Saturday, September 1, 2012

Sultan Selangor memang tidak dijemput - Khalid




SULTAN SHARAFUDDIN (dua dari kiri) hadir pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Kemerdekaan ke-55 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kerajaan negeri tidak menjemput Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri program sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri yang berlangsung malam kelmarin.
"Memang tidak ada dalam program menjemput (Sultan). Memang biasa tiap-tiap tahun kita membuat cara ini, itu sahaja," katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar bahawa Sultan Selangor dibelakangkan dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di sini.
Beliau turut menafikan bahawa Sultan Sharafuddin murka dengan tindakan kerajaan negeri itu dan berkata, Sultan Selangor telah diberi penjelasan mengenai perkara itu.
Abdul Khalid ditemui selepas majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bersama rakyat yang dihadiri Sultan Selangor di Masjid Negeri di sini semalam.
Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi berkata, urusan menjemput Sultan bagi menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri merupakan amalan biasa yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
"Sebelum ini, sambutan (ulang tahun kemerdekaan anjuran kerajaan negeri) memang dimaklumkan oleh kerajaan negeri kepada baginda termasuk daripada segi jemputan, ia satu formaliti.
"Namun, terpulang kepada budi bicara baginda sama ada hadir atau tidak pada majlis tersebut," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Abdul Shukor Idrus pula mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor sebagai tetamu utama pada majlis itu.
Beliau berkata, tindakan sedemikian dilihat tidak wajar kerana jawatan Penasihat Ekonomi Selangor adalah jawatan politik yang diwujudkan pentadbiran kerajaan negeri dan tidak terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Apakah kerajaan negeri mahu menggunakan sambutan yang dibiayai kerajaan negeri untuk kepentingan politik. Jika benar demikian, ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab selain menghina institusi Kesultanan Selangor," katanya.
Pada masa sama, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang menggesa Menteri Besar dan barisan Exco mengemukakan permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor termasuk seluruh rakyat Selangor atas tindakan itu.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula berkata, ada pihak mendakwa ia satu mesej daripada segelintir pemimpin dalam pakatan pembangkang yang cuba menidakkan peranan institusi diraja atas nama demokrasi. - Bernama

Tunggu urusan imigresen




NORDI (kiri) menunjukkan gambar-gambar Siti Norzana termasuk dengan keluarga angkatnya di Indonesia sambil diperhatikan tiga anaknya dan Muhammad Khairun (tengah) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan orang, menaruh harapan anaknya itu dapat diselamatkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-55 tahun ini.
Ini berikutan, Siti Norzana yang kini berada di Tulang Bawang, Lampung, Indonesia juga lahir pada tarikh yang sama iaitu 31 Ogos 2000.
"Usaha saya untuk bawa pulang sendiri Siti Norzana sebelum 31 Ogos tidak tercapai kerana orang yang membeli anak saya sangat ganas dan bertindak samseng, mujurlah saya berpatah balik, jika tidak kemungkinan saya cuma tinggal nama," katanya pada sidang akhbar bersama Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh.
Selasa lalu, Nordi nekad ke negara tersebut untuk membawa pulang Siti Norzana tetapi dia dinasihat untuk tidak meneruskan hasrat tersebut atas faktor keselamatan.
Nordi sebelum ini mendapatkan bantuan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, berjaya diselamatkan manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke Malaysia.