Sunday, June 6, 2010

Sasaran wujudkan 50 kompeni askar wataniah tahun ini



06/06/2010 6:26pm

KUALA KRAI 6 Jun – Kerajaan menyasarkan 50 kompeni askar wataniah diwujudkan di kawasan Parlimen membabitkan 5,000 anggotanya di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, sasaran matlamat itu sekali ganda lebih banyak dibandingkan dengan tahun lepas iaitu 25 pasukan membabitkan 2,500 anggota.
Sasaran matlamat itu perlu bagi memastikan nisbah dua anggota sukarela bagi setiap anggota tentera tetap dapat diwujudkan menjelang 2020, katanya pada sidang media selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah kawasan Ketereh, Machang, Kubang Kerian dan Kota Bahru, di Kem Rejimen 506 Sungai Durian, di sini, hari ini.
Dr. Abdul Latiff berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan perlu turut dipikul masyarakat sebagai pelapis kedua selepas anggota pasukan keselamatan.
"Sikap seperti ini perlu diterapkan kepada masyarakat, yang turut memainkan peranan penting menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara,” katanya. – Bernama

Sukarelawan diarah berbogel kerana disangka “pengganas"



06/06/2010 6:31pm

SHAH ALAM 6 Jun – “Saya diarah berbogel semasa disoal siasat selama setengah jam kerana disangka pengganas dan mempunyai kaitan dengan rangkaian al-Qaeda. Mereka cuba kaitkan saya dengan al-Qaeda tetapi saya cakap kami ialah aktivis.
"Mereka mungkin menyangka saya pengganas sebab rambut saya di dalam pasport panjang sedangkan semasa ditahan, saya berambut pendek seperti seorang komando,” kata Exco badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia, Abd. Halim Mohd. Redzuan, 40.
Menceritakan pengalaman semasa ditahan di sebuah penjara lama oleh tentera Israel, Abd. Halim berkata, beliau ditempatkan bersama-sama seorang Ahli Parlimen Bahrain dan seorang pegawai masjid dari Indonesia.
"Sepanjang 15 jam ditahan di penjara itu, kami banyak dengar bagaimana tentera Israel gunakan kekerasan pada banduan lain dan keadaan penjara juga sangat teruk.
“Semasa dibebaskan mereka cakap mereka nak bawa kami ke penjara lain dan bila tiba di sempadan Jordan, barulah saya nampak kawan-kawan lain, lega sangat rasanya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Abd. Halim bersama lapan daripada 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Turki, Mavi Marmara, diraikan dalam satu majlis menyambut kepulangan mereka sejurus selepas tiba di tanah air pada kira-kira pukul 5.40 pagi.
Abd. Halim juga merupakan antara tiga aktivis yang ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha oleh tentera Israel. – Bernama

Malaysia rancang fail petisyen seret Israel ke mahkamah



06/06/2010 7:24pm

KUALA LUMPUR 6 Jun – Satu pasukan yang terdiri daripada pengamal undang-undang di negara ini telah ditubuhkan bagi memfailkan petisyen untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.
Pasukan itu sedang merangka petisyen yang akan difailkan, kata peguam Datuk Kamilia Ibrahim yang mengusahakan penubuhan pasukan itu.
"Satu pasukan peguam antaranya peguam hak asasi manusia, para akademia dan sukarelawan guaman telah ditubuh dan lebih ramai sukarelawan guaman lagi dipelawa untuk memulakan dakwaan terhadap Israel di atas tindakan keganasan mereka terhadap sukarelawan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Kerana apa yang dilakukan oleh Israel jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan melanggar hak asasi manusia, bukti kekejaman mereka juga sudah ada dalam bentuk video klip dan saksi yang hidup,” kata Kamilia yang juga Naib Ketua Wanita UMNO.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian 12 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera rejim Zionis itu semasa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lepas.
Dalam insiden itu, kapal milik Turki, Mavi Marmara yang membawa sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia itu diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.
Bagaimanapun, kesemua 12 rakyat Malaysia di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.
Mereka selamat tiba ke tanah air kira-kira pukul 5.40 pagi tadi. – Bernama

