Sunday, July 27, 2014

Dewan Ulamak sokong pendirian Presiden PAS


HARAKAHDAILY | .
KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung kemelut kedudukan Menteri Besar Selangor.

Yang berikut ialah kenyataan penuh Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Pemangku Ketua, Dewan Ulamak PAS Pusat:

Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh sikap dan pendirian Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor perlu dikekalkan. Sila rujuk: ( http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/29937-saya-sokong-khalid-kekal-mb-presiden-pas)

Kenyataan Presiden itu adalah pendirian tegas berdasar keputusan yang telah dibuat oleh PAS berkait dengan PRK Kajang yang lalu iaitu:

1. Calon PRK Kajang diserahkan kepada PKR;
2. PAS membantu menurut keperluan; dan
3. Isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit.

Oleh itu, pendirian Presiden tersebut adalah berasaskan keputusan yang telah disepakati bahawa tiada perubahan MB Selangor dan Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan tiada sebarang alasan Syarie yang kukuh dikemukakan sehingga kini untuk mewajarkan penukaran Menteri Besar Selangor dan beliau patut dibenarkan meneruskan amanah sehingga ke akhir penggal.

Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengamati bahawa tidak berlaku sebarang pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan, penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor sejak perlantikan beliau sebagai MB selepas PRU ke-13. Begitu juga, sejak beliau mula menjadi Menteri Besar pada tahun 2008 sehingga berjaya kembali mendapat mandat rakyat dengan kemenangan berganda untuk PR dalam PRU ke-13 lalu.

Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa maslahah mengekalkan jawatan beliau lebih kuat berbanding keperluan menukar MB baru. Sebarang usaha menukar MB Selangor tanpa persetujuan bersama tiga kompenan parti, PAS, PKR dan DAP sehingga menimbulkan kekalutan dalam kalangan rakyat bawahan hendaklah dielakkan.

Pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru semua ahli PAS agar menghayati kebijaksanaan pendirian Presiden dalam hal ini tambahan lagi Presiden mempunyai hak pemutus dalam beberapa isu yang memerlukan keputusan segera. - HARAKAHDAILY 26/7/2014

16 jam ke Kota Bharu

16 jam ke Kota BharuLaluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah Utara turut alami kesesakan luar biasa. Enam belas jam untuk sampai ke Kota Bharu, Kelantan dari ibu kota dan dari Kuala Lumpur ke Jitra pula sebelas jam? Itulah tempoh yang terpaksa dilalui pengguna lebuh raya untuk pulang berhari raya di kampung sejak dua hari lalu berikutan keadaan kesesakan yang agak luar biasa.

Rata-rata pengguna terpaksa berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) untuk berehat selain bersahur di stesen minyak berikutan tersekat dalam kesesakan selain terpaksa beratur hampir sejam untuk mengisi minyak.

Pengguna, Khairizan Sabtu, 48, beliau sudah beberapa kali melalui laluan lebuh raya utara Kuala Kangsar ke Gerik dan tidak pernah mengalami kesesakan luar biasa seperti ini. Beliau sekeluarga bertolak dari Saujana Utama, Sungai Buloh pada jam 12.30 tengah malam kelmarin dan hanya tiba ke kampung halamannya kirakira jam 4.50 petang, semalam.
“Kami sekeluarga terpaksa menempuh perjalanan selama 16 jam untuk ke Kota Bharu, Kelantan dan menggunakan inisiatif lain melalui jalan kampung. “Saya ingatkan dengan melalui jalan kampung keadaan jalan semakin lancar, tetapi sama juga seperti melalui lebuh raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zuliana Zulkafeli, 38, pula terpaksa bersesak di lebuh raya selama 11 jam untuk tiba ke kampung halamannya di Jitra, Kedah, berbanding tempoh perjalanan biasa selama enam jam saja. “Kenderaan mula sesak sebaik saja melepasi tol Sungai Buloh. Saya ingat macam tahun lepas, hanya beberapa jam saja sesak dan selepas itu sudah berjalan lancar.

