Wednesday, October 21, 2015

Najib Janji Ambil Tindakan Paling Keras Jika Siasatan 1MDB Dedahkan Wujud Salah Laku


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 7:44 PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji mengambil "tindakan paling keras" terhadap mereka yang bertanggungjawab jika siasatan 1MDB mendedahkan wujud salah laku.
Perdana Menteri berkata 1Malaysia Development Berhad berdepan tempoh yang sangat mencabar namun "langkah-langkah konkrit" sedang diambil untuk menangani keadaan.
Berucap merasmikan Forum Transformasi Global, atau GTF 2015 yang pertama kali diadakan di KLCC di sini Rabu, beliau berkata 1MDB melaksanakan pelan rasionalisasi yang, jika dibiarkan berterusan tanpa halangan, akan membolehkan syarikat itu membayar balik hutang terkumpul dan menyelesaikan "isu-isu aliran tunai" yang dihadapinya.
"Dari segi dakwaan salah laku, terdapat beberapa penyiasatan, sesetengahnya di Malaysia - yang saya sendiri arahkan - dan yang lain dengan pihak berkuasa antarabangsa yang saya alu-alukan," kata Najib.
"Daripada menjalankan perbicaraan oleh media, kita mesti menunggu hasil siasatan, dan jika didapati sebarang bukti salah laku, saya boleh memberi jaminan bahawa tindakan yang paling keras akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.
Sambil merujuk kepada teras forum tersebut, Najib berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, telah menarik minat negara-negara lain dan mendapat pengiktirafan badan-badan antarabangsa yang terkemuka bagi metodologinya dalam membawa transformasi negara.
"Kita telah menerima banyak penghargaan untuk kerja-kerja yang kita lakukan. Tahun lepas sahaja Bloomberg dan Nesta UK - National Endowment for Science, Technology and the Arts - menamakan Pemandu sebagai satu daripada 20 pasukan inovasi kerajaan dalam dunia.
"Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala dapat menyertai senarai 50 pembuat dasar teratas Bloomberg. Institusi yang dihormati seperti Harvard dan Princeton, dan juga Bank Dunia, telah melakukan kajian kes yang ekstensif terhadap usaha Pemandu," kata Perdana Menteri.
Najib berkata, pasukan Pemandu itu menyertai perbincangan intensif dengan kakitangan dari beberapa negara mengenai bagaimana mereka boleh menerima pakai metodologi transformasi Malaysia.
Forum tiga hari itu dianjurkan oleh Big Fast Results Institute Malaysia dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu UNDP.
GTF akan menjadi platform bagi pemegang taruh global untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, dan untuk membangunkan satu keazaman transformasi untuk menangani isu-isu utama sosio-ekonomi. - BERNAMA

Bajet Pakatan Harapan Sokong Zeti Sambung Khidmat Dua Tahun


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 1:56 PM

KUALA LUMPUR: Pembentangan belanjawan alternatif Pakatan Harapan 2016 menyaksikan 10 perkara dasar digariskan bagi mengelakkan krisis ekonomi terus berlaku di negara ini.
Salah daripada perkara yang telah disenaraikan adalah menyokong pelanjutan tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk dua tahun lagi.
Pelancaran belanjawan ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen, Selasa.
Selain itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan dimansuhkan dengan mengumpulkan semua pembekalan bawah senarai kadar sifar bagi mengurangkan inflasi.
1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga akan diletakkan dalam pentadbiran dan pesalah-pesalah berkaitan akan didakwa ke muka pengadilan.
"Kami akan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap 1MDB untuk mendapatkan kembali keyakinan pasaran," menurut ringkasan eksekutif yang terkandung dalam buku Belanjawan Alternatif Malaysia 2016 oleh Pakatan Harapan.
Tujuh lagi perkara dasar yang digariskan adalah seperti berikut:- 
- Memisahkan portfolio perdana menteri dan menteri kewangan
- Menubuhkan tabung pembiayaan petroleum untuk penduduk Sabah dan Sarawak
- Peruntukan kepada perbelanjaan pembinaan kereta api laju KL-Singapura akan diagihkan semula kepada pembinaan landasan kereta api di Sabah dan Sarawak.
- penjimatan RM30 bilion daripada langkah-langkah pencegahan rasuah.
- Mengurangkan dividen Petronas kepada RM20 bilion.
- Penyusunan semula pembayaran bantuan kewangan seCara bersyarat berdasarkan pekerjaan dan kehadiran sekolah
- Menyusun semula subsidi padi dan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.