6 aktivis keamanan Malaysia dibebaskan di sempadan Jordan



06/06/2010 7:18pm

AMMAN 6 Jun – Enam aktivis keamanan Malaysia atas kapal MV Rachel Corrie, yang ditawan ketika dalam pelayaran ke Gaza, telah dibebaskan hari ini oleh Israel di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan pada kira-kira 5.20 petang waktu Malaysia.
Sukarelawan Malaysia itu yang berada atas kapal itu bagi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza terdiri daripada Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria; anggota Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu; serta dua wakil media, Halim Mohamed dan Mohd. Jufri Judin dari stesen televisyen swasta TV3.
MV Rachel Corrie, kapal terakhir dalam flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepung Israel, telah ditawan oleh tentera rejim Zionis pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) semalam dan diiring ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Turut berada atas kapal itu bersama aktivis keamanan Malaysia itu ialah bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dennis Halliday; pemenang anugerah Nobel, Mairead Maguire Derek; Jenny Graham daripada Free Gaza Movement; dan penerbit filem dokumentari Fiona Thompson.
Misi bantuan itu ditaja oleh PGPO, sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia.
Kapal Rachel Corrie dinamakan sempena nama wanita Amerika yang terbunuh akibat dirempuh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, semasa cuba membantah tindakan meroboh rumah. – Bernama

Pertubuhan Yahudi Mahu Amerika Putuskan Hubungan Dengan DSAI


KUALA LUMPUR, 2 Jun: Sebuah pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika meminta negara itu agar menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai musuh Amerika berikutan tindakannya mendedahkan hubungan kerajaan dengan APCO dan Asia Soft di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut surat B’nai B’rith International’s, The Global Voice of the Jewish Community, yang mempunyai 200,000 ahli dan penyokong itu, mereka sangat kesal dengan kenyataan anti-Sematic yang dikeluarkan oleh Anwar itu.
Melalui surat yang ditandatangani oleh Dennis W. Glick, Presiden dan Daniel S. Mariaschin, Naib Presiden Executif B’nai B’rith International’s itu, mereka mendesak kerajaan Amerika memutuskan hubungan dengan Anwar.
Surat yang bertarikh 25 Mei itu ditujukan kepada John F. Kerry, Pengerusi dan Richard G. Lugar, Ahli utama Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Amerika Syarikat.
Dalam surat itu, pertubuhan itu melahirkan rasa prihatinnya dengan sikap anti-Sematic Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Anwar yang telah menghabiskan beberapa tahun tinggal di Amerika dan membina imej pro-Barat telah menggunakan kedudukannya untuk menyebarkan propaganda anti-Sematic.
Anti-Sematic adalah istilah yang digunakan oleh Yahudi untuk melebelkan pihak-pihak yang anti Yahudi atau Israel.
Bagi pertubuhan itu, langkah Anwar mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan memasukkan unsur-unsur fitnah anti-Yahudi dan anti-Israel adalah tidak boleh diterima.
"Contohnya, kenyataannya pada 30 April yang perisik Israel terlibat secara langsung dalam menguruskan kerajaan.
"Contoh lain adalah, dia mendakwa agen perisik Israel dalam unit IT pasukan Polis," kata surat itu.
Mereka juga berkata, Anwar mendakwa kerajaan menggunakan khidmat syarikat perhubungan awam yang dikawal oleh Yahudi di Parlimen.
Selain itu, mereka mendakwa Anwar pernah membuat kenyataan kepada Islam Online yang dia mempunyai bukti kerajaan menyokong lobi Yahudi di Amerika dan sesetengah pihak di Israel.
"Memandangkan peranan Anwar dalam kebangkitan anti-Sematic dalam politik Malaysia, kami memohon semua pegawai Amerika menggantung sebarang hubungan dengan Anwar Ibrahim," kata surat pertubuhan Yahudi itu.
Sementara itu, pertubuhan ini jugalah yang menyalahkan Flotilla Gaza dan melebelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.
Bagi pertubuhan ini, Flotilla ini adalah satu provokasi oleh kumpulan pro-Hamas yang berlindung di sebalik bantuan kemanusiaan bertujuan untuk memusnahkan negara Yahudi yang dianggap mereka sah itu.
HARAKAHDAILY

Harta presiden UMNO ?



Harta Presiden Uruguay cuma bernilai RM6,200




GAMBAR fail pada 2009 menunjukkan Jose Mujica bekerja di ladang bunga milik isterinya sebelum menjadi Presiden Uruguay.

