Friday, September 6, 2013

Durian Malaysia gemparkan Sydney

DurianMELBOURNE - AUSTRALIA. Petugas keselamatan dan kecemasan bangunan di Sydney menjadi gempar berikutan ketibaan durian di Harbour City kerana menyangka
tempat itu mengalami kebocoran saluran gas apabila terhidu bau yang pelik.
 
Mujurlah petugas pertanian Malaysia berjaya meyakinkan mereka bahawa bau yang mereka terhidu itu sebenarnya adalah bau durian, bukan gas.
 
Pengarah pertanian di Konsulat Malaysia Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor berkata 'bau gas' yang mereka terhidu itu berlaku apabila petugas pertanian Malaysia membuka 10 pek durian 'Musang King' dan 'D24' pada 2 petang untuk urusan ujian makmal di pejabat CBD mereka di Sydney.
 
"Bau durian yang kuat itu memasuki sistem pengalih udara dan merebak ke pejabat lain yang terletak di sebelah pejabat kami di tingkat 15 Bangunan Market St.
 
"Petugas di pejabat bersebelahan, semuanya orang kulit putih, menjadi gempar kerana menyangka berlaku kebocoran saluran gas...mereka menghubungi unit kecemasan. Dalam hanya beberapa minit, semua penghuni di tingkat itu dipindahkan," katanya.

Muhammad Rudy berkata petugas keselamatan dan kecemasan bergegas ke tingkat 15 untuk menyiasat dan setelah agak berputus asa, mereka menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan jawapannya.
 
"Kami menjelaskan bahawa bau itu sebenarnya bau durian. Para pegawai berkenaan terperanjat dan hairan kerana baunya seperti gas. Bagaimanapun, mereka yakin dengan penjelasan yang diberi setelah kami tunjukkan kepada mereka buah berkenaan dan baunya," kata beliau.
 
Muhammad Rudy berkata tiga pegawai teknikal Australia kemudian terhidu bau yang sama tiga jam kemudian: "Mereka membuat pemeriksaan di seluruh pejabat untuk memastikan ia bukan berpunca daripada kebocoran saluran gas."
 
Untuk mengelak lebih banyak salah faham, pihak konsulat memindahkan durian berkenaan dan urusan ujian makmal ke Malaysia Hall Australia.
 
"Tiada siapa yang bersungut. Malah, baunya disukai para pelajar Malaysia...yang mungkin begitu rindu dengan bau itu sejak sekian lama. Pernahkah sesiapa menyangka mengeksport durian ke Australia merupakan urusan yang begitu mencabar?," katanya.
 
Sementara itu, lepasan sekolah La Salle Malaysia di Melbourne merancang untuk menganjurkan Pesta Durian Lasallian November ini, mungkin di kawasan pembangunan eksklusif SP Setia di St Kilda Road.
 
Walaupun durian amat popular di Sydney, namun buah istimewa ini belum mendapat perhatian di Melbourne, yang mempunyai 70,000 rakyat Malaysia selain 9,000 pelajar. - Bernama

BLSM meringankan beban rakyat Indonesia?

BLSM meringankan beban rakyat Indonesia?Kenaikan harga bahan api dibantah dan rakyat terus mendesak kerajaan agar mengekalkan harga seperti sebelum ini.

PELBAGAI tanda tanya timbul berikutan tindakan kerajaan Indonesia memberikan Pemberian Bantuan Langsung Sementara Masyarakat (BLSM) kepada rakyatnya sejak pengumuman kenaikan kos bahan api itu tiga bulan lalu.

Ada berpendapat, pemberian BLSM dilihat sebagai mekanisme meringankan beban rakyat dan tidak kurang juga menganggap tindakan itu sebagai ‘menganiaya’ golongan miskin.
Indonesia mula mengagihkan lebih AS$900 juta (RM2.8 juta) dengan kiraan AS$30 (RM96) bagi setiap isi rumah kepada lebih 15.5 juta rakyat termiskin secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya awal Julai lalu.

Bantuan itu akan dilakukan selama empat bulan bagi meringankan beban rakyat.