Bilionair Russia setuju selesai perceraian bernilai RM18 bilion


pemilik kelab bola sepak Perancis, Dmitry Rybolovlev. - Foto AP
GENEVA: Hartawan Russia yang juga pemilik kelab bola sepak Perancis, Dmitry Rybolovlev, mencapai persetujuan dengan bekas isterinya, Elena untuk menyelesaikan perceraian mereka yang disifatkan termahal dalam sejarah.
Pada Mei 2014, mahkamah Switzerland memberi lebih empat bilion franc Switzerland (RM18 bilion) kepada Elena Rybolovlev, bersamaan nilai separuh harta bekas suaminya, dalam perceraian mereka yang ketika itu dilabel 'perceraian paling mahal abad ini'.
Pasangan itu, dalam satu kenyataan bersama kelmarin berkata mereka mencapai persetujuan mengenai syarat perceraian, dalam langkah yang disifatkan 'meletakkan noktah terhadap semua prosedur perundangan yang dilancarkan dalam bidang kuasa berasingan.'
Kenyataan bagaimanapun tidak menyebut jumlah yang dipersetujui. Perjanjian itu dibuat selepas mahkamah rayuan Geneva pada Jun lalu membatalkan arahan tahun 2014, menurunkan bayaran yang diminta daripada pemilik kelab bola sepak AS Monaco itu kepada 564 juta franc Switzerland (RM2.5 bilion) selain dua bangunan hartanah.
Antara punca perbalahan adalah kekayaan Rybolovlev, ketika beliau memindahkan saham pada tahun 2005 kepada sebuah dana dan kemudian menjualnya tiga tahun kemudian dengan keuntungan besar.
Pasangan itu berkahwin di Cyprus dan tinggal bersama selama 23 tahun, namun berbalah berhubung syarat perceraian sejak tahun 2008. - AGENSI

PAS mungkin mansuh lafaz taklik wakil rakyat Kelantan


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Sulaiman
KOTA BHARU: PAS tidak menolak kemungkinan akan memansuhkan penggunaan lafaz taklik cerai talak tiga ke atas isteri yang dikenakan kepada wakil rakyat di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pertimbangan yang akan dibuat dengan melihat keadaan semasa parti itu di Kelantan.
"Taklik ini khusus untuk (wakil rakyat) Kelantan, ia diperkenalkan apabila pada 1995, ketika PAS bersama Semangat 46. Waktu itu kita hanya tinggal satu kerusi lebih (dan) terdapat usaha pihak lawan untuk membeli wakil-wakil rakyat melalui politik wang.
"Kelantan negeri kita memerintah, kita lihat ia sudah kukuh, wakil rakyat kita pun sudah istiqamah, calon-calon kita pun sudah bermutu dan bernilai berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Ijtimak Ulama Nusantara 2015 di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nasaruddin Daud.
Abdul Hadi bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah yang menjadi teras perjuangan parti itu akan dikekalkan dan diteruskan dalam PRU akan datang.
"Alhamdulillah kita dapati wakil-wakil rakyat kita kini konsisten dan istiqamah, taklik ini kemungkinan akan dibuang, bai'ah diteruskan kerana ia teras yang penting," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan ramai berminat menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Abdul Hadi berkata mana-mana pihak boleh membuat dakwaan sedemikian.
"Sehingga kini tak ada sebaliknya apa yang kita dengar, di peringkat negeri ramai yang kembali kepada PAS," katanya.
Lebih 2,000 ulama dari dalam dan luar negara dihimpunkan dalam Program Ijtimak Ulama Nusantara 2015 yang diadakan bagi memperkukuh dan menyelaraskan pemikiran alim ulama dan umat Islam Nusantara pada masa-masa akan datang.
Abdul Hadi berkata, ijtimak ulama itu bagi menghidupkan budaya ilmu termasuk perpaduan dalam masyarakat khususnya untuk memperkenalkan Islam sebagai satu cara hidup.
"Ulama dianggap berpengaruh dalam masyarakat Islam kerana peranan mereka sangat besar...sebab itu kita perlu satu gerakan secara kolektif dan bersatu," katanya.
- BERNAMA

