Thursday, April 8, 2010

Nazri pertahan Zul, Zahrain ikuti PM ke AS

Posted by RAKYAT MARHAEN




Datuk Seri Nazri Aziz.
KUALA LUMPUR, 8 April — Tindakan kerajaan menghantar dua Ahli Parlimen Bebas mengikuti rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat adalah bagi memastikan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mempunyai wakil yang mencukupi pada sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab menjaga Parlimen berkata, hal ini penting memandangkan sekarang telah menjadi kebiasaan pembangkang untuk mengadakan undian belah bagi dalam persidangan.
“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk tidak menghantar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk turut serta dalam rombongan tersebut.
“Kita kena tentukan bahawa jumlah anggota Parlimen BN mesti lebih pada setiap masa.
“Dalam masa yang sama tak hantar dari pembangkang yang bukan Bebas kerana tak mahu dituduh nanti, kita hantar mereka dengan tujuan memastikan jumlah mereka kurang,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, akan menyertai pelancaran Kokus (Kongres) Malaysia-Amerika Syarikat di Washington, Rabu depan.
Zulkifli dan Zahrain merupakan antara tiga anggota Dewan Rakyat akan berada di Washington, sekali gus dilihat mencipta sejarah berbuat demikian.
Pemergian mereka menjadi tumpuan selepas tidak lagi mewakili PKR.
Turut menyertai kedua-dua mereka ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mengesahkan Rais dan dua wakil rakyat berkenaan akan menghadiri majlis berkenaan, yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Ia akan dilancarkan oleh Najib pada 14 April.
Zulkifli, yang dipecat dari PKR bulan lalu berkata, beliau akan berada di AS untuk menghalusi beberapa kerja menjelang pelancaran kokus berkenan.
Zahrain pula meninggalkan PKR pertengahan Februari lalu.
Sehubungan itu, Nazri menolak dakwaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bahawa kerajaan mengetepikan Ahli Parlimen BN dan menganggap mereka sebagai anggota Parlimen kelas kedua.
Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa, Lim mempertikaikan keputusan kerajaan untuk menghantar dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Zulkifli dan Zahrain bagi menghadiri pelancaran kokus minggu depan bersama Perdana Menteri.
Nazri berkata kerajaan telah memutuskan bahawa tiada Ahli Parlimen BN yang dibenarkan ke luar negara sewaktu persidangan Parlimen sedang berlangsung.
“Jadi sebab itu yang ikut PM cuma Rais saja. Jadi saya hantar Bebaslah. Sebab jadi amalan, setiap kali lawatan Perdana Menteri yang terdiri daripada pegawai, menteri, kita selalu hantar ahli-ahli Parlimen,” katanya.

IGP: Asiasoft tidak lagi dibenar masuk Bukit Aman ,,jadi memang betul apa yang didedahkan oleh Anwar..??? Jadi kenapa perlu cabar dia Musa ooi..!!!



Posted by RAKYAT MARHAEN 


Tan Sri Musa Hassan.
KUALA LUMPUR, 8 April — Asiasoft, syarikat didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv, tidak lagi dibenarkan memasuki ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.
Menurut beliau, siasatan berhubung dakwaan itu telah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.
“Dah lama kita siasat... bila isu ini timbul balik dan didedahkan di Parlimen kita siasat lagi, malah kita juga telah menyekat kemasukan syarikat tersebut,” katanya.
Difahamkan siasatan berhubung isu tersebut pernah dijalankan polis selepas menerima laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas Johari Ismail.
Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya terdapat perisik Israel di Bukit Aman.
Anwar dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.
Beliau mendakwa kehadiran dua bekas pegawai tentera Israel dalam syarikat itu disedari oleh pegawai tertinggi PDRM dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Menurutnya Syed Hamid telah diberi taklimat berhubung perkara itu pada 23 Nov 2008 di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Dalam penjelasannya kepada Bernama hari ini, Musa mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat.
Beliau berkata, isu berkaitan keselamatan negara bukan satu isu yang boleh dipolitikkan untuk meraih sokongan rakyat kerana ia merupakan satu isu sensitif yang boleh mengancam kesejahteraan negara.
“Sebagai ahli politik sepatutnya mereka boleh bezakan yang mana isu boleh cakap dan yang mana tak boleh kerana ini melibatkan soal keselamatan negara.
“Sudah banyak kali kita ingatkan mereka dan sepatutnya mereka faham,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Johari dalam satu sidang media berkata pendedahan Anwar di Parlimen bertujuan menarik perhatian rakyat dengan cuba mempolitikkan isu keselamatan negara.
“Ini soal keselamatan negara jadi jangan politikkan isu ini kerana ia boleh menggugat kesejahteraan negara. Dia (Anwar) sanggup mengeluarkan isu lama untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesannya kepada negara,” katanya.
Beliau mendakwa isu tersebut pernah dikeluarkan oleh pengendali blog MalaysiaToday Raja Petra Kamaruddin dalam blognya pada tahun 2008 tetapi tidak mendapat perhatian umum.
Sementara itu di lobi Parlimen, Anwar berkata polis perlu meneruskan siasatan berhubung dakwaannya itu dan beliau sedia bekerjasama membantu siasatan.