Ketua Pengarah PT Pos Indonesia, Ketut Mardjana dalam laporan CNN berkata, pihaknya mulai mengagihkan bantuan tersebut di 13 bandar termasuk Medan, Palembang, Jakarta, Yogyakarta, Makassar, Ambon dan Bogor.“Seramai 744,000 pemilik Kad Perlindungan Sosial (KPS) layak menerima menerima BLSM,” katanya.

Baru-baru ini, Indonesia mengumumkan kenaikan harga minyak sehingga 44 peratus walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Rakyat mula mendesak kerajaan supaya terus memberikan subsidi bagi membolehkan harga bahan bakar itu kekal rendah seperti yang mereka nikmati beberapa tahun sebelum ini.

Menteri Perlombongan dan Tenaga Indonesia, Hero Wacik berkata, harga minyak baru itu menyaksikan kenaikan harga gasolin sekitar 45 sen hingga 65 sen seliter
Manakala, harga minyak diesel ditetapkan antara 45 sen hingga 55 sen seliter.

Negara keempat di dunia paling ramai penduduk itu telah menikmati harga bahan api paling murah di dunia sehingga merencatkan ekonomi negara mereka.

Pada belanjawan  yang diluluskan, kerajaan menetapkan subsidi bahan api AS$20.2 bilion (RM64.1 bilion) berbanding AS$21.4 bilion (RM68 bilion) pada tahun lalu.

Indonesia tidak bersendirian tangani subsidi kerajaan

Tindakan dilakukan Indonesia itu telah lama dilakukan di beberapa negara lain seperti Mesir, India dan Venezuela.

Tahun lalu, Mesir memberi subsidi kira-kira AS$20 bilion (RM64 bilion) iaitu 10 peratus daripada pengeluaran keseluruhan ekonomi negara itu.

Oleh kerana tekanan ekonomi yang semakin tinggi terutama kemerosotan ekonomi global, Mesir kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk meminjam AS$4.8 bilion (RM15 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa atau mencari alternatif lain.

Selain Mesir, Venezuela juga terpaksa menanggung AS$27 bilion (RM86 bilion) subsidi bahan api untuk rakyatnya.

Walaupun mempunyai rizab minyak mentah yang banyak, negara itu masih berhadapan dengan krisis apabila mendapat permintaan pengimportan dalam negara yang tinggi.

Di India, subsidi minyak ditetapkan AS$34 bilion (RM108 bilion) pada tahun lalu, seperti yang termaktub dalam undang-undang negara  bagi mengurangkan pemberian wang bantuan kepada golongan miskin.

Kesimpulannya, kepincangan ekonomi Indonesia terbukti apabila perbelanjaan mengimport minyak lebih tinggi daripada mengeksport walaupun negara itu adalah antara 25 negara pengeluar minyak utama dunia.

Protes merebak di tiga wilayah Thai

Protes merebak di tiga wilayah ThaiLebih 12,000 petani menghalang laluan di lebuh raya utama di wilayah Surat Thani, kelmarin.

SURAT THANI - THAILAND. Lebih 12,000 petani menyertai protes di wilayah selatan Thai selepas kerajaan gagal memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan harga getah kepada 120 baht (RM12) sekilogram, menurut media tempatan, kelmarin.

Ketua polis, Kiattipong Khaosam-ang berkata, kumpulan penunjuk perasaan tersebut turut menghalang lebuh raya utama berhampiran pejabat koperasi pertanian di wilayah Surat Thani, 640 kilometer dari selatan Bangkok.

"Kira-kira 300 polis antirusuhan telah dikerah ke lokasi demonstrasi tersebut bagi mengelakkan kumpulan tersebut memecah masuk lapangan terbang berhampiran kawasan terbabit," katanya kepada AP.

Bantahan besar-besaran yang kini dilaporkan merebak di tiga wilayah selepas ia tercetus di Nakhon Si Thammarat sejak lebih seminggu lalu.

Harga getah di Thailand terus jatuh sejak 2011 disebabkan oleh permintaan kurang dalam ekonomi global yang tidak menentu. 