UMNO Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan PAS

PENGERUSI Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman. - Foto Danial Saad
BUKIT MERTAJAM: Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yakin kerjasama politik dengan PAS akan membawa kepada kejayaan kedua-dua pihak.
Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya bersedia untuk menjalin kerjasama ini berdasarkan pendirian UMNO yang enggan melihat Melayu berpecah kepada puak-puak kecil dan berbeza pandangan.
"Kita sedia untuk jalin kerjasama dengan PAS mahu pun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlandaskan Islam.
"Namun keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.
- BERNAMA

Usul undi tidak percaya ke atas PM sia-sia: Mohd Amar

NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa
KOTA BAHARU: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal dibawa PKR pada persidangan Dewan Rakyat kali ini akan menjadi usul sia-sia kerana tiada kesepakatan antara parti pembangkang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul berkenaan ke Parlimen sebelum ini.
"Kalau tak ada persediaan yang baik, tiada perbincangan, tiada kata sepakat, maka usul itu akan jadi usul biasa sahajalah.
"Sebab itu usul ini tak boleh buat main-main macam tu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi.
Semalam, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian daripada PKR dipetik sebagai berkata beliau akan menarik balik hasrat membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa usul sama.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membayangkan usul itu tidak mungkin dapat diterima untuk dibahas pada sesi kali ini kerana setiap usul harus dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.
Ditanya mengenai formula pembahagian kerusi yang dicadangkan DAP dalam kalangan parti pembangkang sebelum ini, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak lagi terikat dengan parti itu selepas masing-masing memutuskan hubungan politik dalam pakatan pembangkang sebelum ini.
Malah, katanya PAS sedang mengkaji untuk meletakkan calon bukan Islam yang bernaung di bawah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk bertanding di kerusi DAP pada pilihan raya umum akan datang.
"Kami akan bertanding (tambah kerusi) dan mungkin kerusi-kerusi DAP pun yang kami rasa ada potensi, kami akan letak calon DHPP untuk bertanding.
"Kami sedang buat kajian dan kami sedang mengumpulkan maklumat kawasan mana yang berpotensi namun perkara itu masih belum dimuktamadkan lagi," katanya.
Lim Kit Siang sebelum ini mencadangkan PAS bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.
- BERNAMA

