Friday, October 3, 2014

Pancaroba

Sembang air liur.....

Azmin nafi serang Khalid Ibrahim


Oleh Muhammad Saufi Hassan
Gombak: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa tindakannya membekukan bank akaun Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang adalah prosedur biasa pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan bahawa program berkenaan tidak dihentikan, namun pentadbiran kerajaan negeri hanya menghentikan penyaluran wang kepada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan saja.


"Saya tidak menyerang mana-mana individu baik Tan Sri Khalid Ibrahim atau sesiapa saja. Ini amalan biasa. Dulu pun Tan Sri (Khalid Ibrahim) pernah melakukan tindakan sama ketika salah seorang ADUN Pelabuhan Klang keluar parti.

"Begitu juga yang terjadi sekarang. Beliau (Khalid) adalah ADUN bebas dan kita menghentikan penyaluran dana kepadanya tetapi program tetap diteruskan," katanya selepas hadir Program Turun Padang di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, di sini, sebentar tadi.


Mohamed Azmin turut menegaskan bahawa tindakan menyerang peribadi seseorang adalah tindakan politik kotor dan beliau tidak akan berbuat demikian seperti yang didakwa sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Ruang untuk Belanda, Australia

Oleh Amir Abd Hamid, Suraya Roslan dan Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Malaysia memberi ruang kepada kerajaan Belanda dan Australia dalam membuat keputusan untuk memasuki kawasan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 memandangkan jumlah mangsa dari kedua-dua negara berkenaan lebih ramai belum dijumpai.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia berikutan hanya dua rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti berbanding Belanda dan Australia. 
"Biar mereka yang membuat keputusan bila boleh masuk ke kawasan nahas memandangkan tempat itu adalah kawasan pertempuran yang boleh jejaskan pasukan keselamatan sesebuah negara. 

"Risiko itu bukan hanya akan dihadapi di kawasan nahas tetapi, perjalanan untuk ke lokasi bergolak itu," katanya pada sidang media selepas Istiadat Penerimaan Jenazah di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Foto
SERPIHAN pesawat MH17 di lokasi terhempas. FOTO AFP

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seramai 262 mangsa MH17 sudah dikenal pasti sehingga kini.

"Seramai 27 lagi mangsa dalam proses untuk dikenal pasti, manakala sembilan lagi mangsa belum dikenal pasti.

"Hanya dua mangsa rakyat Malaysia belum dikenal pasti dan kerajaan akan meneruskan siasatan ini," katanya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Setakat ini, tinggal dua jenazah penumpang rakyat Malaysia yang masih belum 'pulang' iaitu Shaliza Zaini Dewa dan Siti Amirah Parawira.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

AS tarik balik sekatan senjata api kepada Vietnam

JUMAAT, 3 OKTOBER 2014 @ 8:19 AM

 
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini menarik balik pengharaman selama 40 tahun penjualan senjata kepada bekas musuhnya, Vietnam bagi membantu meningkatkan pertahanan negara itu menghadapi isu perairan di Laut China Selatan.

Keputusan itu disifatkan sebagai satu sejarah dalam hubungan dua hala serta bakal menimbulkan kemarahan kepada China yang turut terbabit dalam konflik di perairan.

Pengharaman yang dikuatkuasakan apabila Perang Vietnam tamat pada 1975, bagaimanapun hanya dilaksanakan untuk peralatan maritim saja, demikian menurut Jabatan Negara AS.

Penarikan balik sekatan itu dibuat berikutan perhubungan semakin erat antara Hanoi-Washington serta wujud peningkatan oleh pentadbiran Hanoi dalam melaksanakan hak asasi manusia.



"Ia bukannya satu keputusan untuk memindahkan peralatan tentera ke Vietnam dalam jumlah yang besar, tapi hanya keperluan spesifik yang diperlukan wilayah itu," kata seorang pegawai Jabatan Negara AS.

Ini kerana menurut beliau, Vietnam mempunyai kekurangan dari segi kapasiti dalam menangani tuntutan membabitkan perairannya manakala Amerika pula perlu melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga kepentingan keselamatan.

Setiausaha Negara AS, John Kerry sudah memberitahu rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Binh Min dalam satu pertemuan semalam bahawa tindakan Washington itu untuk menambah baik dasar semasa bagi membolehkan penghantaran peralatan pertahanan untuk tujuan keselamatan maritim sahaja," kata serang pegawai kanan Jabatan Negara AS. - AFP