KDN masih kaji buku ‘Malaysian Maverick’



Posted by RAKYAT MARHAEN Khamis, 2010 April 08



Tun Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR, 8 April — Kementerian Dalam Negeri masih mengkaji kandungan buku tulisan bekas penyunting Asian wall Street Journal, Barry Wain yang bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times”.
“Sekiranya buku ini didapati tidak tergolong dalam penerbitan tidak diingini di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, maka tidak ada sebab mengapa kerajaan patut menghalang kemasukan buku ini dalam negara,” kata  Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu mengapa buku tersebut masih tidak dibenarkan dijual di negara ini sejak November 2009.
Hishammuddin menjelaskan buku tersebut turut didapati memuatkan penulisan yang menghina kepimpinan negara dan Institusi Raja-Raja Melayu. — Bernama

Isu APCO: Anwar mahu Istana Negara campur tangan






Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
KUALA LUMPUR, 8 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini meminta campur tangan baginda menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan kontrak khidmat firma APCO Worldwide yang dikaitkan dengan srael.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau telah menghantar surat berkenaan  kepada Istana Negara, petang ini.
Malah Ketua Umum Pakatan itu turut meminta Yang di-Pertuan Agong agar menasihatkan kerajaan supaya membatalkan kesemua kontrak dengan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Israel.
“Saya tidak melihat apa-apa jalan bagi Umno untuk keluar daripada kecelaruan ini.
“Sebab itu saya menulis kepada Yang di-Pertuan Agong dan untuk menyokong inisiatif rakan-rakan saya, Ahli Parlimen PAS, untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan untuk menasihatkan Perdana Menteri agar dengan segera membatalkan kontrak melibatkan APCO dan kepentingan risikan yang ada kaitan dengan Israel,” katanya lagi.
Anwar, yang minggu lalu telah diputuskan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO, bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau menambah, adalah penting bagi kerajaan menamatkan hubungannya dengan APCO dan Asiasoft sebab kedua-dua syarikat berkenaan merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Kelmarin beliau mendakwa kerajaan berhadapan dengan pencerobohan risikan Israel ekoran pembabitan mereka yang berkhidmat sebagai kontraktor di ibu pejabat polis Bukit Aman.
Anwar memberitahu negara tidak harus menjual maruah mereka kepada Israel.
Isnin lalu, PAS juga memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar campur tangan meminta Perdana Menteri supaya membatalkan kontrak mendapatkan khidmat firma APCO Worldwide atas alasan keputusan kerajaan itu boleh membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata, tindakan kerajaan menjalin hubungan dengan APCO seolah-olah mengundang penceroboh untuk menjejaskan kedaulatan negara.
“Perkara ini membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara, namun tindakan Perdana Menteri mendapatkan khidmat APCO seolah-olah mengundang bahaya.
“Setelah kita membawa perkara ini dalam Parlimen dan selepas perbahasan dilakukan, kita bawa perkara ini kepada perhatian Majlis Raja-raja untuk tindakan lanjut.
“Jadi kita telah menyerahkan memorandum mengenai peranan APCO dalam pentadbiran kerajaan Malaysia kepada Majlis Raja-Raja supaya dapat membatalkan kontrak antara kerajaan Malaysia dan firma perunding APCO Worldwide.
“Kita harap Yang di-Pertuan Agong akan campur tangan dan memerintahkan supaya hubungan antara kerajaan Malaysia dengan APCO dapat dibatalkan,” katanya selepas menemui wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Isnin lalu.

