KUALA LUMPUR: Untuk mencapai keamanan secara adil, sistem kepercayaan dan persepsi manusia terhadap peperangan perlu diubah, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Selama ini, set minda dan budaya kita menerima peperangan sebagai suatu perkara yang dibenarkan...selagi persepsi ini tidak diubah, selagi itulah keamanan tidak akan wujud.
"Tidak kira dari sudut mana pun kita melihat peperangan, ia tetap suatu jenayah...yang membunuh banyak orang. Ia boleh memusnahkan apa saja secara besar-besaran...perkara ini masih tertanam dalam set minda kita," kata beliau.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa dalam set minda manusia, membunuh dalam peperangan adalah suatu perbuatan sah, boleh diterima, malah sesuatu yang diagung-agungkan apabila pembunuh diberi pingat dan patung pula dibina di taman awam untuk diberi penghormatan oleh generasi akan datang.
"Kita tidak ada tugu untuk keamanan...kerana set minda kita mengagung-agungkan peperangan..sekiranya kita tolak peperangan sebagai suatu cara untuk menyelesaikan konflik yang kita alami, maka kita boleh menuju ke arah keamanan secara adil," katanya.
Dr Mahathir berkata bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengubah set minda manusia dan usaha serta inisiatif ini tidak boleh membuahkan hasil besar dalam tempoh singkat.
"(Selama) 22 tahun saya cuba mengubah set minda orang Melayu, tapi saya gagal, kemudian saya cuba pula mengubah set minda mengenai peperangan.
"Harap-harap, orang akan faham bahawa perang adalah suatu jenayah...Kita tidak boleh mengubah set minda manusia dalam tempoh semalaman atau dalam masa satu atau dua tahun....(ia) menuntut perjuangan yang panjang," kata pengasas dan pengerusi KLFCW itu.