunuh dan ditanam beramai-ramai.
Keluarga Ampatuan adalah sekutu politik Arroyo tetapi selepas pembunuhan itu, mereka disingkirkan daripada partinya. Arroyo turut mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah Maguindanao, membolehkan tentera dan polis menangkap suspek dan cuba memulihkan keamanan.
Roque berkata, walaupun tiada bukti Arroyo adalah dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu, bekas pemimpin itu bukan saja membiaya dan memberi senjata kepada keluarga Ampatuan tetapi turut melindungi mereka. – AP
'via Blog this'