Perisik Israel Dalam PDRM



April 8th, 2010 · 

apco_magb
KUALA LUMPUR, 7 April: Zionisasi dalam jentera kerajaan termasuk kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS,Datuk Mahfuz Omar.
“Pasukan polis dikurniakan gelaran diraja sejak tahun 1958 lagi, oleh sebab itu tindakan membawa perisik Israel ke dalam pasukan tersebut dengan sendirinya mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu.
“Ancaman tersebut semakin menakutkan apabila perisik-perisik Israel berkenaan terlibat dalam sistem komunikasi polis,” kata beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu memohon agar diadakan segera Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan ancaman keselamatan ke atas negara ini.
“Kita memohon jasa baik Raja-Raja Melayu untuk bertindak segera kerana tidak mungkin Perdana Menteri akan mengambil inisiatif membincangkan ancaman keselamatan tersebut kerana perisik-perisik Israel tersebut dibawa masuk oleh pihak yang dilantik oleh kerajaannya sendiri untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital,” katanya.
Mahfuz melihat apa yang berlaku itu sebagai ancaman kepada negara ini kerana institusi keselamatan negara seperti polis telah ditentukan hala tuju mereka dan ia terdedah kepada penguasaan Israel yang disifatkannya sebagai entiti haram pengganas.
“Ini sangat merbahaya kepada masa depan negara. Sepatutnya kerajaan perlu menjelaskan hal tersebut bukannya mengambil tindakan mengheret (Datuk Seri) Anwar yang mendedahkan perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bila beliau mendedahkan penglibatan tersebut, mengheret Anwar bukannya satu penjelasan.”
“Pendedahan yang dibuat oleh Anwar itu merentasi persoalan1Malaysia ataupun One Israel tapi ini soal maruah dan kedaulatan negara yang dipelihara bukannya dijual kepada pihak luar, lebih-lebih lagi pihak zionis.”
Tambahnya lagi, Perdana Menteri perlu berani memberi penjelasan bukannya menjadi seorang yang penakut berhadapan kenyataan sebenar kerana perlantikan itu atas keputusannya sendiri.
Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai semakin rancaknya proses zionisasi ke atas negara ini melalui proses ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sudah pun bermula dalam bidang komunikasi melalui pengambilan Apco Worldwidedan juga di dalam pasukan polis.
Beliau juga meminta rakyat membuat penilaian sama ada ahli-ahli Umno akan memilih kesetiaan dan patriotisme kepada negara tercinta ini atau kepada pemimpin mereka ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan.
Anwar semalam mendedahkan di Dewan Rakyat tentang kewujudan perisik Israel dalam PDRM.
Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah pun disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.
Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam, Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menamakan syarikat terbabit,Asiasoft Global PLC yang berpangkalan di Israel.
Katanya lagi, ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing. Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka.
“Tak iktiraf Israel tapi bersekongkol dengan rejim zionis yang kejam,” katanya.
Tulisan : Abd Aziz Mustafa

Pemimpin Dan Rakyat


Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : “ Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.”
 
(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Mereka Bukan Umatku!


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.”
 
(Muslim)

Pemimpin Bagaikan Perisai


Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat siksa.”

(Muslim)

Pemimpin yang adil dalam naungan Allah


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”