Australia arah siasatan di kem pelarian Nauru

Penunjuk perasaan memegang sepanduk dalam satu perhimpunan di Sydney bagi membantah perancangan Australia untuk menghantar pelarian ke Kemboja. - Foto AFP
SYDNEY: Australia mengarahkan supaya siasatan dilakukan ke atas dakwaan salah laku seksual oleh kakitangan di kem pelarian Nauru, atau laporan itu sengaja direka oleh pekerja bantuan, kata Menteri Imigresen Scott Morrison hari ini.
Di bawah dasar imigresen yang tegas oleh Canberra, warga asing yang cuba mencari perlindungan di Australia dan tiba dengan bot, dihantar ke kem di Nauru dan Papua New Guinea.
Morrison menganggap laporan mengenai salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa terhadap wanita dan kanak-kanak di Nauru itu sebagai serius dan jijik sekiranya benar.
"Dakwaan itu tidak harus dipandang ringan," tegasnya kepada pemberita di Canberra.
Katanya, beliau juga mendapat laporan bahawa kakitangan di pusat Nauru terbabit dalam kempen untuk memperlekehkan dasar imigresen kerajaan.
Katanya, ini termasuk dakwaan menyalah guna laporan rasmi, merancang aktiviti bantahan - termasuk menggunakan kanak-kanak dalam bantahan dan menyuruh
tahanan supaya mencederakan diri sendiri supaya mereka boleh dipindahkan ke Australia untuk rawatan.
Berikutan dakwaan itu beberapa pihak termasuk pembangkang dan Parti Green di Australia mahukan agar siasatan diadakan segera.
Senator Sarah Hanson-Youn daripada Parti Green berkata terdapat juga tuduhan bahawa kanak-kanak dipaksa mengadakan hubungan seks di depan pengawal di pusat berkenaan.
Morrison memberitahu pemberita satu penyiasatan bebas diketuai bekas Pesuruhjaya Integriti yang bekerja dengan kerajaan Nauru dilantik untuk menyiasat dakwaan itu.
"Jika ada orang hendak jadi aktivis politik, itu pilihan mereka, tetapi mereka tidak harus lakukannya ke atas sesuatu di mana wang rakyat dibelanjakan dan menyentuh tempat sensitif seperti Nauru," tegasnya.
Katanya, dengan membuat dakwaan palsu dan paling teruk mendakwa menyuruh orang lain mencederakan diri sendiri dan menggunakan kanak-kanak dalam bantahan juga tidak boleh diterima, tidak kira apa pandangan atau agenda politik mereka. - AFP
BH

Beberapa lebuh raya sesak sempena sambutan Aidiladha Ahad ini - LLM

KUALA LUMPUR: Beberapa lebuh raya mengalami kesesakan trafik mulai petang ini berikutan warga kota yang mula bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata antara kawasan terbabit ialah Lebuhraya New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Damansara manakala di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong dan ke Plaza Tol Karak.
"Kami menjangkakan petang ini, lebuh raya itu akan lebih sesak berikutan orang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.
"Esok trafik dijangka akan berkurangan sekiranya ramai yang bertolak ke kampung masing-masing petang dan malam ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa kawasan di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mengalami kesesakan dengan trafik bergerak perlahan petang ini di lebuh raya itu.
"Trafik dijangka akan bergerak perlahan di Tapah, Bidor dan dari Bidor sehingga ke Terowong Menora seterusnya menuju ke Kuala Kangsar," katanya.
Sementara ke selatan, kesesakan turut berlaku dari Bangi ke Seremban, dari persimpangan Nilai Utara menuju ke Nilai dan dari Nilai ke Seremban, sementara kawasan-kawasan lain, trafik bergerak lancar seperti biasa, katanya.
Di samping itu, jurucakap trafik di ibu kota berkata trafik mula sesak di Jalan Kuching menuju ke bulatan Batu Caves dan di Jalan Mahameru ke Jalan Tun Razak, ketika berita ini dilaporkan. "Warga kota hari ini ramai yang mahu pulang ke kampung masing-masing tambahan hujan turun membuatkan trafik sedikit sesak," katanya. - BERNAMA

MH17: Upacara bertafakur satu minit bagi hormati jenazah



Oleh Huzaimi Abd Ghafar Dan Ikmal Ismail

Keranda mangsa tragedi MH17 yang dibaluti Jalur Gemilang dibawa keluar dari pesawat, pada majlis sambutan kepulangan itu di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang, pagi ini. - Foto Khairull Azry Bidin
SEPANG: Hadirin pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) itu bertafakur selama seminit pada jam 8.58 pagi sebagai penghormatan kepada lima jenazah tragedi MH17 yang tiba ke tanah air pagi ini.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Pengusung jenazah membawa keranda mangsa tragedi MH17 yang dibaluti Jalur Gemilang, pada majlis sambutan kepulangan itu di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang, pagi ini. - Foto Khairull Azry Bidin
Kumpulan keenam mangsa tragedi MH17 yang dibawa pulang dari Belanda hari ini membabitkan lima jenazah iaitu ahli keluarga terakhir keluarga Allahyarham Tambi Jiee, Allahyarham Muhammad Afruz Tambi, Liew Yaw Chee, Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Mathew Ezekial Sivagnanam.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke KLIA ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia terkorban.
bharian

Anak tunggal Allahyarham Sharifah Aini selamat diijab kabul


SHAH ALAM: Anak tunggal Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali, 32, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Sharifah Nur Athirah Syed Azmi, 28, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, pagi tadi.
Mereka berdua dinikahkan sendiri oleh ayah pengantin perempuan, Datuk Syed Azmi Tan Sri Syed Othman dengan mas kahwin RM300 berserta hantaran belanja RM11,000 pada jam jam 11.20 pagi.

ALIFF Omar Ali, 32, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Sharifah Nur Athirah Syed Azmi, 28, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, pagi tadi.
Pihak Aliff menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Hanya anggota keluarga terdekat kedua-dua pihak sahaja hadir termasuk ayah Aliff, Ali Bakar pada majlis pernikahan itu.
Sebelum ini, pasangan terbabit melangsungkan pertunangan mereka di Shah Alam pada 23 Ogos lalu dan hubungan mereka turut direstui Allahyarham Sharifah Aini.