“Orang ramai terpaksa memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan untuk berehat selain kelihatan beberapa kenderaan mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. Lebih malang buat pelajar kolej swasta, Nurul Farahin Rosli, 21, apabila tayar belakang kenderaannya meletup dalam kesesakan menuju ke Simpang Pulai, Ipoh.

“Saya terpaksa memberhentikan kenderaan di laluan tengah untuk menukar tayar kerana tidak dapat ke lorong kecemasan untuk menukar tayar. Keadaan amat sesak dan saya mengambil masa lapan jam untuk tiba di kampung berbanding tiga jam tempoh perjalanan biasa,” katanya.

Pemisah hulur juadah berbuka


2014/07/27
Bungkusan gula-gula dan sebiji tembikai untuk juadah berbuka puasa antara ‘buah tangan’ diterima penulis sebaik memasuki zon peperangan di Grabovo, di sini semalam yang juga lokasi utama tragedi MH17.

Pemberian itu jelas menunjukkan simbol persahabatan tentera pemisah Republik Rakyat Donestk sebaik penulis memperkenalkan diri sebagai wartawan dari Malaysia, selain menyatakan tujuan ke wilayah berkenaan bagi meninjau lokasi nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.


Tidak seperti kunjungan hari pertama penulis bersama rakan setugas, Yusri Abdul Malek dan Khairul Ghazali yang agak sukar, kami tidak perlu melalui prosedur pemeriksaan ketat di tujuh pos kawalan tentera pemisah di sepanjang laluan ke lokasi nahas. Malah, ada beberapa anggota tentera pemisah mula mengenali kami, dengan ada di antaranya mengangkat tangan sambil menjerit ‘Malaysia’.

Di satu pos kawalan apabila kami terpaksa berhenti untuk menerima bungkusan gulagula dan buah tembikai, seorang anggota tentera pemisah menyatakan pihaknya turut bersimpati dengan insiden menimpa MH17 dan berkongsi kedukaan dengan Malaysia.

Dalam pertuturan bahasa Inggeris yang tidak begitu fasih, dia mendakwa pihaknya tidak mempunyai kaitan dalam insiden itu dan berharap hasil siasatan, termasuk maklumat kotak hitam pesawat berkenaan dapat mendedahkan pihak bertanggungjawab.

“Kami amat bersimpati dengan tragedi menimpa anak kapal dan penumpang MH17. Kita sama-sama tunggu siapa sebenarnya dalang di sebalik tragedi menyedihkan ini,” katanya.

Di sebalik wajah bengis tentera pemisah dan melakukan pemberontakan ke atas Kerajaan Ukraine bagi membentuk sebuah republik yang merdeka di Donestk, masih ada sifat kemanusiaan dalam diri mereka.

