Sunday, October 23, 2011

Blogger sembunyi wajah ketika dirakam gambar

Aslani M
KOTA BHARU, 23 Okt: Saksi plaintif kes saman anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa terhadap blogger Mohd Faisal Rohban Ahmad memberitahu defendan cuba menyembunyikan wajah ketika gambarnya dirakam semasa beliau menghantar writ saman.
Mohd Shah Karim, 30 berkata, semasa menghantar writ saman kepada Mohd Faisal pada 31 Mei 2010 dia membantah ketika cuba dirakam gambar dengan telefon bimbit di hadapan rumahnya di Shah Alam.
“Ketika saya sampai di rumahnya dia baru tiba dan terkejut ketika diberitahu ada notis saman daripada Datuk Husam.
“Selepas itu beliau menghubungi rakan, peguam dan anggota polis. Tidak lama kemudian datang seorang anggota polis lengkap beruniform dan dua lagi berpakaian biasa serta peguam.
“Anggota polis yang datang dengan kereta Kancil itu membaca wris saman yang saya bawa, kemudian meminta kad pengenalan saya dan Faisal. Ketika itu saya nampak namanya pada kad pengenalan,” katanya menjawab soalan peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.
Kes terebut dibicara di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Plaintif diwakili peguam Hisham Fauzi.
Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”
Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.
Ekoran itu plaintif melalui peguamnya mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.
Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.
Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.
Mohd Shah seorang peniaga yang berasal dari Salor, merupakan saksi kedua kes tersebut.
Sebelum itu Husam dalam keterangan secara bersumpah memberitahu mahkamah sebelum artikel tersebut disiarkan beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Faisal.
Katanya, selepas artikel tersebut disiarkan, beberapa blog lain turut memetik rencana tersebut sehingga nama baiknya sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbir kerajaan terjejas teruk.
”Oleh itu saya berpendapat wajar dikenakan ganti rugi yang lebih tinggi kerana melemparkan fitnah sehingga menjatuhkan air muka seseorang,” katanya.
Husam berkata, berdasar kepada pencarian dibuat blog tersebut didaftar bukan menggunakan namanya yang sebenar, sedangkan nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan daerah mengundi merupakan milik Mohd Faisal.
Ketika disoal balas peguam defendan, Husam memberitahu Mohd Faisal menggunakan alamat yang sering berubah-rubah, namun rumah bapanya dikesan di Wakaf Bharu, Tumpat.
Menjawab soalan peguam lagi katanya, selepas menerima notis saman, defendan tiba-tiba berubah sikap di mana Faisal dalam SMSnya memberitahu mahu sertai PAS dan memohon balak.
Hakim kemudian menangguh kes tersebut dan menetapkan sambung bicara pada 12 dan 13 Disember hadapan.
Adly sebelum itu memohon penangguhan kes tersebut memandangkan anak guamnya sedang menunaikan haji.
Beliau juga memberitahu akan mengemukakan tiga saksi iaitu Mohd Faisal, wakil daripada Umno Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Blogger sembunyi wajah ketika dirakam gambar:

'via Blog this'

Najib disabotaj isu Aziz?

Ahmad Lutfi Othman
Semasa pemerintahan Najib Razak nampak terkial-kial menyusun program menagih sokongan rakyat, banyak pula insiden menimpa yang makin menyukarnya untuk memulihkan imej BN bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pengumuman transformasi politik, seperti janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada malam Hari Malaysia lalu, menjadi pudar apabila dalam masa sama ia disusuli tindakan-tindakan "keras, tidak demokratik, dan menutup ruang perbahasan secara sihat".

Misalnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di bawah Kanun Keseksaan kerana pandangannya berhubung peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950, ketika berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Apakah hanya kerana mempunyai pandangan berbeda tentang sejarah perjuangan kemerdekaan negara, maka mahkamah terpaksa dipilih untuk mengadili Mat Sabu, dan bukannya melalui perdebatan, perbahasan atau dialog?

Terkini, tambah membebankan Najib apabila pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari, digantung tugas dan dilarang memasuki kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disebabkan pandangan beliau terhadap isu yang berkaitan dengan bidangnya.

Gejala ini bukan perkara baru. Sebelum ini ramai tenaga akademik menerima surat amaran daripada pentadbiran universiti ekoran pandangan atau kenyataan akhbar yang dilihat menimbulkan "kegemparan", walaupun ia menyentuh bidang kepakaran atau hasil penyelidikan mereka.