MONTEVIDEO – Presiden baru Uruguay, Jose Mujica mungkin menjadi salah seorang pemimpin paling miskin apabila beliau mengisytiharkan harta kekayaan miliknya ialah sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Kereta itu berusia 23 tahun dan bernilai kira-kira AS$1,900 (RM6,220).
Menurut deklarasi hartanya, bekas pemimpin gerila itu tidak mempunyai akaun bank dan aset lain. Manakala sebuah ladang bunga yang kecil pula diletakkan atas nama isterinya.
Pendapatan yang dilaporkan dalam deklarasi itu hanya gajinya sebagai Presiden iaitu kira-kira AS$11,000 (RM36,014) sebulan.
Presiden tersebut memberikan 20 peratus daripada pendapatan bulanan itu kepada pergerakan politiknya.
Beliau yang berumur 75 tahun menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.
Gaya hidup Mujica berbeza dengan Naib Presidennya, Danilo Astori yang mengisytiharkan kekayaannya sebanyak AS$250,000 (RM818,499). Ini termasuk sebuah rumah dan kereta yang bernilai 10 kali ganda daripada kereta Volkswagen Beetle tersebut. – AP
kredit : kosmo.com.my

Derma 1 billionpun kami bantah jugak!

Derma RM525j elak kontroversi


KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan cuba meredakan bantahan banyak pihak mengenai kontroversi lesen perjudian bola sepak dengan mendermakan keseluruhan RM525 juta hasil jualan syarikat pemegang lesen pertaruhan, Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot) kepada badan kebajikan.Wang itu adalah hasil keuntungan 70 peratus pegangan Tan dalam Ascot yang dijual kepada syarikat gergasi miliknya, Berjaya Corporation Berhad.

kredit : kosmo.com.my

' Ter ' pakai skirt

Bukan sengaja

Oleh ISMA ISMAIL
isma@hmetro.com.my
2010/05/30

KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian pada malam itu,” kata pelakon jelita, Rozita Che Wan, mengulas kontroversi yang mencetus perdebatan dalam laman blog hiburan serta ruangan gosip di media cetak.
KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.
KONTROVERSI...Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.
Menurutnya, mungkin sebagai individu yang dikenali ramai, dia patut lebih peka dengan keadaan sekeliling.
Justeru, dia berharap tidak perlulah semua pihak memperbesar atau mensensasikan isu terbabit.

“Saya tak nak komen banyak-banyak mengenainya,” katanya dalam kenyataan melalui SMS kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas isu skirt pendek yang dipakainya ketika menghadiri Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

Isu berkenaan mula tercetus apabila gambar Rozita bersama seorang lagi pelakon, Azza Elite, duduk dengan keadaan seksi disebabkan skirt dipakainya agak singkat, tersebar dalam beberapa blog hiburan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi, tambahan pula pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah, itu, menunaikan umrah baru-baru ini.

Ada yang mendakwa pakaiannya dengan skirt pendek paras atas lutut hingga menampakkan paha putihnya itu dan Azza Elite yang juga berskirt singkat amat tidak sesuai kerana konsert berkenaan dihadiri ramai remaja.

Mengenai isu berkenaan yang sengaja disensasikan, terutama di blog hiburan, Rozita berkata, ia hak sesiapa untuk menulis apa yang mereka mahu.

Menurutnya, dia juga bukan sengaja mahu menunjukkan pakaiannya pada malam itu, apatah lagi untuk dirakamkan gambarnya untuk tontonan umum, terutama di Internet. “Ketika jurugambar nak ambil gambar saya malam tu, saya dah tanya, nampak peha tak? Dia jawab close-up saja...tak sangka pula jadi macam ini, apapun saya minta maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian.

“Saya tahu ramai (wartawan) yang cari saya untuk minta komen mengenai isu itu. Saya malas nak cakap apa-apa lagi...lagi pun benda tak elok tidak payah nak diperbesarkan,” katanya.

Rozita yang kerap dikaitkan dengan orang kenamaan mengumumkan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang pemuda yang kini berkhidmat di sektor perbankan di Singapura.

Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, bakal berhenti daripada lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan anak.

Difahamkan, pelakon itu menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi pada Ramadan nanti.

Semasa hidup tak dapat dah mati baru dapat

Terima gelaran Tun



2010/06/06

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Perbadanan Putrajaya dan juga Petronas, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, menerima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Persekutuan 2010, Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun sempena keputeraan Yang di-Pertuan Agong, semalam.
Empat orang menerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dan Pengerusi The Nippon Foundation, Yohei Sasakawa.

Sementara 33 menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri. Antara mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan.

