Wednesday, June 22, 2011

KDN senarai hitam 20 IPTS

PULAU PINANG 21 Jun – Lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) disenarai hitam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) daripada mengambil penuntut luar negara kerana disyaki membawa masuk pekerja asing menggunakan pas pelajar.

Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen, Abdul Hamid Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati kebanyakan IPTS terlibat memberi maklumat tidak tepat mengenai profil penuntut asing masing-masing bagi mengelak kegiatan mereka diketahui pihak berkuasa.

Justeru jelas beliau, pihaknya melalui Bahagian Pas Pelajar tidak akan mengeluarkan pas bagi pengambilan penuntut baru untuk IPTS tersebut.

“Dalam lawatan yang kami buat, ada IPTS yang mempunyai pendaftaran penuntut asing lebih daripada 1,000 orang sedangkan premis pengajiannya hanya mampu memuatkan 80 orang dan yang paling menghairankan, didapati cuma sembilan penuntut asing yang belajar.

“Bila dipersoalkan mereka gagal memberi jawapan. Kami percaya ada pihak-pihak tertentu telah menggunakan kolej untuk membawa pekerja asing yang kononnya berdaftar sebagai penuntut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbincangan meja bulat bengkel sistem dan prosedur penguatkuasaan pemerdagangan manusia anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut menjadi panel dalam perbincangan itu ialah Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Latifah Md. Yatim.

Dalam perkembangan berkaitan menurut Abdul Hamid, pihaknya baru-baru ini membatalkan kelulusan sekumpulan rakyat India daripada memasuki negara ini untuk melanjutkan pengajian di IPTS meskipun kelulusan mengenainya telah diberi pihak berkaitan.

“Bayangkan hasil siasatan yang dibuat, kesemua mereka tidak langsung pandai membaca. Macam mana mahu jadi pelajar kalau berkeadaan begitu. Sudah pasti mereka bukan pelajar yang sepatutnya tetapi dibawa masuk oleh pihak tertentu untuk tujuan lain," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bersih: 790 laporan polis dibuat



AMIR Amsaa Alla Pitchay (dua dari kanan) dan Ketua PPP Ampang, Datuk Thajudeen Mohideen (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis mengenai perhimpunan haram Bersih 2 di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin


KUALA LUMPUR 21 Jun – Sebanyak tiga lagi laporan polis dibuat di sini hari ini yang membantah perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2, pada 9 Julai ini.

Laporan polis itu menjadikan jumlah keseluruhan laporan yang dibuat di seluruh negara setakat ini meningkat kepada 790.

Tiga laporan polis terbaharu itu dibuat oleh PPP, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) peringkat pusat dan Cawangan Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Sumber berkata, sehingga semalam sebanyak 787 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh pelbagai pihak terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, parti politik dan individu.

Katanya, laporan polis tertinggi dibuat di Pahang iaitu sebanyak 114 diikuti Kedah (86) dan Kuala Lumpur (79).

“Kesemua laporan dibuat kerana tidak bersetuju penganjuran perhimpunan haram itu yang bakal mengundang masalah kepada rakyat.

“Laporan juga menyatakan perhimpunan haram itu agenda jahat parti politik pembangkang yang didalangi pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihaknya menggesa semua pihak yang ingin mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini supaya menghentikan niat mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kami tidak mahu mana-mana pihak mengadakan perhimpunan untuk bertelagah sesama sendiri.

“Oleh itu, pihak polis perlu mengambil tindakan tegas untuk memastikan perhimpunan haram itu tidak berlaku,” tegasnya.

Di IPOH, Gerakan Belia 4B Kampung Kuala Pari mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga yang berdegil mahu meneruskan perhimpunan haram itu.

Pengerusinya, Mohd. Shahdu Azree Mohamed Yusof berkata, Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam itu perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Ini kerana, beliau merancang melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan imej negara,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Mohd. Shahdu Azree mengetuai kumpulan pemimpin Gerakan Belia 4B Kampung Sungai Pari membuat laporan di IPD Ipoh bagi mendesak polis mengambil tindakan awal untuk menghalang perhimpunan haram itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

3 sekolah agama sebar Salafiah Jihadiah ditutup


KUALA LUMPUR 21 Jun - Tiga buah sekolah agama di seluruh negara telah ditutup selepas dikesan menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah iaitu merekrut pelajar untuk terlibat dalam kegiatan militan Jemaah Islamiah (JI) bagi melancarkan jihad perang ke atas kerajaan yang didakwa tidak Islamik.

