Friday, March 28, 2014

Kassim mengaku tidak bersalah


2014/03/28 - 06:26:03 AM
Kassim mengaku tidak bersalah
Kassim Ahmad - Foto Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Dr Kassim Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, atas dua tuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Dia yang hadir sambil bertongkat membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus.


Kassim atau nama sebenarnya Kassim @ Osman Ahmad, 81, dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu pada seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia untuk 30 Tahun Akan Datang, di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1 Jalan PBH, Presint 8 di sini, antara jam 9 pagi hingga 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi tuduhan pertama, dia dituduh menghina agama Islam dengan cara mencemuh amalan berhubung dengan agama Islam melalui pembentangan satu skrip ucapan bertajuk, Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Negara Malaysia Tiga Puluh Tahun Akan Datang.

Pembentangan itu mengandungi petikan antaranya, (b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan Allah dan Muhammad ditulis sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa saal-Lallahu alaihi wasallam (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut alaihissalam.

Dakwa rambut wanita bukan aurat

Padahal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin dalam Quran. Juga perkataan salla/yusalli bermakna restu, bantu dan sokong, bukan selawat seperti yang dibuat sekarang.
(c) Perhatikan satu perubahan baru dalam aurat wanita. Perkataan aurat berasal daripada bahasa Arab ertinya kebogelan. Tiga puluh tahun dulu, wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut kerana rambut bukan aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka suci!

Kassim turut dituduh pada seminar sama menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam, majlis atau mufti melalui fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan berkenaan golongan antihadis.

Dia dituduh membentangkan petikan dari dua buku bertajuk, Hadith Satu Penilaian Semula (terbitan Media Intelek Sdn Bhd 1986 dan Hadith: Jawapan Kepada Pengkritik (terbitan Media Indah Sdn Bhd 1992), yang mana ia diwartakan haram melalui Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 8 Februari 1996 berkenaan Golongan Anti-Hadis.

Bertentangan akidah

Ia berikutan kandungan buku terbabit mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam dan membawa kepada murtad.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 7(b) dan Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, yang boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris memberitahu mahkamah supaya tertuduh ditahan dengan waran atau dilepaskan dengan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin, dengan syarat penjamin haruslah seorang warga negara serta bermastautin di Wilayah Persekutuan, mengikut budi bicara mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan dua penjamin serta menetapkan 7 April sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan itu. 

Pakistan, Taliban berunding pertama kali

Pakistan, Taliban berunding pertama kali
Wakil Jawatankuasa Taliban, Maulana Sami-ul-Haq (tengah) menyertai sidang media sejurus rundingan bersama delegasi kerajaan di Peshawar, kelmarin.


ISLAMABAD - PAKISTAN. Rundingan pertama kerajaan Pakistan dan Tehreek-e-Taliban (TPP), kelmarin, diadakan dalam suasana kondusif di Waziristan Utara.

Jurucakap TPP, Shahidullah Shahid memberitahu mereka bersetuju melaksanakan gencatan senjata sepanjang rundingan damai tersebut.

"Rundingan tujuh jam menyaksikan perkembangan positif kedua-dua pihak. Kami bersetuju mengadakan mesyuarat susulan dalam tempoh terdekat," katanya.

Difahamkan, kerajaan dan TPP juga mencapai kata putus berhubung pertukaran anggota bukan penempur yang berada di bawah tahanan kedua-dua belah pihak.

Bulan lalu, pejuang Taliban mengumumkan gencatan senjata 30 hari bertujuan menjayakan rundingan damai dengan kerajaan.

Sebagai respons, laporan dipetik dari Al-Jazeera, kerajaan Pakistan menghentikan serangan udara yang menyasarkan markas mereka di barat laut negara terbabit.

Harapan baharu bagi Bangsamoro


Seorang wanita Islam (kiri) melukis bendera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pipi ibunya semasa satu perhimpunan menyokong pemeteraian perjanjian antara kumpulan pemisah itu dengan kerajaan Filipina di Cotabato City, Mindanao, selatan Filipina, semalam. - AFP
COTABATO CITY 27 Mac - Penduduk di wilayah Mindanao menaruh harapan tinggi terhadap Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dimeterai hari ini sebagai permulaan baharu bagi kehidupan mereka di selatan negara ini.
Malah mereka berharap perjanjian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia sebagai orang tengah itu turut menjadi petanda berakhirnya keganasan sejak empat dekad lalu yang menyaksikan peluang, kehidupan dan ekonomi wilayah berkenaan jauh ketinggalan.
Portal berita Filipina, inquirer.net yang memetik kenyataan seorang petani dari Sultan Kudarat di Maguindanao, Tato Sumagka, 47, berkata, dia bersama penduduk kampung lain bersorak kegembiraan apabila mendengar berita tentang pemeteraian perjanjian bersejarah itu.
Tato berkata, dia hidup dalam suasana keganasan di Mindanao sejak usia muda ekoran perbalahan antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan.
“Saya telah menyaksikan pepe­rangan, kehilangan jiwa dan peluang untuk menaikkan taraf hidup kami.
“Sejak kecil, saya hidup sebagai pelarian sebanyak beberapa kali dan hanya pulang ke rumah selepas keadaan kembali pulih," kata petani itu yang mengakui enggan menyertai MILF atas sebab yang tidak dinyatakan.
Sementara itu, penjual beras, Kautin Sumalindig, 53, turut berkongsi pendapat apabila menyuarakan keletihannya terhadap perang yang berlaku di Mindanao.
Jelasnya, penduduk tempatan terutamanya etnik Bangsamoro telah lama inginkan keamanan di wilayah ini.
Tambahnya, dia terpaksa menjual ladangnya di Datu Piang dan menjalankan perniagaan di Cotabato City gara-gara peperangan.
“Kami telah menyaksikan banyak perjanjian damai sebelum ini, tetapi tiada perubahan ekonomi dan pembangunan yang dapat kami kecapi. Walaupun saya gembira dengan perjanjian baharu kali ini, saya tetap bersedia dengan ke­mungkinan yang lebih teruk," katanya.
Kenyataan Kautin turut diso­kong oleh Odin Latip yang sejak kecil menjadi pelarian akibat perang di Mindanao.
Katanya, penduduk Mindanao pernah berasa gembira menyambut perjanjian damai antara Filipina-MILF pada 1996, namun keganasan masih berterusan sehingga mengorbankan banyak nyawa.
“Kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas perjanjian kali ini dimeterai," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_03/Harapan-baharu-bagi-Bangsamoro#ixzz2xCagpDh1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konflik 40 tahun berakhir