Isu hutang, aliran tunai 1MDB akan selesai: PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib menyampaikan ucaputama pada program Transformasi Forum Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada pagi ini. - Foto Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dapat membayar hutang dan menyelesaikan isu aliran tunainya jika pelan rasionalisasi yang sedang dijalankan berjaya dilaksanakan tanpa halangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu menempuh tempoh yang sangat mencabar termasuk pelbagai siasatan.
"Langkah konkrit sedang dilaksanakan bagi menangani isu-isu ini, termasuk pelan rasionalisasi yang akan menurunkan paras hutangnya.
"Jika (pelan rasionalisasi) dibenarkan berjalan tanpa halangan, ia akan membolehkan syarikat membayar hutang dan menyelesaikan isu aliran tunai," katanya pada Forum Transformasi Global, di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Kita perlu menunggu hasil siasatan, dan jika ada bukti salah laku, saya akan memastikan bahawa tindakan paling tegas akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab."
Dari segi dakwaan salah laku, Najib berkata ada banyak siasatan dilakukan, termasuk di Malaysia, 'yang saya sendiri arahkan."
Dalam kenyataan baru-baru ini, 1MDB berkata pelan rasionalisasi sedang dilaksanakan, seperti dirancang.
Asas pelan itu antara lain, termasuk 'hutang untuk tukaran aset' dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), jualan ekuiti dalam Edra Energy, jualan ekuiti dalam Bandar Malaysia, jualan tanah di TRX dan pelupusan aset bukan teras.
Keuntungan daripada pelan rasionalisasi ini akhirnya akan mengurangkan hutang 1MDB, ke tahap mampan dan boleh diurus menjelang suku keempat 2015.
Antara lain, 1MDB berjaya menjual lebih RM1 bilion nilai tanah di Tun Razak Exchange tahun ini.
Akhirnya, bidaan terikat akan diterima daripada pembida domestik dan antarabangsa yang disenarai pendek bagi kedua-dua Edra Energy dan Bandar Malaysia antara pertengahan dan akhir Oktober 2015, dengan Perjanjian Jual Beli untuk kedua-dua aset dilaksanakan pada Disember 2015.
Menurut 1MDB, ia berjaya memenuhi, tanpa ingkar, obligasi perkhidmatan dan pembayaran faedah dan prinsipal, kepada peminjam domestik dan asing.
Kerajaan memberi jaminan ke atas RM5.8 bilion hutang 1MDB, dengan RM5 bilion matang pada 2039, dan menyediakan Surat Sokongan ke atas US$3 bilion terbitan bon oleh 1MDB, yang matang pada 2023.
Pada kadar tukaran semasa, jumlah prinsipal hutang jangka panjang ini bernilai kira-kira RM18.7 bilion, katanya. - BERNAMA

Bekas pengikut al-Arqam penuhi ruangan ICU


MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
21 OKTOBER 2015
Ummu Jah

Ummu Jah

ALOR SETAR – Ramai bekas pengikut kumpulan al-Arqam yang diharamkan mula memenuhi ruang menunggu di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakannya mula menunggu seawal jam 8.30 pagi untuk menziarahi balu bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashari Muhammad yang kini dalam keadaan tenat.

Hatijah Aam atau lebih mesra dengan panggilan ‘bonda Ummu Jah’ dimasukkan ke sebuah hospital di Australia Khamis lalu sebelum dipindahkan ke hospital berkenaan pada Sabtu.

Doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa Ummu Jah mengalami koma akibat kematian otak (brain death) dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Menurut sumber, keadaan Ummu Jah kini masih tenat dan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif berbanding hari sebelumnya.

“Hospital masih menanti keputusan ahli keluarga terdekat untuk menghentikan mesin bantuan pernafasan itu sebelum menghantarnya pulang ke Kampung Temalang, Mukim Putat, Jitra,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan keadaan Ummu Jah berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

Ummu Jah sebelum ini berada hampir empat bulan di Australia atas urusan kerja dan bertemu bekas pengikut kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya kurang memuaskan sebelum dimasukkan ke sebuah hospital di sana.

Remaja Islam Pembuat Jam Pindah ke Qatar


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 10:20 AM
Ahmed Mohamed

REMAJA Islam yang sebelum ini ditahan di sekolahnya kerana disalah sangka jam buatan sendirinya sebagai bom jangka, Ahmed Mohamed, memilih untuk menetap di Qatar.

Menurut laporan CNN, Ahmed, 14, menerima tawaran biasiswa pendidikan daripada Yayasan Pendidikan, Sains dan Pembangunan Alam Sekitar Qatar.

Menurut keluarganya, yayasan berkenaan menawarkan tempat untuk Ahmed dalam Program Pereka Muda, yang menyaksikan Ahmed menerima biasiswa penuh untuk pengajian sekolah menengah dan peringkat ijazah.