Salah sebuah sekolah agama yang terlibat adalah Sekolah Agama Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor yang diasaskan pemimpin JI, Ali Ghufron atau dikenali sebagai Mukhlas, telah ditutup pada 2002.

Menurut sumber polis, anak lelaki Muhamad Iqbal @ Abu Jibril, pemimpin JI yang dikenali sebagai Mohd. Jibril merupakan anggota kumpulan Al-Guraba JI yang dibentuk bagi melahirkan pemimpin pelapis JI, pernah belajar di sekolah agama tersebut.

"Seramai 15 anggota kumpulan sel Al-Guraba, JI ini termasuk 13 pelajar Sekolah Luqmanul Hakiem yang kebanyakannya anak-anak anggota JI ditahan di Pakistan tahun 2003," kata sumber itu.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan pengakuan seorang pelajar sebuah sekolah agama di Tampin, Negeri Sembilan yang mengaku diminta berbaiah untuk menyimpan rahsia kegiatan gerakan itu untuk menjatuhkan kerajaan menerusi jihad.

Selain diminta baiah, pelajar yang dikenali sebagai Ahmad, 18, turut mendakwa mereka diajar menyertai perhimpunan haram menentang polis.

Selain itu, kata sumber tersebut, Sekolah Agama al-Quran Waddin di Bandar Baru Uda, Johor Bharu yang diasaskan anggota kanan JI telah ditutup pada tahun 2009.

Sebuah lagi sekolah agama yang baru ditutup pada tahun lalu adalah Sekolah Raudhatul Muwahidun, Kelantan yang diasaskan oleh beberapa anggota kumpulan kecil JI 'Tanzdim Al-Qaeda Asia Tenggara' yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kata sumber itu, tiga graduan UTM, Johor pernah ditahan di Thailand kerana terlibat dalam kegiatan militan di negara itu. Dua daripada mereka telah dijatuhkan hukuman penjara 28 tahun kerana terlibat dalam aktiviti keganasan di selatan Thailand manakala seorang lagi dibebaskan.

"Dalam operasi berasingan di Malaysia, dua lagi graduan ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Ogos dan Disember lalu dan kini sedang menjalani Perintah Tahanan selama dua tahun di Kamunting, Perak manakala seorang lagi menghilangkan diri," katanya lagi.

Menurut sumber itu, kumpulan militan kini terus menjadikan universiti tempatan sebagai sasaran untuk merekrut anggota-anggota baru.

Jadi persoalan yang timbul, dari mana datangnya sumber kewangan kegiatan kumpulan itu untuk mengadakan usrah menanam ideologi, latihan-latihan jihad dan bengkel-bengkel demonstrasi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

4 ketua JI menuntut di maahad

KUALA LUMPUR 21 Jun – Empat pemimpin militan Jemaah Islamiah (JI) dikesan pernah belajar di sebuah maahad swasta di negara ini seterusnya mengembangkan kepakaran mereka dalam kegiatan militan di Malaysia.

Kesemua mereka pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam pelbagai jenayah militan, antaranya melakukan pengeboman berani mati di Bali, Indonesia pada 12 Oktober 2002.

Menurut sumber polis, salah seorang daripada mereka iaitu Nasir Abas, 42, merupakan rakyat tempatan kelahiran Johor dan pernah dilantik sebagai Ketua Mantiqi 3 JI meliputi kawasan Sabah, Sulawesi dan selatan Filipina.

Menurut pengakuan Nasir yang telah dibukukan, dia diminta membantu menjadi tenaga pengajar di maahad swasta tersebut pada tahun 1984, namun membuat keputusan untuk menjalani latihan di Afghanistan pada tahun 1987.

Selepas tamat latihan di Afghanistan pada 1992, dia diarahkan membuka kem latihan JI di selatan Filipina.

Pengakuan terbuka Nasir bersama tiga pengikut berani mati JI juga pernah disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan.

“Nasir bersama tiga lagi anggota JI ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas terlibat dalam insiden yang mengorbankan 202 orang itu.

“Dia dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia dan kini menyertai program-program komuniti pemulihan ideologi Salafiah Jihadiah di kalangan pengikut tegar JI di negara itu,” kata sumber itu.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mendedahkan kegiatan sebuah maahad di negara ini yang didakwa menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah dengan merekrut pelajar sebelum dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan selatan Filipina.