Abbott minta larangan burqa di Parlimen dikaji semula

SYDNEY: Perdana Menteri Australia Tony Abbott meminta Speaker Parlimen supaya mengkaji semula peraturan yang melarang wanita berpakaian burqa atau menutup muka di bangunan berkenaan berikutan bantahan terhadap langkah itu.
Peraturan itu mengkehendaki wanita yang berpakaian burqa menyaksikan sidang Parlimen dari galeri berkaca tertutup.
Langkah ini menimbulkan kritikan bahawa kerajaan cuba mengapi-apikan ketegangan dengan masyarakat Muslim, selain melakukan serbuan ke premis mereka pada waktu sebelum Subuh dalam usaha memerangi keganasan.
"Saya meminta Speaker supaya mengkaji semula keputusan itu, yang difahamkan oleh saya sebagai keputusan sementara.
"Saya percaya perkara itu akan diselesaikan sebelum sidang Parlimen bermula dalam masa dua minggu ini," kata Abbott kepada pemberita di Canberra.
Abbott menyifatkan burqa sebagai sesuatu yang boleh 'menimbulkan ancaman' dan berharap ia tidak akan dipakai oleh sesiapapun.
Namun beliau menambah, bukanlah menjadi tugas kerajaan untuk menentukan apa yang harus dipakai di luar bangunan keselamatan.
Larangan itu dikecam oleh kumpulan Muslim dan anggota pembangkang di Parlimen, termasuk ahli Parlimen bebas Andrew Wilkie, yang menyifatkannya sebagai 'aparteid keagamaan'.
Minggu lalu Senator Cory Bernardi, ahli Parti Liberal pimpinan Abbott, berkata beliau melarang semua pelawat ke Parlimen daripada menutup muka dan berpakaian burqa dari kepala ke kaki sebagai langkah keselamatan. - REUTERS

Penunjuk perasaan di Mexico desak pihak berkuasa cari 43 pelajar yang hilang

CHILPANCINGO, Mexico: Beribu-ribu penunjuk perasaan menutup lebuh raya ke Acapulco di selatan Mexico semalam bagi mendesak pihak berkuasa mencari 43 pelajar yang hilang sejak penghujung minggu lalu.
Pelajar terbabit, dari kolej latihan guru berhampiran Chilpancingo, mengunjungi bandar Iguala kira-kira 100 kilometer di utara Jumaat lalu bagi mengumpul dana apabila ditembak oleh polis majlis perbandaran selepas mereka merampas beberapa bas untuk balik.
Tiga pelajar terbunuh dan saksi berkata mereka nampak berpuluh-puluh pelajar lain dibawa dengan kereta polis.
Tunjuk perasaan semalam adalah bagi memperingati pembunuhan pelajar secara beramai-ramai di Dataran Tlatelolco oleh pihak tentera pada 1968. Selain memperingati ulang tahun ke-46 kejadian itu, tumpuan semalam juga diberikan kepada kehilangan 43 pelajar berkenaan minggu lalu.
Perarakan di Chilpancingo itu diketuai ibu bapa pelajar yang hilang, diikuti lautan pelajar, guru dan lain-lain.
Antara sepanduk yang dinaikkan mengandungi ungkapan 'Mereka diambil hidup-hidup, kami mahu mereka balik.'
Pihak berkuasa menahan 22 pegawai polis berikutan kejadian itu dan satu lagi kejadian kemudian yang mengorbankan tiga orang lain di pinggir bandar Iguala.
Satu kumpulan penjahat dipercayai terbabit dalam kejadian kedua itu dan pegawai polis terbabit disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
"Kami sudah bosan dengan kejadian jenayah dan rasuah di negeri ini," kata Manuel Martinez, 32, yang mana anak saudaranya berusia 18 tahun turut hilang dalam kejadian itu.
Usaha mencari dilakukan oleh saudara mara pelajar terbabit, dibantu pasukan keselamatan dan polis serta masyarakat setempat.
Risalah disertai gambar pelajar yang hilang itu turut diedarkan. - AFP

Bakal dapat anugerah.....

Ini Luahan Hati Melati Yang Masuk DAP



SHAH ALAM: Jamila Rahim meluahkan rasa kecewanya selepas dituduh sebagai pelacur dan telah menggadai agama oleh sesetengah pihak dalam beberapa artikel yang disiarkan di dalam beberapa portal media.

Jamila atau lebih dikenali sebagai Melati Rahim menegaskan pendiriannya bahawa beliau hanya ingin menyertai parti DAP dan tidak pernah sesekali menggadai agamanya.

“Saya hanya ingin masuk parti ini dan saya tidak pernah menukar agama saya.

“Saya masih Islam dan saya ingin tekankan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan mengenai dua artikel daripada portal media MYKMU yang berjudul ‘Melati lebih baik jadi pelacur dari sertai DAP’ dan daripada Free Malaysia Today yang berjudul ‘DAP dan Politik Onani’.

Hari ini beliau bersama dua ahli DAP yang lain, Dyana Sofya dan Syefura Othman serta peguam DAP, Gobind Singh telah membuat aduan di Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai dua artikel tersebut.

Melati juga berkata bahawa artikel yang melabel dirinya sebagai pelacur tersebut bukan sahaja memalukan dirinya malah memberi impak yang sama terhadap ahli keluarganya.

“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan segera,” jelasnya.

Sementara itu, ahli DAP, Dyana Sofya Mohd Daud turut menyelar pihak yang menulis artikel tersebut kerana mempunyai niat untuk menjatuhkannya.

“Setiap kali ada penglibatan ahli DAP daripada perempuan, ada sahaja dakwaan yang tidak baik dilontarkan.

Melati sudah kena dan ini semua jelas merupakan satu serangan berbentuk emosi. Bagaimana kita mahu lebih banyak wanita untuk terlibat dalam politik selepas ini?,” soalnya.