Najib Tun Razak disambut oleh Benigno S. Aquino III setibanya di Istana Malacanang untuk menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro di Manila, Filipina, semalam. - BERNAMA
MANILA 27 Mac - Bangsamoro hari ini melakar sejarah memeterai perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina, sekali gus menamatkan konflik berdarah hampir 40 tahun di selatan negara ini bagi membawa sinar harapan kepada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam.
Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro itu (CAB) itu ditandatangani dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina setelah 17 tahun mengadakan rundingan, dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.
Upacara bersejarah itu diadakan di Istana Malacanang di sini disaksikan oleh Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak; Penasihat Presiden mengenai Perdamaian, Teresita Quintos Deles dan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim.
Lebih 1,500 orang hadir menyaksikan upacara itu termasuk 500 pemimpin, perwakilan dan penyokong MILF, para diplomat asing dan pemimpin-pemimpin tempatan.
Perjanjian Komprehensif itu turut mengesahkan persefahaman dan komitmen antara kerajaan Filipina dan MILF, bukan sahaja untuk menamatkan konflik berdarah di selatan negara ini yang telah meragut lebih 150,000 nyawa tetapi juga mengiktiraf hak, kedaulatan dan aspirasi Bangsamoro serta masa depan politik mereka bagi membentuk kerajaan sendiri yang akan melindungi identiti mereka.
Kedua-dua pihak juga mengiktiraf tanggungjawab bersama untuk mendokong prinsip-prinsip keadilan.
Dokumen perjanjian itu antara lain turut menyebut tentang komitmen kedua-dua pihak untuk membantu mengurangkan ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik serta membetulkan semula ketidakadilan sejarah terhadap Bangsamoro.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menangani masalah pembahagian sama rata kekayaan dan kuasa politik bagi kepentingan kedua-dua pihak.
Proses rundingan damai itu telah pun bermula sejak 1997 dan ia kemudian disambung semula pada 2001 dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator sehingga membawa kepada upacara menandatangani Rangka Kerja Perjanjian mengenai Bangsamoro pada Oktober 2012.
Dokumen lengkap dan semua dokumen berkaitan tentang perjanjian itu siap sepenuhnya pada Januari 2014 diikuti dengan menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro pada hari ini di Istana Malacanang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_02/Konflik-40-tahun-berakhir#ixzz2xCaXex1X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Turki sekat YouTube


ISTANBUL 28 Mac - Pihak berkuasa Turki mengambil langkah untuk menyekat penggunaan laman web perkongsian video YouTube semalam, selepas tindakan yang sama dilakukan ke atas laman sosial Twitter, kata agensi berita tempatan.
Agensi Anadolu berkata, pihak berkuasa telekomunikasi nasional telah memulakan sekatan, namun laman web itu masih boleh digunakan secara meluas sewaktu pengumuman dilakukan.
Sekatan itu dilakukan ke atas YouTube sebagai salah satu cara untuk mencetuskan kemarahan di Turki, yang mana media sosial ini digunakan secara meluas. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_01/Turki-sekat-YouTube#ixzz2xCaMdZ2f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ukraine dakwa 100,000 askar Russia berkumpul di sempadan


WASHINGTON 28 Mac - Hampir 100,000 angkatan tentera Rusia telah berkumpul di sempadan Ukraine, kata seorang pegawai tertinggi Ukraine semalam.
Namun beberapa pegawai tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa jumlah anggota tentera itu sebenarnya jauh lebih rendah.
“Hampir 100,000 tentera ditempatkan di sempadan Ukraine dan dalam perjalanan ke Kharkiv dan Donetsk," kata Pengerusi Majlis Keselamatan Nasional Ukraine, Andriy Parubiy melalui sebuah penyiaran laman web dari Kiev. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_11/Ukraine-dakwa-100000-askar-Russia-berkumpul-di-sempadan#ixzz2xCa9nZDJ
© Utusan Melayu (M) Bhd