Sumber itu memberitahu, selain Nasir, tiga lagi pemimpin yang pernah belajar di maahad tersebut ialah warga Indonesia iaitu Ali Ghufron @ Mukhlas, Sunarto Kartodihajo @ Adung dan Mohamed Iqbal Abdurrahman @ Abu Jibril.

Mukhlas dikatakan mengikuti pengajian di maahad swasta tersebut sejak awal 1986 sebelum menyertai Abdullah Sungkar dan pemimpin JI Indonesia, Abu Bakar Bashir ke Afghanistan pada Mac tahun yang sama.

“Mukhlas merupakan ketua operasi JI dalam projek pengeboman Bali dan dikesan tiba di maahad tersebut pada 1989. Dia ditugaskan merekrut anggota JI baru di Johor dengan membuka sekolah agama Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram.

“Antara yang berjaya direkrut menjadi pakar bom ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Azhari Hussein dan Nordin Mat Top,” katanya.

Kata sumber itu lagi, Abu Jibril pula merupakan pengikut kanan Abu Bakar yang bersama Adung melarikan diri dan bersembunyi di maahad swasta tersebut pada 1985.

Menurutnya, Abu Jibril paling aktif merekrut warga tempatan untuk menyertai JI di sekitar Lembah Klang dan Selangor manakala Adung dilantik sebagai ketua JI di kawasan ini selepas Mukhlas ditangkap pada Disember 2002.

Antara yang berjaya direkrut Abu Jibril ialah Yazid Sufaat, anggota kanan JI Malaysia yang turut dikaitkan dengan operasi al-Qaeda.

Abu Jibril turut dikaitkan dengan beberapa siri pengeboman dilakukan pengebom berani mati JI, Nordin Mat Top.

Sumber itu mendakwa, kedatangan Abdullah Sungkar dan Abu Bakar bersama 50 lagi anggota Darul Islam yang melarikan diri dari pihak berkuasa Indonesia ke maahad tersebut pada April 1985, bukanlah satu kebetulan.

“Faktor utama pemilihan maahad itu sebagai tempat perlindungan dan belajar adalah kerana mereka mengikut fahaman Salafiah Jihadiah yang sama dengan fahaman pengasas maahad tersebut,” katanya lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Yahudi AS turut sertai flotila ke Gaza

NEW YORK: Beberapa Yahudi Amerika Syarikat akan menyertai flotila terdiri daripada kira-kira 10 bot yang akan berusaha mencerobohi kepungan tentera laut Israel terhadap Gaza hujung bulan ini.

“Kami mencari keadilan untuk Gaza,” kata Leslie Cogan, penganjur pelayaran itu, kepada wartawan. Menurutnya, setiap kapal akan mempunyai 36 penumpang, empat anak kapal dan sembilan wartawan apabila ia belayar ke wilayah Palestin itu.


Menurutnya, 28 peratus daripada penumpang berkenaan ialah warga Amerika keturunan Yahudi.

“Adalah penting untuk mempunyai Yahudi dalam bot ini. Pelobi Yahudi sungguh kuat di negara ini,” kata Richard Levy, peguam keturunan Yahudi di New York.


“Kita tidak boleh menyokong kepungan Israel yang tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang itu,” katanya. Bot Amerika, The Audacity of Hope akan berlepas ke Athens sebelum menyertai 10 kapal lain membawa antara 500 hingga 600 aktivis pro-Palestin dari 22 negara. — AP

myMetro | Yahudi AS turut sertai flotila ke Gaza

Izinkan kembar saya mati: Mohammed


MENDERITA...kesakitan berpanjangan, hilang berat badan dan tekanan darah tinggi antara masalah dihadapi Saba dan Farah.
MENDERITA...kesakitan berpanjangan, hilang berat badan dan tekanan darah tinggi antara masalah dihadapi Saba dan Farah.





MASIH BERSEMANGAT...keadaan Saba (kiri) dan Farah ketika mereka dibawa bertemu pakar kembar siam lima tahun lalu.
MASIH BERSEMANGAT...keadaan Saba (kiri) dan Farah ketika mereka dibawa bertemu pakar kembar siam lima tahun lalu.


PATNA (India): Seorang bapa pasangan kembar siam merayu dihulurkan bantuan atau membiarkan saja mereka mati kerana dia tidak sanggup lagi melihat mereka menderita.
Mohammed Shakeel - seorang pekerja gerai teh di Patna, Bihar - hanya memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM320 bagi membiayai keperluan keluarganya seramai lapan orang.