Turut menerima PSM ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin; Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Datuk Seri Abdul Shukor Abdullah, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Abdul Shukor Hj Husin dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr M Jegathesan. — Bernama

NGO Ireland selar Israel perampas



BOT-bot tentera Israel mengepung kapal Rachel Carrie sebelum menawannya di Laut Mediterranean dan memaksa kapal itu belayar ke pelabuhan bandar Ashdod di selatan Israel, semalam . - AFP


DUBLIN 5 Jun - Kempen Solidariti Palestin Ireland menyelar tindakan Israel menawan kapal Rachel Carrie sebagai 'merampas dan menculik' para penumpangnya semasa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza hari ini.
Badan pro-Palestin itu dalam kenyataannya berkata, untuk kali kedua dalam seminggu ini, tentera Israel memintas dan menawan kapal bantuan tidak bersenjata, menculik penumpang dan memaksa kapal ke pelabuhan Ashdod.
Operasi ketenteraan Israel itu bermula selepas subuh apabila aktivis di atas kapal memberitahu menerusi telefon kepada jawatankuasa sambutan di Gaza bahawa mereka telah dikepung oleh bot-bot rejim Zionis.
Sejurus kemudian, semua talian komunikasi kapal Rachel Carrie itu diputuskan, kata Amjad al-Shawa kepada AFP di Gaza City.
Kerajaan Ireland, yang telah meminta Israel supaya tidak berkeras dan membenarkan kapal itu sampai ke Gaza, sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan situasi, kata jurucakap Kementerian Luar di Dublin.
Israel telah berulang kali mengatakan tidak wujud krisis kemanusian di Genting Gaza dan bantuan seumpamanya tidak diperlukan, satu dakwaan yang ditolak oleh Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
''Untuk mengatakan tidak wujud krisis kemanusiaan di aza adalah mengarut,'' kata jurucakap UNRWA, Chris Gunnes di Ashdod, sambil menambah, tahun lalu sahaja, paras kemiskinan penduduk seramai 1.5 juta di Gaza telah bertambah tiga ganda.
''Bilangan orang yang tidak mampu mencari makanan untuk diri mereka sendiri atau keluarga telah meningkat dari 100,000 kepada 300,000 tahun lalu. Sebanyak 80 peratus penduduk bergantung kepada bantuan asing,'' ujarnya. - AFP

Polis nafi siasat Aburizal



JAKARTA 5 Jun – Polis Indonesia hari ini menafikan siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang juga usahawan, Aburizal Bakrie, atas dakwaan mengelak membayar cukai.
“Kami menyiasat 149 syarikat... namun tidak secara spesifik menyebut mengenai syarikat yang berkaitan Aburizal,” kata jurucakap polis kebangsaan, Edward Aritonang.
Seorang ketua detektif polis sebelum ini menyatakan, siasatan dibuat berdasarkan keterangan bekas pegawai cukai, Gayus Tambunan yang mendakwa dirinya menerima rasuah dari syarikat berkaitan Aburizal bagi mengelakkan cukai berjumlah berjuta-juta dolar.
Jurucakap keluarga Aburizal, Lalu Mara Satriawangsa semalam menafikan tuduhan terbaru itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Aburizal merupakan Pengerusi Parti Golkar, individu penting dalam pakatan pemerintah dan mungkin akan bertanding merebut jawatan Presiden pada 2014.
Beliau menafikan berlakunya konflik antara pelaburan perniagaan yang luas milik keluarganya dengan aktiviti politik sebagai ketua Golkar dan ‘setiausaha agung’ pakatan.
Gayus memberitahu penyiasat antirasuah bahawa kira-kira 40 syarikat merasuahnya untuk mengelakkan cukai, termasuk Bumi Resources milik Aburizal dan dua anak syarikatnya, Kaltim Prima Coal dan Arutmin.
Dalam kes berasingan, pejabat cukai kini menyiasat Bumi Resource dan beberapa anak syarikatnya kerana cukai tidak berbayar sebanyak AS$200 juta (RM655 juta).
Syarikat-syarikat terbabit bagaimanapun, menafikan sebarang salah laku ketika aktivis antirasuah melihat kes cukai ini sebagai ujian penting komitmen kerajaan untuk melakukan pembaharuan.
Kekayaan Aburizal melonjak dari AS$750 juta (RM2.5 bilion) kepada AS$2.6 bilion (RM8.5 bilion) tahun lalu, menurut kajian yang dibuat majalah Globe Asia. – AFP