Riwayat at-Tirmidzi

Episod paling sedih dalam sejarah Parlimen - Junaidi



KUALA LUMPUR 7 April - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jafaar menyifatkan insiden yang berlaku pada sidang Dewan Rakyat sehingga menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan sejam lebih awal hari ini amat menyedihkan dalam sejarah Parlimen negara.
Katanya, sikap Ahli Parlimen yang bertelagah berhubung isu mengemukakan usul bagi merujuk Ahli Parlimen ekoran kenyataan yang dikeluarkan semasa bersidang merugikan masa untuk berbahas perkara yang lebih penting.
"Ia tidak sepatutnya berlaku. Kita rugi satu hari dan sepatutnya ia boleh selesaikan kerja kita hari ini tapi oleh sebab insiden ini kita tidak boleh menyelesaikannya.
"Keseluruhan episod ini sangat menyedihkan dalam sejarah Parlimen negara," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi panas apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada mulanya mengemukakan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap pembangkang semalam.
Ekoran itu, undi belah bahagian telah diadakan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin bersetuju dengan permintaan pembangkang itu namun Tajuddin terselamat daripada dirujuk ke jawatankuasa apabila undian memihak kepadanya.
Pada sesi sebelah petang pula, Dewan Rakyat sekali lagi panas apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said daripada Barisan Nasional (BN) mengemukakan pula usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke jawatankuasa itu kerana tindakannya menyebut perkataan UMNO-Apco berulang kali.
Keputusan itu mendapat bantahan keras Ahli Parlimen pembangkang dan pertelagahan berlaku selama hampir beberapa jam sebelum dewan memutuskan supaya undian suara diadakan bagi menentukan tindakan terhadap Mahfuz.
Undian suara itu kemudian memutuskan Mahfuz dirujuk ke jawatankuasa tersebut dan Wan Junaidi kemudian mengumumkan sidang ditangguh lebih awal dari yang sepatutnya iaitu pada pukul 7.30 petang.
Wan Junaidi berkata, beliau terpaksa bertindak demikian bagi mengelak pertelagahan itu berlarutan.

GST tidak tambah beban rakyat berpendapatan rendah



KUALA LUMPUR 7 April - Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar empat peratus tidak akan menambah beban cukai yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan berkenaan yang kini tidak dikenakan cukai pendapatan hanya akan membayar secara purata RM70.08 sebulan sahaja apabila GST dilaksanakan.
''Ini tidak membebankan jika dibanding pada waktu sekarang apabila rakyat berpendapatan rendah membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara purata sebanyak RM79.57 sebulan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, GST yang merupakan satu langkah dalam polisi fiskal kerajaan dijangka dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara terutama ke atas eksport dan sektor pelancongan.
''Jumlah eksport negara dijangka meningkat kerana GST tidak akan dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang dieksport.
''Kerajaan juga akan memperkenalkan skim bayaran balik pelancong yang mana ia membenarkan pelancong asing untuk menuntut kembali GST yang dibayar ke atas pembelian barangan," katanya.
Beliau berkata, langkah membenar GST dituntut kembali akan menarik pelancong asing untuk datang dan berbelanja di Malaysia.
''Langkah ini akan turut menarik mereka membeli barangan bebas cukai di Labuan, Langkawi dan Tioman yang statusnya sebagai pulau bebas cukai akan dikekalkan," kata beliau.
Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Najib berkata, kerajaan belum menetapkan tarikh sebenar untuk melaksanakan GST.
''Kerajaan hanya membentangkan Rang Undang-Undang GST untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat manakala tarikh bacaan kali kedua dan ketiga belum ditetapkan lagi," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kerajaan pada masa sekarang sedang menjalankan kajian untuk merasionalisasikan pemberian subsidi dan berkaitan keperluan menghapuskan duti import barangan.
Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjalankan kajian mengenai keperluan Lesen Import dan Eksport bagi produk-produk di bawah semua kementerian dan agensi.
''Ini bertujuan memastikan produk tempatan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa," katanya.

Jumlah perokok wanita membimbangkan



KUALA LUMPUR 7 April - Kerajaan bimbang dengan peningkatan perokok di kalangan wanita sejak kebelakangan ini yang berpunca daripada pelbagai sebab.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara puncanya adalah kepercayaan di kalangan wanita berkenaan bahawa tabiat merokok boleh membantu mereka untuk menguruskan badan.
''Mengikut kajian yang kita buat memang kebelakangan ini bilangan perokok di kalangan wanita meningkat dan ini satu trend membimbangkan.
''Tanggapan menyatakan bahawa merokok ini dapat menguruskan badan adalah tidak berasas," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Tiong Lai, wanita terbabit seharusnya merujuk kepada klinik atau hospital kerajaan bagi mendapatkan bimbingan kaunseling lebih tepat mengenai kesan tabiat itu kepada kesihatan.
Menjawab soalan asal Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai langkah mengatasi kegemukan melampau atau obes yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit, katanya, jururawat dan penolong pegawai perubatan telah diberikan kuasa untuk memberikan perkhidmatan kaunseling pemakanan dan aktiviti fizikal kepada orang ramai.
''Kita tidak lagi mengehadkan aktiviti memberi kaunseling kepada pegawai perubatan sahaja seperti sebelum ini bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurangan berat badan di klinik kesihatan kerajaan," katanya.
Tambah beliau, langkah lain melibatkan penempatan 172 pakar perubatan keluarga di 151 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
''Ini bagi membolehkan individu obes yang turut mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung mendapatkan rawatan pakar dengan mudah," katanya.

Mahfuz dirujuk ke Jawatankuasa Hak



KUALA LUMPUR 7 April - Dewan Rakyat hari ini membuat keputusan merujuk Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan perbuatannya mengejek UMNO dengan menyebut perkataan 'UMNO-Apco' berulang-kali ketika sesi sidang.
Apco Worldwide (Apco) yang dilantik sebagai perunding komunikasi kepada kerajaan Malaysia sebelum ini didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan Israel dan terlibat memberikan idea pembentukan gagasan 1Malaysia.
Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setelah undian secara suara terbanyak mendapati lebih ramai menyokong Mahfuz dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.
Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu pada asalnya dibawa oleh Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang tidak berpuas hati dengan perlakuan Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan.
Mahfuz membuat ejekan berkenaan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 menerusi undi belah bahagian.
Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang, termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan daripada Wan Junaidi.
Kekecohan pada sesi petang yang berlarutan hampir dua jam menyebabkan Wan Junaidi memutuskan sidang Dewan ditangguhkan selama 15 minit bagi meredakan keadaan.
Setelah Dewan bersidang semula, kekecohan kembali berulang sehingga menyebabkan Timbalan Yang Dipertua itu memutuskan sidang hari ini ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
Penangguhan itu dibuat kira-kira pukul 6.15 petang, sedangkan sesi hari ini sepatutnya berakhir pada 7.30 malam.

APCO Shah Rukh Khan

MODEL ATAU MONTEL ?


oleh: Tukar Tiub



HABIS HARTA RAKYAT KENA JUAL





MODEL ? MODEL KE MONTEL

Model Ekonomi Baru (MEB) Najib jadikan POS M'sia mangsa awal!

Melalui dasar MEB (NEP) kerajaan telah meluluskan untuk melepaskan pegangan saham @ ekuitinya dalam Khazanah Negara kepada pihak-pihak asing termasuk luar negara.

Syarikat GLC seperti TNB, TELEKOM, POS, KTM dan lain-lain akan dikuasai lebih 30% pegangan sahamnya oleh pihak asing atas nama globalisasi, meningkatkan kecekapan serta membawa masuk modal asing ke Malaysia.

Hakikatnya pengumuman kenaikan gaji 11%-19% kpd staff POS M'sia hanyalah 'gimmick' dan gula2 shj sebelum POS For Sale dilaksanakan. Kesian nasib Posmen kerana 18 tahun diswastakan masih diberi gaji minima RM650 sebulan! Naik 11%-19% pun masih belum mencecah RM1000! Pekerja miskin di negara kaya.

MARI BERKENALAN DENGAN APCO

oleh: Tukar Tiub
APCO ADALAH KERETA KEBAL ISREAL YANG AWAL UNTUK MENCARI RASHIA




KENAPA ISTERI ROSMAH JATUH CINTA DENGAN APCO

Laman web APCO sendiri menunjukkan siapa sebenarnya yang terlibat dengan syarikat ini yang dibayar RM 23 million duit rakyat oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk mengendalikan "strategi komunikasi" dan "membina imej" negara.

Ahli lembaga APCO termasuk dua bekas duta Israel - Shimon Stein (bekas duta kepada Jerman), dan Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat) - serta Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet. Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.

Shin Bet bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri Israel, termasuk menghadapi intifada Palestin. Semasa intifada al-Aqsa, Shin Bet memainkan peranan untuk mengenalpasti identiti dan lokasi pemimpin-pemimpin Palestin yang dijadikan mangsa pembunuhan oleh serangan udara tentera Israel.

Shin Bet turut terkenal dengan kaedah-kaedah menyeksa tahanan mereka semasa soal-siasat. Seorang wartawan Palestin, Mohammed Omer, mendakwa beliau ditahan oleh Shin Bet pada tahun 2008 dan dibogelkan, dibelasah oleh lapan pegawai Shin Bet yang bersenjata - mengakibatkan beliau terpaksa dirawat seminggu di hospital. Makhamah Tertinggi Israel sendiri memutuskan bahawa kaedah-kaedah soalsiasat Shin Bet berketerlaluan, melanggar hak asasi manusia, dan bersifat menyeksa.