Disebabkan percantuman pada tengkorak anaknya, Saba dan Farah mengalami sakit kepala melampau, selain kesakitan pada sendi.

Pasangan itu juga sukar bertutur apabila usia semakin meningkat.

Walaupun pernah mendapat rawatan pakar hasil bantuan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed, masalah berkenaan masih belum dapat diatasi.


Lima tahun lalu Saba dan Farah, 10, dibawa bertemu beberapa pakar kembar siam, termasuk doktor dari Amerika Syarikat, Benjamin Carson, bagi melihat kemungkinan mereka dipisahkan. Ketika itu, Saba dan Farah bersemangat dan lebih sihat.

Bagaimanapun, Carson mendapati budak kembar terbabit berkongsi saluran darah penting pada otak dan bergantung kepada dua buah pinggang pada tubuh Farah.

Mohammed diberitahu, untuk memisahkan mereka, pakar perlu mengadakan enam pembedahan berasingan dengan kemungkinan besar seorang daripadanya akan meninggal dunia.
Justeru, Mohammed memutuskan untuk tidak menerima tawaran kewangan Sheikh Mohammed bagi membiayai pembedahan berkenaan.

Ketika ini, kesihatan Saba dan Farah semakin merosot sehingga memaksa bapa mereka merayu kepada kerajaan supaya budak terbabit dibenarkan mati.

Katanya, penderitaan anak kembarnya itu perlu ditamatkan kecuali ada pihak tampil memberikan dana merawat mereka.

“Saba dan Farah mahu bergembira seperti kanak-kanak lain tetapi apabila menghadapi kesakitan, mereka meraung-raung meminta tolong,” katanya.

Pergantungan sepenuhnya kepada buah pinggang Farah juga menyebabkan kedua-dua budak terbabit kehilangan berat badan ketara, selain mengalami tekanan darah tinggi.

Kata Mohammed, kerajaan sepatutnya membantu memberikan rawatan untuk anaknya.

“Jika tidak, benarkan mereka mati kerana keadaan Saba dan Farah ketika ini sangat menyedihkan,” katanya.

Abang kembar terbabit, Tamana Ahmad, berkata Saba dan Farah sentiasa dalam kesakitan apabila berjaga - sekurang-kurangnya 15 jam sehari. - DT
myMetro | Izinkan kembar saya mati: Mohammed

18,716 amah lari


DEWAN Rakyat semalam diberitahu 18,716 pembantu rumah asing melarikan diri daripada majikan mereka dengan 17,205 atau 92.3 peratus dari Indonesia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, berkata sehingga Disember tahun lalu, seramai 247,069 pembantu rumah yang memasuki negara ini atau 76.7 peratus adalah dari Indonesia.

“Bagi menangani masalah pembantu rumah asing melarikan diri daripada majikan, khususnya pembantu rumah Indonesia, kerajaan mengambil beberapa langkah antaranya mewujudkan jawatankuasa kerja bersama apabila kita mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal dengan kerajaan Indonesia bermula 2009 hingga Mei lalu.

“Hasil perbincangan itu, kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu protokol pindaan terhadap memorandum persefahaman di antara kedua-dua negara pada 30 Mei lalu di Bandung, Indonesia,” katanya di Sidang Dewan Rakyat di sini, semalam.

Protokol itu bertujuan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan penggajian pembantu rumah termasuk pembantu rumah lari daripada majikan antara kedua-dua negara serta memberikan perlindungan sewajarnya kepada majikan di negara ini.


Selain itu, majikan berhak mendapat penggantian pembantu rumah sekiranya mereka melarikan diri dalam tempoh enam bulan berkhidmat.

Maznah berkata, sistem bio metrik yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1 Jun lalu dapat membantu pihak berkuasa mengesan pembantu rumah asing yang cuba mendapat kerja lain.

Beliau berkata, selain itu, mulai Mac tahun lalu, kementeriannya melalui Jabatan Tenaga Kerja melaksanakan seminar dan dialog pembantu rumah asing yang dihadiri majikan serta syarikat membekalkan pekerja berkenaan.

“Sehingga kini, 89 seminar sudah diadakan membabitkan 1,869 majikan, 1,650 pembantu rumah dan 365 agensi pekerja asing untuk memaklumkan hak serta tanggungjawab ketiga-tiga pihak terbabit,” katanya. Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah mewujudkan sistem biometrik bagi mengesan pembantu rumah yang melarikan diri.