Tambahnya, DAP merupakan sebuah parti yang sah dan mereka berhak membuat pilihan untuk memasuki parti yang diingini.

“Kita sepatutnya bersikap lebih matang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli DAP, Syefura Othman pula berkata artikel berkenaan telah menjatuhkan maruahnya sebagai perempuan.

“Mereka ini telah menjatuhkan maruah sebagai wanita secara terang-terangan. Bagaimana kita nak tarik lebih ramai wanita memasuki politik? Bila kita masuk sesebuah parti, kita dihina seperti ini. Saya harap tindakan dapat diambil.

“Martabat wanita tinggi dan kita tidak perlu dihina seperti itu,” ujarnya. ~free malaysia today

Jatuhkan TG Abdul Hadi agenda musuh antarabangsa


http://anaksengat.blogspot.com | .

JATUHKAN TUAN GURU HAJI HADI AGENDA MUSUH ISLAM ANTARABANGSA...

Aku mula mendengar nama Tuan Guru Hj Abd Hadi di awal 80-an. Waktu itu aku masih di sekolah rendah. TGHH adalah fenomena di masa itu.. Pidato beliau menggegarkan hati pendengar. Ia mampu menarik pendengar menjangkau dua atau tiga buah negeri. Aku masih ingat, ayah aku bersama dengan pendokong tegar PAS yang hanya beberapa kerat masa tu sanggup ke Kedah berkongsi minyak dan belanja kereta untuk mendengar pidato TGHH.

Surat khabar yang agak terbuka masa tu ialah  Bumi dan Watan. Ayah aku menjadi pelanggan tetap surat khabar berkala itu... kalau tak silap dua kali seminggu seperti harakah hari ini. Ada kolum khas untuk tokoh fenomena masa itu.. TGHH.... Haji Hadi yang saya kenali... dikendalikan oleh wartawan yang kalau tak silap namanya ialah Samsuri dan sorang lagi yang aku dah lupa namanya...

Aku yang masa tu baru di sekolah rendah menggunting keratan kolum tersebut dan tampal di buku sekolah. Ayah aku juga sering beli kaset yang dikeluarkan oleh Gedung Gua entp...GG Edar (kalau tak salah ingatan) Kaset itu terus aku simpan sehinggalah kaset bukan lagi satu kegunaan apabila munculnya teknologi CD. Aku pernah terbaca di perpustakaan Tun Razak di Ipoh sebuah buku berkaitan tokoh tokoh hebat.. antaranya penulis mengambil kenyataan seorang wartawan Perancis yang menimbulkan persoalan ... siapakah lebih hebat antara Hj Hadi dan Khomeini... sedangkan ketika itu Khomeini adalah pemimpin utama Iran selepas revolusi...

TgHH juga menjadi semakin terkenal apaabila wajahnya terpampang di muka depan majalah Asiaweek yang sangat berpengaruh di Asia... Aku semakin mengkaguminya...

Setelah bintangnya semakin begemerlapan.. memimpin sebuah gerakan dakwah siasah PAS sebagai Presiden, beliau semakin dikenali dunia Islam. Anak didik Said Hawwa ini menjadi orang penting dalam gerakan Islam antarabangsa...

Ketika dunia Islam berdepan dengan kejahatan musuh Islam di seluruh dunia, TgHH sentiasa bersama pimpinan gerakan Islam dunia mencari jalan penyelesaiannya. Beliau antara orang penting yang menyertai rombongan gerakan dunia Islam menemui pemimpin negara Teluk ketika krisis Iraq dan Kuwait.

Baru-baru ini ketokohan TgHH terus diiktiraf dengan perlantikan sebagai Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia membantu Dr Yusuf Qardhawi.. Nama TgHH juga pernah menggemparkan dunia apabila ada majalah antarabangsa mendakwa beliau adalah Setiausaha Ihkwan antarabangsa. Beliau juga pernah dituduh sebagai pemimpin pengganas oleh majalah Barat yang akhirnya majalah tersebut meminta maaf.

Semua rentetaan itu menunjukkan TGHH sentiasa menjadi perhatian dunia. Semua mengetahui bahawa rangkaian ahzab gabungan Yahudi, Eropah dan Freemeson antarabangsa takkan diam dengan kebangkitan Islam dunia. Oleh kerana TGHH kini adalah pemimpin dunia Islam... beliau juga mesti dihalang.

Aku sangat berkeyakinan, untuk membunuh karektor seseorang, ia bermula di rumahnya.. Jadikan rumahtangganya porak poranda agar beliau hilang fokus... Untuk menyekat TGHH... porak porandakan jamaah pimpinannya... alasannya... jamaah sendiri tak boleh jaga. macam mana nak pimpin dunia Islam...

Melalui pelbagai rangkaian rahsia, aku sangat yakin, mereka sudah berada di dalam PAS atau gabungan PAS. Paling tidak, pemikiran mereka serta cita-cita mereka sudah ada dalam sebahagian pemimpin atau pendokong PAS. Jika CIA berjaya menyusupkan Shah Masud di dalam Mujahididin Afghan di ambang kemenangan... yang akhirnya menggagalkan penyatuan Hekmatyar dan Rabbani untuk membentuk daulah Islam...  dalam PAS yang dilihat sedang menuju kemenangan juga mustahil rangkaian musuh antarabangsa ini duduk diam apatah lagi pemimpin PAS adalah tokoh Islam dunia...

