Friday, February 28, 2014

Abdul Khalid akan tentang Azmin


JAMILAH HAMZAH
28 Februari 2014

khalid ibrahim dan azmin ali
khalid ibrahim dan azmin ali



SHAH ALAM - [Video] Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan PKR sebagai timbalan presiden parti sekaligus menentang Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, fokus utama perlu diberikan pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini sebagai salah satu langkah untuk memenangi jawatan tersebut.

"Saya akan terima amanah rakyat supaya saya bekerja dengan penuh tanggungjawab.

"Namun kita harus fokus kepada PRK Dun Kajang terlebih dahulu, jangan terlalu kempen saya untuk jawatan timbalan presiden.

"Kalau kita kalah di Kajang malulah saya, bagaimana harapan rakyat dan saya nak jadi timbalan presiden PKR," katanya pada Majlis Kasih Bertaut, di kediaman rasminya, malam ini.

Tambahnya, keputusan itu dilakukan berikutan menerima sokongan rakan dalam parti.

Dalam pada itu, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang itu menasihatkan pengikutnya supaya menjadikan perkara itu sebagai fokus kedua.

"Saya sudah terangkan sebab menawarkan diri bertanding timbalan presiden PKR, saya harap rakyat menjadikan hal ini perkara kedua.

"Saya tak nak ada yang cakap menteri besar salah guna kuasa," katanya.

Selain itu, Abdul Khalid juga menyatakan keputusan yang dilakukannya tidak melibatkan spekulasi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

"Saya tak tahu pun Nurul Izzah nak bertanding atau menarik diri," katanya.

Yingluck tidak minat berdebat


Ia bererti cadangan itu tidak mungkin akan diadakan. 
Yingluck yang melakukan lawatan di sini berkata dia lebih gemar berunding untuk mengakhiri konflik politik negara itu, namun mempertikaikan apa yang boleh dijadikan asas perbincangan dengan saingannya itu. 

“Adakah ia termasuk dalam rangka peruntukan perlembagaan? Jika tidak, apa gunanya berbincang kerana tidak akan membawa sebarang penyelesaian,” katanya.
Foto
YINGLUCK disambut orang ramai di Chiang Mai.

Yingluck mengulas cabaran dikeluarkan ketua Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) itu untuk bersemuka dalam debat.

Menurutnya, PDRC mesti menghentikan semua tunjuk perasaan terlebih dulu. 
“Rakyat mahukan demonstrasi mereka ditamatkan,” katanya. 

Suthep sebelum itu berkata dia bersetuju berbincang dengan syarat Yingluck duduk bersemuka dengannya manakala proses rundingan ditayangkan secara langsung di seluruh negara supaya dapat disaksikan rakyat. 

Suthep berkata, dia bersedia mewakili ‘perhimpunan pemberontakan besar’ atau ‘muan maha prachachon’ dalam rundingan dengan Yingluck asalkan ia hanya membabitkan mereka berdua. 

Sementara itu, jurucakap PDRC Akanat Promphan berkata, cadangan Suthep itu berikutan gesaan Yingluck supaya PDRC bekerja sama mengakhiri krisis berkenaan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

Kumpulan lelaki bersenjata tawan Parlimen Crimea


ORANG ramai duduk di atas sebuah kereta perisai di hadapan Parlimen Ukraine dalam satu perhimpunan di Kiev semalam.


SIMFEROPOL - Berpuluh-puluh lelaki bersenjata pro-Rusia menawan ibu pejabat dan Parlimen wilayah Semenanjung Crimea di Ukraine semalam dan mengibarkan bendera Rusia.
Seorang koresponden agensi berita Reuters di ibu negeri Crimea, di sini memberitahu, pintu masuk bangunan Parlimen itu dihalang dari dalam menggunakan beberapa buah meja dan kerusi.
Bangunan berkenaan kini dikepung oleh lebih 100 anggota polis.
Kumpulan bersenjata itu belum membuat sebarang tuntutan setakat ini manakala pihak berkuasa juga tidak pasti sama ada terdapat tebusan dalam kejadian itu.
Tiada sesiapa yang dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.
Agensi berita Interfax memetik seorang saksi melaporkan terdapat kira-kira 60 orang di dalam bangunan berkenaan dengan mereka memiliki banyak senjata api.
"Tiada sesiapa cedera apabila bangunan itu dirampas pada awal pagi semalam," kata sumber.
Crimea merupakan satu-satunya wilayah di Ukraine yang dihuni oleh majoriti etnik Rusia sekali gus kubu kuat terakhir penyokong Presiden Viktor Yanukovich yang ditumbangkan pada Sabtu lalu.
Sehingga kini, barisan kepimpinan baharu Ukraine bimbang berhubung tanda-tanda pemisahan di Crimea.
Stesen televisyen tempatan melaporkan rampasan bangunan itu disahkan oleh pemangku menteri dalam negeri Ukraine.
Yanukovich ditumbangkan selepas tunjuk perasaan selama tiga bulan di ibu negara berkenaan, Kiev.
Beliau kini diburu oleh pemerintah baharu berhubung kematian kira-kira 100 orang dalam protes tersebut.
Ukraine memperoleh kemerdekaan selepas kejatuhan negara Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Sementara itu seorang pegawai Rusia dipetik sebagai berkata, Moscow telah meluluskan permohonan Yanukovych untuk mencari suaka di Rusia. Yanukovych yang melarikan diri dari ibu kota Ukraine, Kiev pada minggu lalu memberitahu media Rusia bahawa beliau masih menganggap dirinya sebagai Presiden Ukraine yang sah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uZCZh3Pd 
Hakcipta terpelihara 