“Garis panduan penggajian pembantu rumah dan talian Nur diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menerima laporan sama ada secara terus daripada pembantu rumah atau majikan yang ingin membuat laporan,” katanya.

myMetro | 18,716 amah lari

Pinjam bank RM3j

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir meminjam RM3 juta daripada HSBC bagi membiayai pembelian dua lot tanah dan rumah di Seksyen 7, pada Mei 2007.

Bekas Pengurus Pusat Premier HSBC Petaling Jaya, Chuah Yew Tean berkata, pihaknya meluluskan permohonan itu berdasarkan laporan penilaian firma Rahim & Co yang menyatakan hartanah itu bernilai RM3.5 juta.


Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, pihak bank menawarkan pembiayaan 90 peratus daripada nilai hartanah atau harga pembelian, mengikut nilai mana yang lebih rendah. Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud pada perbicaraan kes dakwaan salah guna kuasa Dr Mohamad Khir, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 46, didakwa memperoleh dua lot tanah dan rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L bagi diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46.


Ia diperoleh daripada Pengarah Urusan Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni, 55, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.


Hartanah itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini, pada 29 Mei 2007.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Chuah berkata, sebelum perjanjian itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Dr Mohamad Khir yang juga salah seorang daripada pelanggan ‘Premier’ HSBC ingin memohon pembiayaan kewangan. Menurutnya, pelanggan Premier adalah mereka yang mempunyai simpanan tetap melebihi RM200,000 di HSBC. Susulan itu katanya, dia menghubungi ahli politik itu dan Dr Mohamad Khir memaklumkan ingin membeli hartanah di Seksyen 7 di sini, pada harga antara RM3 juta hingga RM3.5 juta. Katanya, bagi tujuan penilaian, beliau bersama dengan penilai dari Rahim & Co dan Shamsuddin ada melawat tapak hartanah yang dimaksudkan.


Terdahulu, Hakim Datuk Mohtarudin Baki menegur portal berita, Malaysiakini berhubung petikan dalam laporan kes dakwaan salah laku bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir, kelmarin yang tidak tepat.


Beliau berbuat demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan kesilapan dalam artikel bertajuk “Saksi: PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) lupus Bon Pelaksanaan syarikat Shamsuddin”.


“Saya betul-betul meminta pemberita supaya membuat laporan yang benar.


“Saya berharap Malaysiakini akan lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.


Terdahulu, Abdul Wahab berkata, laporan portal bahawa tindakan PKNS tidak mengenakan Bon Pelaksanaan terhadap Roniaga Sdn Bhd yang turut dimiliki Shamsuddin sebagai ‘jarang dilakukan’ adalah tidak tepat.


Beliau berkata, tiada soalan dikemukakan Mohtarudin terhadap saksi pendakwaan ke-11, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim berhubung perkara itu ketika perbicaraan kes itu, kelmarin.


Katanya, ini berdasarkan nota keterangan mahkamah. “Apa yang dilaporkan adalah menyimpang jauh. Saya yakin mahkamah memerlukan laporan yang adil, tepat dan munasabah,” katanya.

myMetro | Pinjam bank RM3j

KDN siasat dakwaan warga Singapura dibogel

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan dakwaan dua wanita warga Singapura diarah melucutkan pakaian ketika ditahan pegawai Jabatan Imigresen di Johor, awal minggu ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata satu inkuiri akan diadakan bagi memastikan ketelusan terhadap siasatan dijalankan, yang akan turut melibatkan pihak ketiga selain Jabatan Imigresen.


"Apapun jua, kami perlu menyiasat sehingga ke punca masalah itu. Adalah salah untuk mengatakan Jabatan Imigresen menjadi barisan hadapan, kerana ia tidak. Saya bercakap mengenai isu ini di Dewan Rakyat hari ini. Ia membabitkan pusat tahanan.

"Saya kata ia bukan hanya inkuiri dalaman, apa jua inkuiri yang dilakukan saya mahu pihak ketiga terlibat, pihak penjara dan pihak polis, setelah itu kita akan mencari punca insiden itu," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.


The Straits Times Singapore hari ini melaporkan dua wanita berkenaan, yang memandu menyeberangi Tambak Johor pada 9 Jun lalu dari republik Singapura, mendakwa ditahan pegawai Imigresen Malaysia dan dipaksa menanggalkan pakaian sebelum kedua-duanya diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.

myMetro | KDN siasat dakwaan warga Singapura dibogel

Rebut lesen bazar Ramadan



ORANG ramai beratur untuk membeli borang bazar Ramadan  yang dikeluarkan  MBPJ di  Dewan D’ Klana.
ORANG ramai beratur untuk membeli borang bazar Ramadan yang dikeluarkan MBPJ di Dewan D’ Klana.