Komando Israeltembak aktivis Turki 30 kali



LONDON 5 Jun – Sembilan aktivis Turki yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal bantuan menghala ke Gaza telah ditembak sebanyak 30 kali dengan lima daripada mereka maut akibat tembakan di kepala, lapor akhbar The Guardian hari ini.
Keputusan bedah siasat menunjukkan kebanyakan mangsa dihujani dengan peluru 9mm dengan sebahagian besarnya dari jarak dekat, lapor akhbar itu yang memetik kenyataan Naib Pengerusi majlis perubatan forensik Turki, Yalcin Buyuk yang menjalankan autopsi kelmarin.
Komando Israel menyerang flotila kapal bantuan yang mahu menghentikan sekatan laut ke atas Gaza pada Isnin lalu. Kesemua korban yang berlaku di atas kapal Mavi Marmara, mencetuskan gelombang kutukan dunia.
Israel mendakwa anggota marin yang naik ke atas Mavi Marmara melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas aktivis menyerang mereka dengan kayu dan pisau serta dua pucuk pistol yang dirampas dari pasukan komando Yahudi.
Keputusan bedah siasat menunjukkan Ibrahim, Bilgen, 60, ditembak empat kali di pelipis, dada, paha dan belakang.
Remaja berusia 19 tahun, Fulkan Dogan yang juga rakyat Amerika Syarikat, ditembak lima kali dari jarak kurang 45 sentimeter di bahagian muka, belakang kepala, dua kali di kaki dan satu di belakang.
Dua lagi lelaki ditembak empat kali. Lima dari mangsa yang maut ditembak sama ada di bahagian belakang kepala atau belakang badan.
Menurut Buyuk, seramai 48 mangsa cedera akibat tembakan dan enam aktivis masih hilang.
Israel memberi alasan luka cedera ditembak itu disebabkan tembakan yang dilepaskan oleh komando untuk mempertahankan diri.
The Guardian memetik pengerusi majlis perubatan forensik di Istanbul, Haluk Ince sebagai berkata, hanya satu mayat menunjukkan satu kesan tembakan iaitu pada bahagian kepala dari peluru yang ditembak dari jarak jauh. – REUTERS

Judi bola terus dibantah

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Pertubuhan Anak Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan (PAMSWP) turut mempertikai dan mengutuk  tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia.
Mereka dalam satu sidang media di bangunan Yayasan Selangor siang tadi berkata masalah pokok bukan terletak pada judi tidak berlesen, tetapi aspek penguatkuasaan kerajaan.
“Tetapi soal kelemahan dalam aspek penguatkuasaan.
"Sama ada kita benar-benar mahu benteras atau sebaliknya," kata Exconya, Mohamad Yusof Yahya.
Hadir sama pada sidang media Say No To Judi Bola itu juga termasuk Naib Yang Dipertua 1 dan 2, Mohd Said Abd Hamid dan Mohd Zaini Anwar Hashim.
Pada mereka, sudah cukup selama ini kerajaan memberi lesen kepada kelab-kelab eksklusif, kasino bertaraf dunia seperti mesin judi slot dan lumba kuda.
"Enough is enough. Kita merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik pengeluaran lesen terbabit," katanya lagi.
Judi katanya, hanya menambah kepincangan hidup masyarakat dengan keruntuhan nilai moral dan sosial.
PAMSWP mempunyai 3,000 ahli di seluruh Selangor.
Mereka juga memaklumkan akan memanjangkan bantahan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.

Dunia perlu kenakan sekatan terhadap Israel



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 5 Jun: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), NAM, G8 , NATO, GCC dan negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel dalam kadar segera.
“Kita mahu dunia khususnya bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel,” kata Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut.
Pihaknya juga menggesa agar pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir dibuka terus menerus bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dihantar.
Tambahnya, negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.
AMK Selangor juga, ujarnya menggesa Perdana Menteri agar dapat memainkan peranan utamanya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam, NAM dan Asean untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi terhadap Israel dengan segera.
Malahan, katanya segala hubungan antara entiti dan proksi zionis Israel di rantau ini diputuskan segera.
Katanya lagi, AMK Selangor mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Gaza dalam apa jua bentuk.
“Ini amat penting kerana warga pelbagai negara dunia bersama-sama terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin. Kita juga berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, AMK Selangor mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis-aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara.
“Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas,” ujarnya lagi.