Hanya kerana isu jerubu melanda negara atau masalah sosial generasi muda, yang ditimbulkan oleh pensyarah dalam bidang berkenaan, mereka boleh mendapat "surat cinta" dan terpaksa "menutup mulut" kemudiannya. Ada juga pensyarah sains politik yang ditegur kerana bercakap dengan pihak akhbar mengenai tuntutan bertindih dengan negara jiran.

Justeru, golongan cendekiawan kita semakin bersendirian, tinggi di menara gading, terpisah dengan realiti masyarakat, ibarat "mati di pucuk". Mereka seperti dilarang menyumbang idea dan menyalur pandangan bernas terhadap pergolakan atau konflik di persekitaran. Waduh ... bukan saja malang berganda tetapi juga membazirkan wang rakyat.

Ternyata, kebebasan akademik dan hak bersuara warga kampus dinafikan serta dicabuli pentadbiran (baru) UIAM. Reaksinya, seperti diduga, merata dan merebak dengan cepat. Suara simpati dan sokongan terhadap Aziz segera tumpah di mana-mana, terutama di laman sosial, facebook.

Dalam waktu singkat, selepas sehari Aziz digantung tugas, aksi protes melalui demonstrasi berjaya digembleng, di UIAM sendiri. Anak-anak muda, mungkin sebahagiannya anak murid beliau, bingkas bangun bersuara lantang. Selama ini kampus Gombak itu tidak pernah mengizinkan kelompok mahasiwa pro-Umno menerajui gerakan pelajarnya.

Ia juga difaktorkan oleh kewibawaan dan keberanian Aziz, yang diakui ramai. Malah beliau pernah membidas keras Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan polemik dalam parti. Suatu bukti Aziz bersuara tanpa takut, tanpa segan.

Dalam mempertahankan Abdul Aziz, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang juga prof madya undang-undang, Dr Azmi Sharom berkata, Akta Hasutan sendiri membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.

Baginya, Aziz semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan. Menurut Azmi, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.

Setiausaha Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Prof Madya Dr Rosli Mahat turut melahirkan rasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang dikenakan terhadap Aziz.

"Aziz seorang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dari Universiti Oxford, London, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras: "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Ia tindakan mengampu dan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik. UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran."

Secara peribadi Aziz mudah didekati, tidak lokek idea, dan sebagai pengamal media, saya begitu senang sekali dengan minat mendalamnya terhadap dunia penulisan dan penerbitan. Lebih 10 tahun lalu, semasa saya menerbitkan majalah Detik, Wasilah dan siri akhbar tidak berkala di Medan Idaman, tidak jauh daripada kampus UIAM Gombak, Aziz agak kerap mengunjungi pejabat Penerbitan Pemuda.

Selain bertukar-tukar fikiran dan cerita, Aziz cukup prihatin dengan mutu bahan penerbitan kami. Lebih mengujakan, ziarah beliau bersama-sama bahan yang kami boleh manfaatkan. Bukan sekadar kritikan membina, tetapi juga tulisan yang boleh dikongsi pembaca.

Lama sebelum komentarnya terhadap Sultan Selangor, bicara Aziz menampakkan beliau benar-benar independen. "Selepas Prof Jomo KS ke PBB, saya lihat satu-satunya tokoh pemberani di kalangan ahli akademik adalah Prof Aziz Bari. Hairan ya, dia seperti tidak takut langsung untuk bersuara," kata seorang sahabat lama dari Skudai, Johor.

Saya kira tekanan ke atas pentadbiran UIAM untuk mengambil tindakan ke atas Aziz bukan semata-mata disebabkan kenyataan terakhirnya itu. "Dendam" ini sudah lama meruap. Pihak tertentu hanya menunggu masa sesuai untuk "memerangkapnya".

Apa pun, yang pasti, episod gelita ini bukan sahaja meninggalkan kesukaran berpanjangan buat Najib tetapi telah menggagalkan usaha tungkus-lumusnya membina imej baru BN menjelang PRU13. Tokoh sehebat Aziz tidak rugi apa-apa jika disingkirkan. Peluangnya terbuka luas di tempat lain.