Orang ramai tunggu sejak tengah malam dapatkan borang tapak jualan

PETALING JAYA: Siapa cepat, dia dapat! Begitulah situasi di kaunter jualan borang Bazar Ramadan 2011 yang dilaksana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila orang ramai sanggup menunggu di Dewan D’ Klana dan Stadium Kelana Jaya, di sini, seawal jam 12.30 tengah malam untuk mendapatkan borang bagi memperoleh tapak jualan bazar yang hanya dijual bermula jam 9 pagi semalam.

Situasi itu juga menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati apabila pihak tidak bertanggungjawab membuat nombor giliran bermula angka satu hingga 135 bagi tapak Bazar Ramadan Damansara Damai yang membolehkan hanya mereka memiliki nombor berkenaan saja layak mendapat borang.
Lebih memburukkan keadaan apabila mereka yang memperoleh nombor giliran itu turut membabitkan ramai kalangan ahli keluarga sama yang kemudian berhasrat menjual borang berkenaan dengan harga berkali ganda demi mengaut keuntungan segera.
Suri rumah, Sharifah Maznah Syed Mohd Al Yahya, 60, berkata beliau tiba di Stadium Kelana Jaya seawal jam 4 pagi untuk membeli borang jualan tapak Bazar Ramadan Damansara Damai, tetapi hampa apabila individu disangkanya pegawai MBPJ, memaklumkan dia tidak mendapat borang itu kerana nombor giliran sudah mencukupi.

“Mereka ulat nombor dan saya mengetahuinya selepas itu apabila MBPJ memaklumkan tidak menetapkan sistem nombor giliran. Mereka mengagihkan nombor giliran kepada kenalan dan hanya yang memiliki nombor saja dibenar berbaris di kaunter, manakala yang lain dihalau dari kawasan itu.

“Jadi, saya meminta penguat kuasa MBPJ menyiasat hal ini kerana sebaik proses penjualan borang berharga RM5 selesai, ada di kalangan kami menerima SMS menawarkan pembelian borang itu dengan harga lebih RM300,” katanya.

Sebanyak 1,603 petak dibuka untuk jualan membabitkan 21 kawasan Bazar Ramadan MBPJ dan antara lokasi tumpuan peniaga ialah Kota Damansara, Kelana Jaya, Taman Medan dan Damansara Damai kerana strategik, selain bilangan pembeli yang ramai.
Tapak bazar jualan bagi kawasan Damansara Damai dibuka 135 petak, sedangkan peniaga yang menanti untuk mendapatkan borang itu lebih 200 orang hingga menimbulkan ketegangan, manakala di Dewan D’ Klana pula, segelintir peniaga terpaksa berasak bagi mendapatkan borang untuk kawasan Bazar Ramadan Kelana Jaya yang mempunyai 220 tapak.

Proses jualan borang itu juga menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati kerana MBPJ seharusnya menjual borang lebih daripada kuantiti petak disediakan, sebelum membuat pilihan mereka yang layak berniaga di situ.

Norziana Ajmain, 35, berkata proses jualan borang semalam, mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap tindakan MBPJ itu sebagai tidak telus, malah memberi ruang pihak tertentu mengaut untung secara haram.

“Jualan semula borang itu mungkin dilakukan ahli keluarga mereka yang ramai memperolehnya selepas mendapat nombor giliran. Ini tidak adil dan kami berharap MBPJ bertindak tegas membanteras kegiatan ini yang menganiaya peniaga seperti kami yang dinafikan hak untuk membeli borang itu,” katanya.

Ahli Majlis Zon 1 MBPJ, Syed Abd Malik Al Jafree pula berkata, beliau akan menyiasat dan meminta MBPJ meneliti semula borang permohonan yang dihantar kerana kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membeli borang untuk dijual semula dengan harga tinggi.