Penduduk Gaza, rakyat Palestin wira sebenar



AMMAN 5 Jun - Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan masih menyimpan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali.
Selain merawat mereka yang cedera dan menyaksikan kematian di lantai kapal
"Mavi Marmara" yang berlumuran darah, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin, Haluan Malaysia, turut diacukan pistol di kepalanya pada suatu ketika.
Beliau dan 11 lagi sukarelawan Malaysia, termasuk dua wakil media, turut menangis kegembiraan dan memeluk satu sama lain - lega kerana semuanya selamat - ketika bertemu semula sebelum dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada Rabu.
''Bagaimanapun, kesulitan dan ketegangan yang kami alami pada hari tersebut dan selepasnya dalam pertempuran secara dekat dengan tentera Israel, tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang dilalui penduduk Gaza dan rakyat Palestin setiap hari sejak bertahun-tahun.
''Mereka sebenarnya layak digelar wira," kata Dr. Syed Muhammad Haleem kepada Bernama ketika menceritakan insiden serangan Isnin lepas terhadap kapal bantuan yang ketika itu sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza, dengan azam memecahkan kepungan Israel di wilayah pinggir pantai berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Sentimen beliau dikongsi ketua NGO Malaysia Noorazman Mohamad Samsuddin, yang merupakan ketua biro Palestin Haluan Malaysia.
''Memang apa yang kami lalui adalah sesuatu yang luar biasa dan semua orang akan bercakap tentangnya. Tetapi saya rasa kisah sebenar di sini masih mengenai Gaza, Palestin dan penduduknya yang sedang menderita di sana,'' katanya.
Melihat kepada panggilan telefon tanpa henti yang diterima bukan sahaja daripada keluarga dan teman-teman, malah pihak media di Malaysia yang ingin mendapatkan butiran mengenai pengalaman mereka, kesemua 12 sukarelawan tersebut dijangka menjadi bahan berita untuk tempoh yang agak lama.
''Kami akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap dan mengingatkan orang ramai tentang keperluan membantu saudara kita di Palestin yang sedang dijajah Israel.
''Nilai sebenar tugas kita bergantung kepada keikhlasan. Jika anda kehilangannya, apa sahaja yang anda lakukan tidak memberi sebarang makna," katanya.
Walaupun tidak boleh menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza secara peribadi, namun semua sukarelawan Malaysia gembira kerana serangan Israel menjelang waktu Subuh telah menyebabkan regim Tel Aviv dan layanan kejam mereka terhadap rakyat Palestin menjadi tumpuan utama dunia.
Di tengah-tengah kemarahan masyarakat antarabangsa berhubung kematian sembilan aktivis dalam insiden itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata, keganasan Israel telah didedahkan kepada dunia melalui peristiwa berdarah di atas dek kapal Turki itu.
Insiden itu, katanya, telah membuka mata masyarakat dunia, walaupun mereka yang sebelum ini tidaklah begitu simpati dengan keadaan pahit getir rakyat Palestin.
Sukarelawan Malaysia turut menceritakan pengalaman digari selama 15 jam atau lebih dan ditendang tentera Israel. Beberapa orang daripada mereka juga telah dibogelkan ketika diperiksa.
Noorazman berkata: 'Kami dipisahkan, dan jika anda bersama-sama seorang lagi rakyat Malaysia, anda dianggap bertuah. Perkara itu menyebabkan kami risau mengenai nasib yang lain. Contoh lain, kami dimarahi apabila cuba bercakap sesama sendiri."
Wartawan penyiaran Astro Awani Ashwad Ismail pula amat mengagumi semangat sukarelawan Malaysia.
"Saya banyak belajar daripada mereka. Mereka adalah kumpulan yang berdedikasi dan setiap orang mempunyai semangat juang yang kuat," kata beliau yang berusia 25 tahun dan ditemani jurukamera stesen televisyen itu, Shamsul Kamal Abdul Latip dalam konvoi tersebut.
Ashwad menyifatkan dirinya seolah-olah diberi penghormatan untuk melaporkan mengenai misi bantuan kemanusiaan itu dan beliau juga berpeluang melihat konflik Palestin dan Israel sejak berdekad lepas, dalam tempoh sehari lebih.
Penganjur konvoi kemanusiaan tersebut yang digelar "Freedom Flotilla"
berkata mereka membawa bekalan ubat-ubatan, bahan binaan dan barangan sekolah ke Gaza.
Muslim Care Malaysia yang diwakili Halim Mohamed Redzuan berkata, pihaknya membawa 300 set beg sekolah dan hampir 2,000 batang pen dan pensel.
"Perkara ini, seperti yang disebut oleh penganjur bantuan kemanusiaan ke Gaza iaitu IHH, adalah bagi membuktikan bahawa konvoi ini bersifat aman," katanya.
Namun, keadaan yang berlaku selepas itu adalah sebaliknya.
Dr. Syed Muhammad Haleem juga menggambarkan keadaan di atas kapal Mavi Marmara bagaikan zon perang di mana keadaan hiruk-pikuk berlaku apabila tembakan dilepaskan ke arah aktivis.
Turut diceritakan ialah bagaimana beliau terpaksa bersembahyang dengan memakai seluar yang dicemari darah ketika berhenti sekejap daripada merawat mangsa yang cedera.
Beliau juga telah disoal tentera Israel yang bersenjatakan senapang sama ada mencintai rakyat Palestin - yang diakuinya dengan tegas.
"Ketika melihat ke dalam mata beberapa tentera Israel, saya dapat merasakan bahawa mereka sebenarnya adalah pengecut," kata doktor itu.
Bagaimanapun, ujian terbesar buatnya adalah ketika beliau merawat dua komando Israel yang cedera.
"Pada mulanya, saya tidak menyedari perkara ini sehingga dimaklumkan seseorang. Bagaimanapun, sebagai seorang doktor, tugas saya adalah merawat pesakit.
"Memang terlintas juga di fikiran saya bahawa mereka adalah musuh. Bagaimanapun, tugas saya berbeza.
"Islam mengajar bahawa apabila musuh datang kepada anda sebagai tawanan, mereka perlu dilayan sebaik mungkin," katanya. - Bernama

