Wednesday, July 13, 2011

Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah

KOTA BHARU, 13 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, (gambar) menyokong sekiranya Himpunan Bersih 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihanraya.

Menurutnya, pilihanraya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ianya menyentuh soal kepimpinan negara.

“Sedangkan menjaga diri sendiri juga wajib ikut cara Islam, dengan menikmati semua perkara halal, apa lagi soal mentadbir negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Himpunan Bersih 3.0 sekiranya ia diadakan lagi bagi menuntut pilihanraya adil selepas mempengerusikan mesyuarat exco pagi tadi.

Ketika diminta mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu berlakun sakit, tuan guru berkata hanya rakyat yang menjadi hakimnya.

”Orang Umno memang begitu, suka menafikan, dia tuduh kita (PAS), tetapi rakyat yang akan menjadi hakim, insyaallah," katanya.

Menurutnya, Bersih 2.0 akan berjalan dengan baik sekiranya Umno tidak memperalatkan polis supaya menyekat perhimpunan tersebut.

Perasaan manusia bila dia yakin, seperti air hujan dari langit akan turun dengan baik dan sekiranya disekat umpama air banjir mengganas menghanyutkan apa sahaja yang ada dihadapan.

Kiranya ada cadangan untuk buat lagi, setuju untuk rancangan bersih pilihanraya atas nama selagi sistem pilihanraya di negeri ini tidak berjalan lancar.

”Mentadbir negara yang diangkat secara bersih adalah kerja agama dan ianya perlu disokong oleh semua, selagi pilihanraya di negara ini berjalan tidak cara bersih, memang saya sokong atas nama apa sekalipun,”ujarnya.

”Mentadbir negeri adalah ajaran Islam seperti ianya menjaga diri sendiri, mata, bercakap, makan cara bersih, kerana itu ingin menjaga Kelantan cara bersih,”ujarnya.

Yang penting, katanya pilihanraya perlu diadakan secara bersih sekiranya tidak ingin balasan buruk di akhirat nanti.

Menurutnya, peniaga yang dikatakan kerugian besar akibat demontrasi itu akibat kerajaan sendiri memprovokasikan perkara itu.

”Cuba tidak menakutkan mereka atau memberi laluan demontrasi bersih cara baik, orang akan beli air sana, air sini dan hasil jualan akan laku,”ujarnya.

Beliau juga tidak faham sedangkan Puterajaya telah ditempatkan program Himpunan 1 juta pemuda, kenapa kawasan itu tidak disekat.
Nik Aziz sokong Bersih 3.0 jika tidak berubah

Bayi lelaki 7.3 kilogram dilahirkan


WASHINGTON 12 Julai - Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan mempunyai berat badan lebih 7.3 kilogram sekali gus mencipta rekod di sebuah hospital di Longview, Texas, semalam.

Bayi lelaki yang diberi nama JaMichael itu merupakan anak kepada pasangan Janet Johnson dan Michael Brown yang dilahirkan melalui kaedah pembedahan Cesarean pada awal pagi Jumaat lalu dan beratnya melebihi jangkaan doktor sebanyak 1.8 kilogram.

"Kami terpegun apabila melihatnya. Saya tidak percaya dia (JaMichael) sebesar itu. Kami terpaksa memulangkan semula baju-baju bayi yang dibeli kerana ia begitu kecil untuknya," kata ibunya.

Pihak Pusat Perubatan Good Shepherd turut mengalami kesukaran apabila pusat jagaannya tidak dapat menyediakan lampin pakai buang bersaiz besar.

Akhbar tempatan melaporkan, Johnson menghidap penyakit kencing manis sewaktu hamil dan ia mempengaruhi tumbesaran bayinya.

Keadaan tersebut menyebabkan wanita hamil tidak memberi tindak balas terhadap insulin di dalam tubuhnya dan melepaskan paras gula melebihi jumlah sepatutnya kepada bayi dalam kandungan.

JaMichael akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal bagi memantau paras gula dalam darahnya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

PM Mesir janji rombak Kabinet

KAHERAH 12 Julai - Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf semalam menyatakan beliau akan merombak Kabinet dalam tempoh seminggu, ketika penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi membantah tindakan lambat yang diambil dalam melaksanakan perubahan di negara ini.

Menurutnya, beliau turut mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy untuk mempercepatkan pendekatan mengembalikan keselamatan dan keamanan di Mesir.

Penunjuk perasaan menolak pengumuman Sharaf itu yang disiarkan di televisyen rasmi dan mengancam untuk meneruskan demonstrasi.

Sharaf berkata, beliau mengambil keputusan untuk merombak Kabinet dalam tempoh seminggu bagi mencapai objektif pemberontakan rakyat baru-baru ini.

''Rombakan tersebut juga akan melibatkan gabenor-gabenor wilayah bagi memenuhi aspirasi rakyat,'' katanya.