Lelaki buta tunjuk kemampuan


Joe Robinson membuktikan kemampuannya menghasilkan seni taman yang cantik walaupun matanya buta di kawasan rumahnya di Kampung Crook, Durham, timur laut England. - AGENSI
LONDON 5 Sept. - Seorang lelaki buta di England menunjukkan kemampuannya menghasilkan seni taman kebun bunga yang berwarna-warni di rumahnya untuk memenangi anugerah pekebun terbaik di kawasannya sebanyak beberapa kali.
Joe Robinson, 74, menjadi buta sejak 20 tahun lalu, namun masih mampu menghasilkan seni taman yang cantik sehingga menarik perhatian jiran, kawan serta orang yang melintasi rumahnya di kampung Crook, Durham, timur laut England.
Bekas pekerja kilang itu berkata, sejak menjadi buta, dia tidak pernah berputus asa untuk membuktikan kemampuan dirinya kerana masih boleh berbuat sesuatu dengan menggunakan deria sentuhan dan bau.
"Pada mulanya, saya bimbang tidak dapat menanam pokok bunga dengan baik, namun tidak sangka semuanya tumbuh subur, malah turut mendapat perhatian daripada sepasang kekasih dari New Zealand untuk melihat hasil kerja saya.
"Saya sangat sukakan semua jenis bunga tetapi tidak dapat menanam bunga ros dengan banyak kerana pokok itu mempunyai duri," jelasnya.
Robinson berkata, kebiasaannya dia mula menyemai benih dari bulan Mac hingga April dengan melakukan kerja secara berhati-hati agar bunganya tumbuh dengan subur.
Jelas pesara itu, isterinya, Heather tidak dapat membantu kerana alah terhadap bunga, namun cucu lelakinya, Jamie sering menolong dengan menggantungkan bakul bunga dan membersihkan taman.
Bekas pesara tersebut sebelum ini memenangi beberapa kali trofi pertunjukan bunga di kawasannya sejak beberapa tahun lalu, tetapi pertandingan tersebut dibatalkan pada tahun ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
Isterinya, Heather berbangga dengan kemampuan suaminya itu yang boleh menghasilkan taman bunga yang cantik dan indah walaupun buta. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130906/lu_07/Lelaki-buta-tunjuk-kemampuan#ixzz2e70nVSaf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pergerakan Islam protes pertandingan Miss World


Sebahagian penyokong wanita Pergerakan Hizbut Tahrir menyertai demonstrasi di luar Kementerian Kebajikan Masyarakat di Jakarta bagi membantah penganjuran pertandingan ratu cantik Miss World, di Bali, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Sept. - Lebih 1,000 penyokong pergerakan Islam mengadakan demonstrasi membantah penganjuran pertandingan ratu cantik Miss World di Indonesia, hari ini ketika tunjuk perasaan terus bertambah menjelang pembukaan acara itu hujung minggu ini.
Kira-kira 800 lelaki dan wanita daripada Pergerakan Hizbut Tahrir berkumpul di luar Kementerian Kebajikan Masyarakat di sini menggesa kerajaan supaya membatalkan pertandingan itu.
Mereka berarak dari ibu pejabat media MNC yang akan menyiarkan acara itu dan juga merupakan penganjur tempatan bagi pertandingan itu dengan membawa kain rentang tertera 'MNC: menyebarkan kotoran dan pornografi' dan 'Miss World: ratu penyelewengan'.
Satu daripada penunjuk perasaan pula melaungkan: 'Adakah negara kami perlu dilihat sebagai yang paling lucah.'
''Kami akan terus mengadakan perhimpunan ini bagi memberitahu kepada orang ramai bagaimana pertandingan ini menjatuhkan martabat wanita,'' kata penganjur penunjuk perasaan, Zikra Asri.
Pihak yang menentang penganjuran ratu cantik di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu semakin menjadi-jadi sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan mereka mendesak pertandingan itu dibatalkan.
Di bandar Medan di kepulauan Sumatera, kira-kira 500 anggota Hizbut Tahrir mengadakan demonstrasi dengan berarak menuju ke bangunan kerajaan, mendesak pertandingan tersebut dibatalkan.
Di sebalik gesaan itu, pihak penganjur bertegas akan meneruskan pertandingan itu yang akan bermula Ahad ini di Bali. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130906/lu_02/Pergerakan-Islam-protes-pertandingan-Miss-World#ixzz2e6q7NrTF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hishammuddin rela elaun kena potong


Johor Bahru: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau bersedia elaunnya sebagai menteri dan wakil rakyat dipotong untuk bersama-sama merasai kesusahan rakyat dan membantu ekonomi negara.