"Qatar adalah tempat yang menarik untuk dilawati. Saya suka bandar Doha kerana ia begitu moden. Saya nampak begitu banyak sekolah yang menakjubkan di sana.

"Guru-gurunya juga sangat bagus. Saya rasa, saya akan belajar banyak perkara serta bergembira di sana," kata Ahmed menerusi kenyataan.

Pada Isnin lalu Ahmed mengunjungi White House selepas menerima jemputan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Berita penahanan Ahmed, anak pendatang dari Sudan tersebar dan mendapat perhatian ramai apabila kanak-kanak itu dilaporkan digari selepas dia ditahan di kelasnya bersama-sama jam tangan tersebut, setelah pegawai di sekolahnya di pinggir Dallas mendakwa dia membuat bom.

Remaja itu tiba-tiba menjadi seorang bintang di media sosial dengan hashtag#IStandWithAhmed.

Korea Utara Mahu Rundingan Damai Dengan Amerika Syarikat


Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 10:43 AM

KUALA LUMPUR: Korea Utara mengulangi saranan agar Amerika Syarikat mengkaji semula apa yang disifatkan sebagai 'dasar bermusuh' dengan Pyongyang.
Ia turut mahu diadakan rundingan perjanjian damai antara kedua-dua pihak bagi membawa kepada keamanan berkekalan di Semenanjung Korea.
Dutanya ke Malaysia, Kang Chol berkata pencapaian perjanjian damai bagi menggantikan perjanjian genjatan senjata sedia ada perlu diberi keutamaan.
"Sekiranya kita menyelesaikan masalah ini, isu-isu lain boleh diselesaikan dengan mudah. Ini pendirian kami.
"Jika Amerika Syarikat tidak mengkaji semula dasar permusuhan dan mencapai perjanjian damai dengan kami, kami tidak boleh menghentikan program senjata nuklear kami," katanya.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebelum ini dlapor sebagai berkata Washington bersedia mengadakan rundingan yang boleh mengurangkan sekatan ke atas Korea Utara jika sekiranya Pyongyang menunjuk keseriusan dalam menamatkan program senjata nuklearnya.
Duta berkenaan berkata adalah tidak betul untuk membandingkan situasi Korea Utara dengan Iran yang mencapai perjanjian dengan kuasa-kuasa besar pada Julai lalu dalam menangani program nuklearnya.
"Kami adalah negara nuklear, kami telah mempunyai akses kepada senjata nuklear, tetapi Iran bukan negara nuklear, jadi ia agak berbeza," jelasnya.
Kang Chol turut menekankan bahawa sebarang perjanjian di masa depan yang melibatkan negaranya mengenai isu nuklear perlu dipatuhi dengan tegas, tidak seperti yang dialami Pyongyang di masa lalu.
Beliau berkata sekiranya Amerika Syarikat terus tidak menghiraukan seruan Pyongyang untuk menjalin perjanjian damai, ia akan berupa isyarat bahawa Washington tidak mempunyai niat untuk mengkaji semula dasar permusuhannya ke atas Republik Demokratik Rakyat Korea.

Trump, Carson mahu perlindungan


REUTERS - OBAMA (tengah) berjalan ke keretanya dengan diiringi ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia.