“Saya akan membincangkan perkara ini serta cuba menyelesaikannya kerana saya sendiri menerima SMS tawaran pembelian borang itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmad Mahayin Said, berkata pihaknya mengeluarkan borang mengikut jumlah petak disediakan dan setiap borang diaudit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peniaga harus menghantar dua keping gambar mereka dan pekerja supaya tidak wujud kes ‘Ali Baba’. Pegawai penguat kuasa akan memantau proses jualan di Bazar Ramadan kelak supaya perkara memajak tapak jualan atau menjualnya kepada orang lain tidak berlaku,” katanya.
Berita Harian Online | Rebut lesen bazar Ramadan

Ada dalang mahu hapus kesan sejarah Melayu-Islam

GEORGETOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan warisan sejarah Pulau Pinang dipercayai menjadi dalang kepada usaha halus untuk menghapuskan kesan sejarah dan warisan Melayu-Islam di negeri ini.

Perkara itu diakui ahli akademik dan pemimpin NGO Melayu bahawa usaha berkenaan dijalankan melalui kegiatan melobi Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya terus menumpukan usaha pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Akibatnya, banyak rumah ibadat dan bangunan lama bercirikan Melayu-Islam di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO tidak diberi perhatian sewajarnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
Agenda halus NGO terbabit menimbulkan polemik di kalangan pencinta sejarah dan warisan orang Melayu-Islam di negeri ini kerana kebanyakan mereka berpendapat masyarakat Melayu-Islam memberi sumbangan besar kepada kewujudan Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, berkata pihaknya mengesahkan kewujudan ‘tangan halus’ itu yang mengakibatkan usaha pemuliharaan warisan Melayu-Islam diabaikan supaya tumpuan diberi kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Katanya, pengabaian itu percubaan memadamkan tinggalan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang, selain berniat menunjukkan orang Melayu bukan bangsa paling awal di negeri ini, sebaliknya Inggeris dan kaum lain.

“Warisan Melayu-Islam di luar tapak warisan dunia memang tidak mendapat perhatian pihak berwajib yang menyebabkan kami termasuk NGO Melayu lain terpaksa berusaha memuliharanya.
“Ini berlaku kerana ada usaha puak tertentu mahu menghilangkan kesan sejarah orang Melayu-Islam melalui pengabaian tinggalan sejarah dan ia wajar dihentikan segera,” katanya kepada Berita Harian.

Ahad lalu, laporan eksklusif Berita Minggu mendedahkan 42 tempat warisan di negeri ini, kebanyakannya kaya dengan sejarah Melayu-Islam tidak mendapat perhatian kerana pihak berwajib lebih menumpukan perhatian di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Perkara itu didedahkan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Dr Saidatulakmal Mohd, hasil maklum balas 238 borang diedarkan kepada orang ramai berhubung usaha pemuliharaan peninggalan lama di Pulau Pinang.

Pendedahan itu mengundang reaksi Persatuan Sejarah Malaysia dan menyifatkan tindakan mengabaikan bangunan bersejarah dan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang sebagai percubaan memadamkan bukti kewujudan penempatan Melayu di negeri ini sebelum kedatangan Inggeris.
Berita Harian Online | Ada dalang mahu hapus kesan sejarah Melayu-Islam

Insentif poligami bersyarat

Kerajaan PAS pertimbang jika lelaki mampu urus baik keluarga

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan menimbang cadangan untuk memberi insentif kepada pengamal poligami di negeri ini yang mampu menguruskan isteri dan keluarga dengan baik mengikut syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata antara syarat dipertimbangkan ialah ketua keluarga itu hendaklah mengisytiharkan isteri masing-masing dan membawa mereka ke dalam masyarakat.
“Mengenai cadangan supaya insentif diberi kepada keluarga yang mengamalkan poligami dan menunjukkan contoh baik, kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu, cuma biasanya pengamal poligami ini sukar untuk dikenal pasti kerana ramai tidak mengisytiharkan isteri kedua dan seterusnya,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, semalam.
Pada sesi DUN Kelantan kelmarin, Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumboh) mencadangkan supaya satu insentif diberikan kepada pengamal poligami contoh yang mampu mengurus isteri dan keluarga dengan baik.

Wan Ubaidah ketika diminta mengulas lanjut mengenai insentif berkenaan di luar dewan berkata, setakat ini pihaknya masih belum mempunyai kriteria khusus bagi membolehkan pengamal poligami mendapat insentif seumpama itu.

Ditanya sama ada insentif dimaksudkan berbentuk wang tunai atau sebaliknya, beliau berkata perkara itu masih baru dan akan dibincangkan kemudian.