Israel pastikan keselamatan semua aktivis



KUALA LUMPUR 5 Jun – Malaysia mendesak Israel supaya memastikan keselamatan semua aktivis kemanusiaan termasuk enam rakyat negara ini yang ditawan bersama kapal Rachel Corrie yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan enam rakyat Malaysia yang ditawan itu dari masa ke semasa bagi menjamin keselamatan mereka.
Katanya, Malaysia berharap tentera Israel tidak melakukan sebarang tindakan kekerasan ke atas semua aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata di atas kapal tersebut.
“Tentera Israel perlu memastikan semua aktivis kemanusiaan di atas kapal itu (Rachel Corrie) berada dalam keadaan selamat dan tidak terancam keselamatan mereka.
“Malaysia juga berharap Israel dapat memberi laluan kepada kapal itu untuk meneruskan perjalanan bagi menghantar bantuan kemanusiaan itu ke Gaza,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Kapal Rachel Corrie tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu ditawan oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) kira-kira pukul 2.45 petang waktu Malaysia hari ini.
Kapal itu membawa 1,500 tan pelbagai bantuan termasuk makanan, perubatan dan bahan binaan kepada penduduk Gaza.
Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu ialah peguam, Matthias Chang, Sukarelawan PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu.
Turut serta, Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria, Wartawan TV3 Halim Mohamed dan jurukamera, Mohd. Jufri Judin.
Isnin lalu, kapal dari Ireland iaitu Mavi Marmara ditahan dan diserang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 16 orang maut dan berpuluh lain cedera dalam serangan itu atas alasan misi tersebut turut membawa senjata untuk dibekalkan kepada rakyat Palestin.
Anifah berkata, ekoran daripada penahanan itu, Malaysia meminta masyarakat dunia memujuk Israel supaya membenarkan kapal Rachel Corrie meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan selamat.
Sementara itu, PGPO juga mendesak Israel membenarkan kapal Rachel Corrie meneruskan perjalanan ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di negara yang sering menjadi mangsa keganasan rejim zionis itu.
Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kapal tersebut ditawan ketika berada beberapa kilometer lagi untuk menghampiri pesisir pantai Gaza.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua aktivis kemanusiaan termasuk enam wakil Malaysia di atas kapal tersebut selamat.
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan Israel menawan kapal Rachel Corrie dan mendesak Israel supaya membenarkan kapal itu meneruskan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Matlamat utama tentera rejim zionis menawan Rachel Corrie bertujuan untuk mengubah haluan kapal tersebut ke Pelabuhan Ashdod di negara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Matthias sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin sebelum Rachel Corrie ditawan tentera Israel.
Kandungan SMS itu adalah seperti berikut:
* 9.30 pagi (waktu Malaysia) - Tiga bot tentera Israel mengekori kapal Rachel Corrie.
* 10.30 pagi - Bot-bot tentera Israel memecut ke arah kapal dan kami diminta bertenang.
* 10.35 pagi - Tentera Israel telah menyekat radar kapal kami.
Itu merupakan kali terakhir kapal Rachel Corrie dapat dihubungi.