"Soalnya, apakah ini petanda jelas ada perancangan untuk sabotaj Najib daripada dalam? Generasi muda dan masyarakat kelas menengah terkesan dengan isu Aziz Bari ini," kata seorang editor kanan, yang mengakui hairan dengan tindakan drastik UIAM itu.
Najib disabotaj isu Aziz?:

'via Blog this'

Rakyat bayar GST, pemimpin bermewah

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 23 Okt: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah.

Pada masa yang sama, rakyat pula katanya bakal dikenakan cukai barangan GST (Goods and Services Tax) yang sekaligus menyaksikan rakyat bawahan akan terus terbeban.

“Rang Undang-Undang berkaitan sudah diedarkan, tunggu masa hendak diluluskan dan akan dilaksanakan kutipan cukai baru itu ke atas segenap lapisan rakyat tanpa mengira miskin atau kaya.

“Sedangkan dia tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah, bahkan memperkenalkan cukai baru," katanya.

Beliau berucap pada program Penjelasan Sidang Dewan Undangan Negeri dan Bajet 2012 Muslimat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lajnah Penerangan Muslimat PAS Negeri di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa perbelanjaan negara terus bertambah akibat pemborosan, pembaziaran, kebocoran dan ketirisan.

“Sebagai contoh, perbelanjaan perjalanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib mencecah RM17 juta, pembayaran bill utility rumah Perdana Menteri dan Timbalannya serta bill air menelan belasan jutaan ringgit.

“Perbelanjaan itu boleh dikawal jika sekiranya cara hidup mewah dihentikan,” katanya.

Menututnya, ini berbeza dengan cara hidup menteri besar di negeri Pakatan Rakyat yang tidak menduduki rumah rasmi, bahkan mendapat pujian daripada Jabatan Audit Negara berkenaan pembaziran dan pemborosan.

Pemberian one-off hasil hutang

Selain itu, beliau mendakwa pengumuman insentif dalam Bajet 2012 oleh Datuk Seri Najib yang bersifat ‘One Off’ adalah hasil daripada hutang.

Menurutnya, negara terpaksa menambah hutang bagi menampakkan BN membiayai rakyat pada masa yang sama mereka menambah defisit negara.

“Hutang yang terpaksa dibuat bagi menampung defisit dan hutang jugalah bagi membiayai rakyat,” dakwanya.

Megnulas Laporan Ketua Audit Negara yang tidak dibentang biarpun perbahasan Bajet 2012 di peringkat dasar telah pun tamat, beliau yakin ada sesuatu yang tidak kena.

“Biasanya bukti-bukti salah urus ini akan dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, setiap tahun.

“Peristiwa (kelewatan) ini saya lebih melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun penjelasan diberikan pihak Jabatan Audit,” katanya.
Rakyat bayar GST, pemimpin bermewah:

'via Blog this'

Haram liwat isteri di bawah Ta’zir bukan Hudud

Ust Dr Khairuddin Razali Liwat isteri menurut Mazhab Syafie adalah perlakuan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir. Menurut al-Imam al-Syarbini:- seorang tokoh Mazhab Syafie- “Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.
Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani –salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’I al-Sana’i`:
“dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, m/s 24. Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.
Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.
Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)
Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“ (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)
Seksyen 14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/
Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.
Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal? Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud.
Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.
Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negative kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.
Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir? Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.
Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.
Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof –salah seorang tokoh mazhab Hanafi-.
Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.
Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

** Ust Dr Khairuddin Razali adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat
Haram liwat isteri di bawah Ta’zir bukan Hudud:

'via Blog this'

Dr M, Utusan dan Zul Nordin berdepan saman

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Okt:Pensyarah Undang-Undang yang sedang digantung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengarahkan peguamnya menghantar notis tuntutan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin dan Utusan Malaysia.

Notis yang akan mula dihantar esok itu, menuntut ketiga-tiga mereka membuat permohonan maaf dan membayar pampasan berikutan pernyataan atau penerbitan mereka yang telah mencemarkan nama baik Abdul Aziz.

"Kami menerima arahan untuk menghantar notis tuntutan daripada Abdul Aziz dan kami akan menghantarnya mulai esok," katanya dipetik Malaysiakini.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, peguam Mohd Hanipa Maidin berkata profesor itu akan memfailkan saman fitnah ke atas mereka.

Dr Mahathir selepas menyempurnakan pasa satu majlis 16 Oktober lalu, dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata tindakan Abdul Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar.

