Monday, March 9, 2015

Rakyat Malaysia wanita terkaya di Australia


MELBOURNE - AUSTRALIA . Rakyat Malaysia, Vicky Teoh, yang memiliki kekayaan dianggar berjumlah A$938 juta, sekali lagi dinobatkan sebagai Wanita Paling Kaya Di Australia Melalui Usaha Sendiri oleh majalah BRW (Business Review Weekly).

Vicky, 57, dan suaminya, David Teoh, 58, berhijrah dari Malaysia pada 1986 dan mengasaskan TPG Telecom.

Menurut BRW, Vicky memiliki sebahagian besar saham TPG dan memainkan peranan aktif dalam penubuhan perniagaan baharu keluarga itu seperti Oscar Wylee, yang terlibat dengan perniagaan runcit cermin mata secara dalam talian.

Kekayaan peribadi keluarga Teoh itu meningkat hampir sekali ganda pada tahun lepas kepada A$2 bilion (RM5.7 bilion), daripada A$1.06 bilion (RM3.0 bilion) sebelumnya.

Senarai Wanita Terkaya BRW itu, yang diterbitkan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, menonjolkan 30 wanita paling kaya di Australia melalui usaha sendiri.

Menurut majalah itu, untuk layak disenaraikan dalam senarai berkenaan, seseorang wanita mestilah berusaha sendiri untuk meraih kekayaan, bukan dengan mewarisinya daripada generasi terdahulu.

Jutawan perlombongan, Gina Rinehart tidak dimasukkan dalam senarai itu kerana beliau mewarisi kekayaan daripada bapanya, Lang Hancock, walaupun wanita itu mencapai kejayaan besar dalam perniagaan.

Jika digabungkan kekayaan yang dimiliki 30 wanita yang terdapat dalam senarai itu, jumlahnya ialah A$5.4 bilion (RM15.3 bilion), bertambah daripada$4.5 bilion (RM12.8 bilion) pada 2014, dengan setiap individu mencatat peningkatan kekayaan.

Wanita kedua paling kaya selepas Vicky Teoh ialah Charlotte Vidor dari Toga Hotels Group, yang memiliki kekayaan dianggarkan berjumlah A$360 juta (RM1.02 bilion). - Bernama

'Mumia' ditemui di kawasan gunung


 'Mumia' ditemui di kawasan gunung
Mumia ditemui di puncak gunung Pico de Orizaba
PICO  DE ORIZABA - MEXICO. Seramai 12 ahli pasukan penyelamat terkejut selepas menemui dua rangka manusia dipercayai membeku sehingga menjadi 'mumia' sewaktu menjalankan usaha mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan tertinggi Mexico, baru-baru ini.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, rangka manusia itu ditemui membeku dalam salji 1,000 kaki (310 meter) dari puncak  gunung Pico de Orizaba yang setinggi 5,636 meter.

Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, Juan Navarro, penemuan kedua pula dilaporkan berhampiran dengan puncak gunung tersebut.

"Rangka kedua ditemui 500 kaki (300 meter) dari mumia pertama. Rangka ditemui dalam keadaan beku.

"Identiti bagi kedua mumia itu masih lagi misteri dan hanya akan diketahui sebaik kedua-dua rangka itu dibawa turun dari kawasan pergunungan," katanya.

Sejak laporan tersebut didedahkan, pihak berkuasa tempatan mengesahkan menerima pelbagai panggilan dan maklumat kehilangan individu yang menjalankan aktiviti mendaki di kawasan pergunungan tersebut.

"Berdasarkan pemerhatian awal, mayat tersebut mungkin pendaki yang menjalankan pendakiannya di tahun 1959.

"Pada tahun tersebut, seramai empat pendaki dilaporkan berjaya kembali dari pendakian dengan selamat. Manakala tiga lagi dilaporkan hilang dan tidak dijumpai sehingga kini.

"Mayat ketiga mungkin akan dijumpai oleh pasukan penyelamat sebaik mereka kembali semula ke puncak gunung tersebut," katanya lagi.

Buat masa ini, pasukan penyelamat berhadapan detik sukar dalam meneruskan usaha mencari berikutan kabus tebal menyelubungi kawasan pergunungan terbabit.

'Gadis cantik jadi penjenayah'


'Gadis cantik jadi penjenayah'
CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dan menawan, kini menjadi terkenal di laman sosial Twitter selepas gambarnya disebar kepada umum apabila ditahan polis kerana mencuri.

Memetik laporan portal MTV.COM, gadis yang berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Alysa Bathrick, 18, juga pernah ditahan beberapa kali di atas pelbagai kesalahan termasuk menyerang orang.

Alysa atau nama gelarannya ‘cute mugshot girl’ berasal dari wilayah North Carolina sebelum ini dengan bangga memuatnaik gambar wajahnya di dalam lokap di laman Twitternya yang mana gambar itu dikongsi lebih 1,000 kali.

Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya


Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya
Sarah, yakin hubungannya dengan Olsen akan berjaya. – Foto Metro.uk.
CALIFONIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita mengaku menghabiskan sehingga AS$1.4 juta (RM5.1 juta) termasuk menggadaikan apartmennya untuk kekasihnya yang hanya dikenali menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, wanita itu memberitahu media, dia tidak pernah menyesal untuk berbuat demikian demi lelaki yang dicintainya.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, wanita yang hanya menggelar dirinya sebagai Sarah itu berkata, walaupun sudah mengalami perceraian sebanyak dua kali, dia mengakui masih tidak serik untuk menjalin hubungan cinta.

Kata Sarah lagi, meskipun dia tidak pernah bertemu dengan lelaki yang dipanggil Chris Olsen, perkenalan selama 18 bulan dan perbualan berjam-jam menerusi telefon tidak pernah menggoyahkan perasaannya.

Sebaliknya, wanita itu bertambah yakin untuk memindahkan sejumlah besar wang ke akaun lelaki itu setelah didesak berulang kali oleh Olsen.

“Walaupun suara dan loghat percakapannya sering berubah, tapi saya yakin 95 peratus dia benar-benar wujud.

“Dia beritahu saya dia berasal dari Milan dan menjalankan perniagaan di Afrika Selatan,” kata Sarah seperti yang dipetik menerusi laporan portal berkenaan.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut mendakwa bekerja di Nigeria dan Benin di Afrika Barat.

Menurut Sarah lagi, Olsen juga memberitahu sering ditangkap dan ditahan polis setiap kali lelaki itu cuba melintasi sempadan AS semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Dia sangat baik dan lemah-lembut. Tidak mungkin dia akan menipu saya.

“Saya percaya dia (Olsen) menganggap saya sebagai isterinya,” katanya lagi.

Sarah yang yakin dengan kejayaan hubungannya kini bergantung kepada seorang pengacara televisyen eksklusif, Dr Phil untuk membantu menyatukan mereka berdua.