Ringkasnya apa yang nak aku bagi tau... Gelombang menghalang dan menjatuhkan kepimpinan TGHH adalah gelombang yang di gerakkan oleh perisikan rahsia antarabagsa  musuh Islam kerana beliau adalah tohoh utama dunia Islam. Malangnya sebahagian ahli PAS sendiri tak sedar akan gelombang ini. Di Malaysia...mereka hanya bercita-cita mahu menyekat TGHH memimpin rakyat ke Putrajaya, namun di belakang mereka, perisikan antarabangsa ingin menyekat TGHH memimpin Umat Islam antarabangsa.

Usaha menjatuhkan kepimpinan TGHH sebagai Presiden PAS sedang dilakukan secara tersusun. Ia di rancang dengan teliti dan halus...Serangan peribadi beliau tidak hanya kepada dirinya malah kepada orang yang mendampinginya. Ia adalah strategi munafiqin sejak zaman Rasulullah yang menyerang Saidatina Aisyah melalui fitnah dalam kisah haditsul ifk untuk melemahkan Rasulullah.

Cara munafiq dan musuh Islam tetap sama kerana mereka adalah pewaris perjuangan yang sama.. pelik ke?

Betul ke kata-kata ni?


http://www.tranungkite.net | .
  

Kerajaan BN memang menyusahkan rakyat dan bermewahan harta rakyat tanpa perancangan yang betul.

Kenaikan minyak akan menyebabkan impak kepada barangan lain sebab semuanya bergantung kepada minyak.

Cukuplah 'kenaikan harga minyak tidak membebankan'


ZURAIDA MOHD NOOR | .
1. Kenaikan harga petrol dan penurunan subsidi merupakan bukti kedangkalan pihak pemerintah dalam menangani masalah kegawatan ekonomi dan sumber kewangan kerajaan. Seringkali apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, subsidi rakyat yang menjadi mangsa pemotongan.

2. Kerajaan mengatakan bahawa mereka ingin membantu meringankan beban rakyat dengan memberikan BR1M yang mana hanya dapat dimanfaatkan oleh 7.9 juta rakyat. Penerima BR1M hanya meliputi 40% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimana dengan kesan langsung yang dirasakan oleh 60% lagi rakyat malaysia yang tidak layak menerima BR1M? Apakah kerajaan pasti mereka tidak merasakan kesusahan akibat kenaikan tersebut.

3. Menurut kenyataan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tiada sebab tertentu di atas kenaikan tersebut. Ameerah Negeri Terengganu merasakan kerajaan harus menjelaskan sebab yang munasabah berkaitan kenaikan harga dan pemotongan subsidi tersebut. Ini adalah kerana menurut infomine.com harga petrol pada 1 Oktober 2014 adalah USD 97.14/tong sedangkan pada tahun 1 Oktober 2013 harga petrol adalah USD 108/ tong. Ia merupakan penurunan harga yang agak banyak.

4. Berdasarkan alasan menaikkan harga minyak kerana harga pasaran minyak dunia naik, maka kerajaan sepatutnya menurunkan harga petrol bukan sebaliknya. Ameerah Negeri Terengganu mengharapkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu ini.

5. Kami juga mengharapkan kematangan dan kebijaksanaan PM menguruskan aset negara dengan mengemukakan rancangan pengurangan belanja pengurusan dan bukan hanya mengajar rakyat yang sedia tersepit berjimat-cermat.

6. Golongan muda semestinya antara yang paling merasai kesan kenaikan harga minyak. Golongan muda meliputi pelajar, pemegang pinjaman pelajaran, golongan baru mula bekerja dan berkeluarga antara yang paling pasti terbeban memikirkan masa depan.

7. Setiap kali kenaikan harga petrol, kerajaan mengeluarkan kenyataan sama saban tahun “Kenaikan harga minyak tidak membebankan”. Janji manis untuk melaksanakan pantauan agar tidak berlaku kenaikan harga barang juga hanya tinggal janji. Kenyataan yang sudah tidak releven dan tidak ingin kami dengar lagi. Cukuplah. Kami menanti kenyataan dan tindakan dari pimpinan yang lebih rasional dan bijak.

Penulis ialah Pengerusi Ameerah Terengganu.

MH17: 5 lagi jenazah diberi istiadat penghormatan


BERNAMA | .
SEPANG: Lima lagi jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 termasuk sepasang suami isteri diberi penghormatan penuh adat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Jumaat.

Dengan ketibaan lima jenazah hari ini, sebanyak 42 jenazah telah dibawa pulang ke tanah air dari Belanda. Dua lagi rakyat Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti mayat mereka.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi kawasan istiadat apabila pesawat MAS penerbangan MH19 yang membawa tiga keranda dan dua kendi abu mayat memasuki perkarangan kompleks.

Istiadat penghormatan bermula pada 8.38 pagi apabila pesawat tersebut berhenti sepenuhnya.

Keranda pertama yang membawa jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam dibawa keluar dari pesawat tersebut diikuti kendi abu mayat pasangan suami isteri Lee Kiah Yeen dan Liew Yau Chee, diikuti keranda Muhammad Arfuz Tambi dan Meling Mula.

Kendi abu mayat Lee dan Liew diletakkan bersama-bersama dalam sebuah kenderaan jenazah atas permintaan waris.

Keranda dan kendi abu mayat yang diliputi dengan Jalur Gemilang diturunkan dari pesawat dan diusung kumpulan pengusung Angkatan Tentera Malaysia ke kenderaan jenazah dengan penuh adat ketenteraan.

Sebaik selesai proses kesemua keranda dan kendi abu mayat dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah, upacara bertafakur selama seminit berlangsung pada 8.58 pagi sebagai tanda penghormatan.