Katanya, saranan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perkara yang boleh dipertimbang dan dibincangkan.
“Sebagai wakil rakyat dan menteri, saya sanggup elaun saya dipotong dalam usaha untuk berjimat. Jika pemotongan elaun saya boleh membantu mengukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan bersedia melakukannya.

“Kita (wakil rakyat) harus melakukan perkara sama (potongan elaun) dalam konteks penjimatan supaya rakyat melihat. Pada saya secara peribadi saya sanggup tak kira membabitkan apa-apa pemotongan elaun,” katanya ketika mengulas saranan Dr Mahathir supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan dalam membantu menurunkan defisit negara.

Hishammuddin ditemui selepas Badan Perhubungan UMNO Johor mengadakan pertemuan tertutup bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.

Wakil rakyat kena bersatu

Hishammuddin berkata, pemotongan elaun boleh dilaksanakan jika wakil rakyat bersatu hati dalam berdepan waktu sukar dan mempertahankan ekonomi negara.
“Kita (wakil rakyat) kena hadapi kesusahan sedikit, perkara ini bukan lama. Jika kita teragak-agak melaksanakan perkara ini semua pihak akan terjejas jika ekonomi merudum.

“Jika ekonomi kita gagal dipertahankan dan ketika itu baru mahu lakukan pemotongan elaun wakil rakyat, ia mungkin sudah terjejas (teruk). Oleh itu pada saya baik potong elaun kita sekarang,” katanya.

Harga ayam di Chow Kit naik 90 sen sekilogram


KUALA LUMPUR - Para peniaga ayam di Pasar Chow Kit di sini, didapati telah menaikkan harga jualan ayam antara 30 sen hingga 90 sen sejak Selasa lalu dengan mendakwa kenaikan itu terpaksa dilakukan ekoran kos penghantaran yang meningkat.
Tinjauan Kosmo! di pasar tersebut semalam mendapati, harga ayam proses telah dinaikkan dari RM7.50 ke RM7.80 sekilogram manakala harga ayam segar pula meningkat dari RM7.70 ke RM8.60 sekilogram.
Rata-rata peniaga yang ditemui memberitahu, mereka terpaksa menaikkan harga jualan ayam tersebut berikutan kos penghantaran ayam yang meningkat antara RM1 hingga RM2 bagi setiap trip.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2e6eIL2FT 
Hakcipta terpelihara 

SAMAD TAK SELAMAT

Dua suspek militan ditahan


Yala: Dua suspek militan ditahan dan lima senjata dirampas dalam pemeriksaan pasukan keselamatan di sebuah kampung di daerah Raman, Yala malam kelmarin.

Menurut polis, pemeriksaan itu dijalankan bersama oleh pasukan polis dari Raman, Yala dan Sai Buri. Jurucakap polis berkata, dua suspek militan terbabit ditahan untuk disoal siasat.


“Mereka dikenali sebagai Ibrohan Sadahong, 34, dari Sai Buri, Pattani dan Muhamad Aman Hama, 37, dari Raman di Yala,” katanya. Antara senjata yang dirampas ialah sepucuk raifal M-16, raifal AK-47 dan dua pistol. - Agensi

Dua hari duduk depan kementerian tagih pekerjaan


Riyadh: Seorang wanita lulusan universiti nekad untuk duduk di depan Kementerian Perkhidmatan Awam selama dua hari dalam usaha terakhirnya untuk mendapatkan pekerjaan.

Dia sudah cuba mencari kerja sejak menamatkan pengajian dalam bidang kimia sejak 10 tahun lalu tetapi gagal mendapatkan pekerjaan. “Disebabkan ibu bapa saya sakit, saya benar-benar memerlukan pekerjaan untuk menyara mereka.


