Showing posts with label Sekolah Harapan. Show all posts
Showing posts with label Sekolah Harapan. Show all posts

Thursday, December 8, 2011

Penghuni sekolah lahir 82 bayi

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my


PIHAK pengurusan Sekolah Harapan dalam proses mendapatkan peruntukan untuk program pembesaran dan seterusnya dapat menerima lebih ramai penghuni. - Gambar hiasan



JASIN – Seramai 82 bayi telah selamat dilahirkan oleh para penghuni Sekolah Harapan, sebuah pusat pemulihan bagi remaja perempuan yang terlanjur sejak ia beroperasi di sini pada September tahun lalu.
Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, daripada jumlah itu, bayi lelaki yang telah selamat dilahirkan ialah 53 orang manakala bakinya perempuan.
Katanya, seramai 64 bayi kini dipelihara oleh keluarga penghuni terbabit, 11 orang telah diserahkan kepada keluarga angkat, lima bayi masih bersama ibu masing-masing di sekolah berkenaan manakala seorang lagi dipelihara oleh ibu kandungnya yang telah berkahwin.
“Kami bersyukur kerana berjaya membantu menyelamatkan 82 nyawa bayi yang tidak berdosa sekali gus membendung gejala buang bayi.
“Apa yang lebih penting ibu bapa kepada penghuni sekolah ini sanggup menjaga cucu masing-masing walaupun anak itu dilahirkan di luar ikatan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, sekolah itu setakat ini telah menerima 95 remaja dari seluruh negara dan pelbagai kaum sebagai penghuni.
“Walaupun kami menerima banyak permohonan daripada keluarga remaja perempuan yang terlanjur untuk mendapatkan perlindungan di sekolah ini, kami tidak dapat menerima semua kerana kemudahan yang ada hanya cukup untuk menampung 30 penghuni pada satu-satu masa.Kosmo! Online - Negara:

Saturday, October 2, 2010

Sekolah Harapan tambah lima pelajar



JASIN - Sekolah Harapan menerima lima lagi pelajar menjadikan pelajar hamil yang menuntut di sekolah berkenaan kini seramai 10 orang. 

Penyelianya, Saimah Hiram berkata, lima lagi pelajar yang berasal dari luar negeri Melaka itu mendaftar 27 September lalu dan berusia antara 16 hingga 20 tahun. 

“Walaupun terdapat lebih permohonan, namun buat masa ini kami terpaksa menolak kerana ruangan rumah atau asrama terhad. 

“Oleh kerana asrama tempat menginap ini adalah bekas rumah kadi kawasan, maka ruangnya terhad. Namun, sebuah bangunan asrama baru akan dibangunkan berhampiran kawasan sekolah yang bakal menampung 40 pelajar dalam satu-satu masa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. 

Setakat ini, katanya, sesi pembelajaran sekolah berkenaan berjalan lancar dengan dibantu lima kakitangan termasuk guru mengajar pelajar mata pelajaran yang diambil daripada sekolah asal. 

Selain itu, katanya, pelajar juga diberi kelas tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini. 

“Peperiksaan SPM akan diadakan di sekolah ini dan lembaga peperiksaan negeri akan memantau proses peperiksaan mereka. 

“Namun, bagi yang mungkin melahirkan atau berada dalam pantang, mungkin peperiksaan ditangguh tahun depan,” katanya. 

Saimah berkata, sehingga kini terdapat seorang pelajar sedang menunggu masa bersalin dan kesihatan mereka semua dipantau kakitangan klinik berhampiran yang akan datang memeriksa mengikut keperluan. 

Sekolah Harapan beroperasi 16 September lalu dengan lima pelajar dan dibiayai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kos RM500,000 setahun.

Monday, September 20, 2010

Lima pelajar hamil mendaftar di Sekolah Harapan hari ini


JASIN 19 Sept. - Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.
Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.
"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.
Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.
Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.
"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.
"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.