Showing posts with label tahanan. Show all posts
Showing posts with label tahanan. Show all posts

Monday, March 14, 2011

Kebanyakan tahanan wanita di penjara Arab Saudi warga asing


JEDDAH: Walaupun kerajaan Arab Saudi tidak menyatakan jumlah tahanan wanita di penjara Arab Saudi, namun menurut Ketua Warden Penjara negara itu, Mejar Jeneral Ali Al-Harithy, kebanyakan tahanan wanita adalah rakyat asing yang ditahan kerana menyalahi tuntutan moral, termasuk terbabit dalam pelacuran.
Jawatankuasa Pemulihan Banduan dan Bekas Banduan di Jeddah menjaga kebajikan 30 tahanan wanita dan kurang daripada 10 tahanan adalah warga Saudi. “Kami membantu 30 tahanan di penjara berbeza di Jeddah untuk mendapatkan bantuan undang-undang apabila mereka tidak mempunyai peguam,” kata Ketua Pengarah jawatankuasa itu, Suhail Sawan. “Jawatankuasa ini menyediakan bantuan kepada tahanan wanita tanpa mengira kerakyatan mereka,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan petugas penjara turut membantu menguruskan sesi lawatan ahli keluarga kepada tahanan rakyat asing.
Sementara itu, pentadbiran penjara, Kementerian Hal Ehwal Sosial dan beberapa organisasi bukan kerajaan menyokong tindakan tahanan yang membawa bersama anak mereka.

Pengarah Penjara Jeddah, Mejar Jeneral Abdul Rahman Al-Ghamdi, berkata penjara wanita dilengkapi pusat asuhan kanak-kanak dan prasekolah untuk anak tahanan. Pendidikan agama menjadi fokus utama tahanan wanita di Arab Saudi. Mereka ditawarkan dengan bantuan guru dakwah wanita yang mahir berbahasa Tagalog dan Indonesia serta pakar dalam pengajian Islam.

Tahanan yang hamil pula menerima pemeriksaan prakelahiran di pusat kesihatan berhampiran.
myMetro

Wednesday, April 14, 2010

66 kematian tahanan polis



KUALA LUMPUR 13 April - Sebanyak 66 kematian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kalangan tahanan pasukan itu sejak 2005 hingga Februari lalu sementara 19 kematian akibat tindakan menggantung diri pula direkodkan Jabatan Penjara dalam tempoh sama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 46 daripada kes kematian dalam tahanan polis disebabkan penyakit.
Sementara itu, katanya, 19 kes kematian lagi berpunca daripada tindakan seperti bergaduh dan menggantung diri manakala satu lagi kes disebabkan penggunaan kekerasan.
"Statistik Jabatan Penjara pula menunjukkan semenjak 2005 hingga Februari 2010 terdapat 19 kes kematian penghuni disebabkan tindakan menggantung diri sendiri.
"Semua kes kematian itu telah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan seterusnya dilaksanakan inkues," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kit Siang ingin tahu jumlah dan punca kematian melibatkan tahanan polis semasa di lokap dan penjara seluruh negara sejak 2005.