Showing posts with label terpisah. Show all posts
Showing posts with label terpisah. Show all posts

Friday, October 26, 2012

Rindu tatap wajah ibu kandung


         
KUALA LUMPUR: “Saya amat berharap untuk bertemu ibu kandung yang terpisah sejak 32 tahun lalu dan melihat wajah bapa walaupun tidak pernah berjumpa dengannya sejak lahir,” kata Zainal Mahmud.

Zainal, 37 yang dibesarkan ibu bapa angkat sejak bayi berkata, harapannya begitu tinggi untuk bertemu semula ibunya walaupun langsung tidak mengetahui nama wanita itu sejak kali terakhir melihatnya ketika berusia sembilan tahun.


Lebih malang, Zainal berkata, dia tidak tahu siapakah bapanya kerana langsung tidak pernah melihatnya.

“Ibu menyerahkan saya kepada keluarga angkat di Batu 4, Gombak ketika saya masih bayi dan datang semula untuk mengambil saya sembilan tahun kemudian, tetapi saya enggan mengikutnya kerana tidak mengenalinya,” katanya.


Zainal yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, sebelum ini dia pernah berusaha mencari ibu bapa kandungnya ketika mahu mendirikan rumah tangga pada Julai 2003. Katanya, dia sekeluarga tinggal di rumah ibu bapa angkatnya di Taman Dagang, Ampang dan berharap mereka yang mempunyai maklumat menghubunginya di talian 017-6221405.

Monday, September 26, 2011

Bapa, anak jumpa lepas 3 tahun



KUALA TERENGGANU – Tidak ada apa yang lebih menggembirakan buat Sally atau nama penuhnya, Nur Sally Meridza Ibrahim, 14, tatkala menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Permai Hotel apabila dipertemukan dengan bapanya yang terpisah sejak tiga tahun lalu.

Sally yang menghidap penyakit autisme dihantar oleh bapanya, Ibrahim Hussin, 57, ke Taman Sinar Harapan setahun selepas ibunya Siti Fatimah Ahmad, 58, meninggal dunia akibat penyakit lemah jantung.

Menurutnya, sejak itu, dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang mesra dipanggilnya `abah’ memandangkan bapanya tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.

“Saya sangat gembira dapat jumpa abah, dua tahun saya beraya di sini (Taman Sinar Harapan) dan keinginan saya untuk berjumpa abah amat kuat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sally dan Ibrahim dipertemukan pada satu majlis khas anjuran Hotel Permai di sini dengan dihadiri pengerusi hotel itu, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar dan Pengurus Besarnya, Azman Ali.

Sementara itu, Wan Abu Bakar berkata, pihaknya berasa tersentuh dengan kisah Sally terutamanya ketika remaja perempuan itu berseorangan tanpa ditemani ahli keluarganya ketika menyambut hari raya sejak tahun lalu.

Malah katanya, ketika Sally menyertai satu acara mewarna anjuran pihaknya pada Februari lalu, dia ada melahirkan hasrat ingin berjumpa dengan bapanya.

“Sejak itu, pihak hotel cuba menjejaki Ibrahim, namun, usaha itu bukan mudah kerana dia telah berpindah dari alamat asalnya di Jempol, Negeri Sembilan selepas berkahwin lain dua tahun lalu.

“Namun, akhirnya kami berjaya menjejaki Ibrahim yang kini menetap di Muar, Johor bersama keluarga barunya,” katanya.

Menurutnya, pihak hotel juga menanggung segala perbelanjaan selain memberikan sedikit wang saku kepada Ibrahim untuk bertemu Sally sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Kami akan cuba membantu Sally dan bapanya untuk berjumpa pada masa akan datang serta penghuni Taman Sinar Harapan lain yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada pihak hotel kerana bersusah-payah mengatur pertemuan mereka dua beranak.

“Saya memang rindukan Sally tapi apakan daya, saya tidak mampu datang ke sini kerana jauh dan saya tiada kenderaan sendiri.

“Lagipun gaji saya hanya RM800 dan cukup-cukup untuk bayar sewa serta perbelanjaan keluarga di sana,” katanya.

Menurutnya, setiap kali Syawal menjelma, dia pasti akan teringatkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dan pernah beberapa kali dia menelefon anak gadisnya itu untuk bertanya khabar.

“Kalau boleh tiap-tiap tahun saya nak datang sini jumpa Sally tapi saya tak mampu,” katanya.

Thursday, December 2, 2010

Cari adik terpisah sejak 12 tahun


 


BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki dari Taman Sri Nibong, Pulau Pinang mencari adik kandungnya yang terpisah sejak 12 tahun lalu.

Lew Kok Chow,65, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adik bongsunya, Lew Kok Khoon, 59, adalah pada 1998 lalu ketika mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, sejak pulang dari percutian itu mereka tidak lagi berhubung berikutan masing-masing sibuk dengan pekerjaan.

“Baru-baru ini, saya teringat akan adik saya dan cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya tetapi gagal kerana nombor itu sudah tidak aktif.

“Saya ada juga menghubungi nombor telefon bimbit isterinya, juga tidak aktif. Saya pernah pergi ke alamat tempat lahir anaknya di Perai, tetapi tidak juga menjumpainya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, di sini, semalam.

Kok Chow berkata, dia kemudiannya pergi ke Telekom Malaysia Berhad (TM) dan juga syarikat rangkaian telefon mudah alih Maxis dengan harapan dapat mencari maklumat mengenai di mana adiknya tinggal mahupun nombor telefon terkini mereka, namun malangnya alamat dan nombor telefon yang diberikan tidak lagi digunakan.

Katanya, tiga minggu lalu dia ke Kuala Lumpur mencari adiknya di alamat terakhir di Taman Desa Bakti Batu Caves, tetapi, malang sekali lagi apabila jiran mengatakan Kok Khoon sekeluarga berpindah dari rumah itu tiga tahun lalu.

Tambahnya, pelbagai cara digunakan termasuk membuat iklan mencari adiknya dalam surat khabar berbahasa Cina, tetapi hingga kini masih belum membuahkan sebarang hasil.

Justeru, dia berharap agar adiknya dapat dipertemukan semula dengannya kerana dia amat merindui adiknya.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Kok Chow di talian 016-4431319 atau Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Mertajam, Goh Swee Gim, 016-4811899 atau Ketua Pusat Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, Tang Song Hooi di talian 019-4450915.