Kenderaan jenazah kemudian melakukan lintas lalu di hadapan khemah tetamu kehormat dan waris.

Hadir pada istiadat tersebut ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan waris keluarga mangsa tragedi.

Selesai istiadat penghormatan, jenazah Afruz Tambi, anak bongsu Allahyarham Tambi Jiee dan Allahyarhamah Ariza Ghazalee yang turut terkorban dalam tragedi itu diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130 ke Kuching, Sarawak pada 9.43 pagi.

Keranda yang membawa jenazah Meling pula diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Bintulu pada 9.45 pagi.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17 itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. - Bernama

Kenaikan harga minyak: Meruntuh nilai manusiawi


NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .
ISLAM telah menetapkan pengurusan ekonomi yang lebih tersusun bermatlamat untuk memastikan sumber hasil alam dapat dikongsi oleh semua manusia dengan sejahtera. Pengurusan sumber ekonomi mesti berdasarkan konsep ketelusan dan amanah yang tinggi bagi memastikan aturan ekonomi dapat berlaku dengan baik.

Ekonomi negara kita hari ini berada dalam keadaan simpang siur. Bermula dari sumber pendapatan negara hasil dari hutang dan cukai yang menekan kehidupan rakyat sehinggalah kepada ketirisan, pembaziran dan ketidakefisyenan pengurusan perbelanjaan negara. Daripada kebobrokan ideologi sistem kapitalisma sehingga kebobrokan pengurusan ekonomi. Segala-galanya rosak dan terus merosak!

Sistem ekonomi ciptaan manusia ini mengikis sifat kemanusiaan. Ekonomi hanya berkiblatkan material. Keuntungan maksimum adalah matlamat utama. Akhirnya ia merosakkan manusia yang berkejar ke arahnya dan mematikan perasaan kasih dan sayang terutama kepada golongan fakir dan miskin.

Inilah yang sedang membarah di dalam negara kita hari ini. Kenaikan harga minyak petrol RON95 dan Diesel yang diumumkan kerajaan semalam membuktikan mudahnya sifat rahmat sesama manusia terhakis daripada kerajaan kita. Ini bukanlah pertama kali kerajaan mengumumkan rasionalisasi subsidi bahan api ini yang memberikan kesan berantai kepada barangan dan perkhidmatan yang lain secara tidak langsung.

Hutang kerajaan hari ini berada pada paras yang bahaya melebihi separuh dari saiz ekonomi negara yang ditunjukkan dengan nilai KDNK negara. Kerajaan dilihat begitu terdesak untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih bagi menampung perbelanjaan mengurus negara yang bocor dan sudah tidak mampu ditampung.

Dalam keadaan begini, kerajaan sanggup menjadikan rakyat mangsa keadaan.

Ketika kos sara hidup yang membengkak, pengangguran yang meningkat, industri perumahan yang terus mengembung, kebanjiran pekerja asing, kurangnya tenaga kerja mahir tempatan, kerajaan sewenangnya meningkatkan lagi masalah ekonomi kepada rakyat. Pengurusan ekonomi negara semakin bertambah kusut.

Pengaruh sikap dalam pengurusan ekonomi negara juga tidak diambil perhatian, tetapi apabila diselidiki kemelut ekonomi negara yang berlaku hari ini, rata-rata akan meletakkan punca utama daripada masalah yang berlaku adalah disebabkan masalah sikap termasuk pembaziran, tiris dan sebagainya.

Ekonomi Islam tidak hanya membincangkan soal angka dan nombor, tidak hanya pada bentuk kejayaan material tetapi melengkapi soal kepercayaan kepada pembalasan di hari akhirat dan keutamaan kepada kebajikan sosial masyarakat. Perkara ini bukanlah perbincangan utama dalam sistem ekonomi yang diamalkan hari ini. Malah, ekonomi hari ini tidak meletakkan keutamaan kepada kebajikan masyarakat miskin dan fakir sepertimana prinsip yang ditegakkan oleh Islam. Kesannya, polisi kerajaan terhadap subsidi dan sebagainya tidak pernah melihat kepada kebajikan golongan tersebut.

Segala-galanya semakin merosak dan apabila sampai masanya, kerosakan itu akan sampai kepada kemuncaknya.

Adakah kita hanya akan menunggu sehingga kerosakan itu menjadi terlalu sukar untuk dipulihkan? Sudah terhantuk baru terngadah.

Islam datang untuk membina, bukan hanya untuk dipanggil saat negara berhadapan kemelut nazak ekonomi.

Negara kita memiliki kepakaran dan kesarjanaan tinggi dalam pengurusan ekonomi Islam. Kerajaan mestilah memiliki keinginan dan azam yang tinggi untuk berubah. Atau, jika tidak, kerajaan berhadapan kemarahan rakyat dan berakhir dengan kejatuhan yang mereka sendiri ciptakan. – HARAKAHDAILY 3/10/2014
Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Mas.

Hapus levi AP supaya kereta lebih murah


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk menghapuskan levi sebanyak RM10,000 untuk permit import (AP) terbuka bagi meringankan beban pemegang permit itu.
  
Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, persatuan itu mengharapkan bajet 2015 yang akan dibentangkan minggu hadapan dapat menghapuskan levi berkenaan dan menurunkan cukai eksais untuk memberi peluang rakyat membeli kereta import dengan harga lebih murah.
  
"Jika levi dimansuh, harga kereta import akan turun dan dalam masa sama, Pekema akan membawa masuk kereta bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
  
Beliau berkata walaupun pinjaman kereta di negara ini boleh dibuat sehingga sembilan tahun iaitu satu tempoh yang membolehkan memiliki kereta dengan lebih murah, namun dalam masa sama ia juga membawa kepada hutang isi rumah yang lebih tinggi.
  
Katanya, berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, pinjaman kenderaan menyumbang sehingga 20 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata pihaknya yakin dalam pembentangan bajet akan datang, harga kenderaan dijangka turun secara tidak langsung apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan mulai April tahun depan.
  
"Sekarang, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan sebanyak 10 peratus tetapi selepas pelaksanaan GST cukai yang dikenakan sebanyak enam peratus sahaja. Pelaksanaan GST sudah tentulah mengurangkan sedikit harga kereta baharu dan akan lebih murah," katanya.
  
Beliau mengingatkan bahawa penurunan harga kereta tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya harga tersebut kebiasaannya akan ditentukan oleh pengeluar syarikat automotif sedia ada.
  
"Melalui pelaksanaan GST, kita jangkakan memang akan berlaku perubahan pada harga kenderaan, melainkan kerajaan memperkenalkan cukai lain ke atas kereta untuk mengekalkan harga," katanya.- HARAKAHDAILY 3/10/2014

Chun Ying Adakan Sidang Media Pukul 11.30 Malam


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 12:04 AM
Leung Chun-Ying.

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Leung Chun-Ying akan mengadakan sidang media setengah jam sebelum kumpulan penunjuk perasaan pro-demokrasi menetapkan 'tempoh akhir' menggesa beliau meletakkan jawatannya, kata pihak berkuasa bandar pada Khamis.
Chun-Ying, Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Hong Kong akan mengadakan sidang media tersebut bersama-sama dengan Ketua Setiausaha, Carrie Lim, pada pukul 11.30 malam, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Maklumat.

Pasukan penunjuk perasaan pro-demokrasi menuntut, Chun-Ying meletakkan jawatan dan membantah tindakannya untuk menyerahkan jawatan yang disandangnya kepada pengganti beliau.

Kumpulan berkenaan mengugut untuk menceroboh bangunan kerajaan pada tengah malam. 
Sementara itu, pasukan keselamatan telah bersiap sedia dengan gas pemedih mata dan peluru getah dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Kumpulan penunjuk perasaan itu menentang keputusan Beijing bulan lalu bahawa calon dalam pilihan raya 2017 perlu disahkan terlebih dulu oleh jawatankuasa yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan elit pro-Beijing.

Payung menjadi simbol pergerakan bantahan awam di Hong Kong di mana penunjuk perasaan menggunakan payung untuk mengelakkan semburan gas pemedih mata daripada pihak polis.

Selain itu protes berkenan turut diadakan di luar Hong Kong termasuk di beberapa lokasi seperti New York, Paris serta Sweden bagi menyokong penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong.
mstar

Chun-ying Enggan Letak Jawatan


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 9:11 AM
Chun-ying (kanan) ketika berucap pada sidang media malam Khamis.

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Leung Chun-ying menegaskan tidak akan tunduk dengan desakan kumpulan penunjuk perasan yang menuntut beliau meletak jawatan.

Bagaimanapun, beliau meminta pegawai tertinggi kerajaan negara itu untuk mengadakan perbincangan dengan kumpulan tersebut.

Leung berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan kira-kira pukul 11.45 malam, 15 minit sebelum tempoh akhir ditetapkan kumpulan tersebut yang menggesa beliau meletak jawatan.

Kumpulan berkenaan mengugut untuk menceroboh bangunan kerajaan pada tengah malam.

Sementara itu, pasukan keselamatan telah bersiap sedia dengan gas pemedih mata dan peluru getah dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
mstar

Polis Akan Pantau Perhimpunan Kenaikan Minyak Di Dataran Merdeka


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 5:00 PM

KUALA LUMPUR: Polis akan membantu memantau perhimpunan yang dirancang untuk membantah kenaikan minyak di Dataran Merdeka pada pukul 4 petang, Sabtu.

Bagaimanapun Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa, berkata pihak polis tetap melihat perhimpunan itu sebagai haram kerana pihak penganjur tidak mengemukakan permohonan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Saya tidak menggalakkan orang ramai daripada menghadiri perhimpunan tersebut. Tetapi jika mereka memutuskan untuk pergi, kita tidak ada masalah selagi mereka berada dalam keadaan aman dan mematuhi garis panduan di bawah akta.

"Kita akan mengambil langkah yang perlu bagi menyiasat pihak penganjur kerana mereka tidak mengemukakan notis," katanya kepada The Star, Jumaat.

Difahamkan polis akan dikerah berada di sekitar Dataran Merdeka dan kawasan berhampiran pada hari Sabtu, tetapi lebih kepada pemantauan pasif.

Butiran mengenai perhimpunan tersebut telah disebarkan di aplikasi WhatsApp petang Jumaat. Namun masih belum jelas siapa penganjur sebenarnya.

Pada Rabu lalu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel diumumkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.30 dan RM2.20.

Walaupun mendapat tindak balas negatif oleh pemilik kenderaan untuk kenaikan harga ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, Bajet 2015 akan mengimbangi kenaikan harga dengan "meningkatkan BR1M" antara sebahagian daripada langkah-langkah lain.

"Ia adalah satu kenaikan yang sangat minimum dalam harga petrol. Tunggu bajet. Ia akan menangani beban dengan meningkatkan BR1M dan langkah-langkah lain, " jelas Hassan.
mstar

Hampir Semua Jemaah Haji Malaysia Tiba Di Arafah


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 5:20 PM
Suasana di pandang Arafah yang dipenuhi khemah yang menempatkan jemaah haji seluruh dunia.

ARAFAH: Kesemua jemaah haji, kecuali yang masih di Hospital Arab Saudi, kini telah berada di padang Arafah untuk wukuf, yang merupakan rukun dan kemuncak ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha sedang dijalankan untuk membawa mereka ke Arafah walaupun untuk seketika.

Waktu wukuf bermula apabila tergelincirnya matahari iaitu masuknya waktu zohor Jumaat dan berakhir sebelum terbitnya matahari iaitu sebelum masuk waktu Subuh Sabtu.

Jamil Khir berkata, kesemua jemaah haji Malaysia, termasuk yang dirawat di dua pusat rawatan Tabung Haji iaitu Pusat Rawatan Syisyah dan Pusat Rawatan Azizah telah dibawa ke Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah secara berperingkat-peringkat sejak pukul 10.15 pagi hingga jam 10.30 malam Khamis.

Tahun ini 22,320 jemaah Malaysia mengerjakan haji dan sehingga kini lima jemaah haji telah meninggal dunia di tanah suci.

Beliau berkata, demikian kepada media Malaysia selepas mengadakan lawatan selama sejam ke khemah jemaah haji di sini pagi Jumaat.

Jamil Khir berkata, kesemua jemaah haji berada dalam keadaan yang baik dan sedang siap bersedia untuk masuknya waktu wukuf yang hanya beberapa jam lagi. Malah cuaca yang cerah memudahkan jemaah haji membuat persiapan.

Mengenai khutbah Arafahnya pada Jumaat, beliau berkata, ianya akan menyentuh mengenai keberkatan haji tahun ini yang jatuh pada Jumaat yang merupakan penghulu semua hari.

Selain itu, haji terakhir Nabi Muhammad sebelum beliau wafat adalah juga jatuh pada Jumaat dengan meninggalkan pesanan dan amanat yang penting untuk umat Islam praktikkan terutama mengenai penjagaan terhadap keluarga.

Jamil Khir semasa bertemu dengan jemaah haji Malaysia turut mengucapkan selamat menjalankan ibadah wukuf dan diberkati dengan haji mabrur kepada mereka.

Jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Muzdalifah untuk bermabit, selepas Maghrib. 
mstar

Wisma Putra - New Zealand Kerjasama Hantar Balik Rizalman


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 1:18 PM

PETALING JAYA: Kementerian Luar sedang berurusan dengan kerajaan New Zealand untuk menghantar balik Pegawai Warran II Muhammad Rizalman Ismail.

"Proses mengekstradisi Rizalman dilaksanakan berlandaskan semangat kerjasama rapat yang sedia terjalin dalam hal perundangan antara Malaysia dan New Zealand, selain mengambil kira tiadanya perjanjian ekstradisi antara kedua negara.

“Malaysia and New Zealand komited untuk menyokong amalan adil dan menjunjung kedaulatan undang-undang bagi memastikan Rizalman melalui perbicaraan yang saksama terhadap pertuduhan ke atasnya," kata kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia dan New Zealand berbincang tentang prosedur perundangan yang diperlukan untuk membolehkan Muhammad Rizalman berdepan pertuduhan  pecah rumah dan serangan dengan niat merogol dan ini akan dilakukan sejajar dengan undang-undang antarabangsa serta dalam negeri.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei tahun ini dan dihadapkan di mahkamah pada hari berikutnya bagi menghadapi tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang akhbar di Putrajaya pada 1 Julai bahawa Muhammad Rizalman dan keluarganya pulang ke Malaysia dengan persetujuan pihak New Zealand.

Malahan, persetujuan juga dibuat untuk menghantar Muhammad Rizalman balik ke negara berkenaan untuk membantu siasatan, bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.

Anifah berkata, dalam perbincangan tentang perkara itu antara pegawai Malaysia dan New Zealand pada 12 Mei, pihak New Zealand menawarkan pilihan bagi tertuduh untuk dibawa pulang ke Malaysia.
mstar

Gaji MB, Exco Dipotong - Azmin


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 12:44 PM

GOMBAK: Gaji menteri besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor akan dipotong di bawah pentadbiran menteri besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, kenaikan elaun pada 2013 adalah terlalu tinggi dan ia perlu dibincangkan semula.

"Saya mengambil pendirian awal bahawa gaji menteri besar, ahli MMKN, Speaker dan Timbalan Speaker akan dipotong ke satu tahap yang munasabah.

"Kenaikan pada 2013 itu terlalu tinggi dan saya tak boleh berdepan dengan rakyat yang berdepan masalah kos kenaikan," katanya kepada pemberita ketika melawat Pejabat Daerah dan Tanah GOmbak di sini, Jumaat.

Menurut Azmin, pendirian itu adalah selaras dengan perancangan Belanjawan 2015 yang bermatlamat mengurangkan belanja pengurusan sebaliknya meningkatkan belanja pembangunan.

Jelasnya, kekayaan Selangor perlu dibelanjakan untuk pembangunan mengikut teras seperti pendidikan, perumahan di samping kebajikan.

"Pertambahan peruntukan mesti dalam bentuk pembangunan, bukan dalam bentuk keraian, elaun atau gaji," katanya.

Katanya strategi itu berbeza dengan belanjawan peringkat Persekutuan di mana 80 peratus dibelanjakan untuk tujuan mengurus dan 20 peratus untuk pembangunan.

Bagaimanapun, Azmin berkata, nisbahnya masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
mstar