Tentera Israel tawan Rachel Corrie



KAPAL Rachel Corrie yang diambil nama daripada seorang pelajar kolej Amerika yang terbunuh akibat digilis oleh jentera berat tentera Israel. - AP


GAZA CITY 5 Jun - Tentera Israel menawan kapal Rachel Corrie yang mengangkut bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin hari ini sekaligus menamatkan ketegangan berjam-jam lamanya di laut antara kapal itu dengan kapal-kapal perang rejim Zionis.
Kapal itu membawa 15 anggota misi bantuan iaitu enam rakyat Malaysia termasuk wartawan serta jurugambar TV3 dan selebihnya dari Ireland.
Kapal tersebut dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa tidak lama selepas subuh namun askar Yahudi menaikinya sehinggalah awal petang ini (waktu tempatan).
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, Rachel Corrie tidak mengendahkan tiga panggilan untuk belayar ke pelabuhan Ashdod, kira-kira 30 kilometer ke utara Genting Gaza dan telah diberi amaran yang ia akan ditawan tentera laut jika tidak mengubah haluan.
Konfrontasi terbaru ini berlaku lima hari selepas komando Israel menawan sebuah lagi kapal bantuan dalam insiden yang meragut sembilan nyawa aktivis, kebanyakan daripada mereka rakyat Turki.
Ulasan Twitter terbaru dari Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan Rachel Corrie kini berada 28 batu nautika dari pesisiran dan telah menolak tiga permintaan IDF untuk berlabuh di pelabuhan Ashdod.
Perairan antarabangsa bermula kira-kira 20 batu nautika dari pantai, menunjukkan ulasan IDF mengesahkan kapal itu berada di luar perairan Israel atau Gaza tanpa menyatakan lokasi tepat.
''Kami telah beberapa kali mengingatkan penganjur di atas kapal itu supaya menghala ke pelabuhan Ashdod kerana sekatan yang dikenakan ke atas Genting Gaza, namun ia tidak diambil peduli dan mereka terus menuju ke Gaza," demikian menurut seorang jurucakap tentera sebelum ini.
Aktivis di atas Rachel Corrie sebelum ini menegaskan yang mereka tidak akan tunduk kepada tuntutan Israel dan akan terus menuju destinasi mereka, namun bersedia membenarkan kargo mereka diperiksa.
Jurucakap jawatankuasa sambutan di Gaza, Amjad al-Shawa memberitahu, kapal itu telah dipintas dan semua komunikasi disekat antara 30 hingga 35 batu nautika dari Gaza.
Antara penumpang kapal itu ialah pemenang hadiah Nobel dari Ireland, Mairead Maguire dan bekas penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Denis Halliday, akan diusir pulang ke negara asal mereka, kata Kementerian Luar Israel.
Pemeriksaan awal ke atas kargo kapal itu mendapati ia mengangkut kebanyakannya simen, kata Radio Israel.
Rejim Yahudi melarang kemasukan bahan binaan itu kerana mendakwa ia diguna oleh pejuang Palestin membina kubu dan terowong bawah tanah bagi menyeludup senjata.
Kali terakhir komunikasi yang dibuat pada 5.38 pagi (pukul 10.38 pagi waktu Malaysia), seorang aktivis, Jenny Graham memberitahu kapal itu dihampiri dua kapal perang Yahudi. - dpa/ AFP

Rencana Cuit Selak Awang Selamat Kolumnis Forum Agama Keluarga Hiburan Rancangan TV Feminin Pendidikan Sains & Teknologi Agrobiz Kesihatan Rekreasi Polis & Tentera Sastera Classifieds Utusan Online TV Portal Pendidikan Kosmo! Online Mangga Online Saji Online MyBooks Kareer Utusan Karya Liga M 2009 PRK 2009 UMNO 2008 Pilihan Raya AS Beijing 2008 Merdeka 2008 Euro 2008 MAHA 2008 PRU-12 Sharlinie Salam Perantauan Berita Utama Dalam Negeri Wilayah Laporan Khas Parlimen Politik Luar Negara Sukan Jenayah Waktu Solat Laporan Cuaca Geng Online TERKINI Israel tawan kapal bantuan antarabangsa Gaza ke pelabuhan Ashdod



06/06/2010 2:34am

ASHDOD, Israel 5 Jun - Kapal bantuan kemanusiaan antarabangsa yang di halangan dan ditawan oleh tentera rejim Israel daripada memasuki Genting Gaza awal hari ini telah memasuki pelabuhan Ashdod dengan dikawal ketat oleh tentera pengganas Yahudi, kata wartawan AFP.
Kapal Rachel Corrie seberat 1,200 tan itu dilihat memasuki pelabuhan dengan kawalan ketat oleh dua buah kapal tentera laut rejim selama lima jam selepas tentera penceroboh rejim Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan antarabangsa itu memerintahkan agar operasi penawanan dilakukan tanpa kekerasan.
Rachel Corrie yang tertera jelas dengan perkataan `Bebaskan Gaza’ dengan kibaran bendera Ireland berwarna oren, putih dan hijau pada sisi badan kapal itu kelihatan bergerak masuk dengan begitu perlahan, katanya. - AFP