Mengulas sama ada ADUN yang mengamalkan poligami juga layak menerima insentif berkenaan, beliau berkata ia boleh dipertimbangkan sekiranya pihak berkaitan tidak mempunyai halangan.
“Insentif ini tak semestinya lelaki yang berkahwin dengan armalah (ibu tunggal) tetapi boleh juga anak dara, yang penting ketua keluarga ini berjaya mengurus isteri dan keluarga, kriteria pula kita kena bincang, kena ada syarat, tidak berbalah.

“Mereka kenalah isytihar isteri masing-masing seperti Salleh Yaakob (artis yang berkahwin empat), tak bolehlah sembunyi (jika berkahwin lebih daripada satu), kalau (berkahwin) tiga, maka kena jelaskan ada tiga (isteri) itu.

“Isytihar ini bermaksud poligami ini dimaklumkan kepada keluarga, masyarakat tahu dia berpoligami dan membawa isterinya ke dalam masyarakat... yang (menjadi masalah) beratnya ialah ada kahwin satu, kemudian cerai satu, seorang wanita bahagia manakala seorang lain menderita, jika poligami ini kita tak boleh terimalah,” katanya.
Berita Harian Online | Insentif poligami bersyarat

2 lagi hospital dibina di universiti


RUJHAN (kiri) menyampaikan ucapannya pada Majlis Bicara Tokoh dan Pelancaran Laman Web HUSM 2011 di Kampus Kesihatan HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kementerian Pengajian Tinggi akan membina dua buah lagi hospital di universiti tempatan sebagai tempat rujukan dan penyelidikan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, dua hospital pengajar itu akan dibina di Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh.

Menurutnya, buat masa ini, penuntut Fakulti Perubatan universiti berkenaan menjalankan rujukan dan penyelidikan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Petrajaya, Kuching Sarawak.

Jelasnya, hanya tiga universiti mempunyai hospital pengajar sendiri iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah terbukti mampu memberikan perkhidmatan, rujukan dan penyelidikan bertaraf dunia.

“Pembinaan dua buah lagi hospital di universiti ini akan menjadikan jumlah keseluruhan hospital pengajar di negara ini kepada lima buah,” katanya pada Majlis Bicara Tokoh dan Pelancaran Laman Web HUSM 2011 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari dan Ketua Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kampus Kesihatan, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah.

Rujhan berkata, penubuhan hospital berkenaan penting supaya penuntut mendapat latihan yang berkesan sebagai persediaan memberi perkhidmatan setelah bergelar doktor.

“Mereka juga mampu mendapatkan pengalaman dan membuat kajian serta penyelidikan kerana hospital pengajar dilengkapkan dengan pelbagai peralatan moden,” ujarnya.

Kosmo! Online - Negara

Guru agama gesa Anang cepat kahwin

JAKARTA - Hubungan intim antara penyanyi terkenal, Anang Hermansyah dan Ashanty menyebabkan mereka digesa untuk berkahwin dengan segera, lapor sebuah akhbar semalam.

Gesaan itu dibuat oleh guru kerohanian Anang, Kiai Mahmud Nahrowi yang tinggal di Pondok Pesantren Riyadussholihin, Desa Tegal Rejo, Kecamatan Mayang, Jember.

Kiai Mahmud menyarankan Anang menikahi Asyanty selewat-lewatnya September tahun ini bagi mengelak fitnah orang ramai tentang hubungan mereka.

Menurutnya, tiada halangan lagi untuk mereka berkahwin kerana hubungan kedua-dua penyanyi tersebut direstui keluarga. |- Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Cut Tari membisu soal cerai

BANDUNG - Walaupun diasak untuk membuat pengesahan mengenai penceraian dengan suaminya, Yusuf Subrata, pengacara terkenal, Cut Tari (gambar) terus memilih mendiamkan diri daripada memberi penjelasan kepada media, lapor sebuah akhbar semalam.

Tari masih membisu selepas terdapat khabar angin mengenai perpisahan dengan suaminya itu selepas dia terlibat dengan skandal hubungan seks dengan penyanyi Peterpan, Ariel yang kini masih dipenjarakan.

Berita penceraian mereka semakin bertiup kencang selepas Tari kelihatan jarang bersama suaminya di beberapa majlis.

Ketika hadir ke satu sidang media di Hotel Panghegar, Bandung, dia hadir tanpa ditemani suaminya semalam.

Dalam majlis itu, Tari memberikan hadiah kepada peguam yang membelanya dalam kes video porno yang melibatkan Ariel dan dirinya.

Sejurus selesai majlis tersebut, dia terus keluar tanpa memberikan komen kepada pemberita yang bertanya mengenai penceraiannya itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia