ANGGOTA Palang Merah dan tentera membawa seorang askar yang cedera terkena peluru mortar di Santa Catalina semalam. - AFP
|
ZAMBOANGA – Presiden Benigno Aquino memberi amaran kepada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) supaya tidak mencederakan atau membunuh tebusan semasa melawat sebuah bandar di selatan Filipina yang diserang oleh kumpulan pemisah berkenaan semalam.
Aquino juga berjanji akan menamatkan krisis bersenjata tersebut.
Dalam lawatannya, beliau menggesa penduduk bandar pelabuhan Zamboanga itu agar bersatu ketika perang antara MNLF dengan tentera Filipina masuk hari kelima semalam.
Presiden itu menganggap MILF kini terdesak untuk menggagalkan usaha kerajaan menamatkan penentangan orang Islam sejak beberapa dekad lalu.
“Anggota dan peralatan ketenteraan kita cukup besar,” katanya pada satu sidang akhbar sambil menegaskan bahawa krisis di Zamboanga tidak dapat diselesaikan pada kadar segera tanpa melibatkan angka kematian yang besar.
“Justeru, kita tidak boleh terburu-buru. Kita perlu berhati-hati supaya tiada kehilangan nyawa secara sia-sia berlaku,” tambah Aquino.
Menurutnya, pihak tentera tidak menetapkan sebarang tarikh akhir tetapi bertekad akan menamatkan serangan MNLF tersebut.
“Jika mereka (MNLF) mencederakan tebusan, melakukan kebakaran dan melampaui batasan-batasan lain, pasukan keselamatan kita telah diberikan arahan tentang kaedah untuk menanganinya,” ujar pemimpin tersebut.
Mengulas perkembangan di Zamboanga, jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, lebih 22 orang terbunuh dan 52 lagi cedera dalam pertempuran lima hari di bandar berkenaan manakala 19 pejuang MNLF telah ditangkap atau menyerah diri.
“Sekurang-kurangnya 15,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran yang berlaku,” kata beberapa pegawai lain.
Menurut mereka, pertempuran terhad di enam kawasan penempatan penduduk di bandar raya berkenaan yang dihuni hampir sejuta orang.
“Hampir 200 orang dijadikan tebusan dan perisai manusia oleh 180 pejuang MNLF yang turut mencetuskan kebakaran di enam daerah di Zamboanga,” ujar mereka.
Setakat semalam, pihak tentera telah memasuki kesemua daerah terbabit bagi menghalang lebih banyak kemusnahan.
Di sebalik amaran Aquino, dua kawasan di sebuah daerah berkenaan dibakar oleh gerila MNLF semalam.
Pasukan bomba pula tidak dapat memadamkan kebakaran kerana bimbang menjadi mangsa penembak tepat MNLF.
Di sebuah lagi daerah di Santa Catalina, seorang tebusan lelaki ditembak di belakang semasa dia melarikan diri ke arah garisan tentera.
Sebuah ambulans digunakan untuk membawa mangsa ke hospital.
Satu konvoi besar melibatkan sejumlah kenderaan yang membawa beratus-ratus orang awam dilihat meninggalkan zon konflik semalam selepas kerajaan tempatan mengarahkan semua 160,000 orang di kawasan itu berpindah.
Polis memeriksa dokumen pengenalan diri mereka bagi memastikan tiada gerila MNLF yang lolos keluar.
Beberapa kumpulan mengandungi lebih 100 pejuang Islam bersenjata menyerang kedudukan tentera di Pulau Basilan, dekat Zamboanga kelmarin dan semalam dengan menyebabkan seorang terbunuh manakala 11 lagi cedera.
Krisis berkenaan bermula apabila pengikut-pengikut bersenjata pengasas MNLF, Nur Misuari cuba berarak ke Dewan Bandar Raya Zamboanga pada Isnin lalu.
Misuari menuduh Manila melanggar syarat perjanjian damai 1996 dengan mengadakan rundingan berasingan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
MILF kini berada di peringkat akhir rundingan damai dengan Manila dan dijangka mengambil alih bahagian selatan Filipina dan diberikan status wilayah autonomi lebih besar menjelang 2016.
Perjanjian damai tersebut bertujuan menamatkan penentangan oleh orang Islam di selatan Filipina yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa sejak tahun 1970-an. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0914&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2epQ7wRLk
Hakcipta terpelihara