DAMSYIK 12. Jan. - Pemberontak Syria menawan pangkalan udara Taftanaz di utara Syria, semalam, satu lagi kejayaan besar pemberontak dalam usaha menguasai seluruh negara ini.
Jurucakap Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, pertempuran di lapangan terbang tentera itu berakhir pada pukul 11 pagi (waktu tempatan), semalam dan kini seluruh pangkalan itu ditawan pemberontak.
Sejurus selepas itu, kerajaan Syria kembali melancarkan serangan dengan mengebom lapangan terbang tersebut dalam cubaan memusnahkannya, namun tidak berjaya.
Pemberontak kini menguasai wilayah utara Syria dan timur, dan pertempuran sengit sedang berlaku dengan tentera kerajaan di beberapa bandar utama dan juga pinggir Damsyik.
"Pangkalan udara yang terbesar ini kini ditawan pemberontak," kata Rami.
Sebelum ini, pemberontak menawan lapangan terbang Hamdan di Albu Kamal, sempadan Iraq, timur Syria dan lapangan terbang tentera Marj al-Sultan di wilayah Damsyik.
Berita terbaharu itu menyusul selepas Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi bertemu Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Bogdanov dan Penolong Setiausaha AS, William Burns di Geneva, Switzerland bagi mengadakan rundingan berhubung usaha menamatkan konflik di Syria.
Selepas lima jam rundingan, Brahimi menekankan tentang penting menamatkan konflik itu secepat mungkin.
"Kami berbincang tentang usaha terkini bagi menamatkan pertumpahan darah, namun saya tidak pasti mengenai penyelesaianya," katanya kepada pemberita.
Rundingan itu diadakan selepas Syria menuduh Brahimi 'berat sebelah' dan sangsi dengan kemampuannya sebagai perantara antarabangsa. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130113/lu_01/Pangkalan-Taftanaz-ditawan#ixzz2HxlFZTYI
© Utusan Melayu (M) Bhd