Perjalanan ke Pantai Timur, Utara sesak teruk


SESAK. Sebahagian daripada kenderaan yang berada di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Warga kota yang mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri terpaksa menempuh perjalanan sehingga 15 jam ke Kota Bharu, Kelantan iaitu dua kali ganda lebih lama berbanding pada hari biasa ekoran kesesakan teruk semalam.
Bagi perjalanan ke Pulau Pinang dan Kedah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan pula, rata-rata pemandu kenderaan mengambil masa 12 jam berbanding lima jam pada hari biasa.
Mereka yang memulakan perjalanan ke Kota Bharu seawal pukul enam pagi selepas waktu bersahur terpaksa menempuh kesesakan bermula dari Plaza Tol Gombak di sini.
Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur yang melalui Plaza Tol Gombak untuk ke Kelantan, Farah Yasmin Mohd. Yusof, 25, berkata, dia yang bertolak dari Keramat di sini terpaksa meredah kesesakan lalu lintas kira-kira lapan jam untuk melepasi Plaza Tol Gombak.
“Perjalanan sejauh kira-kira 14 kilometer dari Keramat ke Plaza Tol Gombak kebiasaannya mengambil masa 30 minit tetapi hari ini (semalam) saya berada dalam kereta hampir lapan jam.
“Kebiasaannya lapan jam itu adalah tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu tetapi hari ini (semalam) tempoh itu hanya dari Kuala Lumpur untuk ke Plaza Tol Gombak,” katanya yang pertama kali melalui pengalaman kesesakan teruk seumpama itu.
Farah Yasmin berkata, dia memilih untuk balik ke kampung di Kota Bharu semalam kerana beranggapan ramai kakitangan kerajaan sudah mula bercuti dan balik kampung pada Khamis lalu.
“Anggapan saya meleset apabila warga kota rata-rata bertolak hari ini (semalam) iaitu selepas bersahur,” katanya yang merupakan seorang peniaga.
Bagi seorang perantau di Kuala Lumpur, Yusman Awang, 46, pula, dia terpaksa menempuh perjalanan selama 15 jam dari Ampang, Selangor menuju ke Melor, Kelantan ekoran kesesakan teruk ke Pantai Timur.
Dia bertolak dari rumahnya di Ampang pukul 4.00 pagi dan mula terperangkap dalam kesesakan di Taman Melati sehingga ke Plaza Tol Gombak yang memakan masa lebih tiga jam.
“Selepas itu keadaan jalan di Bukit Tujuh, Pahang kembali sesak sehingga ke Gua Musang, Kelantan.
“Saya hanya tiba di Melor kira-kira 10 jam kemudian sedangkan kebiasaannya perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Melor mengambil lapan jam sahaja,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Noraini Amir, 24, yang pulang ke Alor Setar, Kedah dari Bukit Subang, Selangor melalui Lebuh Raya Utara-Selatan turut terpaksa menempuh perjalanan sesak selama 12 jam.
“Biasanya kalau balik Alor Setar, perjalanan hanya makan sama tujuh jam tetapi hari ini (semalam) kira-kira 12 jam kerana kenderaan perlahan sepanjang lebuh raya,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, pergerakan kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Karak masih lagi perlahan sehingga petang semalam.
Selain itu, LLM dalam laman Twitternya pada pukul 7.30 malam tadi memaklumkan Jalan Jerangau-Jabor terputus selepas pembetung di sebuah kampung Orang Asli di Cheneh, Kemaman runtuh.
Susulan itu, kenderaan yang melalui kawasan berkenaan diarah berpatah balik dan menggunakan Jalan Kemaman-Kuala, Terengganu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz38cXmrvVp 
Hakcipta terpelihara 

MH17: Belanda, Australia hantar anggota tambahan



DUA anggota kumpulan pejuang pemisah pro-Rusia melihat pasukan penyiasat antarabangsa memeriksa serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat Grabovo timur Ukraine.


AMSTERDAM - Kerajaan Belanda dan Australia kelmarin berusaha mendapatkan kebenaran bagi para pegawai penyiasat untuk ke lokasi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas dipercayai akibat ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Bagi hari ketiga berturut-turut, Belanda menerima mayat-mayat mangsa pesawat MH17 yang diterbangkan oleh pesawat tentera dari Ukraine.
Ketika ini pejuang pemisah Ukraine masih enggan membenarkan pasukan penyiasat antarabangsa menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi nahas yang dikuasai pemberontak di timur negara itu.
Pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu darat ke udara ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Seramai 193 penumpang adalah rakyat Belanda dan 37 lagi warga Australia.
Ketika ini beberapa mayat mangsa masih belum ditemui.
Menteri Luar Australia dan Belanda kini berada di Ukraine bagi membuat satu perjanjian dengan kerajaan di Kiev bagi membolehkan pasukan keselamatan kedua-dua negara dihantar ke tapak nahas.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, seramai 100 anggota polis persekutuan telah menyertai seramai 90 lagi anggota yang kini berada di Eropah dan bersedia menyertai misi antarabangsa tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Khamis lalu memberitahu, beliau menghantar 40 polis tentera tidak bersenjata ke tapak nahas bagi membantu 23 penyiasat negara itu mencari mayat dan mengumpul bukti.
Kumpulan itu yang turut disertai 23 pakar forensik berlepas dari Amsterdam dengan menaiki sebuah pesawat tentera.
Pakar forensik juga sedang bekerja di Belanda bagi mengetuai siasatan dan mengenal pasti mayat mangsa.
"Kerajaan Australia semakin hampir memuktamadkan satu perjanjian dengan Ukraine bagi menghantar polis Australia di mana sebahagian daripada mereka bersenjata api bagi membantu siasatan dan mencari mayat mangsa.
"Saya jangkakan operasi di tapak nahas akan mengambil masa beberapa minggu sekiranya penghantaran pasukan ini dapat dijalankan," kata Abbott. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz38cXXQHyN 
Hakcipta terpelihara 

Kenal pasti mayat masuk hari keempat


Kiev: Kerja mengenal pasti semua mayat mangsa nahas MH17 yang berada di Kharkiv, 300 kilometer dari sini, yang masuk hari keempat, dijangka selesai hari ini.

Walaupun sebelum ini dikatakan kerja mengecam dan memeriksa mayat mangsa nahas boleh dibuat segera, ia perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak bahan letupan kerana mayat itu diserahkan pemberontak pro-Russia selepas pemimpinnya mengadakan perjanjian dengan kerajaan Malaysia.

Sehingga kini, 189 keranda mengandungi mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda dan 38 lagi dijangka dihantar semalam.

Pesawat pengangkut milik tentera udara Belanda itu dijangka meninggalkan Kharkiv sebaik kerja pengecaman terakhir dibuat pasukan forensik.

Kerja mengecam semua mayat terakhir itu kini giat dijalankan pakar forensik dari Malaysia dan Belanda.

Semua mayat mangsa yang tiba di Eindhoven akan dibawa pula ke Hilversum untuk proses pengecaman seterusnya yang akan dijalankan dengan menggunakan cap jari, rekod pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Proses dilakukan mengikut garis panduan dan piawaian antarabangsa.

Semua mayat mangsa nahas yang dimuatkan dalam beberapa gerabak diserahkan pemberontak pro-Russia, Isnin lalu, apabila pemimpin pemberontak Alexander Borodai bersetuju berbuat demikian selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui perbualan telefon.

Pihak pemberontak juga menyerahkan dua kotak hitam kepada wakil Malaysia.

Jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 di timur Ukraine itu dijangka dapat dibawa pulang ke tanah air dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Jokowi 'pilih' Kabinet di Internet


JOKOWI
JAKARTA 26 Julai - Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo atau Jokowi mengambil satu pendekatan menarik dengan meminta orang ramai menamakan calon-calon berpotensi dalam senarai Kabinetnya nanti.
Sebuah pasukan sukarelawan yang membantu kempen Jokowi, Jokowi Center melancarkan satu pemilihan untuk calon barisan Kabinetnya menerusi laman web, jokowicenter.com Khamis lalu sekali gus membolehkan rakyat Indonesia memilih nama-nama yang disediakan di portal berkenaan atau mencalonkan pemimpin mereka.
Sejak kelmarin, lebih 18,000 peserta dalam talian berlumba-lumba untuk melawati laman web itu, menyebabkan perkhidmatannya tergendala selama 24 jam selepas dilancarkan secara rasmi.
Laman sosial Facebook, Jokowi Center dan akaun Twitter @Jokowi_Ina, turut menyediakan satu sambungan ke sebuah dokumen enjin carian Google yang menjemput orang ramai untuk mengisi soalan-soalan yang sama.
Sejumlah 102 nama telah dicalonkan untuk 34 jawatan menteri dengan setiap portfolio layak untuk tiga calon.
Sekiranya pencadang tidak berpuas hati dengan senarai nama yang diberikan, mereka boleh meletakkan calon mereka sendiri.
"Saya hanya meminta maklumat bagi membentuk sebuah Kabinet.
"Setiap calon yang dicadangkan akan diproses oleh sebuah pasukan sukarelawan berpandukan satu set kriteria. Keputusannya akan dihantar ke anggota gabungan sebelum dihantar semula ke Jokowi Center. Keputusan akhir akan ditentukan saya sendiri, " kata Jokowi mengulas mengenai undian dalam talian berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_10/Jokowi-pilih-Kabinet-di-Internet#ixzz38cP0UXPE
© Utusan Melayu (M) Bhd