“Memandangkan saya mampu dan mempunyai kelulusan tinggi, saya tidak mahu meminta bantuan atau sumbangan,” katanya.

Wanita itu berkata, dia bertemu dengan Timbalan Menteri Perkhidmatan Awam, Saleh Al-Shuhaib dan menunjukkan sijil kelayakan dimilikinya.


“Menteri itu berkata, dia tiada penyelesaian terhadap masalah yang saya hadapi dan menasihatkan saya mendaftar kan diri dengan Organisasi Awam untuk Insurans Sosial (GOSI). “Tetapi saya tidak mahu ke GOSI kerana saya sudah berkahwin,” katanya. - Agensi

Lelaki berat 380kg maut


Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi yang mempunyai berat badan 380 kilogram, Majed al-Dousari, 26, meninggal dunia semalam, selepas dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan selama dua tahun untuk mengurangkan berat badan, lapor media.

Akhbar al-Arabiya melaporkan, Dousari meninggal dunia akibat radang paru-paru, manakala doktor berkata, pemuda itu tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan dan menghadapi masalah pernafasan teruk.
“Beliau meninggal dunia akibat radang paru-paru akut, sehingga mengakibatkan komplikasi termasuk kesukaran bernafas dan kegagalan fungsi jantung. Majed dipindah ke unit rawatan rapi tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” kata jabatan kesihatan dalam satu kenyataan.

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, sebelum itu mengarahkan supaya Dousari yang terpaksa berada di atas katil hampir sepanjang masa di rumahnya di Pelabuhan Damam, di timur negara itu.

Bulan lalu, Raja Abdullah juga mengarahkan supaya rawatan dilakukan ke atas seorang remaja berusia 16 tahun, dengan berat badan 610 kilogram, dipercayai remaja paling gemuk di dunia.

Khaled Mohsen Shaeri, menjalani pembedahan di sebuah hospital di Riyadh untuk membuang 80 kilogram lemak dari bahagian perutnya selepas dia tidak lagi mampu berjalan.
AGENSI

4,000 pekerja kilang protes rakan dibuang kerja

PARA pekerja kilang pakaian berarak di sebatang jalan menuju ke Dewan Bandaraya di Phnom Penh, Kemboja untuk memprotes tindakan sebuah kilang memecat rakan-rakan mereka.


PHNOM PENH - Kira-kira 4,000 pekerja kilang di Kemboja semalam mengadakan protes selepas sebuah kilang yang membekalkan pakaian untuk jenama antarabangsa termasuk Gap dan H&M didakwa memecat beratus-ratus rakan mereka.
Pemimpin kesatuan pekerja menyatakan bahawa kilang SL Garment Processing milik Singapura itu memecat 720 orang pekerjanya kelmarin.
Lebih 5,000 yang lain dilaporkan digantung tugas selepas mogok berlarutan selama dua minggu.
Sebahagian daripada mereka berarak sejauh 10 kilometer dari kilang tersebut menuju Dewan Bandaraya di sini untuk menggesa kera- jaan campur tangan dalam pertelingkahan itu.
"Kami mahu kilang membenarkan para pekerja kembali bekerja.
"Jika mahu menutup operasi kilang, mereka harus membayar pampasan kepada pekerja mengikut undang-undang," kata Presiden Pakatan Kesatuan Demokratik Pekerja Pakaian Kemboja, Ath Thorn kepada pemberita.
Beberapa pegawai kilang berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan kenyataan berhubung isu tersebut.
Perbalahan mengenai gaji, kesela- matan dan syarat-syarat dalam industri pakaian kerap berlaku di Kemboja.
Industri bernilai berbilion-bilion dolar itu menggaji kira-kira 650,000 buruh dan ia merupakan sumber pendapatan utama di negara miskin ini.
Pada masa ini, pekerja mampu memperoleh sekitar AS$110 (RM363) termasuk kerja lebih masa pada setiap bulan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Hun Sen menyatakan bahawa siri bantahan boleh menjejaskan industri pakaian di Kemboja kerana dikhuatiri firma- firma asing berpindah ke Myanmar, Laos dan India di mana kos buruh lebih murah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2e4ucqS1R 
Hakcipta terpelihara