Beliau juga menggesa Majlis Kehakiman Agung untuk mengadakan perbicaraan terhadap bekas pegawai di bawah bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan anggota polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan dalam pemberontakan berkenaan.

Penunjuk perasaan yang mendengar ucapan Sharaf melalui pembesar suara di Dataran Tahrir kemudian menolak tindakan tersebut.

''Kami datang ke Dataran Tharir dan akan terus berada di sini sehingga Mubarak dan rejimnya didakwa,'' kata bekas pemain bola sepak yang turut berkhemah di dataran tersebut, Nader el-Sayed.

Penunjuk perasaan di Iskandariah pula mengibarkan kain rentang tertera 'Kami menolak kenyataan Sharaf'. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

AS pertahan keputusan

WASHINGTON 12 Julai - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mempertahankan keputusannya yang menggantung bantuan ketenteraan bernilai AS$800 juta (RM2.4 bilion) kepada Pakistan dengan menyatakan negara itu perlu menjalankan usaha yang lebih untuk memerangi militan.

"Berhubung bantuan ketenteraan kami, kami tidak bersedia untuk meneruskannya melainkan kami dapat melihat langkah tertentu diambil," kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.

Katanya, AS bersedia meningkatkan kerjasama dalam program menentang keganasan serta pemberontakan.

Nuland yang merujuk kepada tindakan Islamabad yang mahu 100 penasihat tentera AS meninggalkan Pakistan sekali gus menghentikan latihan ketenteraan di negara itu berkata, 'AS tidak dapat menuruti permintaan Pakistan tersebut'.

Sementara itu, enam militan maut apabila sebuah pesawat tanpa juruterbang AS membedil sebuah rumah di barat laut negara ini hari ini, kurang 12 jam selepas serangan pertama dilancarkan, kata pegawai risikan.

Serangan tersebut menyusul selepas pentadbiran Presiden Barack Obama mengumumkan penggantungan lebih satu pertiga bantuan ketenteraan AS ke Pakistan ekoran hubungan yang semakin tegang.

Menurut pegawai risikan, pesawat AS itu menembak empat misil ke arah rumah tersebut yang terletak di kampung Dremala di wilayah puak Waziristan Selatan.

Malam tadi, sebuah lagi pesawat tanpa juruterbang AS melancarkan misil ke sebuah rumah di kampung Gorvak, Waziristan Utara yang menyebabkan 12 militan maut.

China hari ini turut menyatakan sokongan terhadap Pakistan dan berjanji akan terus menyalurkan bantuan bagi meningkatkan kehidupan rakyat serta ekonomi negara tersebut.

"Pakistan merupakan sebuah negara penting di Asia Selatan. Kestabilan dan pembangunan di Pakistan berkait rapat dengan keamanan serta kestabilan Asia Selatan," kata jurucakap Kementerian Luarnya, Hong Lei. - AFP/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Madu lebah penawar ulser diabetes



MAFAUZY Mohamed (kanan) menunjukkan contoh ternakan madu lebah di kawasan persekitaran USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/HAPIZAH AZIZ


KOTA BHARU 12 Julai - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan mempelopori penggunaan madu lebah bagi merawat ulser diabetes dan mengurangkan masalah inflamasi pada mukosa mulut pesakit kanser nasofarign yang menjalani rawatan radiasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Penyelidikan melibatkan madu lebah untuk kedua penyakit tersebut telah dijalankan oleh pakar perubatan hospital berkenaan kira-kira 20 tahun lalu.

Kini, kajian tersebut diteruskan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyumbangkan madu lebah tualang dan gelam bermula tahun 2005.

Berikutan USM dianugerahkan status universiti penyelidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2005, sekumpulan pakar perubatan mengambil peluang memulakan penyelidikan melibat madu tempatan.

Projek penyelidikan pertama bertajuk Keberkesanan Pengambilan Madu Terhadap Gejala Pernafasan di Kalangan Jemaah Haji Malaysia berjaya dijalankan dan ia merupakan antara 46 penyelidikan madu yang telah dan sedang dijalankan di USM Kampus Kesihatan.

Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, sebanyak RM2 juta Geran Penyelidikan Universiti dianugerahkan kepada pensyarah bagi menjalankan penyelidikan madu lebah tualang tersebut.

Menurutnya,di samping menjalankan kajian keberkesanan penggunaan madu untuk pelbagai jenis penyakit, penyelidikan tersebut turut membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai khasiat perubatan madu tempatan secara saintifik.

''Pengetahuan yang diperoleh menyebabkan pasaran madu tualang kini meningkat sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada pencari lebah dan penternak terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara USM Kampus Kesihatan dan Universitas Hasanuddin Makasar serta Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. di Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.

Universiti Hasanuddin Makasar diwakili oleh Pembantu Rektor, D.A Suriamiharja, manakala Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. oleh Ketua Eksekutifnya, Aisan Fadhli Ab. Halim.