WASHINGTON – Dua calon Parti Republikan untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Ben Carson memohon perlindungan daripada agensi Perkhidmatan Rahsia, kata seorang jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) kelmarin.
Agensi dibiayai dana awam itu memaklumkan bahawa telah menerima permohonan mereka.
“Pihak kami akan menilai permohonan tersebut dan mengumumkan keputusannya,” kata jurucakap DHS, Marsha Catron dalam satu kenyataan akhbar.
Carson yang merupakan bekas pakar bedah otak ketika menghadiri satu majlis di Austin, Texas kelmarin memberitahu: “Saya sebenarnya tidak merasakan ia satu keperluan tetapi Perkhidmatan Rahsia berpendapat saya perlu dilindungi”.
Permohonan tersebut diterima beberapa bulan sebelum Parti Republikan dan Parti Demokrat menamakan calon masing-masing dalam pilihan raya Presiden AS.
Trump dan Carson kerap membuat kenyataan kontroversi mengenai isu agama dan etnik minoriti tetapi masih mampu menarik jumlah penyokong yang besar.
Trump pernah menggelar imigran Mexico sebagai perogol dan pembunuh sementara Carson pula tidak mahu orang Islam menjadi Presiden AS.
Sekiranya permohonan mereka diluluskan, Trump dan Carson dapat menjimatkan kos yang banyak dalam aspek keselamatan di samping memperoleh manfaat politik lain.
Tidak pelik untuk calon jawatan Presiden AS meminta dan menerima perlindungan Perkhidmatan Rahsia sebelum penamaan calon dibuat.
Barack Obama menerima perlindungan agensi tersebut pada Mei 2007, 18 bulan sebelum dilantik menjadi Presiden kulit hitam pertama di AS. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3pB1OJy7G 
Hakcipta terpelihara 

NATO enggan undur dari bumi Afghanistan



AFP - ASKAR-ASKAR AS tiba di sebuah lokasi serangan bom kereta di Kabul pada 11 Oktober lalu.


KABUL – Jerman, Turki dan Itali akan mengekalkan bilangan tentera masing-masing di Afghanistan pada tahap sekarang, kata beberapa pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kelmarin.
Keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk menyambung kehadiran tenteranya di Afghanistan.
Kejatuhan seketika sebuah ibu negeri wilayah kepada pemberontak Taliban menyebabkan Barat sangsi tentang kekuatan tentera Aghanistan.
Terdahulu, AS dan NATO menegaskan, perkembangan semasa dan bukannya jadual waktu akan menjadi kayu pengukur bagi pengunduran tentera asing dari negara itu.
Komander NATO di Eropah, Jeneral Philip Breedlove berkata, beliau mendapat jaminan NATO akan mengekalkan tenteranya bersama 10,000 askar AS di Afghanistan.
Jerman yang merupakan penyumbang utama NATO mempunyai kira-kira 850 askar di Afghanistan diikuti Itali dengan 760 anggota tentera dan sekitar 500 askar dari Turki.
Keputusan rasmi mengenainya akan dibuat pada mesyuarat NATO akan datang di Brussels, awal Disember ini. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3pAzvha9j 
Hakcipta terpelihara 

Dron kini perlu didaftar kepada kerajaan


20 OKTOBER 2015
dron

Dron

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pengendali dron kini perlu mendaftarkan dron milik mereka kepada kerajaan persekutuan, kata Jabatan Pengangkutan Amerika Syarika (AS) semalam.

Jabatan berkaitan pendaftaran dron dijangka ditubuhkan pada pertengahan November dan peraturan berkaitan penggunaan dron dikuatkuasakan pada pertengahan Disember.

Menurut laporan ABC News, langkah tersebut diambil selepas insiden yang melibatkan dron berada pada tahap yang membimbangkan.

Kehadiran dron oleh juruterbang dan di lapangan terbang meningkat sebanyak empat kali ganda tahun lepas manakala sekurang-kurang terdapat 18 kes dron terbang secara haram di kawasan melibatkan kebakaran hutan.

"Kami perlu melalui banyak proses untuk mengenal pasti pemilik dron. Kami harap apabila dron didaftarkan, kami mampu mengesan pengendali dron dengan lebih mudah," kata Setiausaha Jabatan Pengangkutan, Anthony Foxx.

Sesetengah dron yang berada di bawah kategori mainan pula akan dikecualikan daripada pendaftaran kerana tidak mendatangkan bahaya.

Peraturan untuk mengawal penggunaan dron komersial dijangka dimuktamadkan pada Jun 2016.