Tindakan ke atas Zulkifli pula, dipercayai berkaitan kenyataan yang dikeluarkannya dalam beberapa media termasuk Utusan. Ini termasuk kerana melabelkan pensyarah itu bersifat biadab dan kurang ajar berhubung ulasannya terhadap titah Sultan Selangor.

Hanipa berkata profesor itu juga sedang mempertimbangakan mengambil tindakan undang-undang ke atas Senator Ezam Mohd Nor berikutan kenyataan beliau kepada media yang berasaskan laporan Utusan sehingga menyebabkan dirinya disoal-siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak polis.
Dr M, Utusan dan Zul Nordin berdepan saman:

'via Blog this'

Putera Mahkota Arab Saudi mangkat


RIYADH 22 Okt. - Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdul Aziz Al Saudi, 86, mangkat hari ini, kata pihak istana dalam satu kenyataan.

Baginda yang juga Menteri Pertahanan dan Penerbangan Arab Saudi merupakan pewaris takhta negara pengeksport minyak utama dunia itu.

Kesihatan Putera Mahkota semakin merosot sejak akhir-akhir ini dan baginda lebih banyak menghabiskan masa di luar negara untuk menjalani rawatan.

Baginda berada di Amerika Syarikat (AS) sejak pertengahan Jun lalu untuk menerima rawatan sebelum menjalani pembedahan pada Julai, tetapi tiada maklumat terperinci dikeluarkan mengenai situasi kesihatannya.

"Dengan penuh kesedihan, Raja Abdullah berdukacita atas kemangkatan adiknya, Sultan di luar negara akibat sakit awal pagi ini," kata kenyataan itu yang dipetik agensi berita Saudi (SPA) dan televisyen kerajaan.

Kemangkatan Putera Mahkota berlaku ketika Raja Abdullah sendiri masih dirawat di hospital Riyadh, seminggu selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

Raja Abdullah kini dijangka mengadakan 'Majlis Baiah' untuk melantik pewaris baru dengan Putera Naif yang merupakan Menteri Dalam Negeri disebut-sebut sebagai calonnya.

Berbeza dengan sistem monarki Eropah, pewaris takhta Arab Saudi tidak jatuh kepada anak lelaki tetapi diberikan kepada adik yang paling tua.- REUTERS/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Safia gesa PBB siasat kematian


KAHERAH 22 Okt. - Balu kepada Muammar Gaddafi, Safia hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kematian bekas pemimpin Libya itu.

''Kami (ahli keluarga Gaddafi) mahu PBB menyiasat kematiannya (Gaddafi. Saya bangga dengan keberaniannya dan anak lelaki saya (Mutassim) yang berjuang menentang pemberontakan selama enam bulan.

''Mereka yang terkorban adalah mati syahid,'' katanya seperti dipetik menerusi laporan stesen televisyen Al Rai.

Safia dan tiga orang anaknya iaitu Aisha, Hannibal dan Mohamed melarikan diri ke Algeria selepas tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menawan Tripoli Ogos lalu.

Terdahulu, sebuah stesen televisyen pro-Muammar Gaddafi yang berpangkalan di Syria hari ini menyiarkan kenyataan ahli keluarga kepada bekas pemimpin Libya itu agar jenazah Gaddafi yang terbunuh dalam satu pertempuran kelmarin diserahkan kepada mereka.

Mereka juga merayu supaya jenazah anak lelaki Gaddafi, Mutassim turut diserahkan untuk dikebumikan.

Bagaimanapun, tiada laporan lanjut dinyatakan mengenai identiti ahli keluarga Gaddafi yang membuat tuntutan tersebut.

Di pihak lain, puak-puak pro-Gaddafi turut menuntut agar diberikan peluang untuk mengurus dan mengebumikan jenazah Gaddafi.

"Kami menyeru Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amnesty International untuk memaksa Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyerahkan jenazah mereka termasuk pejuang pro-Gaddafi kepada puak kami di Sirte.

"Ini membolehkan mereka melaksanakan upacara pengebumian mengikut cara Islam," jelas puak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap tentera NTC di Misrata, Fathi al-Bashaagha berkata, pihaknya tidak akan melakukan bedah siasat terhadap jenazah Gaddafi walaupun terdapat laporan berbeza berhubung kematian Gaddafi. - REUTERS/AFP/dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'