Mafauzy menambah, kajian yang dilakukan itu juga berbentuk serampang dua mata, di samping mengkaji khasiat madu lebah, usaha itu juga membantu meningkatkan taraf hidup pencari lebah yang rata-ratanya daripada golongan bottom bilion.

USM katanya, prihatin dengan nasib golongan berkenaan dan mendapati hasil kajian membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan serta mempromosikan madu lebah yang dicari seterusnya menjadikan ia sebagai sumber pekerjaan.

''Harga madu di pasaran juga meningkat dan menjadi pilihan ramai sebagai makanan kesihatan untuk semua peringkat masyarakat,"katanya.

Tambahan pula, katanya, hasil penyelidikan melibatkan herba, madu dikenalpasti berpotensi menurunkan paras gula dalam darah serta meningkatkan kesihatan fizikal .

Katanya lagi, sehubungan itu pensyarah dan penyelidikan di Kampus Kesihatan digalakkan mendapatkan geran penyelidikan dari sumber luar untuk mempelbagaikan penyelidikan mereka dalam meningkatkan kualiti.

''Selain madu lebah, USM turut meluluskan geran di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat berjumlah RM50,000 bagi projek ternakan madu lebah kelulut.

''Setakat ini usaha membangunkan produk madu lebah kelulut bagi kegunaan merawat penyakit dan pemakanan kesihatan telah dimulakan," katanya.

Dr. Mafauzy menambah, pihaknya juga mengalu-alukan perjanjian persefahaman yang diadakan dengan Universiti Hasanuddin Makasar dalam kajian melibatkan madu lebah serta pembangunan produknya.

Beliau berharap, kerjasama itu mampu menghasilkan suatu modul perawatan yang komprehensif dan dapat ditawarkan kepada pengamal perubatan tempatan dan global.

''Begitu juga, gabungan kerjasama dengan Syarikat Aifa Health Sdn. Bhd. yang secara prinsipnya bersetuju menyumbangkan sejumlah dana untuk mengadakan sebuah Makmal Efikasi Pre-Klinik dalam menjalankan kajian berkaitan," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perhatian ahli akademik, pelajar dan warga USM Kampus Kesihatan yang sensitif dengan keperluan masyarakat dalam membangunkan perubatan tradisional dan komplementari berasaskan madu.

Katanya, kajian berasaskan saintifik itu mampu diintegrasikan dalam sistem perubatan yang sedia ada dan usaha tersebut dapat dilihat sebagai salah satu daripada strategi Blue Oceanyang tidak memerlukan USM bersaing dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Utusan Malaysia Online - Timur

Perintah darurat di selatan Thai dilanjut

BANGKOK: Kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva melanjutkan undang-undang darurat di wilayah selatan negara itu pada mesyuarat Kabinet terakhirnya, semalam.

Undang-undang berkenaan yang mula dikuatkuasakan pada 2005, meliputi hampir keseluruhan tiga wilayah paling selatan negara itu, dilanjutkan selama dua bulan lagi.


Ketiga-tiga wilayah itu, Yala, Narathiwat dan Pattani dilanda keganasan sejak awal 2004 berikutan rasa tidak puas hati penduduk yang majoritinya keturunan Melayu dan beragama Islam, terhadap penindasan yang dilakukan kerajaan Thai.

Kabinet baru yang akan diketuai oleh Yingluck Shinawatra, adik bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan akan mengangkat sumpah jawatan tidak lama lagi. - Reuters

myMetro | Perintah darurat di selatan Thai dilanjut

Jupe hanya berbikini ke bank

JAKARTA: Aktres Julia Perez atau akrab dipanggil Jupe memang layak digelar artis sensasi. Setiap kerenahnya mendapat perhatian pihak media. Contohnya, baru-baru ini, gambar dia berbikini di sebuah bank di Bali tersebar luas di Internet.

Ya, foto itu memang asli gambar saya,” jelasnya ketika ditemui di mahkamah negeri Jakarta Timur, semalam. Jupe mendedahkan gambar itu diambil kira-kira sebulan lalu. Dia bercuti bersama kekasihnya, Gaston Castano di Pulau Bali. Bagi mengisi waktu percutiannya dia berjemur di tepi pantai dengan berbikini, manakala Gaston berseluar renang. Tiba-tiba dia menyedari dia tidak mempunyai wang tunai. Berikutan cemas, dia menyewa motosikal lalu segera mencari mesin teler wang automatik (ATM) yang terletak setengah jam perjalanan dari pantai. “Saya tidak membawa wang tunai, hanya kad ATM. Saya juga tidak pakai baju lain selain bikini di tubuh. Saya bernasib malang kerana kad ATM pula ditelan mesin. Jadi, saya masuk ke bank terdekat untuk meminta bantuan,” katanya.


Ketika itu, kakitangan bank memberi keutamaan kepada Jupe untuk membuat kad ATM baru dan dia tidak perlu menunggu lama.

“Ketika kad ATM saya ditelan mesin, saya yakin tidak dapat pulang ke Jakarta. Saya juga pernah kehilangan wang di mesin ATM sewaktu di Bali. Ia kan kemalangan, jadi, foto berbikini itu dalam keadaan kecemasan,” katanya lagi. - DH

myMetro | Jupe hanya berbikini ke bank

‘Tak pernah cerai’

AMPANG JAYA: Usaha seorang suami untuk mendapatkan semula isteri yang meninggalkannya sejak sembilan bulan lalu berakhir dengan insiden di luar dugaan apabila dia cedera di muka, telinga dan bibir apabila dipukul seorang lelaki yang mendakwa sudah berkahwin dengan wanita itu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ismail, 39, berkata kejadian berlaku ketika dia bersemuka dengan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Pandan Jaya di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin. “Lelaki itu berkata dia sudah berkahwin dengan isteri saya, sedangkan saya tidak pernah menceraikannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. Menurutnya, selain dipukul dengan kayu hingga cedera di muka, telinga dan bibir, lelaki berusia 26 tahun itu turut memintanya wang sebanyak RM2,500.


“Katanya, wang itu untuk membiayai kos perkahwinan mereka dan mahu membayar sewa rumah yang didiaminya bersama isteri saya,” katanya.

Ismail berkata, isterinya yang berusia 29 tahun dan dikahwini sejak 1995 mula berubah sikap sejak mengenali lelaki terbabit sehingga tergamak meninggalkannya pada Oktober tahun lalu.


“Tanpa diduga, saya terserempak dengan mereka di sebuah pasar malam dua minggu lalu. Ketika itulah lelaki terbabit berkata dia sudah berkahwin dengan isteri saya.


“Dakwaan itu mengejutkan kerana saya tak pernah menceraikan isteri dan masih menyayanginya,” katanya.

Malam kelmarin, Ismail bersemuka dengan isterinya dan lelaki itu di sebuah rumah di Pandan Jaya kerana mahu mendapat penjelasan lanjut serta memujuk isterinya kembali ke pangkuannya.


“Lelaki itu bukan saja tidak membenarkan isteri saya mengikut saya, malah saya dipukul dengan kayu di muka, telinga dan bibir hingga cedera dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Berikutan kejadian itu, Ismail membuat laporan polis dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

myMetro | ‘Tak pernah cerai’

Kesalan tak sudah

KOTA BHARU: “Saya amat terkilan kerana tidak membawa kedua-dua anak ketika berkunjung ke rumah emak petang kelmarin, meskipun mereka merengek mahu mengikut.

“Jika kehendak mereka dipenuhi mungkin mereka masih hidup,” kata Mohd Rizal Awang, 35, bapa kepada dua beradik yang mati lemas di dalam tali air, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, Alwani Syamimi, 11, dan Mohd Aizat Afiq, 9, ditemui mati lemas di dasar tali air di Kampung Pak Koje, Melor, di sini, yang terletak kira-kira beberapa meter dari kediaman mereka.

Menurut Mohd Rizal, sebelum kejadian, dua anaknya itu ditinggalkan di rumah untuk bermain bersama sepupu mereka yang tinggal berdekatan, sementara dia dan isteri serta anak bongsunya ke rumah mentuanya di Alor Bakat di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.


Katanya, dia tiga beranak ke rumah mentuanya kerana mahu mengambil buah durian di kebun dan merancang balik secepat mungkin.


“Petang kelmarin saya sendiri tidak menyangka akan pulang lewat meskipun ada perasaan tidak senang hati kerana memikirkan dua anak yang ditinggalkan di rumah.

“Memang saya tidak menduga perasaan tidak sedap hati itu petanda saya akan kehilangan mereka,” katanya menangis.


Mohd Rizal berkata, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 8 malam dia mendapati dua anaknya itu tiada dan terus bergegas mencari mereka di rumah abangnya, tetapi tiada.

“Dalam keadaan bimbang saya turut meminta bantuan tiga penduduk kampung untuk mencari sebelum ternampak basikal anak sulung (Alwani Syamimi) di tepi tali air.


“Saya mula syak kejadian buruk berlaku dan terus terjun ke tali air dan mendapati sebuah lagi basikal milik Mohd Aizat ada di dalam tali air itu,” katanya.


Menurut Mohd Rizal, dengan perasaan berdebar-debar dia terus menyelam dan meraba-raba di dasar tali air sebelum menjumpai mayat dua anaknya itu.


“Hancur luluh hati saya ketika itu kerana kedua-duanya pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata.


“Apa yang lebih disesalkan ialah kerana saya tidak membawa mereka bersama sebelum itu ke rumah nenek mereka,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.


Mohd Rizal berkata, kemungkinan dua anaknya lemas selepas Alwani Syamimi cuba menyelamatkan adiknya, Mohd Aizat Afiq yang terlebih dahulu terjatuh bersama basikalnya ke dalam tali air sedalam lebih dua meter itu.


Sementara itu, ibu mangsa, Asmarani Ismail, 31, berkata, dua beradik itu ada menunjukkan perangai pelik kerana sentiasa mahu tidur bersamanya sejak seminggu lalu.


Katanya, pada mulanya, Mohd Aizat Afiq yang selalu mahu tidur bersamanya sebelum kakaknya turut berbuat demikian.


“Mohd Aizat Afiq paling ketara perubahannya kerana tidak mahu bercakap dengan sesiapa sejak dua minggu lalu sehingga terpaksa dibodek oleh bapanya dengan dibawa berjalan-jalan ke merata tempat.


“Memang tidak diduga perubahan itu menandakan mereka pergi meninggalkan kami,” katanya sambil memangku satu-satu anaknya yang masih ada, Mohd Izz Afif, 19 bulan. Menurut Asmarani, jenazah dua anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Mak Lipah kira-kira jam 10.30 pagi semalam. “Saya reda dengan apa berlaku, ini dugaan Allah kepada kami dan saya serta suami perlu tempuhinya,” katanya.

myMetro | Kesalan tak sudah

Schwarzenegger beraksi lagi

Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger

LOS ANGELES: Dua bulan selepas menangguhkan kemunculan semula di Hollywood ekoran pendedahan skandal seks, Arnold Schwarzenegger kini bersedia menjadi tumpuan sekali lagi.

Bekas hero filem aksi yang menjadi ahli politik itu dijadual memulakan penggambaran filem The Last Stand pada September ini.


Sumber berkata, The Last Stand adalah filem era zaman lampau sesuai untuk seorang lelaki 63 tahun yang mempunyai masalah moral.

“Kami sentiasa perlukan seorang ikon untuk filem begitu,” katanya kepada sebuah laman sesawang hiburan Hollywood, semalam.


Schwarzenegger menjadi perhatian dunia apabila didapati manjalin hubungan dengan pembantu rumahnya dan menyebabkan wanita terbabit hamil dan melahirkan anak luar nikah, 13 tahun lalu.


Pendedahan itu turut memusnahkan rumah tangga Schwarzenegger bersama Maria Shriver.

Laman sesawang Deadline Hollywood adalah sumber berita pertama melaporkan pembabitan Schwarzenegger dan ia disahkan majalah Entertainment Weekly.


Menurut sumber, penggambaran filem itu akan diteruskan dan Schwarzenegger, 63, menjadi bintang utamanya.

Mei lalu, Schwarzenegger berkata, dia menangguhkan seketika perbincangan untuk menerbitkan filem baru Terminator serta projek lain bagi memberi perhatian kepada masalah peribadi.


Minggu lalu, Maria memfailkan permohonan bercerai daripada bekas Gabenor California itu selepas 25 tahun hidup sebagai suami isteri.


Pasangan itu mempunyai empat anak.


Media Amerika Syarikat mempersenda Schwarzenegger selepas dia terbukti mempunyai anak luar nikah dan menyimpan rahsia itu sehinggalah ia dibongkar beberapa bulan lalu.


Filem The Last Stand bakal diarahkan sutradara Korea Selatan, Jee-woon Kim, dan dijangka ditayangkan pada 2012.


Sebelum skandal seksnya terbongkar, Schwarzenegger sibuk menyiapkan filem Cry Macho.


Bekas juara bina badan dunia itu juga menyatakan rancangan menggunakan suaranya untuk filem animasi The Governator, mengenai seorang hero rahsia.


Bagaimanapun, kedua-dua projek itu kini masih digantung. - Reuters

myMetro | Schwarzenegger beraksi lagi

Bekas isteri Zainal tuntut RM167,102


Natasha Gabriel Abdullah
Natasha Gabriel Abdullah


KUALA LUMPUR: Bekas isteri vokalis kumpulan Headwind, Zainal Abidin Mohamed atau lebih dikenali Zainal Abidin memfailkan tuntutan hutang nafkah anak berjumlah RM167,102.04 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Natasha Gabriel Abdullah, 52, yang juga bekas model selaku plaintif menerusi peguam syarie, Norhusniah Husin mengemukakan tuntutan itu di hadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain.
Bagaimanapun, Zainal Abidin, 51, yang diwakili peguam syarie Abdul Halim Bahari, tidak hadir.
Natasha mengemukakan tuntutan itu yang juga hutang nafkah sejak 2002 hingga kini membabitkan yuran persekolahan, kelas agama dan perubatan anak mereka.

Zainal Abidin juga menghadapi satu tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya yang difailkan Natasha tahun lalu.

Dalam tuntutan itu, Natasha memohon nafkah bulanan RM200 bagi setiap anak dinaikkan kepada RM1,200 seorang.

Turut dimohon, nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.
Bagi nafkah membabitkan pelajaran, Natasha menuntut belanja anak mereka, Mikhail, 18, dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala anak perempuan iaitu Timur, 16, RM2,000 sebulan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan dua kes berkenaan pada 24 Oktober ini.

Mengikut rekod, Natasha bernikah dengan Zainal Abidin pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan dua anak iaitu Mikhail dan Timur, sebelum bercerai pada 12 Disember 2000. Berita Harian Online | Bekas isteri Zainal tuntut RM167,102

Dua beradik lemas dalam tali air


ALWANI dan Mohd Izat Afiq yang lemas  di tali air di Kampung Pak Koje, Melor, kelmarin.
ALWANI dan Mohd Izat Afiq yang lemas di tali air di Kampung Pak Koje, Melor, kelmarin.


Ibu tak sangka permintaan tidur bersama petanda pemergian buat selama-lama

KOTA BHARU: Seorang ibu tidak menyangka permintaan dua beradik untuk tidur bersamanya, sebagai tanda mereka akan pergi selama-lamanya, apabila kedua-duanya ditemui lemas dalam tali air, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Alwani Shamimi Mohd Ridza, 11 dan adiknya, Muhamad Izat Afik, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, ditemui mati lemas di dasar tali air di Kampung Pak Koje, Melor, di sini, beberapa meter dari kediaman mereka.
Ibu mangsa, Asmarani Ismail, 31, berkata dua daripada tiga beradik itu tidak pernah berkelakuan sebegitu sebelum ini, apabila tiba-tiba meminta mahu tidur bersamanya dan gembira apabila dibenarkan berbuat demikian.

“Saya tidak sangka permintaan arwah berdua mahu tidur bersama, seolah-olah permintaan terakhir, malah bagaikan tidak percaya akan kehilangan kedua-dua anak manja itu serentak, tetapi reda dengan ujian Tuhan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Ridza Awang, 35, berkata sebelum kejadian, beliau bersama isteri serta anak bongsu mereka, Muhamad Izz Afif, meninggalkan kedua-dua mangsa di rumah untuk menziarahi mentuanya di Mahligai, di sini.

Katanya, dua beradik itu tidak pernah bermain di tali air, malah sebelum meninggalkan mereka, beliau sempat menasihatkan mereka supaya tidak bermain berhampiran kawasan berkenaan.
“Kami meninggalkan mereka jam 6 petang dan pulang sejam kemudian sebelum mendapati kedua-duanya tiada di rumah. Saya terus mencari mereka di rumah saudara berhampiran, tetapi gagal.

“Ketika mencari bersama beberapa penduduk, saya ternampak basikal Alwani di atas tebing tali air dan bergegas ke situ sebelum melihat basikal Muhamad Izat dalam tali air berkenaan,” katanya.

Beliau bersama penduduk kampung turun ke tali air pada paras lebih dua meter dan berjaya menemui mayat Alwani Shamimi sebelum menemui Muhamad Izat Afik berhampirannya. Berita Harian Online | Dua beradik lemas dalam tali air

99 kena tipu gelaran Datuk

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti 99 individu menjadi mangsa penipuan sebuah persatuan kerabat diraja di negeri ini sehingga mereka dipercayai sanggup membayar antara RM20,000 hingga RM150,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk.

Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata pengurniaan gelaran Datuk kepada 99 individu itu tidak sah di sisi undang-undang dan tidak boleh diguna pakai.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan wang untuk mendapat gelaran Datuk seperti berlaku kepada 99 individu yang terpedaya dengan persatuan ini.
“Difahamkan, mereka membayar RM20,000, RM50,000 dan RM150,000 untuk mendapat gelaran Datuk,” katanya, semalam.

Pada 11 Februari lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pertubuhan itu kerana menjalankan kegiatan bercanggah dengan Undang-Undang Kelantan.

Abdul Razak berkata, persatuan berkenaan mengadakan majlis istiadat pengurniaan sebanyak dua kali membabitkan 99 penerima pada 15 Disember 2009 dan Januari lalu. Berita Harian Online | 99 kena tipu gelaran Datuk

Iraq mahu beli jet pejuang AS

WASHINGTON: Iraq memperbaharui rundingan untuk membeli sekurang-kurangnya 36 jet pejuang Amerika Syarikat F-16 dalam satu perjanjian bernilai bilion dolar yang diharapkan Washington dapat membantu mengawal negara jirannya, Iran, lapor akhbar Wall Street Journal semalam.
Iraq membekukan perjanjian bernilai AS$4.2 bilion (RM12.6 bilion) untuk membeli 18 pesawat pejuang sebelum ini kerana ketidakstabilan dikaitkan dengan rantau Arab, tetapi kini mempertimbangkan pembelian yang lebih besar, lapor akhbar terbabit yang memetik pegawai Iraq dan Amerika Syarikat.
Akhbar itu berkata minat terbaru itu dikaitkan dengan pulangan minyak Iraq yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kebimbangan terhadap kedua-dua pihak menjelang pengunduran 46,000 tentera Amerika Syarikat dari negara itu akhir tahun ini.

Sebarang kemungkinan rundingan akan bernilai berbilion dolar dan mengambil masa untuk dilaksanakan, kerana ia memerlukan pembuatan pesawat itu dan latihan jurulatih Iraq.

Akhbar itu berkata, Iraq juga memohon untuk beli sistem pertahanan udara darat, termasuk peluru berpandu dari darat ke udara dan senjata besar.

Beliau berkata, Oman juga mahu membeli 18 F-16 dengan anggaran kos AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion).
Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta, berkata ketika satu lawatan mengejut ke Baghdad kelmarin, tentera Amerika Syarikat akan terus memburu pemberontak yang disokong Iran, dengan menyifatkan bahawa mereka membunuh ramai tentera Amerika Syarikat.

Washington menekan Iraq untuk membuat keputusan mengenai sama ada mahukan tentera Amerika Syarikat masih berada di negara itu menjelang akhir tahun ini apabila semua tentera kuasa besar itu berundur di bawah perjanjian keselamatan 2008. – AFP
Berita Harian Online | Iraq mahu beli jet pejuang AS

Adik Hamid Karzai dibunuh


Ahmed Wali Karzai
Ahmed Wali Karzai


Ahmed Wali ditembak rakan baik yang menjadi tetamu di rumah

KANDAHAR: Adik lelaki presiden Afghanistan dan tokoh berpengaruh di kawasan wilayah bergolak selatan Kandahar, Ahmed Wali Karzai, ditembak mati oleh seorang rakan lamanya semalam.
Walaupun Taliban mengaku bertanggungjawab, pegawai perisikan Afghan memberitahu yang ketua majlis wilayah Kandahar itu dibunuh oleh seorang tetamu.Pegawai rasmi agensi perisikan Afghanistan berkata pembunuh itu adalah rakan lama yang melawatnya. Beliau berkata lelaki bersenjata itu tidak diperiksa sebaik tiba di kediaman Wali Karzai kerana hubungan baiknya dengan lelaki itu.

Suspek Sardar Mohammad, adalah rakan lama dari kampung Karzai dan dia ditembak mati oleh pengawal keselamatan selepas pembunuhan.

“Beliau mengunjungi Wali di rumahnya. Mereka berjumpa bersendirian di bilik, lelaki itu mengambil pistol dan menembak mati Wali. Pengawal keselamatan bergegas masuk ke bilik itu dan membunuh Sardar,” kata pegawai rasmi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Seddiq Seddiqi berkata: “Seorang tokoh terkemuka Afghanistan terbunuh. Kami mengutuk serangan itu. Beliau ditembak di rumahnya oleh seorang tetamu yang menziarahinya bukan ditembak pengawal peribadinya jam 11.30 pagi waktu tempatan,” katanya.
Rakan keluarga berkata beberapa tetamu Wali Karzai yang lain turut terbunuh dalam serangan itu tetapi tiada pengesahan.

Pembunuhan itu terjadi di saat Presiden Afghanistan Hamid Karzai mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang mengadakan lawatan mengejut ke Afghanistan dan mengumumkan pengunduran 1,000 tenteranya hujung tahun depan.

Wali Karzai, ketua majlis wilayah Kandahar, adalah tokoh yang banyak dibelenggu kontroversi dengan tuduhan mempunyai hubungan tidak baik dalam perdagangan candu Afghanistan dan firma keselamatan persendirian.

Dokumen Amerika yang dibocorkan laman web pembocor rahsia WikiLeaks akhir tahun lalu turut menuduh beliau sebagai pengusaha dadah yang mengamalkan rasuah tetapi pegawai rasmi Barat berdiam diri terhadap rekod buruk adik tiri presiden itu. – AFP Berita Harian Online | Adik Hamid Karzai dibunuh

Wati ada RM40j


 Buhari Mohamed
Buhari Mohamed


Jutawan kosmetik gemar jual beli tanah raih untung

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh pada Ogos tahun lalu mempunyai RM40 juta simpanan dalam akaun peribadinya dan memang gemar berniaga jual beli tanah untuk mendapatkan keuntungan.
Buhari yang menjawab pertanyaan peguam Manjeet Singh Dhillon, dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, semalam berkata beliau mendapat sedikit maklumat mengenai status kewangan dan kedudukan syarikat milik Sosilawati pada Ogos 2010.
Manjeet: Tahun lalu, beliau kena tindakan sebab buat perjanjian tetapi tak mahu jual?

Buhari: Ya

Manjeet: Bila dapat tahu kes itu?

Buhari: Saya tidak tahu. Tapi saya mengendalikan kes itu sekarang. Bila beliau dah tak balik rumah, anak saya minta tolong dan kes itu sudah selesai.
Manjeet: Bangunan itu sudah dijual kepada orang berkenaan?

Buhari: Ya.

Beliau juga memberitahu mahkamah, tidak tahu tanah itu dijual kepada syarikat milik seorang wakil rakyat, Datuk Abdul Rahman Palil atau kepada pihak lain.

Ketika pemeriksaan utama, Buhari yang juga saksi pendakwaan ke-24 memberitahu mahkamah, Sosilawati pernah membuat perjanjian pembelian tanah di Pulau Pinang dengan Muthuraja Allal Kathan pada 2008.

Buhari berkata, bekas isterinya itu pernah memintanya melihat satu dokumen perjanjian jual beli sebidang tanah di Pulau Pinang, di pejabat tertuduh pertama, N Pathmanabhan, pada 2008 kerana beliau ada sedikit pengetahuan mengenai perjanjian dan pernah bekerja sebagai pengurus bank.

“Saya komen maklumat penjual atau pemegang 'title'. Nama pada perjanjian iaitu Muthuraja a/l Allal Kathan, tidak lengkap. Sekurang-kurangnya (perlu) ada nombor kad pengenalan atau pasport untuk ketahui identiti penjual," katanya kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof.

Sebelum ini, akhbar pernah melaporkan kehilangan seorang ahli perniagaan dari India bernama Muthuraja Allal Kathan ketika siasatan kes kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya sedang dijalankan. Bagaimanapun, semalam, identiti sebenar lelaki bernama Muthuraja dalam perjanjian itu tidak ditimbulkan.

Buhari berkata, beliau juga mengulas nama syarikat dalam perjanjian berkenaan, iaitu Southern Symphony tidak ditulis dengan nombor pendaftaran syarikat serta hanya tandatangan pembeli tanpa maklumat pengenalan diri.

Katanya, beliau juga mempertikaikan bahawa Sosilawati ketika itu tidak pergi ke Madras, tetapi perjanjian ada membabitkan peguam di India serta tiada pengesahan kewujudan individu dalam perjanjian itu dari kedutaan di India.

Buhari: Saya kata, perjanjian ini (tanah) bermasalah yang ada lagi kaveat. Last (akhirnya) saya tanya dia (tertuduh) andai kata masalah timbul selepas tanah dibeli dan dijual semula dan keuntungan dibahagikan, pihak ketiga akan buat tuntutan dan tanah tidak boleh didaftar balik atau dipindah milik, siapa akan tanggung kerugian ini.

Ishak: Apa reaksi Sosilawati dan Pathmanabhan?

Buhari: Pathma kata seorang peguam yang agak lama dan berkata masalah ini boleh diselesaikan. Sosilawati tidak ada komen, cuma saya kesal (kerana) ketika beliau bawa saya, perjanjian itu sudah ditandatangani dan duit deposit 10 peratus sudah dibayar.

Ishak: Macam mana awak tahu?

Buhari: Sebab beliau beri saya salinan dokumen ditandatangani.

Saksi itu berkata, suasana perbincangan sedikit hangat kerana beliau banyak mengulas mengenai perjanjian itu, tetapi Pathmanabhan ada berkata dia adalah peguam dan lebih faham daripadanya (Buhari).

Terdahulu, Buhari memberitahu mahkamah, beliau menerima panggilan telefon daripada anaknya, Erni Erinawati Sofia, kira-kira jam 10 pagi pada 31 Ogos lalu, dan memaklumkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas keluar ke Banting pada 30 Ogos.

Katanya, beliau ke Banting untuk mencari pejabat lama Pathmanabhan di Jalan Abdul Samad, tetapi gagal selepas mencari dua hingga tiga jam dan selepas berbincang, anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana diminta membuat laporan polis dan laporan orang hilang pada 2 September.

"Saya ada hubungi Pathmanabhan pada 2 September dan bertanya di mana Sosilawati yang pergi berjumpa dengannya pada 30 Ogos (kerana) hingga sekarang tidak balik-balik. Saya beritahu, anak saya sudah buat laporan polis dan beliau terpaksa bertanggungjawab.

"Dia kata ‘Sosilawati seorang yang baik dan pernah berurus niaga dengannya. Macam mana boleh hilang.’ Saya tidak komen terhadap apa yang dia katakan," katanya.

Buhari juga memberitahu mahkamah, beliau mendapat nombor telefon Pathmanabhan ketika perjumpaan pada 2008, tetapi ketika mencari pejabat peguam itu, beliau tidak mengingati nombor telefon kerana ditulis pada salinan dokumen perjanjian jual beli tanah diberikan kepadanya dan dokumen itu ada di pejabatnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Manjeet, saksi itu mengakui ada bertanya kepada Sosilawati sama ada sudah membayar wang deposit 10 peratus itu dan dimaklumkan wang berkenaan sudah dibayar tetapi jumlahnya tidak mencecah 10 peratus.

Katanya, beliau tidak ingat jumlah sebenar, tetapi RM1.2 juta hingga RM1.5 juta. Berita Harian Online | Wati ada RM40j