Anwar fail permohonan kali ketiga mohon Muhammad Shafee digugurkan


PUTRAJAYA 27 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kali ketiga menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Permohonan tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Mac ini, setelah Anwar gagal dalam dua permohonannya sebelum ini untuk menggugurkan Muhammad Shafee di mahkamah tersebut mahupun di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan terbaharu itu difailkan pada 25 Februari lalu, iaitu tiga hari sebelum pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dijadualkan di Mahkamah Rayuan esok.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima permohonan terbaharu itu semalam.
Kali ini, alasan yang digunakan Anwar ialah Muhammad Shafee pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam selepas didapati melanggar peruntukan di bawah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 oleh Badan Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 5 Oktober 2012.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menolak untuk mencampuri keputusan Majlis Peguam terhadap Muhammad Shafee yang didenda kerana memberi publisiti tentang dirinya dan firma guaman beliau kira-kira empat tahun lalu.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 16 November 2012 untuk mengetepikan keputusan badan tersebut yang mendenda beliau setelah didakwa terlibat dengan salah laku yang melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pada 12 Februari lalu, rayuan kes terbabit sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan namun sebelum sempat ia berlaku, Anwar melalui peguamnya Karpal Singh telah mengemukakan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira.
Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.
Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.
Perbicaraan kes kes liwat itu sendiri pernah tertangguh lebih 55 kali sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan terbabit pada 9 Januari 2012.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_02/Anwar-fail-permohonan-kali-ketiga-mohon-Muhammad-Shafee-digugurkan#ixzz2uZCDAIJW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hadi mohon ketepi perintah bayar RM2 juta


DARI KIRI: ABDUL HADI AWANG, MOHD. SHAMSUL
KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memfailkan permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.
Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Asmuni Awi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.20 pagi ini.
Menurut peguam tersebut, pihaknya akan menghantar salinan permohonan itu kepada peguam A. Vasudevan yang mewakili Mohd. Shamsul selaku plaintif dalam masa terdekat.
"Kalau ada sebarang hujah yang ingin dimasukkan plaintif, mereka boleh failkan dan kalau ada keperluan di peringkat kami untuk menjawab dokumen dan afidavit tersebut, ia akan dibuat sebelum tarikh perbicaraan pada 30 Mac nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Asmuni berkata, pihaknya hanya mengetahui tentang perintah penghakiman ingkar itu pada Ahad lalu walaupun hakikatnya ia telah difailkan plaintif pada 17 Februari.
"Pihak plaintif tidak memaklumkan dan berkomunikasi dengan kami dan saya hanya mengetahui secara kebetulan berhubung perintah penghakiman ingkar itu," katanya.
Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd. Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan oleh pihak plaintif.
Abdul Hadi juga diperintah membayar faedah lima peratus daripada jumlah ganti rugi tersebut mulai dari tarikh tuntutan itu difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos RM1,500 setelah gagal memfailkan pembelaan terhadap saman tersebut.
Tindakan saman itu dikemukakan oleh Mohd. Shamsul selepas Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu sebagai alasan untuk Pas turut meletakkan calonnya bertanding walaupun melibatkan pertandingan tiga penjuru.
Mohd. Shamsul yang berdepan dengan calon Pas dan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 52 undi dalam pilihan raya itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April tahun lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140228/ma_05/Hadi-mohon-ketepi-perintah-bayar-RM2-juta#ixzz2uZBzdu7q
© Utusan Melayu (M) Bhd