Penglibatan Shin Bet dengan APCO tidak terhad kepada satu individu. ASERO merupakan sebuah syarikat adik-beradik kepada APCO yang berkait rapat secara terbuka dengan APCO dan mempunyai pengkhususan dalam hal-hal keselamatan dalaman negara. Selain Doron Bergerbest-Elion, tiga lagi pemimpin utama ASERO adalah bekas pegawai berpangkat tinggi Shin Bet - David Harel, Oded Raz, dan Gadi Kalai.

Selain itu, Naib Presiden ASERO Carl Truscott, dan penasihat ASERO, Don Riegle Jr, adalah bekas ahli kerajaan Amerika Syarikat yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa mereka semasa berkhidmat.

APCO dan ASERO seumpama satu keluarga, dengan pemimpin-pemimpin yang sama. Doron Bergerbest-Eilon adalah presiden ASERO, manakala Mara Hedgecoth - anak kepada Margery Kraus, Presiden APCO - merupakan Naib Presiden di kedua-dua APCO dan ASERO. Denise Teeling pula, adalah Ketua Kewangan (CFO) bagi kedua-dua APCO dan ASERO juga. Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Denise Teeling dan Margery Kraus adalah direktor APCO Worldwide Sdn Bhd, yang ditubuhkan di Malaysia.

Mengapakah sebuah syarikat dengan kaitan yang amat rapat dengan elemen-elemen Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal kerana menyeksa orang Palestin diberi peluang membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia?

Dengan pengupahan APCO, pengaruh Zionis, penyeksa serta mereka yang handal menyalahgunakan kuasa kerajaan kini telah dibenarkan menentukan hala tuju negara, serta kini mempunyai akses kepada semua peringkat kerajaan - termasuk maklumat yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. Tidak membimbangkan ke, Ketua Kewangan ASERO, Denise Teeling, yang bekerja untuk bekas pegawai Shin Bet, terlibat secara terus dengan operasi APCO di Malaysia?

Selain daripada Israel dan Amerika Syarikat, kepada pengaruh siapakah Malaysia kini dibukakan? Di antara pemimpin ASERO satu-satu individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng - seorang bekas polis Singapura.

Apakah Perdana Menteri Najib sanggup menggadai masa depan dan kedaulatan negara hanya demi mereliasasikan cita-cita politiknya?

APCO tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi sahaja, malah juga dengan aktivisme anti-Islam.

Jonathan Winer merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas, dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.

Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma'alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur'an) seorang "musuh" dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.

Siapa sebenarnya di merata dunia yang sanggup mengupah syarikat yang dipimpin oleh mereka yang berusaha menentang Islam dan menyemai kebencian?

Klien-klien dan bekas klien APCO termasuk beberapa 'tokoh' yang cukup terkenal. Di antaranya adalah Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM 10 billion duit rakyatnya semasa presiden Nigeria. Jeneral Abacha turut dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.

Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan, turut merupkan seorang klien APCO. Di antara strategi APCO adalah untuk "membeli" beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat.

Narenda Modi pula, Ketua Menteri Gujarat di India yang dikatakan membiarkan rusuhan kaum berlaku antara rakyat Hindu dan Muslim, mengakibatkan hampir 2,000 kematian - kebanyakannya Muslim - juga pernah mengupah APCO untuk mengharumkan balik imejnya.

Beginilah senarai pemimpin yang kini disertai oleh Perdana Menteri Najib, yang seandainya tidak mengenal malu.

Adakah ini sebuah pengakuan diam bahawa Perdana Menteri mempunyai beberapa kesamaan dengan pemimpin-pemimpin yang dituduh berasuah dalam negara kaya dengan minyak, gagal menghentikan konflik perkauman, serta mengakibatkan kematian?

Keputusan Perdana Menteri untuk membuka Malaysia kepada pengaruh Zionis dan anti-Islam serta berganding bahu dengan para perasuah yang paling parah di dunia harus dipertikai oleh setiap rakyat yang cintakan Malaysia.

Sekiranya Perdana Menteri masih berdegil dengan mengekalkan kontrak APCO ini, maka tergadailah negara dan terjejas keselamatan serta maruah kita semua. Kita hanya boleh harap kita masih belum terlambat.